Friday, November 16, 2012

Hasri seorang budak yang baik dan kisah dengan kawan-kawannya...

.

Hasri seorang budak yang baik. Walau pun budak-budak sebayanya nakal-nakal, Hasri masih seorang budak yang baik. Bukan sahaja baik, malah comel dengan pipi lembut bak pau berkaya, berwajah kacukan Cina+Jawa, rambut hitam keperangan tanpa Code10, lengan mulus tanpa sebarang urat-urat timbul, juga tanpa cela kudis pada betis kaki.

Budak baik bernama Hasri itu selalu keluar bermain-main dengan kawan-kawan sebaya @ anak jiran-jirannya. Biasanya dia keluar berjumpa dengan mereka semua selepas habis sessi persekolahan darjah 1. Oleh kerana mereka semua tidak mengikuti kelas fardhu ain di sebuah sekolah agama rakyat di hujung simpang 4, masa petang mereka dipenuhi dengan pelbagai aktiviti riadah yang sihat-sihat. Mereka bukan buta fardhu ain. Mereka semua belajar dengan seorang guru mengaji setiap petang bermula maghrib kecuali petang Khamis. Tetapi Hasri tak belajar fardhu ain dan mengaji bersama-sama mereka. Hasri belajar terus dari ayahnya sendiri.

Demi mengisi masa terluang, mereka akan memancing, merayau-rayau masuk ke kebun orang untuk meracik burung atau melastik tupai. Kadang-kadang, apabila tiba musim buah, mereka juga akan panjat pokok Jambu Bol, Pokok Pauh, Pokok Rambutan malah bukan setakat itu sahaja, kadang-kadang mereka juga akan meredah kebun Nanas. Aktiviti mereka itu akan menjadi semakin rancak kalau musim buah itu jatuh pada bulan Ramadhan.

Yang paling mereka suka panjat ialah pokok pauh/pelam siam di tanah milik Wak Separ. Bukan sahaja buahnya manis dan pokoknya banyak dahan untuk senang memanjatnya, pokok itu juga tumbuh jauhhhh dari rumah Wak Separ. Dengan kata lain, Wak Separ tak tahu jika mereka 'kutip' buah pelam siam itu. Kalau pun ternampak biji benih pelam siamnya bertabur di atas tanah, Wak Separ akan kata "Okeh banget kok tupe-ne... ndjalok ditembak opo ke?".

Hasri hanya mengikut mereka tetapi Hasri tak ikut panjat. Hasri budak baik, dia tahu bahawa mengambil buah pelam siam milik Wak Separ adalah berdosa.

"Alaaahhhh ko ni, Raya Puasa nanti kita minta maaf, minta halal makan minum... settle balik 0-0." 
Kata Jeman sambil memeluk dahan pelam siam milik Wak Separ manakala Jep dan Azam sedang terkial-kial cuba menarik dahan-dahan yang bergayutan buah pelam siamnya.

"Sesungguhnya, mengambil buah pelam siam tanpa kebenaran walau pun ada niat nak minta halal masa Raya Puasa tetap tak boleh. Ustazah cakap macam tu."
Kata Hasri sambil mulutnya sibuk mengunyah batang tebu. Comel sungguh Hasri bila berkata begitu, patutlah ramai makcik-makcik di kampung itu suka cium-cium pipinya, suka usap-usap rambut, suka nak bermenantukan Hasri (walau pun belum bersunat lagi).


Jeman, Jep dan Azam masih terus memanjat dahan-dahan yang penuh dengan pelam siam, memeriksa satu-satu buahnya kerana warna kulit pelam siam yang masak sukar dibeza dengan buah yang belum masak. Selain bau, biasanya warna kulit pelam siam yang sudah masak lebih tua hijaunya.

Tapi, Hasri budak baik yang berwajah pan-asian. Dia tak ikut serta mereka. Dia tahu perbuatan mereka itu berdosa seperti mana Ustazah Foziah cakap. Hasri suka Ustazah Foziah dan ostazah itu juga suka Hasri sebab Hasri suka dengar ceritanya tentang para Nabi serta diselitkan dengan unsur-unsur nasihat dan hukum-hakam.

"Sudahlah tu... tak baik ambil barang bukan hak kita. Ustazah kata berdosa. Berdosa masuk neraka." Pesan Hasri kepada kawan-kawannya.


"Nah.... ambik sebiji"

*bedebukk!*

Jeman melemparkan sebiji pelam siam yang sudah masak ke tanah. Buah pelam siam itu jatuh dan bergolek tidak jauh dari kaki Hasri. Apabila terlihatkan pelam siam ranum tergolek dekat kakinya, Hasri mencampakkan baki batang tebu yang diambil di tanah milik Pak Haji, juga tanpa kebenaran. Kemudian, Hasri ambil buah pelam siam itu lalu segera membasuhnya di sawah berhampiran. Dengan penuh sopan, Hasri gigit dan tarik kulit pelam siam itu lalu membenamkan gigi-gigi susunya ke dalam isi pelam siam yang wangi dan masak ranum itu.


Jeman tahu Hasri seorang budak baik. Sebab itulah dia akan 'ambil'kan buah-buahan itu untuk Hasri kerana Hasri tidak akan mengambil buah-buahan tanpa kebenaran. Hasri hanya akan ambil jika Jeman atau Jep atau Azam yang berikan.

Hasri seorang budak yang baik....





.

5 comments:

smbotak said...

hasri yang baik ada bakat jadi ahli politik yang berselimutkan perwatakan baik dan personaliti suci. ceh!

Nizam.Ariff said...

SM,
...tapi Hasri budak yang comel... hahaha

Jna marcello said...

Nak kenal Hasri Bole ;)

sepa said...

Hasri budak baik... dia tak tulis, selain yang baik untuk yang baik2... tapi, aku terbayangkan si Jeman itulah si Chasiman...

*ah.! ko mengingatkan aku pada si Chasiman, yg improvised mercun merah jd mercun yg lebih besar (bunyik letupan yg menggegarkan...)... ko mengingatkan aku, semalaman aku ber'tazkirah' tentang apa yg dibuatnya, tentang jiran2 bilik, tentang ketenteraman suasana, tentang burung2 yg mungkin terperanjat dan mati kerana lemah jantung.!
Hasri budak baik.!
Apabila, si Chasiman siapkan satu, yg baik punya, siap hias2 solek2, sumbu dia buat lebih panjang, dan dia sediakan tapak yg kemas, dan diserahkan sekotak mancis kayu kepada aku... aku cucuh jugak.! bergema penuh gegar suasana...
Hasri budak bail.!

:)

Nizam.Ariff said...

Jna,
Boleh, apa salahnya...
Hasri umpama asap nipis yang menyelubungi hutan ketika awal pagi atau selepas hujan... Hasri kini menjadi bayang-bayang yang sangat elusif... dia ada dimana-mana, malah mungkin dia ada di sebelah kamu, sedang bermain-main dengan rambut kamu... itulah Hasri...




Sepa,
Aku takut kamu tak sempat lari sebelum meletup... betul!

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com