Saturday, October 6, 2012

Insiden sebenar dan memalukan di pagi Jumaat tadi...

.
[ ini kisah benar dan panjang. sila ambil masa untuk membacanya. bacalah kerana ada pengajaran dalam cerita ini]



'Berapa % nak letak ni..?' bisik hati aku. Tangan aku masih melekat pada sebatang pen berdakwat hitam. Sebelah tangan lagi masih melekat pada sekeping borang penama. Di atas meja kecil yang entah siapa punya itu, berdekatan dengan kaki tangga itu, aku mengisi sekeping borang yang aku perlu sertakan dengan akuan bersumpah yang perlu aku dapatkan dari Pesuruhjaya Sumpah dengan harga RM4.


"Assalamualaikum, encik. Nak tumpang tanya..." seseorang dengan pelat Utara menegur aku.

Aku menoleh ke belakang. Seorang tua yang kurus, berpakaian kemeja petak berlengan pendek yang lusuh, menggalas sebuah beg hitam yang kempis dan... buta sebelah matanya. Aku terhenti dari mengisi borang.

"Pakcik nak minta tolong, pakcik nak buat aduan. Kat mana pejabat Um-nom-nom?" dia bertanya sebaik sahaja aku jawab salamnya dan sedekahkan sedikit senyuman hormat. Dia sedikit tergagap-gagap apabila bercakap. Mungkin kerana tubuh aku yang tegap dan sasa tiba-tiba berdiri tegak di depannya (tadi aku menulis sambil membongkok).

Aku yang jenis anti-sosial dan sering menguzlahkan diri dari hal-hal masyarakat, apabila ditanyai soalan bercorak Pengetahuan Am sebegitu, ia adalah satu siksaan yang maha hebat kepada otak aku. Sungguh! Kamu boleh tanya aku tentang fizik, tentang mekanik, tentang biologi, tentang kimia, tentang mengapa tahi bintang gemar jatuh di khutub Utara. Tanyalah tetapi bukan Pengetahuan Am. Otak aku akan menjadi terlalu panas kerana mencari jawapan yang 'looping', yang biasanya berlaku 'overflow' dan berakhir dengan 'syntax error'. Ini sungguh tidak adil!

Aku dikalahkan dengan satu pertanyaan mudah oleh seorang tua yang kurus dan buta sebelah matanya.

"err.... errmm..." aku menggelabah. Aku garu-garu kepala yang tidak gatal. Aku kalah!

"Pakcik nak pergi ke pejabat Biro Pengaduan Um-nom-nom sebab nak mintak tolong. Pakcik nak balik Penang." Jelas pakcik itu lagi tanpa aku tanya. Mungkin dia ingat aku menggelabah sebab aku tak faham. Bukan, pakcik. Aku menggelabah kerana aku tak tahu jawapannya! Cepat-cepat aku pergi ke kiosk menjual makanan ringan dan turut menjalankan perniagaan fotokopi.

"Kak, nak tumpang tanya. Pakcik ni nak buat aduan, dia nak minta tolong. Kat mana biro aduan kat sini?" nasib baik otak aku masih mampu berfikir mencari jalan penyelesaian.

"Oh.. Pakcik keluar balik. Pejabat tu di tingkat 10, naik lif di sebelah pejabat KWSP." terang kakak itu terus kepada pakcik tua itu. Aku lihat pakcik itu ternganga-nganga. Mungkin dia tak tahu agaknya.

"Tak apa, pakcik. Jom kita pergi sama-sama." aku tawarkan diri untuk menemaninya. Sebenarnya, aku tak pasti sama ada pakcik itu tahu naik lif atau tidak. Atau, lebih teruk lagi, dia tak pernah naik lif pun.

Aku ajak dia keluar dan menuju ke ruang lif di sebelah pejabat KWSP. Pakcik tua membontoti tidak jauh di belakang. Lekas juga jalannya. Aku tekan punat lif. Tak lama kami tunggu, lif pun sampai dan aku tekan butang '10'.

