Tuesday, April 29, 2008

Jalan2: Taman Rama-Rama Ayer Keroh



Fauna yang ingin kita lihat.
Tapi kesian, terkurung dalam rumah kaca.
Tapi tak apa, kurator @ 'penjaga yang sah' tu kata, rerama ni hidup antara 1 ke 2 minggu je.
Jadi, tak la lama sangat duduk dalam 'penjara', walau pun di kira sebagai penjara seumur hidup.
.

Monday, April 28, 2008

Jalan2: Aku- kumbang berkelana





Taman Seribu Bunga: Ayer Keroh, Melaka.

Lihat dengan teliti, antara 3 gambar di atas, ada sejenis serangga pada salah satunya.

Sepatutnya ada seribu jenis pokok bunga, seperti nama taman ini. Entahlah, kami lihat memang banyak pokok bunga tapi banyak dari jenis yang sama.


.

Saturday, April 26, 2008

SkeTsa: Selamat Pagi, Doktor...

"Ni, ni, ni.." Telunjuk gedempol Cik Bibah mengetuk-ngetuk layout map yang tertampal pada dinding di sebelah pintu lif.
"Dah dekat sejam aku pusing kat sini, takkkk jumpa-jumpa juge, hishh..!" Cik Bibah memengkis.

Makcik Wok dan Minah Jeran mendekati Cik Bibah.
"Ape ke he nye ni, Bibah?" Minah Jeran.
"Aku nak pegi tengok Dolah Tempoyak. Katenye masuk sepital. Aku lupa pulak tingkat berapa. Anak dia bagi tau, bapaknya dah selamat kene belah, ada di Wad 3G" Cik Bibah.
"Ade ke Wad 3G? Teman tak nampak pun dalam peta ni" Minah Jeran.
"Ade...anak dia kate ade" Cik Bibah.

Makcik Wok mengutil-ngutil hujung bibirnya.
"Dia sakit ape, Bibah?" Makcik Wok.
"Sakit yang kena belah-belah tu, ape ke namenye...aku tak ingat" Cik Bibah.
"Ooo... Kalau gitu, senang je le. Kita ikut doktor belah. Nanti kita jumpa le" Makcik Wok.

Kemudian, pintu lif terbuka. Seorang wanita berapron plastik sedang menolak troli besar.
"Hah, tu doktor belah tu. Tengok, dia pakai topeng muka, dia pakai tutup rambut, dia pakai sarung tangan. Mesti doktor tu. Kite ikut dia" Makcik Wok.
"Woopp..wooop, stop! Doktor nak pegi ke Wad 3G yek?" Minah Jeran.
"Emmph ..ummppa uoooaapppke (suara kurang jelas kerana bertopeng muka)" Wanita berapron plastik.
"Ye le tu kotnye, kita ikut aje le" Cik Bibah.

Wanita berapron plastik menolak troli besar ke hujung bangunan, kemudian membelok ke kiri sebelum menuruni koridor yang agak curam, menuju ke basement.
"Busuknye bilik ni. Kesian Dolah yek" Cik Bibah.

Minah Jeran menjenguk-jenguk ke dalam bilik melalui tingkap cermin. Tidak lama kemudian, doktor belah tadi keluar, lalu merapati mereka bertiga. Dia melucutkan sarung tangan getah berwarna hijau, kemudian membuka topeng mukanya. Dia menyapa dengan senyum ketika melewati mereka bertiga sambil kaki kanannya menguis-nguis gula-gula getah yang terjatuh dan terlekat di atas lantai...

.

Friday, April 25, 2008

Jalan2: Hari ini hari Jumaat

Kata Khatib:

Kita mengisi kantung fikiran kita dengan angan-angan. Kita isinya sejak kita kecil lagi, sekarang dan pasti diisi terus sehingga kita mati.

Kita berangan-angan untuk jadi pandai. Bila kita pandai, kita mahu kerja yang baik dan bergaji besar. Ada yang ingin berniaga sehingga membuka satu empayar perniagaan, kalau boleh.

Bila sudah berkerja atau berniaga, kita mahu menjadi kaya. Kita mahu kumpul harta. Tidak cukup sekadar untuk diri kita. Kita sibuk mengumpul harta sehingga boleh diwarisi hingga ke cucu kita. Kita mahu beli tanah seluas-luasnya. Mahu beli rumah sebesar-besarnya. Itulah angan-angan kita semasa hidup di dunia ini.

Apa pula angan-angan kita untuk di alam kubur nanti? Pernahkah kita berangan-angan untuk memiliki kubur yang indah dan seluas-luasnya? Pernahkah kita impikan alam kubur kita nanti aman dan sentosa?

Doa Khatib:

"Ya Allah, luaskanlah kubur kami dan jadikanlah ianya salah satu taman-taman SyurgaMu. Indahkanlah kubur dengan amalan-amalan kami yang diterimaMu. Ceriakan kubur kami dengan doa anak-anak yang soleh dan solehah yang kami tinggalkan. Kerana kami tahu, kami akan keseorangan dan kesunyian di dalam kubur kami sehingga waktu Kiamat tiba..."

.

Thursday, April 24, 2008

FiQir: Tolong kami, bantu kami....

Sebuah farmasi di sebuah klinik telah menerima satu fax daripada salah satu pembekal ubat. Pembekal ubat itu menyatakan bahawa salah satu balang ubat yang telah dihantar telah tercemar. Untuk membezakannya, pembekal ubat itu menyatakan pil yang tercemar mempunyai berat 1.1gm, manakala yang elok adalah 1.0gm. Ahli farmasi di klinik itu mendapati ada 10 balang ubat dari pembekal itu. Masalahnya, dia tidak tahu balang yang mana satu mempunyai ubat yang tercemar. Ahli farmasi itu perlukan bantuan anda semua.

