Friday, November 28, 2008

Jalan2: Di Kota Cinta itu, aku pun tewas ...

Suatu hari itu. Lama dulu. 10 tahun dulu...mungkin juga 8 tahun lalu.


Baru aku tahu apa maksudnya 'one way ticket'.
Return ticket tak ada. Jadi, nak balik M'sia kena ikut route lain. Tak kisah lah. Yang sedikit kisah ialah kena tunggu 3 hari baru ada flight. Sedikit kisah bila 'buku 555' dah nak penuh!

Aku dan kami habiskan satu malam di Kota Cinta. Kami bermalam di hotel agak murah juga [memandangkan kami di tengah kota itu]. Hotel kecil diantara kedai-kedai 4 tingkat. Lebih kurang RM2++ /malam.

Petang tu, matahari tidur lambat sikit. Aku pening kepala. Tapi geng ajak jalan-jalan. Aku pun ikut sejauh mana yang mampu aku jalan-jalan. Bila dah tak larat, aku balik hotel sorang-sorang. Sebelum naik atas, aku singgah di farmasi, aku nak beli panadol. Ahli farmasi tu ternganga. Oh! aku kata paracetamol. Mujur dia faham yang itu. Haru. Kalau tak, aku kena cakap nama kimia ubat tu. Lepas tu aku masuk bilik. Aku tidur.

Aku rasa lapar. Aku bangun dari tidur. Aku tengok jam, pukul 8pm tapi di luar masih cerah. Aku turun ke bawah nak beli makanan. Aku dah boring asyik pekena roti atau cip & ikan. Asyik-asyik ikan. Dah nak jadi memerang lagaknya.

Di tangga, aku terserempak dengan geng. Dia kata ada restoran cina di blok sebelah. Dia jumpa nasi goreng. Oraiitt, akhirnya aku jumpa juga nasi.

Sesampai di restoran cina tu, aku tengok makanan di dalam kabinet kaca. Ada dua jenis nasi goreng, yang merah [nampak pedas] dan nasi goreng cina. Aku tengok betul-betul kalau-kalau ada 'daging'. Aku pilih nasi goreng cina sebab aku tengok macam biasa yang aku makan - ada kacang pea dan kiub-kiub kecil lobak merah.

Dia masukkan dalam bekas. Kemudian dia berhenti. " Tambah lagi " aku suruh.

Sesampai di bilik, aku basuh tangan. Aku buka bekas makanan. Aku suap dua tiga kali. Lepas tu, aku perhatikan kiub-kiub lobak merah. Tapi tak macam lobak. Macam daging warna merah. Ya. Sah daging. Aku termenung.

Aku ambil sudu. Aku kuis-kuis semua daging. Aku kumpulkan di penjuru. Baki nasi? Aku bedal sampai habis.

Aku sendawa dua tiga kali...hahahaha... aku kenyang!
Hahahahaaa...







.

Wednesday, November 26, 2008

Jalan2: Kus-kus de la France...

Satu hari tu. Dulu. 10 thn dulu.

Habis meeting dan sedikit berperang dengan mamat Perancis ni, dia ajak aku and geng aku makan malam. Ya la. Aku pergi negara dia, dia kena la hormat tetamu.

Masa dia kat M'sia, aku jamu dia macam-macam. Termasuk Durian. Dia tak sentuh pun Durian tu. Tapi dia suka rambutan.

Dia tanya aku. Nak makan apa? Aku cakap apa-apa sahaja yang bukan di darat dan bukan di udara. Dia faham. Tapi, dia ajak makan kat satu restoran milik orang timur tengah. Halal. Aku cakap belasah je. Dia ajak geng-geng dia sekali.

Jadi, nak jadi cerita, sebelum makan dia bawak kita orang jalan jalan sekitar Kota Cinta [aku tak puas. hari ketiga sebelum berlepas ke UK, kami belasah sehari lagi duduk kat Kota Cinta tu].

Masuk kat restoran milik orang timur tengah tu. aku dah nampak asap berkepul kepul dari dapur kebab. Aku hairan, apasal kebab dia macam satay pulak? dia kata itu la kebab sebenarnya, bukan yang kat pasar malam kat M'sia tu.

Dia order kus-kus. Iaitu gandum granule yang di kukus. Makan dengan kebab dan sayur-sayuran. Yang peliknya, dia ajar aku makan kus-kus tu.

Dia kata, sendukkan gandum tu dalam pinggan. Lepas tu taruk sayur-sayuran dan kuah kari dan daging kebab. Kalau nak makan, kena gaul dengan kuah kari dan sayur, baru masuk mulut.

Dalam hati aku. Aku dari kecik makan nasik campur, apa ada hal!

Tapi, sebab dia yang belanja, aku diamkan aje....


[dia orang makan satu per satu. makanan hanya bercampur dalam mulut. tapi, kita orang nusantara campur semuanya dalam pinggan baru masuk mulut]




.

Tuesday, November 25, 2008

FiQir: Kenapa perlu Jebat dikorbankan ?

Yang dah jadi tetap dah jadi. Tak boleh nak patah balik. Tapi, bila bercerita pasal hero-hero Melayu ini, bermacam-macam teori dah keluar. Tak kisah lah semua tu. Tapi, apa yang sebenarnya berlaku ketika adegan bertikam di istana?

