Monday, March 5, 2012

Awas! Ini entri panjang... kisah kiamat bakal datang 40 hari lagi

.


Ini kisah mimpi aku malam tadi. Aku beritahu awal-awal, kisah ini hanyalah mimpi dan bukan teori baru yang menggantikan kronologi kiamat masyhur yang sedia ada. Mimpi aku itu berkenaan hari-hari terakhir dunia yang diceritakan detik demi detik sebelum kiamat besar dan dikisahkan secara ‘localised’ atau setempat. Dimanakah tempat itu? Dalam mimpi aku itu, aku berada di sebuah rumah batu 2 tingkat di kawasan perumahan USJ12 di Subang Jaya.

Oleh kerana mimpi aku itu setempat, jangan pula tanya tentang Yakjuj & Makjuj dan Dajjal. Juga jangan ditanya tentang Imam Mahdi dan Nabi Isa. Mimpi aku itu berkisah selama 2 hari pertama sebelum kemusnahan dunia yang dijangkakan akan berlaku lagi 40 hari. Bagaimana aku tahu 40 hari? Nanti aku ceritakan. Cuba hayati bagaimana suasana dan perangai manusia ketika itu, termasuklah aku tetapi jangan dihukumkan aku atau sesiapa pun jika aku tersebut nama-nama orang itu. Ia hanyalah menceritakan bagaimanakah perangai beberapa golongan manusia ketika itu.


Maka, inilah mimpi aku dan aku cuba ceritakan semula sebaik mungkin. Begini...



         Hari sudah petang, sudah pukul 3pm lebih dan matahari terik memancar panas di ufuk barat. Sementara menunggu waktu Asar yang dijangkakan azannya bergema dari corong surau kawasan perumahan sikit masa lagi, aku duduk di depan TV manakala Mama sedang sibuk di dapur memasak sesuatu untuk minum petang. Aku berasa kasihan melihatkan surau itu yang biasanya hanya Imam, Bilal dan beberapa orang lagi yang berjamaah setiap solat 5 waktu. Aku juga jarang berjamaah di situ walau pun surau itu berada di tengah-tengah kawasan perumahan, hanya waktu maghrib aku di surau itu.


       Sedang aku duduk-duduk itu, tiba-tiba aku terdengar satu bunyi aneh yang payah hendak aku gambarkan. Ia seperti bunyi batang besi dikenakan tekanan dan meleding. Bunyi berkeriutnya seperti bunyi kapal laut yang sedang tenggelam atau kapal selam yang sedang mengalami tekanan air laut ketika menjunam ke dasar. Cuma bunyi itu sungguh kuat dan bergema di ruang angkasa. Bunyinya bukan berterusan tetapi secara ‘packet’ atau kuanta tetapi bunyi kuat itu berlarutan selama lebih kurang 10 minit. Aku cuba cari arah bunyi itu tetapi aku gagal. Bunyi itu seolah-olah datangnya dari segenap langit. Aku amati bunyi itu sehinggakan aku terlupa siaran TV. Aku cuba kenal pasti bunyi itu tetapi aku gagal juga.


       Sebaik sahaja bunyi berkeriut itu habis, suasana sunyi beberapa minit. Kemudian, terdengar pula bunyi seperti guruh. Bukan bunyi panahan petir yang bingit itu tetapi bunyi guruh yang berfrekuensi rendah. Seperti bunyi gitar bass di sebuah konsert rock dan aku berdiri di depan pembesar suara gitar bass itu. Bunyinya seperti bunyi letupan dinamit di sebuah kuari yang terletak lebih kurang 10km dari telinga yang mendengar. Bunyinya seperti bunyi menderam dan menggelegak, bertalu-talu selama lebih kurang 15 minit dan ianya datang dari dalam perut bumi! Namun bunyi itu sungguh kuat hingga gemanya memenuhi langit.


       Bunyi kedua itu membuatkan dada aku bergegar. Serta merta aku menjadi gugup dan takut sangat-sangat. Aku berjalan ke luar rumah dan di luar sana aku lihat jiran-jiran juga keluar dari rumah sambil memandang ke arah langit. Aku juga lihat orang-orang berhentikan kereta dan turut keluar sambl memandang ke langit. Begitu juga orang-orang yang menaiki motorsikal. Semuanya, termasuk aku, tercengang-cengang tanpa bersuara apa-apa. Kami semua seperti orang yang bingung. Seperti orang yang baru bangun dari tidur dan cuba mengingati sesuatu tetapi gagal. Apa yang aku rasa ialah rasa takut yang teramat!

       Dalam keadaan kami yang sedang bingung itu tiba-tiba aku terasa seperti mual, hendak muntah. Perut aku terasa bergelojak, bergoncang. Aku terasa pening. Bumi sedang bergerak-gerak!


