Wednesday, February 23, 2011

Tentang Kematian .... untuk ahlinya

Mari kita bercerita tentang mati pula. Saja nak anti-klimaks. Saja nak ingat tentang mati. Saja-saja. Sebagai ilmu pengetahuan sahaja dan jangan mengia atau menidakkannya sebab ini diceritakan UNTUK mereka yang 'ahlinya', sepertimana yang dicatat dalam manuskrip itu. Aku sekadar bercerita sahaja. Begini ceritanya...

.......................

Seperti yang diterjemahkan (dari arab-jawi ke rumi) oleh Hj. Wan Muhammad Shaghir Abdullah
(Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara Jilid 1 -perpustakaan negara Malaysia ISBN 983-9701-02-9), yang ditulisnya " ... berdasarkan maklumat yang terdapat pada akhir risalah yang pertama, dari sebuah manuskrip yang saya temukan di Kota Bharu, Kelantan (1 Syawal 1409H)". Berikut ini cerita dari beliau:


Didalam manuskrip itu terdapat 3 judul, tetapi kesemuanya tidak diketahui nama judul dengan pasti dan jelas. Buat sementara, ketiga-tiga judul itu disatukan sahaja, iaitu berasal dari kalimat "Dipindahkan kitab ini daripada kitab yang bernama Otak Ilmu Tasawuf". Dapat diketahui bahawa kitab tersebut adalah karangan  Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri.

Sedutan kitab karya Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri mengenai alamat ketika mati:

" Maka ketahuilah olehmu, bahawasanya tatkala mati itu datang alamat kepada kamu enam perkara:

Pertama: 
Bahawa keluar ia daripada diri kamu suatu cahaya, warnanya seperti embun. Maka jadi embun itu seperti awan yang putih, dan di dalamnya seperti rupa kita. Dan pakaiannya kuning. Dan tubuhnya putih. Berkata ia seperti perkataan segala Nabi, maka jangan engkau percahaya (percaya) di dalamnya.

Dan kedua: 
Bahawa keluar ia daripada diri kamu suatu cahaya, warnanya hijau. Dan di dalamnya hayat kita. Rupanya seperti Burung Tiran, maka jadi seperti khuldi. Maka berkata ia, "Akulah Buraq". Maka jangan engkau percahaya (percaya) di dalamnya.

Dan ketiga, perkara: 
Bahawa datang kepadamu seorang laki-laki terlebih baik. Rupanya api. Dan keluar daripada telinganya api. Maka jangan engkau hairan di dalamnya.

Dan keempat, perkara:
Datang kepadamu malam gelap, maka timbul cahaya seperti cermin,di dalamnya Durratul Baidha' yakni permata gilang gemilang, dan cahaya di dalamnya seperti rupa Nabi. Maka sucikanlah hati kamu pada ketika itu, maka wajiblah berpesan, dan ketahuilah olehmu
bahawasanya engkau hampir akan mati. Maka janganlah engkau syak lagi di dalamnya.

Dan kelima, perkara: 
Bahawa datang kepada kamu suatu cahaya sepohon kayu berdiri ia di bawah Arasy, datang ia kepada hadapan kamu. Dan di dalamnya Malaikat. Ketahuilah olehmu, bahawasanya hampirlah engkau akan mati. Maka janganlah engkau syak lagi di dalamnya.

Dan keenam, perkara:
Datang kepadamu suatu cahaya yang seperti sehelai rambut, maka berdiri ia pada dahi kamu, seketika itu datanglah Malaikat duduk ia atas kananmu. Maka berkata ia, "sejahteralah atas kamu wahai Wali Allah ! Bermula Allah Ta'ala menyuruh mewahyukan salam kepadamu".

Maka jawab kita," Atas kamupun sejahtera. Dan daripada Allah sejahtera dan kepadaNya jua
kembali sejahtera
".

Maka kemudian nur yang kecil itu masuk ia ke dalam cahaya mata,maka masuklah ia kepada urat. Kemudian maka beredarlah ia kepada ubun-ubun kepala, dan itulah yang bernama Baitul Makmur, hingga nyawa kamu naiklah ia atasnya.Kemudian maka masuklah di dalam maqamnya. Maka mengucaplah hatimu pada ketika itu. Maka matilah kita.