Tak ada siapa yang benar-benar tahu sebab yang ada cuma Tuah dan Jebat atas istana tu. Aku pun musykil macam mana penulis sejarah melayu atau sulallatus-salatin atau hikayat hang tuah boleh tahu. Kalau begitu, aku pun boleh gubah teori aku sendiri. Bermula macam ni:


" Maka segala hulubalang muda-muda itupun pergi menaiki Hang Jebat, seorang pun tiada dapat naik, baru semata dua mata anak tangga, diterpanya oleh Hang Jebat, sekaliannya terjun mencampakkan dirinya ke tanah. Naik ke tangga, diterpa Hang Jebat, melompat balik ke tanah. Naik ke pintu, diterpa Hang Jebat, melompat balik ke tanah jua. Maka ramailah pengawal-pengawal mengepung akan istana itu bersusun-susun, perisainya berlapis-lapis. Maka dilihat oleh Hang Jebat akan rupa pengawal itu umpama ombak pasang, rupa tombak umpama lalang, rupa perisai umpama sisik ikan, rapat-rapat semuanya. Maka hingar-bingarlah bunyi diluar istana menyuruh Hang Jebat turun keluar tetapi tiada mahu ia. Maka didengarnya oleh Hang Jebat, maka diancam olehnya, maka bertempiaran lari semua pengawal sana-sini. Seketika kemudian, datanglah semula seperti lalat menghurung bangkai. Maka dilihatnya pengawal makin banyak, lalu dikuncinya semua pintu, hanya satu pintu yang dihadapan juga dibukanya. Maka perempuan kendaknya itu pun dibunuhnya, dihirisnya dari mukanya lalu ke perutnya dan ditelanjanginya. Maka Sultan bertambahlah murkanya melihat dayang-dayangnya itu dibunuhnya. "

Babak seterusnya (diringkaskan): Tuah & Jebat bertikam.

"Kalaulah Seri nara DiRaja taruhkan tuan hamba, kenapa pula tidak ditaruh pula hamba? Kenapa perlu hamba dibunuh?" HJ.

"Kalau mahu sudah hamba tamatkan nyawamu dari tadi. Bukan kerana Tamingsari itu. Bahkan, si Tamingsari itu hambalah yang bunuhnya" HT.

"Hamba tahu. Kalaulah begitu, marilah kita berbuat muslihat, muafakatlah kita berdua" HJ.


Kalau aku kata mereka ada muslihat. Kalau aku kata mereka bukan saling berbunuhan, siapa yang percaya? Mustahil Jebat yang ditusuk Tamingsari [kalau benar ianya amat berbisa] masih boleh mengamuk dan membunuh semua yang dijumpai sepanjang jalan ke rumah Tuah. Dan, Tuah cuma perlu tanggalkan barutan / balutan luka, maka matilah Jebat. Mudahnya....

Dan kalaulah benar bertikam itu berlaku, agaknya boleh aku syairkan begini:

Kalaulah Tamingsari bertemu Jebat
Tentu ini menjadi bualan panjang
Dan Tamingsari pasti sedih dan hampa
kerana Tuah diberi pinjam senjata.


Walau siapa pun yang memiliki keris lagenda itu, hatta Sultan mana pun, ia tetap milik Tamingsari, kerana ianya ialah keris Tamingsari. Bukan milik sesiapa....




.

Monday, November 24, 2008

Jalan2: Seketika di kota rapuh (antologi rasa)

Satu antologi rasa, yang aku rasa boleh dibuat sebagai kayu ukur kepada pandangan aku jika di tanya tentang kota:


Satu:

KONTRA
[ 24 / 8 / 96 ]

Tersentuh selasih desa dek embun subuh
tatkala murai terbang mencari makan
anak-anak kecil menangis kesejukan
sayup-sayup dari celah-celah dahan beringin
meruntun hati gadis desa sewaktu ke sungai
untuk membasuh kain.

Tersentak mawar kota dikejut bingit jentera
tatkala deru kenderaan membelah dada pagi
anak-anak kecil meraung ditinggalkan
bergema diantara hutan-hutan batu bercacakkan
membahangi hati gadis kota yang masih ingin tidur
yang entah di rumah siapa.



Dua:

BUKIT BINTANG
[ 26-4-97 ]

Duduk menanti dalam suram melihat kelibat-kelibat
dalam remang-remang lampu jalan,
tubuh-tubuh yang berbaur bau wanita dan jalang.
Sesekala dengkuran jantan
yang tertidur di depan Cathay
membuatkan nyamuk ketagih
menghirup darah, kerana siang
adalah malapetaka.
Sesekala nyamuk yang pening itu
melanggar pipi gebu dengan
solekan setebal daki dosa
di atas jalan , dan terdengar
keluhan kecil yang parau.
Embun jantan lewat malam
terus menghujani , membasuh
dosa-dosa yang terhampar
di atas jalan ini.

[Bersama HAS.FA dan M. ALWI , 12.00 am ~ 4.30 am ]




Tiga:

KELMARIN DI IBUKOTA
[16/6/2003]

Susah benar mencari susur dan arah
dalam sibuk kota dan semut-semutnya
Di atas dan di bawah, lorongnya entah apa
tuju mana Selatan, mana Utara
Mana Syurga, mana Neraka.

Yang tidur di bahu, di tepi - sama baunya
Yang tidur di atas kabur matanya
Yang tidur di bawah diganggu mimpinya.
Dan gemerincing besi dan galas dan landas
sama asap dan jeritan sundal kota
mana satu mahu didengar?