      Kemudian kami berkumpul di sebuah surau di kawasan perumahan itu. Kami semua cuba mencari kepastian apakah yang sedang berlaku. Tiba-tiba bangun seorang lelaki dan dengan suara lantang dia menceritakan apa yang dia ketahui, seolah-olah dia mengetahui segala-galanya. Maka dia cepat-cepat dikerumuni oleh beberapa orang yang ingin mendengar. Tak lama kemudian, bangun seorang lelaki lain di penjuru surau pula lalu dengan suara lantang dia pun bercerita. Maka cepat-cepat dia dikerumuni oleh beberapa lelaki yang lain pula.


      Begitulah, ada beberapa lagi orang yang bercerita di kaki lima, di tangga, dekat mimbar malah di bawah-bawah pokok. Kesemua mereka itu dikerumi oleh pendengar setia yang melongo dan melopong mulutnya. Masing-masing ada pengikutnya. Walhal, mereka sendiri tak pasti sama ada cerita mereka itu benar atau tidak. Mereka hanya dengar-dengar daripada orang lain. ”Aku dengar kalau berlaku benda-benda macam ni..... ” atau ” Aku dengar ada orang ceritakan...” atau ”Ada ustaz tu kata...” tetapi tak seorang pun yang benar-benar tahu.


      Lalu ada seseorang memberikan cadangan agar ditanya sahaja orang-orang yang benar-benar tahu. Dia syorkan agar ditanyakan kepada Ustaz atau Imam atau mereka yang benar-benar tahu. Maka mereka cuba bertanya rakan-rakan kalau tahu di mana Ustaz si Polan bin Si Polan, Imam si Polan bin si Polan tetapi semuanya tak diketahui di mana. Seolah-olah mereka itu telah ghaib dari dunia. Mereka semua itu hilang dalam sekelip mata meninggalkan kami yang sedang bingung tentang apa yang sedang berlaku ketika itu.


       Apabila begitu, aku cepat-cepat pulang ke rumah. Aku duduk sebentar sambil mengingati sesuatu tetapi tak jumpa. Seperti ada sesuatu di dalam kotak tetapi apabila aku buka kotak itu, ianya kosong. Aku menjadi seorang yang bingung tetapi hati kecil aku kuat mengatakan ianya adalah bunga-bunga kiamat. Apabila teringatkan kiamat, aku jadi gelabah. Aku jadi takut. Serta merta aku teringatkan taubat.


        Setelah termanggu seketika, aku tekadkan hati untuk bertaubat mengikut adab dan  peraturan. Sekali lagi berlaku keanehan, aku terlupua bagaimana mahu bertaubat. Setelah mencongak-congak, aku rasa aku perlu berwudhuk dan melakukan solat sunat dan solat taubat. Lalu aku ke bilik air dan berwudhuk. Malangnya, aku rasa seperti wudhuk aku tak sempurna dan malang sekali lagi, aku tak pasti bagaimana hendak berwudhuk secara sempurna. Aku jadi amat was-was.


        Setelah itu, aku bentangkan sejadah dan berqiam sebentar. Aku cuba mengingati rukun-rukun sembahyang tetapi aku was-was juga. Tapi aku teruskan dengan takbir. Sekali lagi berlaku malang. Aku tak dapat baca surah Al-Fatihah! Aku tahu aku perlu baca surat Al-Fatihah selepas doa iftitah tetapi aku tak boleh baca! Otak aku terasa kosong!  Jadi, aku batalkan hasrat aku untuk bersolat sunat kerana aku tak mampu baca. Aku tahu tetapi tak boleh buat.


       Jadi, aku ambil keputusan untuk bersujud dan berdoa agar taubat aku diterima. Sekali lagi berlaku malang apabila ketika bersujud itu lidah aku tak mampu nak beristighfar! Dengan kata lain, aku tak boleh bertaubat. Terdetik di hati aku, adakah ini yang dikatakan pintu taubat telah tertutup?

       Aku seperti berputus asa. Aku panggil mama mengajaknya ke surau tetapi mama enggan kerana dia sedang bersiap-siap untuk menyimpan beras dan makanan termasuk air bersih untuk menghadapi bencana itu.


       Setibanya aku di surau semula, aku dapati mereka semua masih berdebat dan berbincang tentang masalah tadi. Kemudian, aku ajak mereka semua untuk mendirikan solat Asar yang sudah masuk waktu tetapi masih belum didirikan sejak tadi.


       Maka, seseorang pun dilantik menjadi Imam. Sedang elok dia berdiri di depan, tiba-tiba dia berpaling lalu mengatakan dia dah lupa surah Al-Fatihah. Dia bertanya kepada makmum yang ada jika ada sesiapa yang hafal tetapi semuanya menggelengkan kepala. Jadi, bukan aku seorang sahaja yang lupa. Semua orang telah lupa!



