Friday, April 30, 2010

Kata-kata dari aku dikhalayak ramai...?

.




Siang tadi, ada jamuan kecil sempena aku dan beberapa kawan2. Tak kisah apa pun majlis tu, yang pasti aku diminta untuk beri sedikit ucapan.

Aku?

Hmm... yang introvert dan inesen mana boleh beri ucapan. Aku tak mampu untuk memberi cukup pemahaman kepada pendengar, kerana segala yang aku cakap lazimnya sepertimana yang aku tulis: payah untuk diucapkan sekadar sepatah dua kata, kalau tak pasti mereng maksudnya...


Pengerusi Majlis mempersilakan aku untuk beri sepatah dua kata pada majlis itu.

Semua mata melihat reaksi aku. Aku beri salam.


"Saya.... *pause 10 saat* ..... *semua menunggu*...... wakilkan kepada saudara ini untuk beri ucapan..." kawan aku tersentap.


Ya, ianya disambut dengan derai tawa.

Tak mengapa, asalkan mereka tak mendengar ucapan 2 jam dari aku...


Terima kasih semua.




.

Thursday, April 29, 2010

Teras kayu .. sekeras aku

.



Sebatang kayu ini memang aku ingat asal usulnya.


Ia telah tertanam berpuluh-puluh tahun di dalam tanah sawah di belakang rumah (arwah) Bapak. Berpuluh-puluh tahun telah terbenam dan terendam di dalam air sawah. Ia adalah empulur akar. Ia adalah teras banir sebatang pokok yang besar, yang aku sendiri belum pernah lihatnya. Bukan. Ia telah tumbang ditebang Bapak sebelum aku lahir lagi. dan memang ia tertanam lama.


Sehinggalah pada tahun 90-an apabila Bapak meminta kami mengeluarkan akar itu dari dalam tanah sawah kerana ia mengganggu kerja-kerja membajak. Sebelum itu, kerja-kerja dilakukan menggunakan pembajak berenjin Kubota, senang untuk cilok kanan-kiri. Zaman berlalu. Traktor yang lebih besar dan laju digunakan. Dan akar itu sering mematahkan mata rotor kerana kerja membajak menggunakan traktor secara diupah, mereka sering hentam keromo.



Aku dan abang-abang aku mencangkul hampir sepagi untuk mengeluarkan akar tersebut yang sebenarnya lebih panjang dan besar daripada yang disangka. Kami gunakan beberapa batang kayu panjang sebagai tuas untuk mencungkil akar tersebut. Kemudian, kami angkut ia ke tepi batas.






Selang beberapa bulan selepas itu, aku terfikir untuk mengambilnya sedikit sebagai hiasan rumah. Aku pilih raut dan rawan yang elok. yang paling keras. Ya, kayu yang terendam selama itu dan masih kukuh... tentulah hanya teras kayu yang mampu bertahan sebegitu lama. Bapak berikan beberapa petua berupa arahan untuk mencantikkan teras kayu itu supaya layak dijadikan hiasan rumah.



Setiap kali aku lihat kayu itu, aku pasti akan teringatkan cerita-cerita Bapak semasa aku memotong kayu itu, dan akan terkenangkan jerih-perih Bapak menumbangkan pokok sebesar dan bersawah untuk keluarganya...






Aku tak lupa asal usul aku. Seperti teras kayu yang keras dan masih utuh itu, aku pasti ingat semua itu...




.

Wednesday, April 28, 2010

Kalam Jama'ie...

.




Sebelum kami bertolak ke KAFA itu, Paku Payung tanya aku, kalau tak menang tak apa ke?

Aku cakap, tak kisah sebab yang penting ialah exposure dalam pertandingan macam itu. Pengalaman bercerita / bercakap di depan lebih 20 delegasi dari lebih 20 buah sekolah KAFA, itu lebih penting.



Dan sekembalinya dari dari bershoppang-shopping, kami singgah untuk lihat penyampaian hadiah.


Ya, dia turut merangkul hadiah dalam kategori yang dia masuk. Tahniah.





.

Tuesday, April 27, 2010

Tema apa raya tahun ini... ah! awal lagi

.


Suasana jam 9.30am


Bunga-bunga Hari Raya dah mula berputik. Malah, belum berputik pun lagi, harum bunganya dah boleh mula dicium wangi. Mungkin termasuk bunga-bunga kredit kad nanti...


Belum pernah dibuat seumur hidup aku ikut Mama pergi shopping kain-baju, kami tertegul di depan pintu kedai yang masih belum dibuka! Musykil giler nih. Mulanya ada 2-3 keluarga seperti kami sedang menunggu. Lebih kurang T-30minit, depan pintu kedai dah mula sesak. Tapi kedai belum buka lagi!



Selama ini, kami selalunya bershoppang-shopping kain-baju raya di Tangkak. Tapi, pembukaan cawangan baru Jakel di S.Alam ini tak dibuang peluang oleh Mama. Aku? Aku sekadar curious jer...





Bila kedai dibuka, ramai meluru masuk. Kami jalan macam biasa je. Taklah nampak sangat kami ni tak berkain-baju langsung. Kami terus ke tingkat atas. Aku tolong Mama pilih corak dan kain yang cantik-cantik. Ada juga yang berkenan kat hati. Aku lihat ada tertulis 1800 pada hujung papan tu. Wuih! Baru aku tahu, kain satu papan sepanjang 1800 ela panjangnya.

"Err... bukan encik. Itu harganya, satu meter RM1,800..."

Cepat-cepat aku kata kain tu jarang sangat. Tak sesuai untuk muslimah seperti Mama!