Maka (selepas itu) keluarlah cahaya yang kecil seperti sehelai rambut, maka (selepas itu)
terlebih besar tiadalah dapat dirupakan lagi terlebih cahaya matahari dan bulan (cahaya itu tak
dapat digambarkan lagi dan melebihi cahaya matahari dan bulan: nizam.ariff).

Dibuka pintu langit, maka lintaslah ia kepada Arasy, hingga sampai nyawa kamu ke hadhrat Tuhannya. Maka melihat akan Tuhannya. Firman Allah Ta'ala,"menilik bagi Allah,dan kepada Allah jua kembali amanahnya".

Maka pulanglah bayang-bayang itu kepada yang empunya dia, dan pulanglah buah itu kepada air. Bermula Allah jua mencuba kita kepada jalan yang betul."



...............

Pada awalnya, aku teragak-agak nak sebarkan kisah ini sebab ada pesanan daripada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri pada akhir manuskrip tersebut :

" Maka berkata Syeikhku dan ikutanku dan perpeganganku kepada Allah,"Maka
jangan engkau zahirkan rahsia ini, habaya-habaya melainkan ahlinya". Demi Allah dan Kalam Allah, maka jangan kamu, yakni jangan kamu serahkan seperti yang disuruhkan oleh penghuluku Tuan Syeikh Ibrahim namanya, Kurani nama negerinya, duduk di dalam Madinah negeri Rasulullah Shallallahu 'alai wa Sallam"
.

Proses kematian seperti yang didalam manuskrip ini adalah untuk 'ahli'nya, yakni untuk mereka yang 'kewalian'. Aku, kau dan kita mungkin berbeza.





.

10 comments:

kucingorengemok said...

o, ingatkan "ahli mati"...

Mutalib attholib said...

Kias fansuri.. Makin byk kita belajar, makin kita tahu yg banyak lagi kita tak tahu..

secangkir madu merah said...

... sesekali baca kesah mati buat hati jadi insaf...terima kasih nizam

NM02 said...

huh.... mati itu pasti. tersedar dari lamunan.

Aku said...

KOG,
Kalau gitu, semua kita ahli mati... hahaha

M.attholib,
banyak berkias boleh silap tafsir, silap faham jadinya...

SMM,
tu sebabnya aku letak kat sini, dah selalu sangat bercerita pasal hidup ...

NM02,
Aku pun sama, banyak sangat mengelamun...sekali sekala kita kena reset balik minda kita ni.

tasekM said...

kematian yg bukan ahli cemana pulak tu...?



.

Aku said...

TM,
maaf... aku tak ada jawapan....

AZANI said...

salam zam
aku tak pandai tafsir, bukan juga nak tafsir

tapi ada aku dengar sbelum roh dicabut, itulah masa kritikal..di mana syaitan berusaha tersangatlah untuk enyesatkan last kopek...di mana ia merupa rupa orang yang amat kita percaya, guru kita, imam kita, sahabat kita bahkan ibu bapa kita, pasal itu disarankan kita berdoa minta husnul khatimah.
kalau tak silap wan saghir juga ada terjemah minyatul musalli karangan sheikh Daud al fathani yang dikatakan sezaman dengan sheikh yassin al padangi, sheikh arshad al banjari dan sheikh samad al palembangi.wallahu a'lam

ckLah said...

Pertama kali mengadap ayahanda mertua menghadapi sakratul maut sendirian.... terasa satu kesempatan yang terlalau bermakna diberi oleh Tuhan, meski dalam masa yang sama, ckLah kehilangan ayahanda mertua tersayang.



......pemergian yang begitu sempurna, adakah nanti cara kepergian ckLah juga begitu? Wallahu'alam.

Aku said...

Azani,
Aku juga faham yang sebegitu. Tapi yang ini pada pendapat aku untuk mereka yang martabat tinggi ketakwaannya..mungkin setan pun dah malas nak goda. Namun, mereka juga ada ujian yang dahsyat... ujian terhadap kalimah tauhid itu sendiri. Dalam teks itu juga ada cakap '...berupa wajah nabi..'. Kalau tak pernah lihat wajah nabi, macam mana nak tau? kecuali mereka dah biasa melihat wajah nabi dalam mimpi-mimpi mereka.. wallahu'alam.

Cklah,
Moga-moga kita pergi sebegitu, namun itu pun masih punyai ujian yang besar. Lebih tinggi martabat seseorang, lebih tinggi juga ujiannya...

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com