       Malam itu, aku berjaga-jaga di rumah yang gelap gelita. Hanya diterangi cahaya lilin. Ada beberapa kelompok manusia yang hanya bersiap-sedia untuk menghadapi bencana tanpa mengetahui tentang kiamat yang bakal tiba. Mereka ini hanya sibuk mengumpulkan bekalan makanan dan minuman dan mencari tempat berlindung di tempat2 yang dirasakan kukuh. Mereka menjadi terlalu obses sehinggakan sanggup memukul, merompak atau juga membunuh hanya untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman.


      Aku terpaksa berjaga sepanjang malam di rumah. Sambil-sambil itu, aku masih mencari cara untuk bertaubat. Aku tahu dunia akan hancur dalam 40 hari lagi dan apa yang aku sedang fikirkan ialah ingin bertaubat. Tetapi, aku masih gagal untuk bertaubat. Aku tahu bagaimana hendak bertaubat tetapi aku tak boleh lakukan. Aku terasa seperti aku ini sungguh malang.


       Keesokkan harinya, aku terdengar jiran-jiran sedang bersembang seperti ada sesuatu yang sedang berlaku. Cepat-cepat aku keluar dari rumah. Aku lihat masing-masing mendongak ke langit dengan muka yang cemas.


       Aku pun turut mendongak ke langit. Ada sesuatu yang aneh sedang berlaku. Langit yang berawan dan biru sedang berubah. Perlahan-lahan awan menjadi nipis sikit demi sikit sehingga hilang. Kemudian, langit yang biru itu hilang warna birunya perlahan-lahan sehingga menjadi hitam. Langit biru itu telah hilang! Apa yang ada sekarang ini ialah ruang angkasa yang kosong. Aku dapat lihat bintang-bintang berkerlipan di langit. Cahaya pun mulai suram. Kemudian, aku dapat rasakan segala-galanya menjadi ringan. Bumi sedang hanyut dan tidak berputar lagi. Dan itu adalah hari kedua menjelang kehancuran dunia yang bakal tiba 40 hari lagi...


End.




.

15 comments:

gadisBunga™ said...

aku pernah mimpi macam tu.

kawan aku pun penah mimpi mcm tu.


pelik kan?

Nizam.Ariff said...

GB,
maknanya, kiamat sudah hampir....

sepa said...

ko dah tanya ustaz. apa dia kata, bang.?

Nizam.Ariff said...

Sepa,
tak tanya pun.. buat apa nak tanya, mesti dia cakap.." mainan tidur"...
atau "basuh kencing tak bersih.."... buang masa jer...

Wanpetunjuk said...

Suhanallah....MasyaAllah, dapat hadiah mimpi yang sebegitu....semoga abg sekeluarga sentiasa terpimpin untuk agama yang satu ini...Islam, insyaAllah....

Nizam.Ariff said...

Wan,
ini kali kedua...
kali pertama masa tahun awal 90an.

ASH said...

oleh kerana aku tak de masa lagi, maka aku reserve dulu komen aku...nak baca tak sempat..tunggu cuti ye...

ASH said...

Chupppp....aku dah baca..kira benar kamu mimpi ini...maka aku sarankan percepatkan segala niatmu untuk kepadaNya. Agar tidak seperti dalam mimpi itu yakni apabila semuanya telah diambil...nikmat beribadah, nikmat ilmu....wallahualam..moga boleh dijadikan iktibar.

ckLah @xiiinam said...

Subhanallah...mimpi yang bermesej!





...malam tadi ckLah cuma mimpi pergi KL naik bas. Tak tau nak balik sbb salah naik LRT? Sampai rumah, orang orang kampung dah tunggu ramai-ramai sbb ckLah hilang lama sangat. Huh....tak jelas mesej mimpinya.

Nizam.Ariff said...

Ashley,
semoga sama-sama dapat kesempatan itu...




Cklah,
mesej mimpi tu... Cklah kepenatan... disuruh berehat tu... hehehe

aza ni said...

mimpi sku banyak, tapi tak sehebat ini....

Nizam.Ariff said...

Azani,
hebat ke?
seram ada la... hahaha

AFMS Services said...

Kiamat pasti menjelma. Yg penting bnyk beristigfar dan ingat pada Allah. Tak payah nak kejar sgt dunia.

Shafinaz Arshad said...

Menjelang.kiamat nanti, al quran dah takde, ustaz dah takde, bilal dah takde, azan lagilah takde, kaabah pon takde jadi surau masjid semua dah takde. Perkara yg berkaitan dgn ibadah Islam dah takde semuanya. Akhir zaman nanti semua jadi khufur & kafir. Jadi itu hanya permainan tidur sajalah.. Lenkali smayang isyak dulu, cuci kaki dulu, baca doa dulu sebelum tidur ye..

Nizam.Ariff said...

AFMS,
Ya... betul tu, cari sedikit keselesaan ketyika hidup...


Shafinaz,
Mana pegi yang masih beriman?
Ooo... dimatikan dengan 'angin sejuk' saja ek..

Atau ko maksudkan ' the reaper' macam dalam Bible tu?


Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com