Pun begitu, malam tetap panas
sepanas kopi kurang susu yang
menongkat mata layu
Apa yang ada di sini?
Sekadar gebar beku dan kolah mandi
di tingkat 18, bangunan di belakang PWTC
juga tren yang terhenti di Chan Sow Lin.






.

Sunday, November 23, 2008

Jalan2: Aku dan si penjajah

Kelmarin. Ada meeting yang aku perlu ada.
Tapi, aku rasa macam semacam. Macam bukan di sini.

Aku toleh kiri, mat saleh. Aku tengok depan, ada dua orang lagi mat saleh dengan loghat british pekat. Aku toleh kanan, india made in malaysia. Aku tengok sekeliling lagi, ada jawe kelang. Ada jawe johor. Huisssh... Kat mana aku ni?

Atas meja, ada benda yang semacam ketam...bukan...semacam belangkas. Dari benda tu, keluar suara berbahasa inggeris dengan loghat india pekat...yang memang dari india.

British tu tanya sesuatu pada belangkas tu. Benda tu jawab tapi aku tak faham. Tak boleh nak tangkap apa belangkas tu cakap. Dia punya belit kalah lidah mengkarung.

Oh...bukan aku sorang. British tu pun tak dapat tangkap. Dia cuba lagi. Tak dapat jugak. Aiikk..takkan orang british pun tak faham cakap inggeris?

Aku mula bayangkan Mahatma Gandhi. Betul, masa tu aku memang terbayangkan Mahatma Gandhi berpakaian 'ihram' putih india. Aku bayangkan perarakan garam dia. Dan kini aku bersama-sama dengan keturunan penjajah ini duduk semeja sambil bermesyuarat dan juga secara 'live' dengan orang india yang memang di india melalui belangkas itu.

Tapi aku tak marah. Entah kenapa, aku tak rasa nak tikam penjajah tiga orang ni. Mungkin Putum dan Datuk Maharajalela buat begitu. Mungkin kot. Entahlah ...









.

Friday, November 21, 2008

Jalan2: Sudah heppie lo...

Gua punye display sudah cun dan sharp dan cute je dia punye fonts....
Tak macam batang balak lagi...

Terima kasih IT.




.

Thursday, November 20, 2008

Jalan2: Apa dah jadi ni...

Semalam.



Lepas lunch, aku kuap balik l.top atas meja. Aneh, tetiba je font dia besar-besar. Dia punya kaler berbatik-batik, berbelak-belak, bak kata orang macam kulit ular sawa batik yang kekenyangan lepas makan kambing. Apa dah jadi ni?



Aku cuba reset dia punya display setting. Apeke jadahnya, l.top aku berkata display driver tak wujud! Dia set balik ke VGA dengan 4color je... bukak sana heng, bukak sini heng...pantang kalau gambar berat-berat sikit...hampeh la!



Nih, sekarang ni, aku tulis macam budak tadika belajar menulis. Huruf besar-besar macam batang balak hanyut. Apeke jadahnya ni....






[Nota: IT kata l.top aku dah kena selsema]

.

Wednesday, November 19, 2008

SkeTsa: Lintah Darat

Tok Ketua tersenyum pada Man RELA. Kembang kuncup hidung Man RELA bila dipilih jadi wakil Tok Ketua untuk buat satu pengumuman yang penting. Dia panjat kerusi. Dia angkat pembesar suara.

"Mandat telah diberi oleh Tok Ketua kepada saya..." kembang kuncup hidungnya.

"Dan setelah diperkenan oleh yang empunya konsesi jambatan pinang nan sebatang ini..." Man RELA jeling Tok Ketua, makin kembang hidungnya.

"saya dengan ini mengumumkan bahawa pihak empunya konsesi jambatan ini akan memberi lalulan PERCUMA....tak perlu bayar TOL"

* Horeeeyy! Horeeey! *


"Benar tuan-tuan dan puan-puan. Tak pernah terjadi dalam sejarah!"


"Laluan PERCUMA ini akan berkuatkuasa mulai ESOK ..........."

*HOREEEEYYYY! HOREEEYYYYYYYYYYYY!*


"..... iaitu mulai pukul 1 tengah malam hingga 4 subuh setiap hari! "


Man RELA ketawa bangga....sorang-sorang.
Orang kampung tercongak-congak, tergaru-garu kepala, bilang-bilang jari tangan.........* plop! *







Melihatkan itu, Tok Ketua pun lari entah kemana...........






.

Monday, November 17, 2008

FiQir: Siapa Obama ?

Kata mereka:

* Akan tiba nanti seorang [keturunan] hamba akan memegang kuasa [memerintah] *




Obama, orang kulit hitam pertama menjadi Presiden US. Dia bukan saja memegang kuasa ke atas US, tapi seluruh dunia. Kerana pengaruh US ada dimana-mana.

Obama juga disanjung oleh sebilangan besar penduduk dunia. Ada kerana dia kenalan. Kerana dia saudara. Kerana dia bukan kulit putih [padan muka orang kulit putih].

Obama, seorang hamba yang menjadi harapan dunia! Gila.....

Sekarang, orang kulit putih sendiri [yang laungkan demokrasi dan bencikan keganasan] mengancam untuk bunuh Obama. Konspirasi pembunuhan....eh, terbalik pulak? Mana Bush [yang menentang keganasan itu]?