Sebelum masuk tadi, Mama dah pesan, tema tahun ini adalah 'Gold'. Tak banyak pilihan untuk aku dan Paku Payung. Tapi, baaaaanyaaaakkkk pilihan untuk Mama. Dan kami habiskan masa selama 2 jam di situ.



Antara yang menunggu..



Aku dah pilih dan beli dalam masa 30 minit pertama. Tapi, Mama melompat dari satu sudut ke satu sudut dan dari satu tingkat ke satu tingkat lain. Aku terjumpa sebuah kerusi. Aku biarkan Mama dilayan oleh Nilly (wakil penjual) sedangkan aku duduk dan pejamkan mata dalam keriuhan makcik-makcik yang sibuk memilih.



Selepas habis 2 jam, selepas 5 pasang kain ela di beli dan selepas beberapa ratus ringgit, akhirnya Mama menamatkan 'penderitaan' aku.

"Nanti, akak bolehlah cari tudung yang match dengan kain-kain ni ..." Kata Nilly.


Tudung!!! Alamak. Penderitaan aku belum berakhir rupa-rupanya.
Dan kasut.. dan handbag... dan mungkin eksesori untuk match dengan tema 'Gold' Mama tadi.
Atau mungkin juga Mama saja je 'hint' awal-awal tadi tentang 'Gold'...




Ketika berbaris untuk bayar, handphone aku bergetar-getar...

"Abah dan Mama kat mana sekarang ni?" SMS dari Paku Payung.

Aku balas, tengah shopping di S.Alam.



Eh, lupa. Sebelum kami ke sini, kami hantar Paku Payung di KAFA sebab dia masuk pertandingan 'Kalam Jama'ie' untuk Zon 2 daerah Petaling pukul 7.30am.


Kami tak keji, cuma kami tak mahu menyusahkan dia untuk terlibat dalam bershopping... hahaha.






.

Sunday, April 25, 2010

Sekuntum Mawar Merah.... sebuah puisi

.


Suatu pagi itu, Mama ada beritahu yang Paku Payung sedang mengorek sesuatu di dalam biliknya. Bila ditegur oleh Mama, cepat-cepat dia tutup pintu biliknya.


Sekembalinya dari sekolah, dia bawakan sesuatu untuk Mama.

"Ini untuk Hari Ibu... tapi maaf Mama, yang ni murah je..." katanya.

"Takpe, janji ... sayang Mama" balas Mama dengan setitis air mata.


Sekuntum bunga Mawar yang dibelinya di sekolah menggunakan duit dari tabungnya sendiri, secara diam-diam.



Keesokkan paginya, aku tak mahu mengalah dengan Paku Payung. Pagi itu, aku ajak Mama ke Pekan Sri Muda. Aku tahu Mama suka bunga Mawar. Lalu, aku pilih Mawar merah. Aku beli tiga kuntum dan salah satunya berwarna putih.

"Dua yang merah itu kita berdua, yang putih itu Paku Payung... yang masih suci dan murni, untuk kita corakkan warnanya nanti..." kata aku.







Hmm... ini baru bau-bau Hari Ibu je. Hari Ibu nanti, apa yang aku nak bagi Mama???




.

Saturday, April 24, 2010

Langsuir ada jantan dan ada betina?..... it is not Avatar

.

... dalam satu cerita yang lain, (arwah) Bapak pernah bercerita tentang langsuir betina dan jantan. Perkara yang juga berlaku di sekitar kampung itu.


Dikatakan bahawa langsuir itu ada yang betina dan ada yang jantan. Yang jantan lebih kepada bentuk jin yang lebih besar badannya. Aku pun baru tahu yang langsuir ni ada jantan dan ada betina. Ya lah, langsuir adalah sejenis jin. Dan aku bersetuju kerana langsuir bukanlah hantu roh orang yang mati berkeliaran. Yang aku kurang pasti sama ada langsuir ini sejenis syaitan atau bukan. Kalau ikut cerita-cerita dari Bapak aku, aku berkesimpulan langsuir ini adalah sejenis jin yang tak berkelaskan syaitan kerana kenakalan mereka tak sampai menyesatkan akidah manusia tapi sekadar nakal.



Nak dijadikan cerita, pada satu masa dahulu dalam tahun 60-an, penduduk kampung semakin meluat dengan kenakalan langsuir-langsuir liar ini. Jadi, sekumpulan penduduk kampung telah mengendap dan menemui 'sarang' langsuir ini - sebatang pokok Kekabu yang besar dan berada di pinggir hutan (antara Parit 4 dan Parit 5 sebenarnya).


Pada satu senja, seorang penduduk kampung membawa selaras senapang patah, menuju ke 'sarang' langsuir itu. Pada ketika yang sesuai, langsuir jantan yang dominan menunjukkan dirinya. Dengan lafaz Bismillah... dan selawat, lelaki itu membidik senjatanya tepat ke arah langsuir jantan yang dominan itu.. dan ..'BANGGG!!!!'



Langsuir jantan itu terus lenyap. Berlaku kekecohan. Tak lama kemudian, segala-galanya kembali senyap dan selesai....



Kata Bapak lagi, selang 2 hari kemudian, satu kampung terhidu bau busuk yang teramat. Bila penduduk kampung pergi semula ke pokok Kekabu itu, bau semakin menusuk hidung. Pengit dan pahit. Namun, tiada apa untuk dilihat. Tak nampak apa-apa...