Dengan menggunakan penimbang digital HANYA SEKALI, cuba nyatakan bagaimanakah caranya untuk kenalpasti balang yang tercemar???

Jawapan anda dalam ruang komen mungkin boleh menyelamatkan banyak nyawa!

Wednesday, April 23, 2008

Jalan2: Rumah Banglo Baru

Cik Biba mungkin tersenyum lebar kali ini.

Kalau dulu, Cik Biba susah nak hidup senang, selalu sangat menyorok. Tapi, walau sorok dalam hutan sekali pun, orang ramai masih boleh tau di mana Cik Biba tinggal. Asyik kena pindah, naik lenguh lutut Cik Biba naik lori. Cik Biba dapat rasakan dia dan keturunannya kena diskriminasi.

Kini, Cik Biba mendapat semangat yang baru. Ada harapan yang baru. Kisah hidupnya asyik diperkatakan orang ramai, hingga masuk ke tv, masuk ke rancangan 666, di ulas oleh Prof. Semua kemelut rakan-rakannya jadi perhatian negara, dibahas oleh ahli politik, aktivis masyarakat dan cendiakawan.

Tak lama lagi Cik Biba dan rakan-rakan sekampungnya bakal berpindah ke perkampungan baru yang lebih hadhari, yang bernilai hampir RM 100 juta.
Cik Biba mungkin tersenyum lebar kali ini.

.

Jalan2: Nasib si Penunggang Kuda Api...



Hujan masih renyai-renyai, belum sidang sejak petang tadi.

Tengkujuh datang tak tertakwim musimnya, datang sesuka hatinya (Usop,Kopratasa). seorang soldadu berkira-kira mahu pulang setelah lelah berjuang. Ahhh! begini, lewat malam belum tentu lagi. Si soldadu melepaskan tali tambatan, lalu dikejutkan kudanya. Merengek-rengek ia kesejukkan. Si soldadu tidak peduli.

Inilah lazim bagi si penunggang kuda, berpanas dan berhujan. Sehati dan sejiwa, rakan soldadu pernah berkata kepadanya, dulu. Aku peluh, kudaku peluh. Aku basah, kudaku pun basah. Satu pseudo-romantik yang retorik.

Si soldadu mencambuk kudanya membelah sejuk dan basah malam. Sejuk hingga ke tulang hitam. Si soldadu tahu, kudanya juga faham. Lenjun.

Tuk! Tuk! Tuk!...
"Abang balik, bukalah pintu" soldadu
Kriikkkkk!
"Eh! siapa ni....?"

.....

Monday, April 21, 2008

FiQir: Fikir yang bukan-bukan

Paku Payung menghampiri beberapa orang rakan sekelasnya, lalu menunjukkan dua keping gambar. Paku Payung menanyakan 'Apa yang boleh dikatakan pada dua keping gambar ini?'...



Kadir (cita-cita: kolumnis terkenal)
"Kedua-duanya menceritakan keharmonian yang perlu ada antara pejabat dan rumah, kerana kedua-duanya merupakan tempat kebanyakkan kita semua menghabiskan banyak masa".

Seman(cita-cita: saintis negara ke bintang)
"Kedua-duanya adalah pendekatan mudah untuk penyelesaian harian, dan bagaimana cuaca boleh mempengaruhi kehidupan harian manusia di Bumi".


Hisham (cita-cita: ahli falsafah)
"Melayu mudah lupa. Kadangkala dinding lebih selalu mengingatkan kita daripada teman serumah. Oleh itu, sediakanlah payung sebelum hujan".

Kemudian, Paku Payung mengambil semula gambar-gambar tersebut, lalu duduk semula di mejanya.
"Apa pendapat kamu pula?" Kadir, Seman dan Hisham.
"Paku. Cuma tak ada paku. Tak ada paku payung untuk nota-nota itu dan payung tu tak ada paku untuk digantung".

Sunday, April 20, 2008

Sketsa: Teksi sapu Sungai Manik

Sketsa orang kampung:

Minah Jeran terkedek-kedek mengejar Makcik Wok yang agak pantas. Selipar jepun Minah Jeran tertanggal dua tiga kali.
"Teman dah kate, kome tu jalan macam itik Serati" Makcik Wok.
"Kome tu yang laju sangat, macam kene kejor dek antu ayor".
"Kome punye pase le, bas udoh bertolak".
"Tak ape, kite naik teksi sapu si Karim tu" Minah Jeran.
"Eh, bukan ke dia keroje hari ni?".
"Iye, tapi dia buat keroje part time angkut orang".

Minah Jeran melambai-lambai Karim. Karim belok ke bahu jalan.
"Woop..wooop! Stop. Kamu anto kami balik, Karim" Minah Jeran.
"Tapi..." Karim.
"Alahhh, kami bayor le duit minyak" Minah Jeran.

Minah Jeran menolak pintu van dan duduk. Makcik Wok teragak-agak nak masuk. Makcik Wok duduk disebelahnya.

"Wuiiii..laju juge Karim bawak van. Kecut teman dibuatnye" Makcik
Wok.
"Kome jangan risau, kalau Si Karim bawak van ni, orang semua ke tepi bagi jalan. Semua orang kenal Karim" Minah Jeran.
"Eh! Betoi la, hebat jugak karim ni. Polis pun tak kejor, tak saman pun".
"Memang pun, sekali Karim pasang lampu, polis mesti bagi jalan".
"Elok bebenor le tu. Cepat le sikit kite sampe ke rumah".