"Pakcik dari mana?" aku pecahkan sunyi di dalam lif yang naik terkemut-kemut seperti semut itu. Hanya kami berdua.

"Pakcik kerja di sini. Lepas tu pakcik tak sihat, pakcik dah tak boleh kerja lagi dah. Pakcik nak balik Penang tapi pakcik tak cukup duit..." terangnya jujur. Aku angguk-anggukkan kepala.

"Pakcik ada duit RM15 ja dalam poket ni. Jadi pakcik nak ke Biro Aduan Um-nom-nom nak minta tolong. Pakcik ni ahlinya." tambahnya lagi diiringi sedikit senyuman. Mungkin dia segan kerana memberitahu aku tentang kesulitannya dan wangnya yang tinggal sedikit itu (sedangkan aku sedang berkira-kira tentang pembahagian harta tadi).


Terlintas di hati aku bagaimanakah pasrahnya pakcik itu pada ketika itu tentang jalan hidupnya. Dengan hanya RM15 dia masih berada di Shah Alam dan beratus-ratus kilometer dari kampungnya. Beberapa saat kemudian, kami pun sampai di tingkat 10. Apabila pintu lif terbuka, terpampang papan tanda tertulis "Biro Pengaduan Awam".

"Hah! Inilah tempatnya, pakcik." kata aku dengan penuh yakin apabila ada perkataan biro dan aduan. Ada seorang wanita muda bertudung cantik sedang duduk di meja menyambut tetamu. Pakcik kelihatan teragak-agak untuk masuk. Aku tolak pintu kaca.

"Assalamualaikum. Ini Biro Aduan, kan?" tanya aku kepada wanita muda bertudung cantik.

"Ya, kenapa?"

"Pakcik ni nak minta tolong sikit." kata aku sambil aku persilakan pakcik tua itu masuk dan merapati meja wanita muda itu. Aku suruh pakcik tua menceritakan masalahnya kepada wanita muda dan aku pun meminta diri untuk selesaikan urusan aku yang tertangguh tadi.

Setibanya di tingkat bawah, aku terus pergi ke kakak yang berniaga di kiosk makanan ringan tadi. Oleh kerana kakak itu tahu mana-mana pejabat yang ada di bangunan itu, aku tanya pula di mana aku boleh dapatkan pesuruhjaya sumpah.

"Ooo... kamu pergi ke kanan, di sebelah Agro Bank." kata kakak. kakak memang power, dia tahu selok-belok bangunan itu.

Memang benar. Tidak jauh dari Agro Bank, ada pejabat pesuruhjaya sumpah. Aku duduk di atas sofa. Di dalam bilik pesuruhjaya itu ada seorang pelanggannya. Aku perlu tunggu. Sambil aku tunggu itu, aku terfikirkan masalah orang tua itu tadi. Aku letakkan diri aku dalam keadaannya yang sedang kesusahan itu. Aku teringatkan masyarakat pada zaman P.Ramle. Sungguh! Mungkin kerana aku pernah terdengar dialog nak balik kampung tapi duit tak cukup. Atau pada masa itu, orang boleh lagi menumpang kenderaan secara percuma untuk pergi ke mana-mana.


*Pap!*  aku tepuk dahi. 'bodohhh!'

'Bodohnya aku!' jerit aku dalam hati. Pakcik itu hanya nak sedikit duit tambang untuk pulang ke Pulau Pinang. Apa salahnya aku berikan sedikit duit tambang dan duit makannya. Bukannya banyak mana pun. Dan yang lebih penting, masalah pakcik itu boleh selesai tanpa dia perlu bersusah payah panjat pejabat Um-nom-nom.

Sepanjang aku menunggu giliran aku di pejabat pesuruhjaya sumpah itu, aku berazam untuk pergi bertemu pakcik itu semula dan berikan sedikit wang. Sekejap-sekejap aku intai jarum jam dinding di pejabat itu. Pelanggan itu banyak pula ceritanya. Hish! Aku mahu cepat supaya pakcik itu tak pergi jauh.