Kecuali lalat-lalat hijau dan langau yang beribu-ribu banyaknya berterbangan dan bergayutan pada pucuk-pucuk lalang. Bila aku tanya suasananya, Bapak ceritakan yang lalang-lalang yang berhampiran pokok Kekabu itu semuanya lentuk dan tunduk ke bumi. Kelihatan berat dek banyaknya lalat-lalat yang hinggap.


Bau busuk itu telah menarik lalat-lalat ke tempat itu walaupun tiada bangkai yang kelihatan.






.

Friday, April 23, 2010

Tangan-tangan yang kurus.. berselimutkan daging lembik dan busuk..

.

....... tangan-tangan yang kurus bertulang itu, yang bersalut daging-daging lembik, yang diselimuti kain putih, dengan rakus menggoncang-goncang tali kelambu.


Resamnya, daun tingkap papan lapis akan terkuak sendiri menjelang tengah malam. Angin sejuk pula akan menderu masuk secara tiba-tiba. Cukup sejuk untuk mengejutkan mereka yang sedang tidur. Ketika itulah akan kelihatan sekujur kelibat putih terbang dan bertenggek pada tingkap. Dan jika diamati dari dalam bayang-bayang kain kelambu, akan terlihat kelibat putih itu menghulurkan tangannya yang panjang, mencapai tali kelambu dan menggoncangnya.


Sesetengah versi dari orang yang penakut, dikatakan juga ketika itu cacing-cacing tanah dan ulat-ulat akan jatuh ke lantai papan dan mengeruit. Dan ketika itu juga, burung 'lang-kuit' dikatakan tak henti-henti berbunyi.


Sesetengah versi dari orang yang berani pula, bila disergah, kelibat putih itu tadi akan terbang dan lari semula ke pokok. Tetapi, ia akan meninggalkan bau hancing yang kuat. Hancing macam baja Urea yang lembab 10 hari.


Ada juga versi dari budak-budak yang menceritakan bagaimana langsuir-langsuir ini mengganggu budak-budak yang sedang pulang darimengaji. Ada yang lari terkencing-kencing. Mana yang kurang kuat berlari, gemuk misalnya, atau masih kecil langkahnya misalnya, akan ditarik kain pelikatnya, lalu dibawa terbang dan disangkutkan pada ranting yang tinggi. Berbolenlah akhirnya.



Ini semua sekadar menceritakan bagaimana banyaknya langsuir-langsuir liar yang ada pada masa itu. Tidak pula ada diceritakan ada penduduk yang mati dek dicekik atau dihisap darahnya sampai kontang. Pada masa itu, cerita langsuir hanya berkisar tentang kacau-mengacau atau usik-mengusik sahaja. Tak lebih dari itu...




.

Thursday, April 22, 2010

Bila malam bulan mengambang penuh .... full moon

.


(Arwah) Bapak aku pernah cerita, awal-awal kemerdekaan dulu, kampung aku ada lebih banyak pokok cengal berbanding tiang-tiang rumah orang kampung. Lebih banyak busut jantan berbanding ibu-ibu yang mengandung. Pada masa itu, rimbunnya pokok-pokok di kanan-kiri jalan hinggakan bertaup pucuknya, bercium pucuknya. Redup.


Dan bila malam, walau kala bulan mengambang, cahayanya tertanam dalam rimbun daun, gelap. Pelita-pelita minyak tanah melentuk-liuk dimamah angin malam di dalam rumah-rumah kayu bertiang seribu, api pelita pun tahu geli kena mamah. Bau minyak tanah dari pelita-pelita tu bercampur-baur dengan harum Cempaka.


Dan bila malam juga, pukul 10pm lagi dah terkapar kelambu-kelambu merah jambu dan putih. Jarang-jarang sekali deru enjin motorsikal menggugah tidur burung, menggugah dengkur orang-orang kampung. Yang biasa terdengar ialah deringan cengkerik.


Dan bila tengah malam pula Bapak aku kata, langsuir-langsuir liar akan terbang melayang dan menarik-narik tali-tali kelambu...




.

Tuesday, April 20, 2010

Ni Hao Ma? ... chinese tounge...

.


Dah tiga(3) hari berturut-turut kami makan berlaukkan 'kung pao'...

Mula-mula, Siakap stim ala 'Kung Pao'

Hari kedua(2), Dhori fillet ala 'Kung Pao'

Hari ketiga(3), ayam goreng ala 'Kung Pao'

Esok lusa mungkin udang masak 'Kung Pao'.

Dan mungkin juga terselit ketam masak 'Kung Pao' pulak.

Aku rasa, tema kami untuk makanan bulan ini adalah 'Kung Pao' kut.











.



Monday, April 19, 2010

Kantoi di cekup polis ketika bermaksiat ... kantoi??

.


Malam kelmarin, aku tonton buletin 3. Si pembaca berita sedang membacakan berita tentang seorang penjenayah dicekup polis.


Itu biasa. Tetapi yang kurang biasanya, dia ada menyebut perkataan ' KANTOI '.


Sama ada salah telinga aku mendengar atau memang dia kata begitu, aku tak pasti.


Persoalannya, adakah KANTOI itu dah jadi bahasa rasmi? Aku tilik kamus Longman tak ada pulak perkataan KANTOI.




.

Sunday, April 18, 2010

Bercinta dengan alam sekitar... aneh

.

Hujung minggu yang penuh kelapangan... kami jalan-jalan ke Putrajaya. Tadi.



Dalam perjalanan, Mama londehkan cermin dan lempar sekepal tisu merah ke luar kereta.

"Mama kena cintai alam sekitar, jangan buang sampah... bla bla bla" Kata Paku Payung.

"Ah, Mama cintai Abah je." Kata Mama.

Paku Payung ngomel beberapa ketika.