Karim belok ke kiri dan memasuki perkarangan bangunan dua tingkat lalu berhenti di petak kuning yang disediakan khas.
"Hey, Karim. Apa pase kamu ke sini? Kami nak balik" Minah Jeran.
"Ha! Dah, turun le. Aku nak pegi ambik orang eksiden" Karim.


FiQir: Tanpa sebab yang munasabah

Paku payung berjalan menuju ke arah dua orang kawannya yang sedang duduk bersebelahan di kantin.
"Nak tanya sikit, boleh tak?" Paku Payung.
"Apa dia?" Kadir.
"Kenapa kamu tak bersembang dengan dia?".
"Sebab tak ada apa yang hendak disembangkan".
"Kamu ada masalah dengan dia?".
"Tak ada masalah pun".

Paku Payung berpaling kepada Seman.
"Nak tanya sikit, boleh tak?" Paku Payung.
"Kenapa?" Seman.
"Kamu ada masalah dengan dia tak?".
"Tak adalah. Kenapa kamu tanya begitu?".
"Tak ada apa-apa. Saja nak tanya".

Paku Payung undur ke belakang berberapa langkah dan berlalu pergi. Seman dan Kadir berpandangan sesama mereka.
"Aku rasa dia tu yang ada masalah kot" Seman.
"Ye la. Peliknya perangai dia" Kadir.
"Dia darjah berapa ye? bla..bla..bla.." Seman.
"Aku rasa dia ...bla...bla....." Kadir.
Kadir dan Seman bersembang sehingga loceng menandakan masa rehat telah tamat berdenting dua kali.

Friday, April 18, 2008

Sketsa: Pasar Basah Teluk Intan

Sketsa orang kampung:

Mak Besah Bibir Conget terjelir-jelir lidahnya menjilat ibu jari dan telunjuk. Duit RM1 berkeping-keping terikat dengan getah gelang. Ikut petua Minah Jeran, kalau duit kena ikat dengan getah gelang, toyol tak dapat curi. Mak Besah Bibir Conget tekun mengira sekeping-sekeping duit RM1, hasil jualan daun pisang dan daun pandan. Makcik Wok masih tercari-cari umbut kelapa di satu sudut lain di dalam pasar. Cuti ke Ludin Kulop hari ini?

"Kosong lagi bakul kome?" Minah Jeran.
"Ludin punye pase le ni, tak datang lagi". Makcik Wok
"Ate, kenape kome tak sms dia tadi?".
"Teman nak sms le tadi kat situ, tapi teman tak le pandai sangat, teman tengok lain bebenor. Teman tak le nampak hurup dia".
"Kome tu yang tak sekolah, tak pandei ngeje. Abih tu, cakap dalam talipon je la".
"Itu pun satu he jugak. Beteri dah abih kot, teman goncang-goncang tak maunye idup".
"Aikk..pelik juge ye. Takkan besor-besor macam itu beteri dia cepat sangat abih".

Mak Besah Bibir Conget berhenti mengira duit.
"Kenape, Wok?" Mak Besah Bibir Conget.
"Si Ludin Kulop ni ha, dah janji nak beli umbut nyor, dia pulak tak datang" Makcik Wok.
"Bukannye itu" Mak Besar Bibir Conget.
"Abih tu, kome tanya ape?"
"Aku tanya, kenape kome goncang pondok talipon tu?"

Thursday, April 17, 2008

ADF40: Akhirnya...

Kepada semua ADF40 Committee:

Akhirnya, jerih keringat kita dapat juga recognition dari T.S.M.Y, dalam Berita Sinetron Unggul jam 8.00pm hari ini.

Terima kasih atas kerjasama anda semua, dan kerjasama anda semua masih diperlukan untuk melangsaikan kerja-kerja sehingga akhir.

Sketsa: Bas Sungai Manik yang usang...

Sketsa Orang Kampung:

Makcik Wok bergegas ke hentian bas. Bakul rotan digantung pada lipatan siku kirinya. Tangan kanannya menarik kain ke atas sedikit untuk memudahkannya berlari-lari anak. Bas hampir sampai ke hentian.

Makcik Wok henyakkan pu*****g lebarnya. Bergegar sedikit. Minah Jeran menepuk bahu Makcik Wok dari arah belakang.
"Kome nak ke mane? Kome nak ke pasor jugak ke?" Minah Jeran.
"Abih tu, kalau dah bawak bakul ni, ke mane lagi?"
"Eh, kome tau tak, teman dengor .... pok ..pek ..pok ..pek ...bla ...bla"
"Udah le tu, Minah oooiii. Manekemaunye ...pok..pek..pok..pek.."

"Exkiusme, tiket akak-akak ni kire sekali ye?"konduktor bas.
Makcik Wok dan Minah Jeran berpandangan, kemudian merenung kosong kepada konduktor bas.
"Eh, memang le kira sekali. Takkan kami nak bayor tambang dua kali..." Makcik Wok.

Wednesday, April 16, 2008

FiQir: Siapa yang tak faham?

Tiiitt...tiitt..tiitt..!

Sms in: You have 3 missed call since 8.00am. From Moxus.

Tiit...tiitt...tiitt..!

Sms in: Allo, klau nk tau, yg namanya h/p tu letaknya kat tangan. klau phone letak atas meja, baik lu angkat public phone! Ada paham? @#%$# *&%.

Eh, sapa yang tak faham ni, dia ke aku?
Dia reti bahasa tak yang aku tak nak cakap dgn dia, tu sebab aku tak ambik call dia...tak faham-faham lagi ke?

Jalan2: Berita Biru yang Baru...

Kata yang empunya kalam:

Syahdan, setelah beberapa lama hamba berjalan, naik gunung turun gunung, maka bertemulah hamba akan pari-pari rimba yang menjelma di depan hamba.