Apa kata Israel? Apa kata NATO? Bila nak ancam Obama untuk letak jawatan? Atau seluruh peluru berpandu sedang dihalakan kesemua arah? Onar....?


Ya.
Mungkin kenyataan di atas itu retorik, mungkin juga jelas tanpa perlu dikupas sehingga ke umbutnya.

Dunia, oh dunia........ Kiamat dah dekat sangat agaknya.







.

Sunday, November 16, 2008

Jalan2: Pantang larang atuk nenek

Dia teruja.


Balik dari kenduri itu dia gembira. Dia terus masuk bilik Mama dan baring atas katil. Dia belek-belek bekas tembikar kecil itu. Dia buka. Dia keluarkan isinya. Dia ketuk-ketuk dengan jari telunjuk. Tak pecah. Dia jentik kuat-kuat dua tiga kali. Baru retak sedikit. Dia kopek.

"Eeeiii. Jangan makan telur rebus atas katil!"
"kenapa?"
"Tak dibenarkan makan atas katil, faham!"


Dia pun keluar.

"Setuju! Telur abahnya je yang boleh ada atas katil tu..." suara ketiga.

"Isshhh... kesitu pulak......gatal!"













.

Friday, November 14, 2008

Projek ambang akhirat...

Entah kenapa, dua minggu kebelakangan ni, aku asyik fikir pasal kiamat. Dan asyik bayangkan suasana kalau kiamat berlaku. Mungkin juga sebab Paku Payung ada kata, dia doa supaya dia tak jumpa kiamat.

Sejak itu, aku mula terfikir untuk buat satu cerita sederhana panjang, tajuk " Ambang Akhirat ". Entahlah, aku tak tau nak mula kat scene mana dan berakhir kat scene mana.

Aku pun cuak jugak, kalau-kalau sampai kacau akidah... ye la, kita pun bukan faham sangat urutan peristiwa tu. Antara cabarannya ialah untuk gambarkan scene-scene untuk perkara-perkara berikut:

1. 'sehinggakan batu-batu dan pohon kayu pun berkata sipolan itu kafir dan disuruh bunuh'

2. 'peperangan demi peperangan ...dan kuda berlari-lari...dan pedang'

3. 'diturunkan angin sejuk yang mematikan semua yang beriman'

4. 'dikeluarkan asap dari perut bumi'

5. 'yakjuj & makjuj yang melata, maka sembunyilah kamu'

6.' Al masih Dajjal yang mampu membuat fitnah di barat dan timur dalam masa yang singkat'

7. 'Matahari yang terbit dari Barat'

Cerita yang bakal aku tulis mungkin cerita daerah setempat. Tapi, elemen-elemen kat atas tu kena wujud. Camne ha? Semua perlu logik dan keadaan teknologi yang ada masa tu.

Aduiii....

.

Jalan2: Air Putih dalam hutan


.

White Water Sg. Bil di Kg. Ulu Slim, Tg. Malim.

.

Aku tak cadang nak ke situ. Aku cadang nak tengok rumah-rumah aku di kawasan perumahan yang paling hampir dengan tapak projek UPSI yang baru tu.

.

Entah macam mana, Paku Payung nak pegi ke Sg. Bil. Kami pun kata ok. Hujung minggu, ramai jugak yang datang. Tapi, kat hulu atas sana, tempatnya lebih banyak batu tapi tak ada rumah orang. Setakat duduk atas batu hulur kaki boleh la. Nak buat kuak lentang tak boleh.

.

Yang kat bawah lebih banyak kolam dan rumah orang. Tapi awas! setiap tandas rumah di tebing sungai mempunyai paip sulit yang menjulur ke sungai! Anda mungkin ditemani oleh buih-buih pekat dan terapung.

.

.

.

Wednesday, November 12, 2008

Jalan2: Kisah tiga Naga

Ceritanya begini:

Kami menuju ke arah Selatan. Sepertiga jalan, kami singgah di R&R untuk mengisi 'tangki septik bergerak'. Biasalah, kalau tangki yang itu dah penuh, 'tangki gas oksigen' pulak kena isi. Nak isi tangki yang ini pula perlukan tempat yang sesuai. Maka bermulalah kemelut itu. Ceritanya begini:

Aku paling ke kiri. Aku paling ke kanan. Aku naik cuak. Tak ada 'naga' yang mencucuh muncung. Tiada asap. Biasanya, kalau dapur tak berasap, kebuluran akan melanda seisi dapur. Aku resah. Kami pun pindah ke ceruk yang jauh dari orang ramai, bak kata pepatah kopi panas akan jadi kopi suam bila sampai ke sini. Aku mula berimaginasi yang bukan-bukan. Aku imaginasi tentang '67 naga' di PKNS. Aku imaginasi tentang 'naga' yang terkedu di kaki lima di Putrajaya. Adakah perkara itu juga boleh berlaku di R&R ini? Aku tengok setiap tiang di situ. Tak ada sebarang tanda! Maka aku pun mencari kepastian. Ceritanya begini:

Aku tanya akak yang sapu-sapu dan mop-mop lantai, boleh 'bakar-bakar' di sini? Akak tu jawab boleh. Aku tanya lagi, tak ada tempat abu? Akak tu jawab, buang je kat lantai nanti akak sapu dan mop balik sebab memang kerja dia macam itu. Jawapan akak tu jadi tanda tanya, dia ikhlas atau dia perli? Aku kena jadi jalan penyelesaian. Ceritanya begini:

Aku pun terpaksa beli satu tin 100+. Aku gogok cepat-cepat. Naik beku anak tekak. Aku tak perlukan air itu. Aku cuma perlukan tin aluminium itu. Setelah kosong, aku gunakan tin kosong itu sebagai bekas abu. Kawan aku pun tumpang sama. selesai masalah. Kami kini lebih prihatin dengan keadaan persekitaran selepas beberapa naga telah dikompaun RM250/seorang.