Aku kata, tisu dari serat-serat pokok, dan berkecai-reput, akhirnya jadi humus.
Mama sedang membaja sebenarnya... aku backing Mama. (Mama, aku nak upah).





.

Thursday, April 15, 2010

Marhalah, perjalanan yang jauh.... human trafficking is illegal?

.

Marhalah. Hari tu aku ada sebut dan aku terpangggil untuk menulis sedikit tentang ini.

Bayangkan, kalau dulu nak berjalan sejauh 2 marhalah mungkin ambil masa 10 jam. Dengan berkuda, mungkin 4 jam. Sekarang, 1 jam berkereta boleh bergerak sejauh 2 marhalah.



Bayangkan, satu hari nanti kita merantau secara telekinesis. Pada masa itu, perjalanan 2 marhalah mungkin sekelip mata. Telekinesis bukan sesuatu yang baru dan bukan sesuatu yang dongengan. Telekinesis pernah berlaku, apabila Asif memindahkan istana Balqis sekelip mata. Telekinesis (perpindahan objek dari satu tempat ke satu tempat lain) pada asalnya dikaitkan dengan alam spiritual sebagai satu medium di mana telekinesis itu berlaku (1800-an). Bila sains berkembang, bahagian spiritual telah digugurkan dan digantikan dengan pengetahuan sains terhadap kejadian sesuatu benda.



Sains bukan benda baru pun. Sains berpaksikan rencam khayalan yang kemudian dirumuskan menjadi argumentasi dan dibuktikan melalui eksperimentasi yang berkaedah dan bersyarat. Yang membezakan argumentasi bodoh dan yang cerdik ialah eksperimen itu boleh diulangcara, menurut kaedah-kaedah dan syarat-syarat yang diberitakan, akan menghasilkan keputusan yang sama. Syarat sesuatu argumentasi untuk diterima seperti ini sebenarnya telah disepakati setelah diperkenalkan oleh seorang ilmuwan @ ahlul-kimia islam.


Mengenai telekinesis secara kaedah sains, apabila sains memisahkan spiritual, telekinesis mungkin hanya boleh dilakukan ke atas benda-benda bukan hidup. Kalau benda itu hidup pun, selepas telekinesis benda itu akan jadi tak hidup. Ini kerana telekinesis kaedah sains telah menolak kewujudan roh atau jiwa atau nyawa. Oleh itu, pembangunan teori dan sistem dibuat tanpa mengambil kira soal nyawa. Tak perlu hairan kerana ilmu tentang roh atau nyawa ini terlalu sedikit bagi manusia tahu.



Kalaulah telekinesis itu dibuat secara di-konstruksi dan re-konstruksi, bermakna pemecahan sel-sel hingga ke tahap molekular dilakukan, kemudian dipindahkan melalui apa-apa medium pun dan akhirnya disusun-gabungkan semula menjadi bentuk asal di tempat lain. Dua(2) persoalan yang aku utarakan:


1. Pemecahan sel adakah juga melibatkan pemecahan ruh atau nyawa?
Persoalan yang asas mesti dijawab oleh mereka yang mencipta sistem ini: apakah kehidupan? Ya, sains harus bermula dengan falsafah. Pereka perlu tahu adakah sel-sel bergantung kepada ruh atau nyawa, ataukah ruh atau nyawa itu yang bergantung kepada sel-sel atau molekul-molekul itu untuk terus 'hidup'? Ataukah mereka itu saling bergantung antara satu sama lain? Kalau begitu, apakah yang mengikat kedua-duanya dan bagaimana untuk memisahkan ikatan itu buat sementara sebelum dipindahkan ke tempat lain dan ikatan itu disambung semula? Pereka mungkin menemui jalan untuk memindahkan molekul-molekul tetapi bagaimana pula hendak memindahkan ruh atau nyawa? Apakah 'kantung' yang akan digunakan untuk 'menyimpan' ruh ini semasa pemindahan?


2. Pembentukan semula itu adakah satu penjelmaan semula atau pewujudan baru?
Pereka mungkin menggunakan maklumat dari DNA untuk menstruktur semula molekul-molekul yang bebas semasa perpindahan. Pereka mungkin juga mampu membina semula 'replika' yang saling tak tumpah daripada yang asal. Namun, adakah memori akan hilang semasa pemindahan itu? Takut nanti, selepas pindah orang itu menjadi bodoh. Untuk menjawab soalan ini, pereka perlu tahu di mana dan bagaimana memori disimpan pada tahap molekular, bukan sekadar tahap supersel atau tisu atau organ. Adakah memori itu wujud hasil dari interaksi beberapa sel? Jika benar, sudah tentu memori akan terhapus apabila interaksi itu dihentikan, walau untuk seketika. Bagaimana pula dengan ruh atau nyawa, bagaimana caranya untuk memasukkan semula ke dalam 'replika' itu?



Aku rasa, selagi aspek spiritual ini tidak diambilkira dalam kalkulasi sains mereka, telekinesis secara ini tak mungkin dapat dilakukan. Satu perdebatan hangat dan panjang pasti berlaku kerana komuniti sains di dunia ini secara amnya terbahagi kepada dua(2): Evolutionist, yang mendokong teori Darwin; dan Creationist, yang percaya kewujudan di dunia ini telah dicipta.



Satu cara lain telekinesis ialah melalui perpindahan secara jasmaniah. Kalau aku diberi pilihan, aku lebih rela di telekinesis secara jasmaniah ini. Walau keselamatan belum terjamin tetapi tubuh badan aku mungkin tidak perlu dicerai-ceraikan. Walau cara ini melibat satu teori yang baru, walau lama tetapi mengikut sejarah manusia ia masih baru, dipanggil mekanik kuanta.