Maka, hamba pun berasa amat hairan akan paras rupa pari-pari rimba itu. Maka hamba pun tertidur dek kepenatan hamba berjalan itu.

Arakian, maka hamba pun terjaga, maka hamba pun melihat sekeliling, hamba dapati pari-pari rimba telah terbang dan hinggap pada batu. Maka, tiada berlengah masa lagi, hamba pun mengeluarkan cembul hikmat seraya berseru akan semangatnya. Maka, keluarlah satu suara, lalu hamba pun memberitahu akan hajat hamba. Lalu, cembul hikmat itu mengeluarkan sinar yang indah-indah, maka bayang pari-pari itu dapat hamba simpan dalam cebul hikmat hamba untuk tatapan umum...


Tuesday, April 15, 2008

FiQir: Save The Forest

Aku rasa, suratkhabar-suratkhabar yang ada sekarang ini tak perlu sampai berpuluh-puluh mukasurat. Kalau mereka semua ada niat nak selamatkan hutan, mereka perlu membuat transformasi penulisan. Sebagai contoh, kita biasanya akan membaca laporan seperti ini:

24 Julai, Kota Metafizik. Pembahagian sempadan timur di Kota Metafizik masih menjadi tanda tanya kepada masyarakat Kota Metafizik yang rata-ratanya penduduk tetap di situ.
Penduduk Kota Metafizik tidak puas hati kerana pihak berkuasa kota masih tidak memberikan sebarang keputusan berkenaan pembahagian sempadan di sebelah timur di Kota Metafizik.
Seorang penduduk yang tidak mahu dikenali, tetapi mahu dikenali sebagai Nazim (bukan nama sebenar) sahaja, memberitahu makalah mingguan ini bahawa beliau masih tertanya-tanya apa keputusan yang pihak berkuasa kota terhadap pembahagian sempadan itu. Walaupun beberapa kali pihak berkuasa kota melawati kawasan itu, tiada keputusan muktamad telah diberikan.
"Saya masih rasa tidak puas hati dan tertanya-tanya akan keputusan terhadap pembahagian sempadan di sebelah timur itu." Katanya.
Pihak makalah mingguan ini telah dimaklumkan sebelum ini bahawa keputusan tersebut adalah terletak di tangan pihak berkuasa kota, namun tiada sebarang kata putus diberikan sehingga kini.
Makalah mingguan telah berjumpa dengan pihak berkuasa kota dan telah bertanyakan masalah ini, namun jawapan yang diberikan amat mendukacitakan. Pihak berkuasa kota masih belum dapat memberikan kata putus terhadap pembahagian sempadan sebelah timur Kota Metafizik.
"Memang benar, pihak kami masih belum dapat memberikan apa-apa keputusan mengenainya." Kata salah seorang wakil pihak berkuasa kota.
Sehingga berita ini ditulis, pihak berkuasa kota masih lagi membisu terhadap keputusan pembahagian sempadan timur Kota Metafizik.- al Kalam.

Bukankah mudah kalau ditulis seperti berikut:
Tiada sebarang keputusan dari pihak berkuasa kota terhadap rancangan pembahagian sempadan timur Kota Metafizik sehingga kini.
habis cerita....ini tak, habis tiga helai suratkhabar dia tulis tentang perkara yang sama. Itu belum kira kolum ulasan dari ahli politik, ulasan dari kolumnis pojok dan ruangan 'dari meja editor' lagi. Lain kali, baca je dari bolg. padat dan ringkas dan tak perlu tebang pokok untuk buat kertas suratkhabar...

Jalan2: Dunia akan kiamat...


Tak dapat nak bayangkan, kalau mesin di atas tu kena Sparks.
Apa jenis Transformer yang akan jadi.
Mungkin sejenis kereta kebal dengan tayar lapan lapis.

Sunday, April 13, 2008

Sustra: Debu Merah di Ufuk Barat

Ribut panas mengaut pasir, menyimbah-nyimbah dinding batu granit. Semakin kalut. Kelam kabut. Morpheus menenangkan Neo yang tak keruan. Angin kencang berdesir kuat, memekakkan telinga. Di luar sana, padang pasir beralun ganas. Umpama minyak panas yang menggelegak. Bukit-bukit pasir berubah-ubah, semakin hampir. Ada sesuatu. Neo dapat rasakan sesuatu.
"Bertenang, Neo!"
"Tak boleh...!"
"Tutup!"
"Tak boleh...tak boleh"
"Jangan hiraukan!"
"Tak boleh...tak boleh! Kau tu yang diam, diam, diam!"
"Neo??!!"
"Diaammmm...!!"

Neo berlari pantas ke arah Morpheus. Gagal berbuat apa-apa, Morpheus tercampak pada dinding dan jatuh, kesakitan. Neo bercelapak di atas perut Morpheus yang terlentang di pasir.
"Neo! Jangan Neo!"
"Kau diam! Diaammmm...!"....
.................................................


Akhirnya, tangan Neo berhenti menghayun. Terpegun. Darah mewarnai pasir, dinding terpalit, dan angin ribut turut menerbangkan debu-debu merah ke udara, menuju Shonan-to. Gagal dan gagal...




[Paku payung, di depan replika Neo yang ditemui di sebuah gurun]

Saturday, April 12, 2008

Sustra: Kubu

Neo menarik nafas panjang. Kaki kanan dan kirinya ditujah-tujah untuk mengurangi lenguh. Kemudian, Neo sambung semula kerjanya. Neo susun batu-batu granit dipalit mortar satu demi satu, kini dinding empat segi itu separas dada. Dua ekor kambing gurun merenung Neo dari atas bukit batu kecil, dan mereka berpandangan seketika. Kenapa agaknya?

