Friday, January 18, 2013

8hb... 10am... langit kelam kemudian jingga, kiamat?

.

Mungkin telah menjadi sumpahan kepada malam aku, sekali sekala aku akan dibacakan cerita dalam tidur aku. Pada kali ini ceritanya begini:


Geografinya bergunung-ganang, seperti di Timur Tengah yakni gunung-ganangnya penuh dengan batu-batan dan pasir. Ia bukannya hutan hujan tropika yang ada malaria dan lotong bersahut-sahutan. Daerah gunung itu sedikit kering tetapi nyaman. Ada jalanraya dua lorong yang melerengi gunung-ganang, memanjat dari tanah rata ke puncak gunung dan menyambungkan kawasan kampung atau perumahan. Sudah tentu jalanraya itu bengkang-bengkok seperti di Genting atau Cameron Highland.

Lokasi gunung-ganang itu pula tidak jauh dari laut dan ianya di Malaysia. Aku syak ianya seperti di Klang atau di Port Dickson. Rumah-rumah pula kebanyakkannya adalah jenis apartment 4 tingkat. Bumbung apartment itu adalah rata, seperti rumah-rumah flat di 'down town' Timur Tengah: empat segi, susunan batu bata, tingkap papan kayu, tiada lif, kain baju disidai pada sebatang kayu lalu dijulurkan keluar tingkap. Oleh kerana perumahan itu di kawasan berbukit dan bergunung, aku boleh lihat laut dari tingkap rumah.


Konflik ceritanya begini: Pada tarikh 8hb sekitar jam 10am, satu bencana akan melanda.


Aku tak pasti bulan apa dan apa jenis bencana itu tetapi melalui perkiraan aku bencana tersebut diramalkan berlaku dalam tempoh tidak sampai sebulan lagi. Aku dan penduduk di kawasan perumahan itu telah diberitahu oleh kerajaan. Peti TV telah memaparkan amaran ini berkali-kali. Semua orang awam akan dipindahkan.

Jadi, aku dan beberapa jiran aku (kebanyakannya kawan-kawan pejabat) telah berbincang tentang cara untuk menyelamatkan diri dan harta benda. Selama beberapa hari aku dan keluarga aku mencari idea bagaimana untuk memastikan kelangsungan hidup (survive).

Aku baiki kereta buruk aku dengan bantuan kawan aku. Bukan setakat baiki malah naik-tarafkan kereta aku itu. Enjin ditinggikan kuasanya. Tayar ditukar, suspensi dikukuhkan. Badan kereta juga dilapiskan dengan besi supaya lebih tebal dan kukuh, lampu ditambah lagi 2 pasang.

Kerana apa? Kerana mengikut pengumuman dari kerajaan itu, satu bencana yang berpunca dari langit akan menyebabkan air laut naik dan menggelegak manakala langit seolah-olah akan runtuh.

Setelah beberapa hari berlalu, akhirnya kereta aku pun telah disiapkan. Aku masukkan bekalan makanan dalam tin dan kain baju untuk berpindah dari kawasan itu. Kini timbul pula masalah lain. Sudah tentu orang ramai berpusu-pusu untuk keluar pada hari yang telah diberitahu untuk dipindahkan.

Jadi, aku dan jiran aku itu berpakat untuk mencari masa yang sesuai untuk keluar dari situ. Kami bersetuju untuk keluar awal-awal pagi supaya kami akan berada di barisan hadapan ketika menyusuri jalanraya di lereng bukit itu. Ok. Rancangan rapi telah diaturkan.


Kini tibalah hari yang telah diramalkan tadi.

Pada pagi 8hb itu, langit menjadi kelam. Bukan kelam kerana awan mendung hendak hujan tetapi seolah-olah cahaya matahari telah dihalang. Manakala air laut mula naik tinggi melepasi bibir pantai.

Aku keluar awal pagi bersama-sama kawan aku itu. Aku dapati polis dan tentera telah pun dikerahkan di sepanjang jalan dan simpang untuk mengawal keadaan. Manakala helikopter dan jet peninjau berlegar-legar di ruang angkasa. Jam 8am, aku sudah berada di jalanraya. Sangkaan aku meleset, jalanraya sudah pun sesak. Tak ramai yang berkereta seperti aku. Mereka ramai yang berjalan kaki dan sedikit pula berkereta kuda dan lembu. Kereta aku bergerak amat perlahan, tidak melebihi laju orang yang berjalan kaki di hadapan aku.


Jam 9 pagi, ada sesuatu yang berlaku di langit. Tiba-tiba warna langit mula bertukar kepada warna jingga, seperti senja. Manakala air laut mula naik tinggi melimpahi tanah tepi pantai. Kami  semua yang masih di puncak gunung dan bukit tercengang dan ketakutan. Tentera dan polis masih berkawal dan mengarahkan kami untuk terus bergerak ke lokasi lain.

Tiba-tiba aku dapati badan kereta aku menjadi lembut. Aku segera keluar dan mengarahkan anak dan isteri juga keluar. Aku lihat cat di bonet kereta aku menjadi cair manakala besi bonet itu menjadi lembut! Ia juga mencair!

Aku sungguh hairan dan bingung. Bagaimana besi boleh cair sedangkan suhu tidak sepanas mana pun. Mahu tidak mahu aku dan anak isteri terpaksa berjalan kaki dengan menggendong kain baju dan makanan, sama seperti orang lain. Cuma yang berkereta kuda dan berkereta lembu sahaja yang masih elok meneruskan perjalanannya seperti itu.

Kemudian, hari mula menghampiri jam 10 pagi.... pada 8hb itu, langit bertukar menjadi merah manakala air laut menggelegak. Sedangkan kami masih belum sempat keluar dari kawasan pergunungan itu. Orang ramai yang tadinya masih teratur kini mulai panik. Mana yang boleh berlari akan berlari mengheret anak isteri, mana yang buta atau cacat terpaksa teraba-raba dan mengengsot. Mana yang dipapah telah ditinggalkan. Aku lihat suasana itu dengan rasa sungguh sedih sekali. Masing-masing hanya fikirkan nyawa diri dan keluarga masing-masing.

Dalam keadaan panik itu, aku dan anak isteri hanya terpaku tak berganjak. Aku lebih teruja untuk melihat peristiwa yang berlaku di langit daripada berusaha menyelamatkan diri. Aku lihat helikopter dan pesawat tentera mula berundur dan pulang... membelah langit merah... dan meninggalkan kami semua yang masih dipergunungan itu.



Sampai di situ sahaja cerita dalam tidur aku...







.

10 comments:

Kniedaz said...

Wow...dahsyat tidur kamu ya...patutnya gerak 7hb..takla sesak

Nizam.Ariff said...

kniedaz,
Haah... betullah... masalahnya, tak tahu hendak gerak ke mana... hahaha

amn said...

8 feb jumaat bro

Nizam.Ariff said...

azani,
aku check 8 Mar dan 8 Nov pun Jumaat gak...

CiKPuaNLawA said...

mungkin ada rahmat di sebalik nya....

InsyaAllah....

Nizam.Ariff said...

CPL,
...juga mungkin peringatan dariNya...huhuhu

tasekM said...

semua mimpi2 yg ko pernah catatkan.
semuanya penat2.


.

Nizam.Ariff said...

TM,
Takpe.. exercise time tidur...
bangun2 esok pagi dah kurus 5 kg...

sepa said...

mimpi ko nih menyiksakan kepalahotak...!!!

:D

Nizam.Ariff said...

Sepa,
dah dia nak datang, bukan boleh ditahan-tahan.. terima je la seikhlasnya... hahaha

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com