Sunday, March 13, 2011

Sumbi Emas... seram menanti dihujung daun

.


 

Matahari pijar, pancaran cahayanya senak menyuluh renik-renik peluh Pak Abu yang bagai mutiara petang. Cangkul tua berbatangkan kayu pulasan yang terkenal liat itu dihayunkannya  berkali-kali untuk merobek tanah liat berwarna merah di bawah pokok Saga yang tumbuh tak berbela sebesar peha. Sesekali dia berhenti mengumpul nafas. Sesekali Pak Abu berhenti lagi untuk meneguk air kosong dari geluk plastik yang dibawanya dari rumah. Pak Abu menyeka peluh yang berjurai-jurai dari hujung rambut yang kian memutih, yang tinggal beberapa helai sahaja itu.


Pak Abu perlu cepat siapkan kerjanya. Selepas Asar nanti, satu jasad akan bersemadi lagi di tanah perkuburan itu. Liang lahad masih belum siap digali. Pak Abu ambik penyukat dan menariknya dari hujung ke hujung. Belum cukup panjangnya, dia tarah lagi dinding tanah liat merah dibahagian kaki agar lebih panjang. Tubuh Opah Senah nampak saja pendek tetapi bila dibujurkan, panjang juga rupa-rupanya. Pak Abu gelengkan kepala beberapa kali. Tak sangka orang tua itu akhirnya bersemadi dalam lubang kubur yang digalinya. Opah Senah, seorang bidan kampung yang terkenal sehinggakan kampung sebelah pun meminta khidmatnya jika diperlukan.


Pak Abu bukan orang senang. Pak Abu hanya mewarisi sebidang tanah yang kecil dan sebuah rumah papan buruk dari orang tuanya. Dia tinggal berseorangan di rumah itu. Berkelana jiwanya, hidupnya tidak berteman. Lebih senang begitu,katanya pada siapa-siapa yang bertanya. Tangannya hanya perlu menyuap satu mulut, bukan dua atau lebih. Dia lebih suka bertemankan kokok ayam dan angin bukit. Itu dunianya, itu juga hiburannya. Juga rahsianya hanya untuk dirinya.
 

Namun, Pak Abu tidak sepi-sepi dikunjungi orang kampung meminta jasanya sebagai penggali kubur. Pak Abu tak kisah. Pak Abu suka bila diminta berbuat demikian. Sekurang-kurangnya, dia masih terasa diperlukan oleh penduduk kampung.


Angin petang menyerbak bau daun-daunan reput di musim kemarau itu. Ranting-ranting reput dan rumput-rumput yang layu menyentap perasaan dahagakan rahmat berkunjung dari perut langit. Sudah cukup berehat, Pak Abu teruskan menghayun cangkul tua yang penuh jasa itu. Bukan saja kepadanya, juga kepada orang-orang kampung. Setiap kali mata cangkulnya membenam, Pak Abu helakan dan tarik nafasnya. Bukan senang menggali kubur. Tanah liat merah itu bagai menyerap setiap tenaga tuanya yang hanya bersisa. Urat-uratnya akan timbul dan pada malamnya pasti akan kebas-kebas dari hujung kepala hingga ke ibu jari kaki. Minyak angin sakal putung serai wangi buatan Hj. Dakam (arwah) itulah yang menjadi penawar lenguh dan sengalnya.


Selang beberapa kali lagi tanah dikobak, mata cangkul tua Pak Abu berdenting mengenai sesuatu. Pak Abu gelengkan kepala lagi. Dia tunduk lalu tangannya meraba-raba di dalam tanah itu. Biasanya, batu-batu sebesar penumbuk akan menyumbingkan mata cangkulnya.  Tapi, kali ini tidak. Tak ada batu. Pak Abu henyak-henyak lagi mata cangkulnya. Itu bukan batu, detik hatinya. Itu bunyi papan. Mata cangkulnya telah terkena papan penutup liang lahat. Pak Abu telah tergali kubur lama.


Kubur siapa? Soalan itu bermain-main dalam fikirannya. Dia mengungkis lagi tanah liat merah itu dengan cangkulnya sehingga papan lahat yang tebal tetapi separa reput itu terdedah. Perasaan ingin tahunya semakin tinggi. Dia umpil papan lahad itu dengan mata cangkul. Di bawah papan itu ada satu runag kecil dan di dalam ruang itu beberapa tulang masih belum reput.


Pak Abu berlutut bertongkatkan batang cangkulnya. Dengan pertolongan cahaya matahari, dia terlihat sesuatu yang berkilat diantara tulang temulang itu. Pak Abu seluk tangannya lalu dikuis-kuis tulang-tuluang itu ke tepi. Emas. Pak Abu terjumpa emas.