Namun, pereka perlu punyai ilmu tentang bagaimana alam ini dicipta dan bagaimana alam ini ditadbir (atau kepada mereka yang evolutionist, bagaimana alam ini berinteraksi antara satu sama lain). Pereka perlu tahu bagaimana struktur alam ini. Struktur alam ini bukan setakat apa yang kita lihat, malah apa yang kita tak mampu lihat. Seperti pendapat saintis, alam ini sebenarnya lebih dari majoriti dipenuhi oleh 'jirim gelap' (melalui tarikan graviti antara jasad, dikhabarkan jisim jasad yang dapat dilihat tak mampu untuk menerangkan bagaimana alam ini mempunyai kedudukan dan struktur yang sebagaimana dapat dilihat sekarang ini, melainkan ada satu jasad tak dilihat yang mempunyai jisim yang berat untuk menolong mengaruhkan lagi graviti).


Pereka perlu mencari rahsia-rahsia alam ini dengan cara apa sekali pun, termasuk dari kitab-kitab. Seperti mahu menerobosi satu hutan tebal yang gelap dan tebal, kita perlu tahu selok-belok jalan dan rupabumi supayakita tak tersesat. Kita boleh bercerita tentang teori-teori berkenaan dimensi. Berapakah sebenarnya dimensi alam ini? Kita tahu, ada tujuh(7) lapis langit; Adakah ini dimensi? Teori Temali (string theory) menyatakan alam ini sungguh fleksibel dan fabrik ruang-masa ini boleh lentur, boleh digulung. Maka wujudnya teori 'lubang cacing' yang dikatakan salah satu lebuhraya untuk kita 'meloncat' ke satu tempat yang lain dalam masa yang pantas. Namun begitu, persoalan pokoknya, dimana dan bagaimana untuk mengawalnya?


Aku tak hairan tentang ini sebab mengikut cerita-cerita orang dulu -dulu pun, perkara orang boleh berada di beberapa tempat dalam masa singkat telah ada. 'Sahabat Masa' adalah mereka yang dikatakan mampu bersolat jamaah untuk setiap waktu di tempat-tempat yang berlainan.




Berbalik kepada persoalan marhalah di atas, bagaimanakah untuk mengira marhalah jika pada satu hari nanti pergerakkan manusia bukan sekadar merentasi mukabumi, malah turut merentasi masa?





.

Pahit bukan sekadar kepedihan dan kesedihan .... skyherb, tunjuk langit, mahogany

.


Sedikit masa dulu, aku ada cerita tentang buah Mahogani also known as Buah Tunjuk Langit. Sesetengah kata Skyherb.


Dulu. Aku ada beli beberapa kelopaknya. Dulu. Aku ada cuba beberapa kuacinya. Dan memang benar, ianya sangat pahit. Jadi, aku berhenti. Dulu.


Seminggu dua ini, aku dapat 'kecaman' daripada individu itu. Aku dah beli tapi tak makan. Katanya, setakat pahit ubat, ada penawar di dalamnya. Ya, satu motivasi untuk aku.


Kini. Seminggu ini, aku teruskan makan setiap hari. Ya, memang seperti nama buah itu. Memang kerap menunjuk ke langit. Cuma, kalau dalam rumah, tak nampak langit. Jadi, ia tunjuk ke arah Mama.


Dengar kata, ia baik untuk darah tinggi dan kencing manis. Tapi, aku tak ada kedua-dua itu. Malah, tekanan darah aku rendah. Bagi aku, walau pahit namun mungkin ada kebaikkan dalam kepahitan itu.


Ya, yang pahit itu biasanya ada kebaikkan. Bukan setakat kepedihan dan kesedihan. Ada sesuatu yang turut terpadu bersama-sama rasa pahit itu.






Campurkan dengan madu lebah, misalnya...



.

Wednesday, April 14, 2010

Budaya kematian... budaya yang kini diterima?

.

Kadang-kadang menjadi satu macam kebiasaan bila berziarah saudara terdekat yang meninggal, satu salinan surat kematian perlu diambil.


Tak lama dulu, saudara sebelah Mama meninggal di Melaka dan kami berziarah. Aku sempat menunggu ketibaan jenazah dari hospital. Ketika menunggu itu, aku lepak-lepak bawah pokok kelapa dengan orang-orang kampung. Agak ramai. Aku rasa arwah itu orang yang agak terkenal di situ.


Sambil lepak-lepak di situ, aku pun curi-curi dengar apa yang dia orang sembangkan, ye lah, aku orang luar, jadi aku dengar je la. Rata-rata orang yang bertemu dengan waris si mati ketika bersalam turut minta sesalinan surat kematian, untuk di berikankepada majikan sebagai bukti ziarah. Dan si waris yang faham, dan oleh kerana ramai yang minta, telah minta tolong salah seorang anak buahnya untuk fotokopi banyak-banyak untuk edaran.




Kelmarin, awal pagi, aku dapat panggilan telefon dari abang sulong yang salah seorang abang ipar aku telah meninggal dunia. Aku terus sms boss yang aku hendak pergi ziarah ke Perak. Zaman teknologi canggih manggih cenggini, di atas kubur pun boleh buat kerja kalau nak. Jadi, aku dan kompeni aku tak kisah sangat sebab ramai orang dan cuti aku masih banyak. Kata orang, kalau setakat aku yang tak datang ke pejabat, pejabat tak tutup.