Moralnya:
Kerjaya sebagai Naga perlukan modal yang besar, bukan setakat harga dan cukai kayu api yang perlu dibayar dengan tinggi, kami juga prihatin dengan kebersihan dan perasaan akak itu, selain satu tin 100+. Kami juga membantu pembangunan negara melalui cukai-cukai tersebut selain cukai pendapatan. Kami juga menyebabkan peluang pekerjaan dalam bidang sapu-sapu dan mop-mop lantai. Kami juga menyemarakkan industri kesihatan sehingga Malaysia kini mengorak langkah ke sektor Pelancongan Kesihatan, dan juga peluang kerjaya kedoktoran yang senantiasa kekurangan.

Oleh itu, hanya golongan elit yang mampu berbuat begitu.

[Tapi, sehebat mana pun Naga, dia perlu berubah kerana kisah naga hanya dongengan. Dan kami bersetuju bahawa kami tidak mahu jadi kisah dongeng kepada cucu-cucu sebab tak pernah kenal atuk-atuk mereka..........kerana tak sempat bersua muka].




.

Monday, November 10, 2008

Jalan2: Sepetang di Tanjung Harapan



Paku Payung

.


Mama

.


Aku

.

.




.


Ikan Bakar. Bangla. Awek Melayu.

Ketawa. Batu belah. Ombak. Bot kecil.

Kapal besar. Makcik jual mainan. Gagak. Golf.

Kakak mengandung. Abang hisap rokok.

Orang duduk. Matahari. Botol arak.

Batang hanyut. Bau gudang.




.

.
.



.

Sunday, November 9, 2008

SkeTsa: Detik 12.06 malam, cintanya bersahut

Kami bertiga saling berbalas senyum. Aneh, kami mengharapkan cinta yang sama namun tidak ada cemburu antara kami.

Kain putih selebar telapak tangan ini bakal tertulis ayat-ayat cinta. Sebentar saja lagi, akan kami titipkan kain ini kepadaMu sebagai bukti cinta abadi. Ya Tuhan, hapuskanlah rindu ini.

Tolong, jangan tutup mata kami. Kami mahu lihat bintang-bintang di langit Nusakembangan. Tiang? Ya, sila ikat tangan-tangan kami pada tiang itu tapi jangan tutup mata kami. Kami mahu lihat ayat-ayat cinta yang ditulis dari darah dan dititip kepada Tuhan dari dada kami.

Al-Hallaj dan Siti Jenar ada diantara kamu. Dan mereka itu sedang menyanyikan puisi indah dari Hamzah Fansuri. Burung-burung hijau berlegar-legar dan berkicau riang menunggu kami. Oh, kamu tidak bisa dengarnya.

Tuhan Maha Besar! Tuhan Maha Besar! Tuhan Maha Besar!

*Dum, dum, dum*

Langit Nusakembangan jadi cerah. Udaranya semerbak harum. Alangkah indahnya malam ini. Kalaulah kamu semua tahu. Kalaulah kamu semua bisa lihat segalanya. Syukurlah, kain yang kini telah tertulis dibawa terbang oleh angin. Terbang kepadaNya.

[Buat Amrozi, Mukhlas dan Imam Samudera]


---------------------------------------

Beberapa orang tanya aku tentangnya. Betul, aku tak tahu nak komen apa. Setahu aku, kalau berperang pun mesti ikut kod etika perang yang telah Nabi syaratkan. Mereka yang mati di Bali mungkin mabuk meneguk arak tapi tak satu pun yang memegang senjata. Dan ada antaranya juga wanita.

Sebagai saudara, aku doakan kesejahteraan. Itu pasti. Dan aku harap tindakan mereka dulu itu tidak lain hanyalah untuk membuktikan cintanya pada Tuhan dan kecintaan terhadap panggilan Jihad. Tidak lebih dari itu.

Ya. Aku masih rock. Dan aku tak pakai celak hitam pada mata...





.

Saturday, November 8, 2008

SusTra: Kelkatu Terbang Malam (18SXSG)

[Tadi. Aku selak fail-fail lama. Aku terjumpa satu cerita yang aku tulis, aku syak, pada 1995. Aku juga syak aku tulis, masa tu, dalam bilik kuliah. Aku taip balik dan aku buang sebahagian besar ceritanya sebab aku malas nak taip semuanya. Aku harap jalan ceritanya tak pincang.
Kategori: 18SXSG - Sex Separa Ganas]]
----------------------------------------------------------------------


 Kelkatu Terbang Malam


Aku:

Sinar cahaya Purnama 14 menyuluh hamparan tanah dingin berkabus di sini. Makhluk alam kebanyakkannya sedang tidur nyenyak, sedikit yang masih aktif berkeliaran mencari makanan untuk teruskan hidup. Makhluk Tuhan yang kerdil ini pula seolah-olah telah lali dengan tidur. Cahaya Purnama 14 itu membantu aku memerhatikan si Kerdil-si Kerdil ini.