Baru aku sedar. Pakcik tadi itu sedang dalam kesusahan. Lebih-lebih lagi, dia sedang musafir! Ini bermakna dia ada hak ke atas duit yang ada dalam dompet aku! Setelah ditolak duit makan aku dan anak bini pada hari itu, selebihnya, pakcik itu ada bahagiannya dalam duit aku. Bila teringatkan itu, aku jadi kecut perut. Aku teringatkan murka Tuhan. Kedekutnya aku. Sombongnya aku. Arrghhh! Aku sungguh-sungguh terasa amat bersalah. Bersalah kepada pakcik tadi dan juga kepada Tuhan. Ampunilah aku, Ya Tuhan. Aku perlu dapatkan pakcik tadi.


Aku lega apabila pelanggan tadi keluar tetapi sebaik sahaja aku nak masuk, pesuruhjaya itu pula ditelefon seseorang.

"... ya.. ya.. saya tahu dah 2 bulan tapi ... tapi...." suara terputus-putus, mungkin kena sergah dek pelanggannya.

".. saya faham tapi Mahkamah yang lambat. Biasanya 2-3 bulan dah boleh keluar surat kuasa tapi sekarang ni dah ada prosedur baru.... 2-3 pelanggan saya yang lain kena tunggu sampai 5-6 bulan..." terangnya lagi. Seterusnya, aku jauhkan diri aku dari muka pintu yang ternganga sedikit. Aku malas nak dengar. Bukan urusan aku.

Setelah senyap, aku jenguk ke dalam. Dia persilakan masuk. Aku berikan salam dan aku duduk.

"Mahkamah dah guna sistem secara on-line. Sepatutnya tambah lancar dan cepat tapi ini tidak. Bertambah teruk jadinya... " rungutnya.

"Mungkin para pendaftar dan hakim baru nak belajar biasa-biasakan dengan sistem baru agaknya." aku kendurkan ketegangannya. Aku tahu keadaan itu kerana aku telah biasa dengan projek-projek sebegitu. Dalam 10 projek, 9 pasti akan ada masalah seperti itu. Bukan masalah berkaitan pembangunan sistem sebenarnya tetapi adalah 'adoption' atau 'change'. Masalah ini sepatutnya dapat ditangani dengan Change Management.

Aku suakan borang yang telah aku isi dan dia minta lihat kad pengenalan aku. Tidak lama kemudian, dia turunkan tandatangannya dan cop. Aku serahkan wang RM10 dan dia pulangkan RM6.

Setelah selesai, aku cepat-cepat ke pejabat KWSP. Sesampai sahaja di kaunter pertanyaan @ ambil nombor giliran, aku unjukkan borang tadi dan aku minta nombor giliran. Tidak lama pun menunggu, nombor giliran aku dipaparkan di kaca TV. Selesai sahaja urusan aku di situ, cepat-cepat aku keluar.

Aku panjat semula tingkat 10 pejabat Biro Pengaduan Awam. Semestinya dengan lif. Aku bukan bodoh nak panjat tangga walau pun aku lemah dalam Pengetahuan Am. Dalam hati aku, aku amat berharap pakcik tadi masih berurusan di pejabat itu. Setibanya di pejabat itu, aku dapati pakcik telah tiada. Aku tanya wanita muda bertudung cantik tentang pakcik tua tadi.

"Ooo... Ini pejabat Biro Pengaduan Awam. Pakcik tu nak pergi ke Biro Aduan Um-nom-nom." terang wanita muda itu.

"Eh, tak sama ke?" aku tanya semula. Wanita muda menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum. Aku tahu dia sindir aku. Tak mengapa. Aku pasrah kerana aku memang bodoh dalam Pengetahuan Am. Aku anti-sosial. Aku uzlahkan diri dalam keramaian masyarakat. Memang patut pun aku lemah dalam Pengetahuan Am.

