Berbuka puasa dengan Itik Panggang adalah sesuatu yang best, kalau betul caranya.
Sekian lama mengidamkan Itik Peking. Teringin sangat-sangat nak rasa bila tengok itik-itik gantung sekitar pekan Taiping di zaman sekolah menengah dulu. Tapi, sekadar tengok je lah. Nak jamah tak berani sebab tengok itik-itik tu lentok semacam je lehernya. Berbirat. Walau masa itu kes selsema unggas belum pernah didengar, aku masih tak tergerak nak jamah itik panggang nyonya Taiping. Tak tergamak. Status juadah yang sah tak boleh makan.
Aku pernah sekali makan itik panggang sah status di Restoran Mukmin (Cina Muslim) di Seksyen 19, lebih kurang sebulan lepas. Menu baru, kata pemilik restoran. Maka, dengan dada berdebar-debar seperti nak serahkan teruna kepada Mama di 'malam pertama', aku pesan 1/4 itik panggang. Kena cuba dulu, sedap atau tak.
Bila sampai daging itik siap dihiris, aku lupa nasi yang aku pesan. Aku terus jamah, terus ratah bulat-bulat, macam ratahan 'malam pertama' juga asyiknya. Tak payah cicah-cicah. Terus balun dan 'Ngap!'. Owh! setiap titis air liur aku membantu melincirkan aksi mencanai daging itu dalam mulut aku. Aku tahan selama mungkin. Aku lepaskan sedikit-sedikit melepasi tekak aku. Aku mahu nikmati kelazatan itu selama-lama yang mungkin.
Bukan aku sahaja yang asyik. Mama juga melepaskan keluhan kecil. Dengusan yang menandakan 'jijik' melihat keasyikkan aku menikmati juadah pertama seumur hidup aku. Juadah yang aku idam-idamkan semenjak aku di Taiping lagi. Owh, terlupa. Patutlah Mama mengeluh kesah. Aku lupa. Aku suapkan sedikit ke mulut Mama yang sedikit terbuka kerana malu-malu disuap sebegitu. Daging itik panggang itu berkulit merah dan manis seperti madu. Walau telah habis ditelan, rempah ratusnya masih pekat terasa pada lidah.
Itu pengalaman pertama pada bulan lepas.
Kali ini, sempena berbuka puasa hari itu, Mama idamkan lagi kelazatan yang kami pernah nikmati bersama. Mama nyatakan keinginannya secara terang-terangan, tak perlu selindung lagi. Tak perlu malu-malu lagi. Dan ini yang kami dapat....
Habis tak konsisten langsung. Kepak dah hitam legam. Tak merah-merah macam mula-mula dulu. Daging dah kering. Tak boleh nak bezakan kulit dan daging yang dipanggang, dua-dua keras kematu. Hampeh...
Bukan itu sahaja, keesokkannya, 3 kali berturut-turut aku ke tandas.
Maka benarlah, nikmat yang 'pertama' hanya ada pada kali yang pertama sahaja... payah nak diulang-tayang.
.