Tanah yang lembab selepas hujan petang tadi menjadikan malam ini lebih dingin, menjadikan mata aku cepat layu, lebih-lebih lagi apabila gebar tidurku meliliti leher dan sebahagian badan. Aku tunduk, tangan aku menguis-nguis beberapa helai daun basah di bawah pokok Rambutan di depan rumah. Si Kerdil-si Kerdil itu berlari-lari kerana ketakutan. Aku bukan musuh, cuma aku tertarik untuk melihat mereka dengan lebih dekat.

Aku turuti salah satu daripadanya sehingga ia menyorok ketakutan di balik sehelai daun. Aku selak daun itu. Ia berlari lagi sehingga ke satu lubang kecil di atas tanah. Aku sudah ketemui pintu rumahnya!

Aku turuti yang seekor itu ke dalam lubang. Gelap. Aku hairan bagaimana mereka boleh hidup di dunia penuh gelita seperti ini. Agak lama aku berkejar-kejaran dengannya, hingga akhirnya aku sampai ke satu lorong yang agak luas daripada tadi. Kemudian, aku dapati dia telah menyelinap entah ke mana.

Aku teruskan berjalan, menggunakan cahaya hijau dari kulat-kulat pada dinding itu, hingga ke hujung lorong besar itu, dimana aku terlihat si Ratu yang sedang duduk berlangir diri. Tidak lama kemudian si Ratu, diiringi beberapa ekor dayangnya, bergerak menuju ke satu anjungan.



Ucapan si Ratu:

”Salam Rahmat kepada semua Pahlawan-Pahlawan Bersayap sekalian. Beta menumpang bangga kerana kamu semua telah terpilih untuk meneruskan perjuangan untuk pergi ke Tanah Emas, seperti yang telah dilakukan oleh para pejuang yang terdahulu”

”Beta telah mendengar daripada Nenda Beta, seperti yang telah diberitakan oleh moyang-moyang kita dahulu, bahawa di Tanah Emas itu duduk bersemayam si Ratu Besar di atas peterakna yang berkilau-kilauan. Ratu Besar itu memerintah satu kerajaan yang besar dan jajah takluknya jua amatlah luas. Dikatakan orang bahawa Ratu Besar itu mempunyai rahsia dan petua-petua yang menjadikan Tanah Emas itu maju. Adalah menjadi satu kebanggaan jika ada kerajaan di Bumi yang boleh bersahabat dengannya”.

”Adapun Tanah Emas itu duduknya di balik Purnama 14. Oleh itu, terbanglah kamu semua menuju ke Purnama 14 itu. Semoga cahayanya dapat memberi petunjuk kepada kamu semua”.

”Beta perlukan rahsia dan petua-petua itu untuk membangunkan kerajaan ini. Tetapi, bukanlah satu pekerjaan yang mudah untuk ke sana. Telah banyak pahlawan sebelum kamu yang habis berhambalangan sebelum sempat sampai ke Tanah Emas itu. Dugaan dan cabaran akan datang kepada kamu timpa bertimpa. Kamu akan teruji dengan tipu muslihat Duniawi. Bayang-bayang Duniawi pasti akan cuba mengelirukan kamu sekalian. Oleh itu, Beta nasihati kamu semua supaya berhati-hati”.



Aku:

Serentak dengan itu juga, semua pejuang menjerit-jerit penuh semangat. Kemudian, aku lihat si Ratu berundur dan bergerak masuk ke kamarnya. Sempat juga aku mencuri pandang dan melihat si Ratu tersenyum tawar dan aku rasa ia tersenyum kepada dirinya sendiri.

Suasana di ruang besar di luar kamar si Ratu menjadi bising. Aku tahu para pejuang telah bersedia untuk terbang menuju ke Tanah Emas itu, berpandukan cahaya Purnama 14 sebagai lampu suar. Aku keluar melalui lorong kecil dan berlindung pada sehelai daun. Aku tak mahu mereka sedar kehadiran aku. Seekor demi seekor para pejuang itu terbang. Lama kelamaan, ruang malam itu dipenuhi oleh mereka.



Monolog Si Ratu:

Jauh di sudut kalbu, Beta berasa kurang yakin dengan cerita Nenda. Kalaulah benar seperti yang diceritakan, tentulah ada berita tentang kerajaan Bumi yang bertemu dengannya. Telah beribu-ribu, mungkin berjuta pahlawan-pahlawan dari kerajaan Bumi pergi mencarinya, tiada satu yang bertemunya.

Beta masih ingat lagi, pada malam Purnama 14 itu, Beta juga adalah pahlawan seperti mereka itu. Sebaik sahaja Tok Ketua memberi isyarat melepaskan kami untuk terbang, Beta telah terbang dengan satu tekad: bertemu dengan si Ratu Besar. Beta hanya diberikan sedikit panduan, iaitu agar terbang menghala cahaya emas dari Purnama 14. Beta pun terbang bersama rakan-rakan membelah dada malam yang dingin. Semakin jauh Beta terbang, semakin sukar pendakian Beta. Dari ketinggian, Beta dapat lihat banyak cahaya lain yang bersinar-sinar di bawah sana. Beta teringatkan pesanan Tok Ketua akan segala tipu daya duniawi yang cuba mengabui padangan Beta. Cahaya-cahaya palsu.