Tapi, Mama jadi serba salah sebab itu adalah birasnya. Dan takkan nak minta salinan surat mati dalam keadaan sedih macam tu dari waris?


Kadang-kadang tuntutan majikan boleh mengganggu budaya kita.




.

Monday, April 12, 2010

Ada satu kematian di Trolak ... solat jenazah

.

Awal pagi tadi, ada kematian di Trolak. Abang ipar tiri aku... abang tiri ipar aku... err... abang kepada kakak tiri aku... err... kakak tiri aku panggil dia abang tapi sebenarnya suami. Jadi, Abang ipar tiri?? ye la tu kut...



Pagi tadi, aku bergegas dengan Mama ke sana selepas hantar Paku Payung ke sekolah. Mulanya dia nak ikut tapi aku tak benarkan. Aku suruh ke sekolah. Bila dia tanya kenapa? Aku kata, aku tak nak dia terkena 'badi'...



Di sana, aku bertemu semua abang-kakak-saudara-mara aku. Aku antara yang lewat sampai, lebih kurang jam 11am. Ini kerana di susur keluar Tg. Malim, aku teringatkan satu gerai nasi lemak berdekatan UPSI, berhadapan dengan Balai Polis, yang di tepi jalan itu tertancap batu jalan ' Tg. Malim 1'. Ya, memang tiada batu jalan bernombor '0'. Jadi, situlah titik tengah pekan Tg. Malim. Dan di situlah ada gerai-gerai makanan.



Aku mahu ajak Mama merasai nasi lemak 'special'. Aku panggil menunya 'Nasi Lemak Bawang' kerana sambalnya banyak bawang besar dan sememangnya sedap.



Kemudian, aku masuk semula lebuhraya melalui Behrang dan keluar semula di Sungkai. Aku turun semula ke selatan untuk masuk ke Felda Trolak Utara.





Abang sulong aku




Jenazah siap dimandi-kafankan lebih kurang jam 12.30pm, dan pengebumian dijalankan selepas solat Zohor di masjid berdekatan. Semasa menunggu solat Zohor, aku ambil kesempatan menggoogle doa untuk solat jenazah. Payah nak hafal beb kalau setakat bersolat jenazah 2 tahun sekali. Nampak gayanya, umur-umur yang begini, aku akan kerap solat jenazah.




Semasa solat Zohor di masjid, aku berqiam bersebelahan dengan jenazah. Dan aku akui solat Zohor yang itu adalah antara solat-solat yang amat menginsafkan aku. Ye la, setiap kali sujud, bau kapur barus amat menusuk hidung. Seolah-olah aku yang dilumuri kapur barus.








Ramai juga yang hadhir untuk solat Zohor dan jenazah. Untuk masjid bersaiz sederhana besar itu, kedapatan lebih kurang 5 - 6 sof. Lebih kurang 70-80 orang. Aku boleh agak sebab aku di sof belakang sekali. Bukan apa, saja menemankan si mati...



Kalau di Melaka satu ketika dulu, aku berkesempatan untuk solatkan satu jenazah, ketika imam membaca doa untuk si mati, ada 2-3 orang sibuk meletakkan duit ke dalam telapak tangan orang-orang yang sedang mengaminkan doa. Aku terkejut. Dan aku masukkan ke dalam tabung masjid. Tak tahu pulak aku begitu caranya bersedekah untuk si mati di hari kematian. Aku ingat, kaum Cina saja yang tabur duit kertas untuk si mati ketika mengusung mayat.


Aku lihat, di Trolak tiada budaya begitu.




.

Sunday, April 11, 2010

Jangan kasi aku fikir dua kali... ini jeritan si kecil dalam dada

.

HUarghh!!!!!



Aku bercuti dari belajar secara formal untuk 3 bulan nih. Oleh kerana dah terbiasa setiap Sabtu dan Ahad penuh dengan aktiviti berdengkur dan mengeram telur dalam bilik sejuk, Sabtu dan Ahad depan aku dah semacam mati akal, tak tau nak buat apa. Juga Sabtu dan Ahad depan-depannya, juga depan-depannya sehingga 3 bulan lamanya. Lamanyaaa....!


1. Inilah masanya aku balik kampung: satu ke utara dan satu ke selatan.


2. Aku nak pergi pasar tani hari Ahad di Stadium S.Alam. Kena pergi pagi-pagi buta sebelum burung ciak hilang dengkur, sebelum daun pokok hujan-hujan mula kembang, sebelum payung-payung warna-warni mula kembang. Sebabnya, kalau setakat pukul 9 am baru sampai, peluh mesti berjurai-juari. Tak payah pergi Kyoto atau Barcelona untuk nak tau tentang Greenhouse. Datanglah ke pasar tani itu dalam pukul 9 am dan pasti kamu tahu apa kesan Greenhouse: akibat payung-payung yang tak berselang seli, ibarat kalaulah sepandai-pandai tupai yang melompat, pasti tak cecah ke tanah punya.


3. Dah lama aku tak memancing. Ya, pancing aku dan segala perkakasannya sentiasa ada pada Along. Tak pernah aku keluarkan. Memang lama. Aku rasa, tali tangsinya pun dah reput. Kalau ikan bilis goreng tersangkut pun boleh putus punya.


4. Bersukan pagi-pagi dengan Mama, sambil ketawa-ketawa. Ya, kami berpeluh kerana ketawa, bukan kerana bergerak sana-sini. Kami selalu main badminton tetapi kalau setakat pejam mata pun mesti boleh kena bulu tangkis tu, sebab kami memang malas nak gerak. Aku kena pastikan setiap kali bulu tangkis tu jatuh berhampiran Mama. Cuma Mama sahaja yang pukul berterabur, tangan tak berbedung kut. Jenuh aku terkangkang nak capai, namun seperti biasa, aku cuba untuk tidak bergerak jauh.


