Wednesday, February 17, 2010

Aku pergi ke negeri Antah Berantah ... 3 hari 2 malam

.

Kemanakah perginya aku minggu lepas?


Hah! Aku jawab sendiri... Aku sebenarnya bertapa selama 3 hari 2 malam di My Gopeng Resort, Perak. Tempatnya: keluar dari PLUS highway ikut susur keluar Gopeng dan belok ke kiri. Tak jauh dari situ, ada sebuah perhentian bas. Perjalanan bas aku setakat situ.



Kemudian, aku jadi macam buruh kontrakan naik lori pasir 5 tan. Perjalanan ke lembah 'Antah Berantah' mengambil masa lebih kurang 30 minit lagi dari pekan kecil itu. Jalannya berturap tetapi selebar lori itu. Tak sukar jika berselisih kerana rata-rata adalah motorsikal. Kalau ada 4x4 yang berselisih dengan lori aku, salah satu akan bertukar jadi mentadak memanjat bukit! Dan aku akan bergayut pada dinding lori macam Lotong yang terkejut melihat harimau.

[Mungkin orang keliru tentang Antah berantah, negeri yang wujud dalam hikayat lama, namun bagi aku, negeri Antah Berantah tu tak ada beza dengan negeri 'yang tak diketahui'. Asalnya mungkin dari nama 'entah-berentah' , membawa maksud ' entah lah, aku pun tak tau', kerana perkataan 'entah' kalau dijawikan mungkin bermula dengan huruf 'Alif'. Jika dibaca sekali lalu maka jadilah ia 'antah'... hahaha]



Hutan-hutan di kanan dan kiri masih dara (aku agak je). Kadang-kadang, pokok-pokok hutan itu berselang seli dengan pokok getah dan kelapa sawit. Bila dah masuk jauh ke dalam, barulah ada rumah-rumah orang kampung dan ladang-ladang getah dan sawitnya. Jadi, aku syak sumber ekonomi penduduk kampung ini adalah berladang getah dan sawit, juga berkebun dan berdusun.



Akhirnya, aku tercegat di sebuah kawasan terang di balik 2 buah bukit. Tiada siaran untuk cembul hikmat aku. Cembul hikmat aku tak berguna di situ. Aku berjalan sana sini mencari siaran. Akhirnya, aku berjaya mendapat siaran dalam 2 bar sahaja, itu pun di bawah Pokok Langsat, di belakang tandas perempuan! Serius!



Mesti dia orang ingat aku mengendap perempuan masuk tandas. Walau pun aku tengah telefon Mama, mampos-mampos pun mesti dia orang tak percaya punya!



Selama 3 hari 2 malam itulah, aku berperang ala komando dengan bola-cat, daki dan turun gunung 45 darjah dalam gelap malam, menjelajah Gua Tempurung, berakit air-putih di Sungai Kampar yang penuh dengan jeram bertingkat (ianya 3 derajat dan jeram paling dahsyat di dunia adalah berderajat 6. Di Malaysia, jeram tertinggi derajatnya hanya 5).


Aku tanya kawan aku, apa objektif dia datang ke sini? Dia kata, untuk tingkatkan kerjasama-berpasukan. Aku cakap pula, objektif aku ke sini untuk kurangkan berat 3 kg! Ye lah, entah apa jenis makanan yang tuan rumah sediakan. Mungkin hari-hari bersayurkan kulat-kulat pada batang getah reput dan berlaukkan ulat gonggok!



Dan mujurlah, dan juga buat pertama kalinya, aku merasa Mee Kari Gopeng resepi asli orang kampung itu. Memang sedap (dan aku lupakan kisah santau menyantau yang terkenal di Gopeng di kala itu). Mee kari itu aku syak dicampur dengan ikan sardin, selain dari daging ayam. Dan dari segi kepekatan kuahnya, aku syak ia dicampurkan dengan sedikit kerisik.



Sebelum keluar dari lembah 'Antah Berantah' itu, aku berJumaat di Masjid Kg. Itek. Aku tak pasti kenapa begitu nama kampung itu.



Seperti teori penghijrahan ekonomi, kampung itu jugak tak terkecuali. Aku lihat golongan yang berjamaah itu kebanyakkannya adalah golongan tua berumur 50an ke atas dan satu lagi golongan budak-budak yang masih bersekolah. Anak-anak muda pula, tiada yang muncul: sama ada bekerja di bandar-bandar besar atau pun 'berJumaat' di Masjid As-Sofa berimamkan TV1 dalam mimpi siang hari...




Selesai berJumaat, aku tinggalkan kampung itu dengan calar balar, luka lecet dan otot-otot yang tegang dan koyak... mungkin termasuk lemak badan yang berkurangan 3 kg!






Nota: aku tiada dalam gambar ini.






.

6 comments:

ASH said...

Kenapa tak bergambar sekali?
Aku nak tengok lelemak yang dah leper tuuuu!
3 KG!!!..jangan memain.
Kalau 4 bulan ko duduk sini mesti ko dah macam WAKTU zaman BUJANG!

ibundo said...

nenek aku dulu suka pungut kulat yang tumbuh di batang getah reput, masak gulai lemak cili api. aku lahap tak sedar dunia. tak terlintas nak tengok samaada ulat gonggok ada tergaul sama kehkeh..

ckLah @xiiinam said...

Nanti ckLah googlemap negeri Antah Berantah ni...

Nizam.Ariff said...

Ashley,
Tak boleh bergambar... nanti rosak gambar orang lain kena aura aku... hahaha


Kakpah,
Kira halal la tu. Ulat gonggok kalau kecil dah dikira serangga... tak ada darah pun... hahaha

Cklah,
Kena guna special google kalau nak jumpa. Negeri tu negeri atas kayangan... hahaha

aza ni said...

salam Nizam
seingat aku dari pembacaan siri bercakap dengan Jin tamar jalis ,ada kisah penyantau Gopeng ..

Nizam.Ariff said...

Azani,
Aku harap aku tak kena... Amin.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com