Pak Abu cuba ambik emas itu tetapi didapatinya emas itu masih melekat pada tulang rahang. Dia termenung sebentar. Dia berkira-kira. Mayat Opah Senah perlu disemadikan petang itu juga. Dia serba salah. Mahu dikambus semula, dia tak larat lagi untuk buat lubang kubur yang lain. Masa sudah suntuk.


Akhirnya, Pak Abu ambil keseluruhan rahang itu lalu diselitkannya pada ikat pinggangnya. Biar diselesaikan dulu kubur Opah Senah, fikirnya. Hal sumbi emas itu nanti boleh difikirkan kemudian. Lalu Pak Abu kambus semula lianng lahad itu. Dia tarah dinding tanah liat merah di bahagian tepi supaya lubang kubur Opah Senah itu nanti dianjak kira-kira 2 kaki ke tepi menjauhi liang lahad yang lama itu. Satu jam kemudian, lubang kubur Opah Senah telah disiapkannya.


Pak Abu keluar dari lubang kubur yang lapar menunggu mayat Opah Senah. Dia duduk di bawah pokok Saga untuk berteduh dari matahari yang kian condong. Geluk air di tonggang sehingga habis. Penat sungguh Pak Abu. Peluhnya meluncur laju dari setiap inci tubuh kurusnya. Baju kemeja lusuhnya habis lencun, melekat pada batang tubuhnya yang kering dan hitam itu. Kemudian, Pak Abu teringatkan sumbi emas yang masih melekat pada tulang rahang itu, yang masih tersisip pada ikat pinggangnya.


Mata Pak Abu melingas ke kiri dan kanan, takut-takut ada orang yang nampak. Setelah berpuas hati tak ada mata-mata yang melihatnya, dia belek rahang itu. Sumbi emas itu masih utuh melekat pada tulang rahang. Dia cuba cungkilnya dengan ranting kering namun ranting itu patah. Sumbi emas yang dibuat pada gigi geraham itu masih kuat, dan masih berkilat. Pak Abu sudah mengira-kira. Mau dua tiga ratus juga kalau digadaikan, fikirnya.


Terlintas juga rasa berdosa dalam hatinya tetapi dia sisihkan jauh-jauh. Dia tolak perasaan itu jauh-jauh. Apa guna lagi sumbi emas itu pada orang yang dah mati? fikirnya lagi. Langit mulai redup. Awan kelabu menutup matahari. Bunyi beduk bertalu-talu singgah dikupingnya. Tak lama selepas itu, laungan azan dari corong surau itu pun bergema. Waktu Asar telah masuk.




...sambung.




(Namun, malamnya bukan sepi lagi. Ngeri mula menjalar...akan disambung di Merung Mahawangsa nanti...).






.

10 comments:

tasekM said...

pehal org tgh sedap2 baca sambung plak nih....?






.

ckLah @xiiinam said...

Betul Pak Abu...gadaikan aje...


***Mesti Merung Mahawangsa kau popular lps ni sebab sekarang ramai orang klik filem baru KRU tu. Anak2 ckLah sedang beruaha membodek abah depa untuk menonton.

Nizam.Ariff said...

TM,
Aku penat menaip la... kasi la aku sarapan jap...

Cklah,
Jual boleh... tapi ada yang Pak Abu tak tau tu... cikgu bagi ilham sikit ending macam mana yang menarik?

Meeja said...

makin rajin pulak paman update blog sekarang ni. tak sempat nak bace . hahaha .
jawapan teka teki haritu mane ?

tasekM said...

dh sarapan, kan...?
sambung cepat.





.

Nizam.Ariff said...

Mimi,
teka teki mana lak nih? hahaha... dah tertinggal jauh la tu...

TM,
Gua nak pekena cendol pulut kat Taman Maju, Jasin jap...
Ilham cerita seram datang biasanya waktu malam.

Oh yer,... aku sambung bila komen kat sini cecah 12 orang ...hahaha

Linda said...

Aku nk cukupkan 12 org je tp xmo baca... Aku takut cite seram.. Haha

aza ni said...

iniya entri rahang tegang yang dinantikan ...memang berbaloi penantian ku...

terimaksih zam...cer cerita lagi...sedap benar mike mengarang.

attholib said...

aku rasa ko boleh buat novel la bro :)

Nizam.Ariff said...

b.kedondong,
esok la ko baca bhg 2... hahaha

Azani,
Ni tengah cari idea nih... hahaha

M.Attholib,
Tak larat nak tulis la bro... tangan kanan aku sakit. Dah 3 tahun. bukan tak nak tulis...

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com