Neo perlu cepat. Kubu ini mesti siap sebelum mereka datang. Sebelum mereka menyerangnya lumat-lumat. Neo tak mampu lagi menerima serangan mereka dalam keadaan terbuka seperti sebelumnya. Fikirannya terlalu kacau. Kalau serangan kali ini tidak tertahan, entahlah ...
Kubu ini miliknya. Neo perlu pertahan fikirannya dari terus diserang dan dilumatkan. Kubu ini mungkin satu-satunya benteng yang boleh menyelamatkan fikirannya.

Sesekala, Neo memicit-micit dahinya. Debu pasir diterbangkan angin panas, mengabui pandangannya. Fikirannya masih kacau. Masih bergelora dengan kotoran. Terik mentari di padang pasir ini benar-benar membakar semangatnya. Mana Morpheus? Dia seharusnya telah sampai di sini membawa kantung air. Mana?

Friday, April 11, 2008

Sustra: It's in your mind, Neo...

Malam terlalu pekat, Neo memikirkan yang bukan-bukan. Morpheus semakin laju.
"Kau tengok tu." Neo meluruskan telunjuk ke depan.
"Mana?"
"Itu, yang putih di tepi jalan tu."
"Kau lepaskan dia, Neo. Sepatutnya kau biarkan dia terkurung dalam fikiran kau".
"Aku tak sengaja. Fikiran aku berkecamuk".
"Dia telah bebas dari fikiran kau, Neo".
"Maafi aku, Morpheus. Fikiran aku terlalu kotor agaknya, berkecamuk dengan perkara-perkara yang amat kotor".
"Baiklah, kita hadapinya sekali lagi. Buka fikiran kau luas-luas, Neo".
"Aku tak mampu!".
"Buka! Neo".
"Maaf".
"Kau boleh lakukannya, buka fikiranmu, Neo".
"Aaaaahhhhh!!!!".
"Buka, Neo! Luas lagi!!!".
"AAaaaaaaaaaaaaaaaahhhhh!!!"
........................................... . . . . . .
"Bagaimana? Di mana dia?"
"Semuanya sudah berakhir. Kau selamat, Neo. Pastikan dia tidak lagi terlepas dari kotak fikiranmu".

Wednesday, April 9, 2008

Puisi: Erti Syahid Padanya...

KUCARI SYAHID ITU
[5/11/2003]
Kucari syahid pada helaian kitab, pada maksud yang payah

dan dalam. Pada birunya lautan, juga pada hitamnya jurang.
Pada wangi tinta terpendam.

Kucari syahid di padang pasir, di batu

dan pohon tamar.Di kayu kering dan burung
yang berlegar. Di belulang dan tulang berselerakkan.

Kucari syahid di tengah laungan, di tengah jeritan
dan runtuhan. Di tengah tangisan bayi dan ibu tua.
Di tengah api kekalutan.

Kucari syahid dalam tenang malam, beningnya warna dan
rasa. Kucari ia dalam hening subuh sunyi, dalam dingin embun pagi.Dalam kabus memutih membalut tubuh ini.

[Hakcipta: Paku Payung]


Jalan2: Sessi Melawat Kubur Lama 3

Sejarah Perak:
Tentang Birch, sepatutnya begini:

- Orang mengutip cukai sewenang-wenangnya, sehingga golongan peniaga dan prospektor mulai menyampah dan rugi. Seterusnya, mereka beralih kepada perahu-perahu kecil orang kampung yang bawa pisang dan ayam. Birch melihat ini sebagai keterlaluan, maka dilaksanakan sistem percukaian yang sebahagian hasilnya diberikan kepada Raja (Perak ada 4 Raja masa itu mengikut daerah). Apa yang Birch buat telah menyebabkan Orang Besar-Besar seperti Dato' Maharajalela kehilangan pendapatan. Siapa yang naik darah agaknya?
- Sistem perhambaan di mana orang-orang asli dan hamba hutang di amalkan. Salah seorang hamba atau gundik di situ telah lari dari rumah tuannya kerana tidak tahan dan telah pergi kepada Birch. Birch telah menyelamatkan perempuan ini dan menghalang tuannya dari mengambilnya semula. Tuannya telah melaporkan kepada pembesar. Dan berlakulah apa yang kita tahu...pembunuhan Birch di tebing Sungai Perak.
Bagaimana dengan Dato' Maharajalela dan pembesar-pembesar lain, yang selama ini dikatakan telah berjuang menentang Orang Putih penjajah itu? Fikirkanlah sendiri..benarkah Dato' Maharajalela itu seorang pejuang yang tulus?
Kalau benar, kenapa istilah Bermaharajalela itu wujud? Siapa yang jahat sebenarnya?

Kadangkala aku fikir Birch telah menjalankan tugasnya, dan menjadi sebahagian daripada ketentuanNya untuk menjadikan Perak lebih terdedah kepada dunia luar dan Perak adalah antara negeri lebih maju dari Selangor pada masa itu. Tapi, perlukah aku terhutang budi kepadanya? Perlukah aku berterima kasih kepada Birch???.