5. Dah lama juga aku tak menjalankan aktiviti 'mengeteh' dengan kawan-kawan lama. Dah lama kami tak bentangkan dan berdebat tentang isu-isu dunia. Mengeteh dalam 3-4 gelas seorang, sampai kantung kencing penuh baru nak balik. Itu sebab tak sampai hati nak kencing di tandas kedai mamak tu sebab pasti terbau segala jenis teh dan kopi: teh arab, kopi janda baik punya, kopi tok ali jinnah, kopi kerbau, kopi ekor tupai..


6. Dan banyaaakkkk lagi.



Hmm... banyak aktiviti yang aku terlepas rupa-rupanya. Aku terlepas pandang dunia buat sementara waktu. Bila aku tersedar, dunia dah meninggalkan aku berberapa marhalah lagi...


Membuatkan aku terfikir, perlukah aku tertinggal lagi kerana menghabiskan masa di bilik sejuk sambil berdengkur dan mengeram telur yang tak menetas tu?


Aku dah mula fikir dua kali ni...





.

Wednesday, April 7, 2010

Perlukah aku bunuh? .... adakah kaitan tikus dan Din Beramboi?

.


Semua mahu hidup. Untuk hidup, kita perlu makanan, perlu minuman.
Perlukah kita bolot dunia ini? Ataukah kita patut berkongsi untuk terus hidup? Simbiosis?
Entahlah...

Aku tak pasti apa jenis simbiosis antara aku dan si kecil ini, lebih-lebih lagi di pejabat kami:

Sejak beberapa lama, ada si penumpang kecil ini menumpang hidup di pejabat kami. Mengambil kesempatan terhadap pantri kami yang sentiasa penuh dengan minuman dan makanan ringan.

Namun bila tersebarnya berita angin yang mengatakan kematian Din Beramboi berkaitan dengan kencing tikus (yang akhirnya disangkal oleh pihak hospital), kami mula risau tentang hubungan kami dengan si kecil itu.

Dua hari lepas, kawan aku beli perangkap. Mulanya perangkap jenis apit-apit, kalau kena mungkin terkepit atau putus dua. Boss tak setuju sebab si kecil itu pun ingin hidup. Jadi, dia beli perangkap jenis tak membunuh. Dua hari lepas juga, aku dan kawan aku ubahsuai pelantik perangkap itu supaya lebih sensitif. Aku ubahsuai mekanisma perangkap itu kerana aku tau si kecil itu bukan sebesar tupai. Menggunakan kepakaran kejuruteraan aku, dan sedikit pengiraan yang menggunakan Laplaz Transform, aku potong sedikit palang pelocok untuk sesuaikan dengan berat dan tenaga seekor tikus. Lalu, aku letakkan makanan kegemarannya. Kawan aku letakkan perangkap itu pada laluan si tikus kecil itu.

Pagi tadi, kawan aku jenguk. Dan teman simbiosis kami telah terperangkap. Namun persoalannya sekarang, apa yang patut kami lakukan?

Aku sms boss aku, aku cakap hasil tangkapan lumayan dan kalau mahu, tengahari ini kita boleh pekena sup tikus...

Dia balas, jangan dibunuh! Lepaskan dia jauh jaaauuuuhhh....
Selang beberapa waktu, aku sms boss aku lagi, dia dah selamat...
Boss aku cepat-cepat balas, apa maksud kau 'dia dah selamat...'?

Aku tau, dia mesti ingat aku dan kawan aku dah lenyek tikus tu atau direndam di dalam air longkang. Sebenarnya, aku dan kawan aku dah bawa tikus tu jauh-jauh dan lepaskannya di tepi jalan yang bersebelahan dengan hutan sekunder.
Aku balas sms boss, aku dah lepaskan tikus tu tapi dia dah merasa naik Honda aku, boss pun belum pernah naik lagi... hahaha...







.

Tuesday, April 6, 2010

Outstation... Day One went pretty well

.


Malam tadi, Paku Payung minta izin tidur sama-sama dengan aku. Dia angkut sekali sebuah jam loceng digital dan sebuah jam percuma dari restoran makanan segera yang asyik berkokok setiap satu jam. Mula-mula dia letakkan atas tilam sebelah bantal. Oleh kerana setiap jam ia berkokok, dia selit bawah sejadah supaya tak bising sangat. Kalau tak, aku sembelih 'ayam' tu. Aku dah cakap awal-awal lagi.


Cukup? Tak pasti...


Aku letakkan handphone aku di sebelah bantal aku dan aku set untuk berdering jam 6.00am. Sebelum itu, azan subuh dari corong pembesar suara sepatutnya cukup untuk menggegarkan dedaun tingkap rumah aku.


Cukup? Tak pasti...


Sebelum lelapkan mata, aku telefon Mama. Aku tinggalkan pesan supaya telefon aku pagi-pagi esok.




Seperti dijanjikan, Mama telefon aku sebelum pukul 6, sebelum jam-jam semua tu berdering. Tetapi selepas azan subuh yang sayup-sayup meniti ke gegendang telinga.


Masih berbaring, aku kejutkan Paku Payung dengan kaki aku. Aku tujah-tujah kaki dia suruh bangun. Lepas tu senyap seketika. Aku senyap, dia pun senyap. Kemudian aku terasa kaki aku pulak kena tujah. Dia pula tujah kaki aku suruh bangun. Akhirnya, aku kejapkan hati aku. Aku bangun dan aku tegakkan badan dia.


