Monday, October 13, 2008

SusTra: Ayah Pulang [3]

III

Malam itu, aku duduk berseorangan di sisi ayah. Di atas meja kecil masih berbaki susu tepung yang aku bancuh untuk ayah senja tadi. Aku hirup sedikit. Tawar, patutlah ayah minum sedikit sahaja. Rakan ayah di katil sebelah berdengkur kasar. Seorang perempuan India tua sedang tidur di atas kerusi rehat di sebelah kanan katilnya. Mungkin isterinya. Aku tak tahu apa sakit suaminya tapi perutnya bertampal-tampal dengan kain berwarna merah jambu, atau mungkin merah kerana darahnya. Aku tak cuba untuk berbual pun. Aku lebih banyak termenung mengenang keadaan ayah.


Ayah bergerak resah. Aku betulkan kedudukkan bantalnya. Biar selesa sikit. Sebiji bantal lagi aku sendalkan di bawah lutut kirinya yang aku bengkokkan sedikit. Aku tarik tirai sedikit supaya cahaya kalimantang di koridor tidak tepat menyuluh mukanya. Ayah terjaga. Ayah pandang kipas yang berpusing ligat di atas.
‘Aku sejuk’

Aku tarik selimut hingga ke pinggangnya. Tidak lama. Kaki ayah menunjal-nunjal selimut. Tangannya di awang-awangkan. Hos plastik pada hidungnya tertanggal.
‘Kenapa?’
‘Panas’

Aku lurutkan selimut tadi ke paras betis ayah. Aku betul-betulkan kain hijau muda yang ayah pakai. Jururawat pelatih yang masih remaja yang pakaikan petang tadi. Aku letakkan semula hos plastik pada hidungnya. Barulah ayah bernafas dengan sedikit lega. Ayah tidur semula.

Di atas katil yang bertentang katil ayah, seorang lelaki tua terbatuk dan berludah kahak. Seorang perempuan Melayu, mungkin isterinya, tergugah dari lelapnya lalu bangun untuk mengesat-ngesat mulut suaminya dengan tisu. Mesin pembaca nadinya berdecit mengganggu jururawat yang sedang tekun menulis di meja di tengah-tengah bilik ini. Jururawat itu tadi bangun lalu meninjau kiraan nadi lelaki tua itu dari jauh. Beberapa saat kemudian mesin itu kembali senyap. Sudah beberapa kali macam itu, sejak lelaki tua itu diletakkan di situ petang tadi.

Aku toleh kepada ayah. Aku cuba membaca mukanya dalam samar bayang-bayang langsir. Rupa-rupanya ayah sedang merenung perempuan tua itu. Ayah terjaga lagi.
‘Tengok apa?’
‘Aku ingatkan tadi itu emak kau’

Ayah cuba mengiring di atas lambung kanannya dengan payah dan hos plastik turut berpintal seolah-olah membeliti lehernya. Aku betulkan. Kemudian aku tanya ayah kalau-kalau dia mahu minum atau makan. Ayah gelengkan kepala. Aku baringkan kerusi rehat dan aku labuhkan diriku.

.

No comments:

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com