Jalan2: Sessi Melawat Kubur Lama 2

J.W.W.Birch:
Banyak cerita aku dengar tentangnya: tentang kesombongan, tentang kebiadapan dan cukai bijih timahnya. Ada lagi? Ya, tentang mungkin sedikit manipulasi sejarah telah dilakukan demi menaikkan semangat nasionalisme. Si Pitung, Dato' Maharajalela? Antara watak-watak utama sejarah ini.
Tiadakah sedikit kebaikkan pun yang dibawa oleh Birch? Cuba ini:

- Sistem percukaian yang lebih baik. Sebelum ini, Orang Besar-Besar daerah atau sesiapa yang kuat dan bangsat akan meminta cukai untuk setiap sampan/kapal yang lalu di sungai. Birch telah memperkenalkan sistem cukai yang berpusat (walaupun banyak yang dibawa ke England).
- Teknologi pengangkutan seperti keretapi dan jalan darat, memungkinkan penerokaan petempatan baru yang jauh dari Sungai.
- Pelabuhan yang maju dll. Pemansuhan beberapa adat yang tidak adil, seperti sistem hamba dan hamba hutang dll. Mungkin ada lagi...lu pikir la sendiri.
Apa yang kita dengar dari sejarah yang mungkin telah dimanipulasikan itu? Tentu sekali cerita bagaimana kebiadapan Birch naik ke rumah tanpa buka kasut, cerita tentang dia mengurung atau menyimpan perempuan orang kampung, cukai yang tinggi, undang-undang yang menyusahkan orang kampung dll...lu pikir la sendiri.
Tapi, pernahkah pula kita fikir, kalau semua ini berlaku, kenapa istilah Bermaharajalela ada dalam kamus peribahasa Melayu? Bermaharajalela yang bermaksud berbuat sesuka hati dan dikaitkan dengan sifat yag jahat? Kenapa? Kenapa tidak Ber'Birch' yang mungkin boleh dimaksudkan dengan amat kurang ajar itu?...lu pikir la sendiri.

Jalan2: Sessi Melawat Kubur Lama

Kami memancing:
Aku ingat lagi. Hari tu, 2007, aku ikut abang pergi ke Teluk Memali, sebuah kampung di pinggir Sungai Perak yang telah ditinggalkan kerana tebingnya runtuh hingga mencecah ke kaki tangga, untuk memancing spesis ikan yang eksotik (Ara-Ara, Lais dll). Di sepanjang tebing Sungai Perak memang banyak kubur-kubur lama kerana petempatan awal adalah di pinggir sungai ini atas sebab kemudahan pengangkutan airnya. Aku berjalan sedikit ke utara untuk mencari tempat sesuai melabuhkan kail, sehinggalah aku sampai ke kawasan perkuburan lama dan aku hairan melihat deretan kubur-kubur di situ.

Aku labuhkan mata kail, kemudian aku kembali ke kubur-kubur di situ. Kubur lama yang paling hampir ke tebing sungai yang runtuh hanya sekitar 15 depa dari gigi air. Aku hairan kerana batu-batu nesan di situ bermacam-macam. Ada yang hanya sekeping batu setinggi 2', ada berbentuk seperti rumah kecil. Tapi, yang paling mencuri perhatian aku ialah kubur yang di tengah-tengah. Batu bertanda salib dan agak tinggi, sekitar 5'. Tidak jauh dari kawasan ini, ada beberapa kubur-kubur yang aku rasa milik muslim.
Itulah tapak asal kubur J.W.W Birch, sebelum jasadnya dipindahkan ke tapak pelancongan di utara sana, dan kemudiannya dipindahkan ke negara kelahirannya. Ada dua lagi kubur bukan muslim, mungkin pengikut atau anak isterinya, aku tak dapat baca tulisannya.

Tuesday, April 8, 2008

Puisi: Hikayat Tok Dalang Tunggal

HIKAYAT TOK DALANG
[13/9/2002 ~ 27/9/2002]
Mari kuperikan kisah sir ini

Biar kau kenal erti inti diri
Nanti kau tahu racana mimpi ini.

Tok Dalang asalnya dari azali
Diperbuatkan pentas menjadi arasyi
Dan cinta dirinya menjadi kursyi.

Ditebarkan alam maya menjadi tabir
Disimbah dengan cahaya yang mengukir
Jadilah wayang yang kabir.

Dari cahaya ukir menjadikan zhil
Tersimbah bayang pada tabir mulkil
Tercipta watak dan cerita dinukil.

Dari ibu jarinya menjadi bayang Rama
dan telunjuknya menjadi bayang Sita
Dibaluti baju jasmani dan mahkota permata.

Dijadikannya Arjuna dari putihnya
Dijadikan Hanuman dari hitamnya
Dihalusi warna untuk bayang keduanya.

Dicampakkan semuanya pada tabir raya
Sembunyilah Tok Dalang, naiklah hijabnya
Pentas bermula gong pun bergema.

Maka digoncang Tok Dalang akan tangannya
Dihembus dupa sakti dan mantera pun dibaca
Pentas hangat dan cerita kini miliknya.

" Berkatalah Rama dengan katanya
Bertingkahlah Arjuna dengan tingkahnya
Dan cinta Sita dengan cintanya juga.
Sesatlah Sita dalam hitam belantara
Mencari Rama tak jumpa dimana
Mujur Arjuna ada membawa pelita.
Jalannya sempit, sulit bicara
Sepanjang jalan onak melata
Sepanjang jalan Hanuman menggoda.
Sita dan Rama takdirnya berjumpa
Kalian pergilah pinta Arjuna
Daerah istana terlarang untuknya.
Kota Raja Mulia pintunya tiada
Pohonlah keduanya pada Raja Mulia
Terbukalah kunci kota dengan rela.
Terpegun keduanya melihat singgahsana
Luas terbentang sejauh pandang mata
Cahayanya indah cukup sekata.
Lupalah Rama pada Sita
Lupalah Sita pada dirinya
Lupalah keduanya akan segalanya ".

Lalu digenggam musnahlah Rama dan Sita
Hilanglah bayang mereka pada tabir fana
Tinggallah Arjuna menghitung cinta.