Sekilas angin sejuk menghembus Beta dan membawa Beta entah ke mana. Beta keliru dan terpisah dari kawan-kawan. Dalam kepayahan, Beta lihat samar-samar cahaya keemasan yang Beta sangkakan dari Tanah Emas. Beta berasa amat gembira, lantas Beta terus turun ke bawah menuju cahaya itu. Sebaik sahaja hampir, barulah Beta sedar yang Beta telah tertipu dengan cahaya palsu. Beta telah tertipu dengan helah Duniawi. Beta terus berjalan-jalan di sekeliling cahaya palsu itu, mencari-cari arah yang baru, tapi tak ketemu.

Tiba-tiba Beta terlihat kelibat seperti Beta yang sedang tertunduk di hujung cahaya sana. Beta hampiri Wira Pejuang itu. Dia perasan kehadiran Beta lantas menoleh ke arah Beta. Kami berbalas pandangan. Ketika itulah Beta rasakan sesuatu yang aneh menjalar dalam badan Beta. Beta menoleh ke arah lain dan cuba lari daripadanya tetapi dia mengekori Beta sehingga Beta penat dan berhenti.

Wira Pejuang itu menghampiri Beta. Dia nampak sungguh sasa. Tampan. Sayapnya hitam berkilat, lebih besar dan tersusun kemas. Kaki-kakinya kukuh memasak Bumi dan... dan ... ah! Beta sedar dia juga menelanjangi tubuh Beta dengan fikirannya.

Kemudian dia tersenyum. Aduh! Malunya Beta. Dia mulai menyentuhi leher dan bahu Beta. Beta tunduk kerana malu yang teramat. Namun begitu, Beta biarkan sahaja. Sentuhan itu kemudian turun lebih ke bawah. Mulut Beta terkunci dari menegahnya. Beta tak tahu kenapa. Perlahan-lahan Beta pejamkan mata dan ianya seolah-olah satu isyarat kepada Wira Pejuang itu untuk meneruskan sentuhannya. Tanpa Beta sedari, sayap-sayap Beta telah ditanggalkan dan dia juga sama. Kemudian dia merangkul erat tubuh Beta dan nafas kami pun bersatu. Dan... dan... 


Tuttttttttttt.......

{ PARAGRAPH SETERUSNYA DIPUTIHKAN AGAR MASIH 18SXSG. HARAP MAAF.  NASKAH ASAL ADA CERITA PENUH BAHAGIAN INI}
 

Beta tersedar. Beta teringat semula pesan Ratu dan Tok Ketua. Beta menangis semahu-mahunya. Hati Beta hancur luluh apabila melihat sayap-sayap beta telah tertanggal dan berselerakkan. Beta telah tertipu dengan helah duniawi lagi. Beta sesali segalanya. Beta telah hancurkan impian semua. Melihatkan keadaan Beta yang bercelaru dan sedih, Wira Pejuang menjadi serba salah, lantas memujuk Beta.

Kerana peristiwa itu, Beta telah mengambil keputusan untuk tidak pulang dan terus menetap di situ bersamanya, hingga sekarang ini. Barulah Beta tahu, bukan mudah untuk mencari laluan ke Tanah Emas. Kini, Beta sandarkan harapan Beta kepada para pejuang Beta namun Beta dapat rasakan yang nasib mereka itu nanti tidak jauh bezanya dengan nasib Beta ini.



Aku:


Angkasa seolah-olah dilitupi oleh berjuta-juta sayap para pejuang itu. Hampir-hampir cahaya Purnama 14 tidak mencecah Bumi. Kalaulah begitu keadaannya tentu sekali mereka tidak keruan arah di atas sana.

Di ufuk Timur, langit mulai kemerah-merahan. Burung-burung Ciak yang tidur di ranting-ranting tinggi pokok Rambutan mula terjaga dan memberikan siulan awal pagi yang merdu. Aku pulang ke rumah. Aku hayunkan langkah aku dengan lebih berhati-hati pada kali ini kerana aku tahu si Kerdil-si Kerdil itu masih merayap di balik daun-daun basah itu.

Sesampai sahaja aku di pintu rumah, aku terlihat sesuatu di bawah. Aku tersenyum sambil memerhatikan seekor kelkatu tanpa sayap sedang berlari di pinggir dinding batu rumah aku sambil diekori oleh pasangannya yang juga tiada bersayap lagi. Aku tahu, mereka telah gagal dalam perjuangan mencari ’Tanah Emas’ dan aku rasa mereka itu sedang menyesali perbuatan mereka sebentar tadi...






.

Friday, November 7, 2008

Jalan2: Cerita-Cerita Malam Jumaat...

Malam tadi.
Aku ingatkan, kalau dah habis musim Kasih Kuseru. Tak ada la cerita kecut-kecut lagi...

Rupa-rupanya tak! Dah ada Niyang Merapik pulak. Aku toleh ke rangkaian lain, cerita seram jugak. Tak kira la...dari Indon, dari Korea, dari jepun. Hampeh....akhirnya, aku tengok cerita Hindustan [yang aku kutuk-kutuk makcik kampung dulu, pasal ni la].

Walau hantu-hantu versi filem Malaysia ni rupanya menggerunkan, tapi aku tau, disebalik topeng-topeng dan gigi palsu yang terjuih keluar tu adalah aweks-aweks cun. Aku tak seram. berahi mungkin ada... hahaha.