Kedua-dua kami duduk pada birai katil. Aku tengok Paku Payung duduk tapi mata masih terpejam. Tersengguk-sengguk. Terhoyong-hayang, macam Penguin mabuk todi. Kejap senget ke kiri, kejap senget ke depan.



Selang beberapa minit, satu persatu jam-jam itu berdering. Dah macam fun fair dengan badut-badut memegang loceng-loceng. Sungguh meriah awal pagi itu. Aku rasa, jiran-jiran pun turut terjaga.



Ahhh! 2 days to go...



Mama, bila nak balik ni?
Rindu ni...




.

Monday, April 5, 2010

Outstation ... segalanya terungkai akhirnya!

.

Mama pesan awal-awal lagi, pada malam semalam, sepemergiannya selama 3 hari ini aku dan Paku Payung kena buat itu-ini. Aku dan Paku Payung angguk-angguk kepala.


'Hari Isnin nanti, kena masukkan tuala dan songkok ke dalam beg sekolah petang. Pastikan botol air penuh untuk sekolah pagi...'

Ok. Ok.


'Jangan lupa pakai cermin mata. Nanti kotak cermin mata tu letak dalam beg sekolah pagi. Jangan lupa pindahkan kotak tu dan dompet duit dari beg sekolah pagi ke sekolah petang masa tengahari nanti...'


Err.. ok. Ok.


'Hari selasa pun sama tapi petang hari rabu ada ko-kurikulum dan sebelah pagi tu ada pendidikan jasmani. Jadi, lipatkan seluar-baju sekolah pagi dan masukkan ke dalam beg sekolah pagi. Pakai baju dan seluar sukan, cari dalam almari tu. Jangan terambil seluar sukan lama, yang itu dah koyak pada kelangkang. Lepas tu, masukkan seluar baju ko-korikulum dalam beg biru, bukan beg sekolah petang tau...'


Ha... ada beg biru? beg mana pulak ni?


Aku terkebil-kebil sambil cuba-cuba nak ingat segala. Jadi macam katak terkena air tembakau. Jadi macam Patrick kawan si Spongebob... 'daaaaa......' sambil mata melangut ke atas, konon-kononnya mencari jawapan.



Paku Payung kerling pada aku dengan pandangan sangsi. Renungannya amat sinis. Menghiris. Pandangan dengan tanda ketakyakinan.


'Mama batalkan je la oustation tu...' kata Paku Payung semacam mengadu.


Sah! Paku Payung memang tak yakin dengan kebolehan aku.




.

Saturday, April 3, 2010

Kali ini, tiada yang mengekori aku...

.


Hari itu mendung. Gelap. Tak ada bayang-bayang yang mengekori aku seperti selalu-selalu. Tapi wap dari aspal yang suam di renjis air awan membuat kan aku seperti berjalan di satu sauna yang luas.


Buat pertama kalinya, aku berjalan tanpa ada yang mengekori aku. Keseorangan dalam sauna luas.



Dan aku terjaga, air peluh mengalir dari dahi dan leher. Aku tepuk bantal. Ada percikan air peluh menerpa muka. Sungguh panas malam itu. Malam tanpa bayang-bayang.





.

Thursday, April 1, 2010

Sesuatu yang muncul dari dalam fikiran ... photon and waves

.

Aku keseorangan di situ.


Sendirian dengan erti kata yang sebenar-benarnya. Kesepian??? Oh tidak! Aku tidak sepi di situ. Masih ada lagu-lagu rock-metal menjadi halwa telinga aku. Halwa yang keluar dari sepasang corong suara dalam gentian plastik dan elektronik berelektron dan penuh foton-foton yang terhampur ke muka aku setiap kali aku jengah skrin itu.



Ya, foton-foton yang mengambil bentuk sekejap tulisan dan sekejap gambar. Foton-foton yang menyelinap masuk ke mata aku. Maka, genaplah aku diterjah dari dua penjuru: mata dan telinga. Adakh aku kesepian??? Oh tidak!.



Di dalam bilik yang tembusan cahayanya rendah, emosi sukar ditahan-tahan. Segala macam sesuatu yang hitam dan putih keluar dari dalam diri. Ia menjelma. Ia bertajali. Menjadi bayang-bayang di depan aku,pada mulanya. Kemudian, ia mengeras, ia merupa, ia berubah menjadi sesuatu yang foton-foton tadi tak dapat tembusi. Ia menjadi realiti.



Dan ketika itulah, suara-suara yang mula-mula tadi begitu jauh tenggelam mula timbul, mula kedengaran dan semakin jelas. Dan deria aku yang ke tiga ini mula mencium sesuatu yang janggal. Aneh sungguh.




Sesuatu yang membakar. Dan pastinya sesuatu telah terbakar. Bau asap bergentayangan di segenap penjuru bilik itu. Aku biarkan, pada mulanya. Namun, semakin kuat ia menyengakkan hidung aku, tidak mungkin aku boleh biarkan seperti foton-foton tadi dan getaran bunyi itu.



"Maaf bang, di bilik sebelah ada lebah buat sarang. Kami kena asapkan sikit"



Oh, tak apa. Aku minta sedikit madunya.


Aku aku diberi sedikit madu terus dari sarang. Madu yang masih menitis dan panas. Manis.

Oh, ya. Mungkin juga aku terhisap sekali susu-susu dari berenga atau anak-anak lebah yang masih putih itu.









.

Iklan 1 - kedai makan kawan2

Iklan 2

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Recent Visitors

Join

BlogMalaysia.com