Pekik Tok Dalang sekuat kuasanya
Lalu digulung tabir penamat cerita
Kini pentas sepi sama pada asalnya.

Berkata Tok Dalang kepada dirinya
Sekarang, siapakah yang masih ada?
Yang benar ada itulah yang ada.

[Hakcipta: Paku Payung]

Monday, April 7, 2008

FiQir: Aku dah kata, memang betul...

Selepas tamat waktu sekolah KAFA, Paku Payung mendatangi kawan sekelas yang sedang membeli aiskrim dari pakcik aiskrim bermotor.
"Kamu selalu beli aiskrim dari pakcik tu" (Paku Payung).
"Ya, memang aku selalu beli aiskrim" (kawannya).
"Dan kau tak setuju setiap kali aku kata aiskrim tu tak baik" (Paku Payung).
"Ya, sebab aiskrim memang sedap" (Kawannya).
"Dan aku kata kau gemuk sebab selalu makan aiskrim" (Paku Payung).
"Ya, sebab kau dengki kat aku" (Kawannya).
"Dan kau marah bila aku kata kau gemuk" (Paku Payung).
"Mana ada! Aku tak marah" (Kawannya).
"Kemudian, kau baling aiskrim kau ke tanah" (Paku Payung).
"Mana ada!!!!! semua tu tak betul" (Kawannya).
"Kalau aku kata betul dan kau tu memang gemuk?" (Paku Payung).
"Kau tu memang teruk!!!" (Kawannya).Kawannya meradang dan pergi selepas membaling aiskrimnya ke tanah.
Emmm...betullah tu...(dalam hati Paku Payung).

(Perlukah kita tunjukkan kepada dunia dengan mengancam untuk membunuh demi menunjukkan kita serius ke atas sesiapa yang berani mengatakan Islam itu ganas?)

Jalan2: Kedai Kopi


Kampung CB:
Kesan sembang-sembang kedai kopi kepada pengurusan negara kini tidak boleh dilihat sebagai perkara enteng lagi. Lihatlah kini apa yang berlaku. Kalau dulu, warga kedai kopi Kampung CB lebih banyak bercerita tentang masalah kebun kena serang monyet liar, tanaman kena makan dek b*** hutan, harga racun naik dan baja subsidi kerajaan yang kena sebat orang tengah. Kini, kalau kita curi dengar, ceritanya lebih kepada duit projek yang tak sampai-sampai, projek terbengkalai, malah turut diutarakan projek yang dianggap sia-sia. Mereka lebih global walau pun hakikatnya warga kedai kopi kini adalah warga yang sama dengan yang dahulu. Ini pembangunan minda orang Kampung CB?

Cuma Paku Payung masih tak faham, apa beza Cappucino dan Mocha.

Sunday, April 6, 2008

Jalan2: Kemelut Surirumah Kilang

Kediaman:

Aktiviti-aktiviti:

Sarapan, lepak dengan kawan-kawan di kantin, tidur tengahari di surau, petang layari internet dan punch out.


Tempat bekerja :
Aktiviti-aktiviti:
Angkat baju dari jemuran, sapu lantai, memasak untuk Paku Payung, basuh pinggan mangkuk, basuh baju, sidai baju, kemas rumah dan lipat baju sebelum ke bilik tidur...haiyooh! penat badan.

Saturday, April 5, 2008

Sketsa: Tebuan Tanah Kampung CB

Sketsa orang kampung:
Kampung CB meriah. Minggu depan ada pemilihanberaya untuk menentukan jawatan Ketua Projek Kampung CB untuk penggal baru. Subuh-subuh lagi Makcik Wok sudah menggubah sanggol sarang lebahnya. Bibirnya terjuih-juih sewaktu mengenakan gincu merah melepak, seolah-olah mahu mengucup biasan sendiri dalam cermin...wuuiihh.
Balai Raya penuh padat. Orang kampung berhimpit-himpit mahu mendengar ceramah Makcik Wok, calon Ketua Projek menggunakan lambang Ikan Buntal hijau.


"Si Derus tu apa yang dia tahu? Apa yang dia dah buat selama ini? Tak ada...memang tak ada!Korporat ke keparat?" kutukan Makcik Wok kepada calon pihak lawan. Orang kampung bersorak gawat.

"Duit peruntukkan projek kampung tak pernah cukup tapi projek pun tak pernah ada, tak pernah ada hasil! Nuu...sana nuuu.." Makcik Wok menjuih-juih bibir ke arah hujung kampung, bibir tebal kematu berwarna merah melepak menyala-nyala disuluh mentari yang tinggi segalah

"Apa dah jadi dengan titi pinang nan sebatang yang dirancang? Ni...jadi sebesar lidi je" Makcik Wok mengangkat jari kelingking ke atas."Wooo..wooo...hidup Wok! hidup Wok!" Sorak Pak Mat Ketupat, disambut pekikkan menggila dari orang kampung.

Genap seminggu.

Makcik Wok diarak orang. Sanggol sarang tebuannya senget-benget laksana tepung diayak janda.

"Tahniah! Cik Wok" Kak Besah bersalaman.
"Err...jadi, apa projek kampung kita kali ni?" Kak Besah.
"Projek?" Makcik Wok tergaru-garu kening kiri.
"Ye la, nak buat projek apa kali ni? Orang kampung nak tau" Kak Besah lagi.
"Isskh...projek apa pulak? Aku cuma kata, Derus tu tak bagus. Tu je..."

Wooppp...wooopp...(bunyi motor mat repit Kampung CB)



Friday, April 4, 2008

Puisi: Kita Dengar Apa Kata Asip...