Pengarah pun ada taste ape.... lainlah kalau memang cari pelakon hantu yang memang macam makcik Ramlah jiran sebelah rumah atau nenek aku ke. Itu memang seram. Kecut perut aku kalau dia orang diambil jadi pelakon cerita seram. Tak payah nak solek-solek. Tak payah topeng-topeng.

Sebabnya, nenek aku dah meninggal lama. Makcik jiran sebelah pun dan meninggal bulan lepas. Jasad mereka tinggal tulang belulang dan daging pipi yang mulai hancur... pasti menyeramkan....tak payah solek lagi...hahhahhaha...

---------------------------

Aku tak ada masalah dengan cerita seram. Aku tak dengki pun. Aku pun suka juga. Tapi......semuanya channel dilambak dengan cerita seram malam jumaat, leceh la...buat la malam minggu.

TOLONG LA.....JANGAN LA BUAT MALAM JUMAAT!!!!!

Nanti, Paku payung takut tidur sorang-sorang. Dia mesti selit kat Mama dia. Abih, aku nak selit kat celah mana ?





.

Wednesday, November 5, 2008

FiQir: Maaf, bukan Yoga. Aku Tai Chi...

Yoga.
Berkemungkinan akan diharamkan untuk orang Islam.

Asas Yoga berteraskan falsafah Hindu purba tentang konsep kawalan diri. Tentang Cakra. Tentang cahaya. Tentang pusat kuasa. Aku tak mahir sangat tentang Yoga. Ada juga buat di pagi minggu di padang, itu pun ikut sepasang suami isteri India. Dia berdiri tegak, aku pun berdiri tegak. Dia depa tangan ke depan, aku pun ikut. Dia pasang kekuda pada kaki, aku pun sama. Dia hanyun badan ke kiri, aku pun ikut. Dia tolak kepala menghadap ke kiri, aku pun ikut.

Lepas tu. Aku hembus nafas panjang-panjang. Huh! sana. Huh! sini. Aku angkat kaki kanan ala mentadak dan depakan tangan. Lepas tu aku hairan. Yoga? Eh, bukan. Bila aku paling ke kiri, aku tengok 5 orang makcik Cina buat Tai Chi, diiringi muzik Cina.

Bukan Yoga saja. Ada silat tertentu juga diharamkan. Ada juga silat yang dihalalkan. Maknanya nanti, akan ada Yoga haram dan ada Yoga halal. Jakim kena design satu logo khas untuk Yoga gamaknya.

Kenapa tak ikut sahabat kita Wali Songo tu?

Sunan Bonang, Sunan Kalijaga. Dia orang meningkat tarafkan [improvise] budaya setempat yang pekat dengan Hinduisme. Dia orang masih teruskan bergendang. Berwayang kulit. Berhibur dengan cara yang sama tapi telah diadunkan dengan Islam. Mana yang busuk ditukar dengan yang harum. Dengan kata lain, budaya itu telah dijawikan@dikhatankan.

Aku menunggu kelahiran Yoga yang telah dikhatankan itu.
Atau majlis fatwa tidak berkuasa untuk mengkhatankannya? Entahlah.



.

Tuesday, November 4, 2008

FiQir: Peradaban yang mungkin hilang

Kisah ini bermula dengan cerita tentang seorang berperangai setan yang akhirnya kalah dalam pertarungan. Yang terkesan dalam cerita tu, hero ada kata, semasa lawannya rebah, "I told u, smoking is bad to your health". Dam!

------------
Rokok wujud bukan baru-baru ni. Bukan pada tahun 1800an sewaktu revolusi industri di Eropah. Bukan juga pada tahun 1600an sewaktu imigran british mula-mula menjejakkan kakinya di Virginia. Bukan dan bukan. Dam!


Rokok bukan hanya berbentuk selinder 5cm panjang dan bergabus dihujungnya. Bukan juga berbentuk kon. Bukan juga sekadar berdiameter 0.67cm. Ia bermacam-macam. Dam!

Rokok bukan sahaja sebagai penanda status. Bukan sahaja untuk mereka yang ketagih. Bukan sahaja sebagai perosak paru-paru dan otak. Ia juga sebagai ubat [resdung], sebagai satu tertib dalam perbincangan [tanya puak Apache], dalam nikah kahwin [pakcik-pakcik yang bersembang selepas meminang], jamuan hantu polong [ancak yang hanyut] dll. Ia adalah budaya. Dam!

------------
Peradaban manusia telah menyaksikan bahawa rokok itu wujud sejak ribuan tahun dulu lagi. Lebih lama daripada sireh pinang. Mungkin beberapa ratus tahun selepas manusia tahu menggunakan api. Mungkin apabila terlihat puntung kayu yang sedang terbakar mengeluarkan asap pada hujung satu lagi. Mungkin. Dam!

Aku cuba katakan bahawa rokok itu adalah intipati peradaban sejak dahulu kala. Menjadi komposit dalam budaya masyarakat dunia. Dunia wooo...

Jadi, apabila kempen kerajaan dan para pengikis wang yang kononnya menaikkan cukai rokok itu tujuannya untuk menghalang / mengurangi jumlah merreka yang merokok, sedarkah mereka, bahawa mereka juga sedang menghapuskan satu peradaban yang amat panjang. Sungguh kurang adap mereka itu!

Mereka turut menghapuskan satu budaya, yang sepatutnya mereka pertahankan.
Dam!!!




.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com