Sunday, June 8, 2008

SusTra: Sang Durjana Tapa ...2

[Perlu sedikit khayalan. Bahasa pun payah sikit]

Sang Durjana Tapa, si pendusta itu atau apa pun namanya, itulah dia. Senyuman sekelat rupa itu ada petanda. Diangkat sepatunya setinggi egonya, dan mata dusta merenung tepat pada anak mata Adijaga.

Kemudian, sepantas kerdipan, direjam tumit sepatunya pada dada kering mangsa yang terbaring. Derapan temulang berbalut belulang nipis merintik-rintik gegendang Adijaga. Dia berpaling, tak sanggup melihat si mangsa yang menggelepar. Dan darah mulai memencar dari luka.

"Kau kejam! Sungguh kejam kau!"
"Kau silap, itu belum cukup lagi..."

Sang Durjana Tapa membongkok, kuku besinya menyelinapi luka terbuka si mangsa lalu merentap secebis hatinya.

"Adijaga, selamat datang ke pinggir duniaku"
"Kau telah banyak berubah"
"Tidak. Kau tu yang menjadi lemah. Lihat ini, kau menjadi lemah kerana ini. Dan aku musnahkan ini demi kau"

Adijaga pejamkan mata. Kuda apinya menderam garang. Sang Durjana Tapa mengibas-ngibas sayap-sayapnya, debu duli berterbangan, dan dia pergi tinggalkan Adijaga untuk mencari mangsa lainnya.

Adijaga pacu kuda apinya menuju bukit kecil. Dari puncak, Adijaga renung jauh ke depan. Asap hitam dan nyala api menguasai langit kusam dan celaru. Awan merah ufuk selatan bawa bencana ke daerah miskin ini. Adijaga renung lebih jauh, jauh dari ufuk merah itu, jauh ke dalam dirinya, mencari inti diri. Dunia kelam di pojok sanubarinya masih menyimpan pedih. Dunia hitam sehitam sayap-sayap si durjana itu.

Adijaga pejamkan matanya. Dunia hitam dalam sanubarinya masih tebal berisi pedih, menyesakkan, menolak-nolak dan bergelodak dalam jiwanya. Air merenik pada hujung matanya, dan menitis.

"Adijaga! Kau menangis???"

Adijaga tersentak. Dilepaskan renungan lalu kembali ambil realiti. Dia mendongak, Sang Durjana Tapa terawang-awang di atas sambil mengibas-ngibaskan sayapnya, menutupi mentari yang kekuningan.

"Salahkah?"
"Kau menangis? Untuk apa kau menangis?"
"Aku menangisi dosa-dosa kau, Durjana!"
"Dosa-dosa aku? Aneh! Aku tahu mengapa kau ke situ. Kau menangisi jiwa kau, Adijaga. Kau sedar dan jiwa kau turut menangis"

"Bukan. Dosa-dosa kau, Durjana"
"Siapa si pendusta kalau begitu, hah? Ataukah kau terlupa? Cuba selami dasar jiwamu, aku ini bukankah kau yang dulu?"

Sang Durjana Tapa ketawa. Dan tawanya menghujani daerah miskin ini dengan darah-darah pekat para mangsanya.

<smbg>.

No comments:

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com