Aku turun semula ke bawah. Aku tercari-cari papan tanda Biro Aduan Um-nom-nom. 2-3 kali aku berulang-alik di koridor untuk mencari ruang lif yang lain sehingga ada seorang Cina tegur aku. Aku kata, aku cuma nak cari lif lain. Aku pun masuk salah satu lif di pintu sebelah. Aku dapati hanya setakat tingkat 5! Aku beralih ke lif di pintu satu lagi. Juga sehingga ke tingkat 5. Aku hairan, bagaimana pejabat Biro tadi ada di tingkat 10? Mungkin bangunan itu tak sama tingginya...


Lalu aku keluar ke koridor. Aku intai-intai kalau orang Cina tadi ada lagi atau tidak. Aku malu kalau terserempak lagi. Tidak ada. Aku lega. Aku terus ke jalan. Aku dongak ke atas. Ahaaa!! Memang tak sama tinggi. Terasa aku bijak sedikit. Menara yang tinggi hanya berada di tengah-tengah. Aku pun bergegas ke pintu lif menara tengah itu. Ianya berada tidak jauh dari kiosk di tempat kakak menjual makanan ringan tadi.

"Ada nampak pakcik tua tadi tak?" aku terus bertanya tanpa memberikan salam, dan sambil berjalan.

"Oh.. pakcik tadi rupa-rupanya nak ke pejabat Um-nom-nom."

"Kat mana pejabat tu?"

"Kat tingkat 11, naik lif kat situ."

Aku berjalan cepat-cepat menuju lif. Sebaik pintu lif terbuka, aku terpa masuk. Aku tekan butang '11'. dalam hati aku, aku masih berharap pakcik tadi masih ada di pejabat di tingkat 11 itu. Setibanya di tingkat 11 dan sebaik sahaja pintu lif terbuka, aku terus masuk ke pejabat itu. Ada dua orang wanita dan seorang lelaki muda. Aku berikan salam kepada lelaki muda yang memakai baju sejuk dan sedang mendengar lagu menggunakan 'earphone'.

"Tadi ada tak pakcik tua masuk ke sini?" tanya aku.

"Pakcik tua? Yang mana?" tanyanya semula.

"Alaaa... pakcik tua yang kurus bawak beg.' terang aku lebih lanjut. Lelaki muda itu mengalihkan pandangannya kepada kakak 2 orang tadi. Dia tanya dia orang pula.

"Yang datang jumpa setiausaha XXXXXX tadi kut" balas kakak itu.

"Ooooo... yang matanya buta sebelah?" tanya lelaki muda kepada aku, meminta kepastian.

"Hah... ya.. yang itulah. Mana dia?"

"Ooo.. dia dah masuk pejabat tadi. Dah jumpa. Dia dah turun pun."

"Lama dah?"

"Lama juga, dalam 15-20 minit tadi."

"Kira-kiranya, masalahnya dah selesailah ya?" tanya aku lagi.

"Masalah? Apa masalah dia?" tanya lelaki muda itu pula.

"Pakcik tu nak balik Penang tapi tak ada duit. Kalau dah jumpa maknanya dah dapat duit la tu?"

"Oh.. tak pasti pula, saya tak ikut masuk tadi. Kenapa?"

"Saya tak terfikir tadi nak bagi duit kat dia. Kalau saya bagi tadi, tak payahlah dia datang ke sini." jawab aku sambil tersenyum malu, malu pada diri sendiri atas kebodohan aku tadi.


Tak mengapalah. Aku anggap, masalah pakcik tua tadi sudah selesai. Aku harapkan begitu. Tapi, aku masih mahu berjumpa dengannya. Aku mahu berikan hak dia dari dalam dompet aku. Jadi, apabila sampai aku di bawah, aku susuri lagi sepanjang koridor itu -2-3 kali sambil mata aku melingas, mencari-cari kelibat pakcik tua tadi. Tidak ada. Cepat sungguh pakcik itu pergi, laju macam malaikat. Huh! Malaikat?