Kata Asip
[4 3 2002]
Alir sejuk alur dingin, kabus selimutnya

Malam dan siang cuma warna selapis beza
Pada lantai hutan, daunan reput dan ular sawa
Kata Asip, inilah nyawanya.

Layangan helang di atas sana, mencuri pandang

Di celah rimbunan hijau tua dan enau
Dendang reriang gamit resah dan harapan
Anak bininya perlu makan.

Jauh di dalam sana, hitam lantainya
Bertarung dengan penghuni rimba, berlumba
Antara aku dan mereka siapa ketua, katanya
Kalau tak makan aku, aku makan mereka.

Asip anak rimba, begitu juga nenek moyangnya
Pada cengal ada sejarah keluarganya
Pada meranti tempat berduka
Pada leban tempat bergembira

Kata Asip, ini rumahnya, dunianya
Biar pun aku lawan dengan semua
Namun bermusuh tiada, semuanya serupa
Cuma yang menang akan terus bernyawa.

[Hakcipta: Paku Payung]

Sketsa: Musim Tengkujuh

Sketsa jiran sebelah:
"Hishh..hishh.." anak jantan Pakis menolak-nolak tikar, tak rata, asyik bergulung-gulung di penjurunya. Tikar degil yang asyik bergulung mengganggu kereta merah yang dibeli dari Sh**. Bunyinya saja yang gah, tapi asyik tersangkut-sangkut di tikar. Pakis biarkan, dia terus mencari-cari cerita sensasi dari koran mingguan.
"Hishh..hishh.." Dengus anak jantan, keretanya tersangkut lagi. Pakis rendahkan koran mingguan dan merenung anaknya.
"Kenapa macam tu? Kacau orang lain je..." Pakis.
"Susah nak main kat sini" anak Pakis.
"Pergilah main di luar sana" Pakis.
"Tak boleh, banyak kain tersidai...musim hujan" anak Pakis.
Pakis jenguk keluar tingkap. Memang banyak jemuran. Baju, kain, telekung....
"Hishhhh...hishhhh...." Pakis mendengus, koran mingguan dilempar ke bawah. Terasa musim tengkujuh seminggu ini cukup panjang dan malam-malam tengkujuh terasa sejuknya hingga ke tulang hitam.
Makcik Wok duduk di kaki tangga sambil mengirap-ngirap batik lepasnya.

Jalan2: Panggang-Manis




Semerbak Unagi panggang-manis mengelus-elus hidung, gerombolan wap pekatnya naik ke corongan lampu. Fuhhh..Fuhh...(Paku Payung tiup wap ke depan), biar bau Unagi gentayangan di hidung Pepaku dan Memayung...wuuiihhh.


Dah 2 hari Paku Payung idamkan Unagi. Dia pesan se-ekor Unagi tanpa kerat dan segenggam nasi dalam mangkuk porselin.
Pepaku tak mengalah, dia pesan Unagi 3 kerat atas segenggam nasi dan Soba. Memayung lebih konservatif, cukup sekadar sayuran bergorengan tepung dan nasi.
Tapi, nasi Paku Payung dah habis dahulu, sementara Unagi tanpa keratnya ada berbaki. Mangkuk nasi Pepaku juga kosong, dan penyepit buluhnya telah beralih kepada Soba. Memayung awal-awal lagi dah beri isyarat tepisan samurai (jangan ganggu laukku). Kesian Paku Payung.
"Boleh bagi sisa-sisa nasi dalam mangkuk Pepaku?"
Pepaku dan Memayung berpandangan.

Thursday, April 3, 2008

Jalan2: Tak faham Lagi

Aku jentik dahi dua tiga kali. Apa yang Juh nak sebenarnya?

" Dear Johny, we will audit your Australia company in May. Attached is the schedule". Tulis Juh. Dia c.c kat aku.

Kenapa dia forward? Dia ajak? Tapi tak ada pun ayat ajakkan di mana-mana. Musykil.

" Salam Juh, terima kasih " aku serkap, mana tahu menjadi.

"Bukan ajak lah, kalau dibaca surat asal dari B**** dia request guna dia punya 3rd party audit result masuk dalam ###### vendor evaluation untuk B**** Australia. Dalam surat balas aku kata tak perlu buat demikian sebab kita plan nak audit dia bulan May. Tetapi kalau kau nak pergi kena budget sendirilah" Juh tulis.

Aku jentik dahi dua tiga kali. Apa yang Juh nak sebenarnya?

Puisi: Yang Pertama


Santapan rakyat yang dicicah sampai kini, tapi terlalu banyak bumbu, hinggakan rasa asli yang asal tiada:

RONGGENG MAK LIMAH
[24/7/2003]

Malam ini, ada gendang dan kecapi
ada kompang membuang sunyi dinihari
Mak Limah dan Pak Pandir sudah diundang
Gerobok Pak Kaduk pasti penuh riang.

Malam ini, ronggeng Mak Limah pasti jadi
Habis lenguh tangan bergendang bernafiri
Peluh jantan dan betina berbaur suka
Pak Kaduk dan Mak Limah ronggeng bersama.

Sayang, ronggeng Mak Limah tak jadi
Kompang dan nafiri tak seirama kecapi
Pak Pandir bergendang seronok sendiri
Rentak zapin lagu berzanji.

Ronggeng, Mak Limah ronggeng
Ronggeng sampai pagi!
Pak Kaduk terteleng-teleng
Pak Pandir geli hati.

Ronggeng Mak Limah tak jadi
Tapi Pak Kaduk tak peduli
Asalkan ronggeng sampai pagi
Pak Pandir ketawa sampai mati!

[hakcipta: Paku Payung]

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com