.

17 comments:

cHeRyNa PiReS said...

Membaca pukul 3 pagi. Dan teringat kisah2 yg berlaku sejak kebelakangan ini.

Ntah kenapa...rasa sedih pulak.

Malaikat?

Mungkin. Atau dugaan kita:)

ckLah @xiiinam said...

Aduhai...apalah nasib pakcik tu ya. Ada ke lagi RM15nya tu. Makan ke tidak dia pagi ni.....

sepa said...

nanti malam aku baca. panjang na sarapan pagi.!

Lady Windsor said...

a ahh panjang..tapi aku tau cemane rasa ralat ko tu..
ada pernah jumpa org yg kejap tadi ada, bila paling belakang..eh dah tak de???

tasekM said...

apa kata hak dlm dompet tu ko bg je kat aku... keh2.




.

Nizam.Ariff said...

Cheryna,
dugaan... mungkin.
kalau itu dugaan buat aku, ternyata aku telah gagal...huhuhuhu



cklah,
tu la. aku harap dia baik-baik dan urusannya berjalan lancar...


sepa,
baca sambil sarapan la bagus..



LW,
ada juga aku jumpa macam tu...
bila aku paling, dia dah menyorok.. aku tak nampak dah..



TM,
kalau ko bermusafir ke S.Alam, bukan setakat duit dalam dompet, makan minum tempat tinggal aku sediakan 3 hari 3 malam buat ko....


oleh kerana ko teman gaduh aku, aku bagi diskaun 20% untuk kos semua tu... amacam?



sepa said...

dah baca. :)

aku ada dua kemusykilan :
1. wanita muda bertudung cantik... soalannya : wanit itu kah yang cantik, atau tudung dia yang cantik. (ini bukan soalan Pengetahuan Am.!
2. pakcik tua kurus buta satu mata, ada anak dara cun tak. Ini jugak bukan soalan Pengetahuan Am. Aku tanya bukan apa. Sebagai seorang pakar psikologi tak bertauliah, intuitive seseorang selalunya ada berkaitan...

Panjang jugak soalan aku... ambikla sikit masa untuk menjawab. kerana soalan nih penting la jugak. :D

amn said...

ralatnya kan ......bila niat baik tak kesampaian. InsyaAllah rezeki untuk berbakti akan datang lagi, mungkin pada orang lain, waktu lain, keadaan lain.
Allah dah atur, siapa yang kita akan terlanggar bahu.

Nizam.Ariff said...

sepa,
1. ya, tudungnya yang cantik.
2. tak tau sebab aku tak sempat sembang dari hati ke hati..... malah nama pakcik tu pun aku lupa nak tanya....



azani,
dah di depan mata tapi masih boleh terlepas pandang..

fifie said...

InsyaAllah masalah pakcik tu dah selesai, berdoa lah semoga pakcik tu tidak ditimpa apa2 masalah.

Nizam.Ariff said...

fifie,
aku pun harapkan yg sama...

Lady Windsor said...

Ko cakap pasal bermusafir, kalu ko dan family bermusafir ke windsor height...tiga hari tiga malam juga ko akan rasa macam dok di homestay yang macam rumah sendiri...ekekeke!

Nizam.Ariff said...

LW,
pesal lak?
Sunyi sepi tempat tu ek?

Aishah Jahirah said...

mesti rasa macam xbest je...sbb awal2 xtpk nak tolong,bila dah terpk, pak cik tu pula dah ntah kat mana...xde rezeki pak cik tu la nak ditlg dan merasa duit tuan blog.

Nizam.Ariff said...

AishahJ,
pengajarannya, kalau dah terlintas kat dalam hati buat je, jangan tangguh....

TiranaAduka said...

jenuh jua baca.apa pun...
Nice entry

Nizam.Ariff said...

Tirana.
Thanks

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com