Saturday, May 18, 2013

Kisah Hantu Raya

.

Hasri memandang jauh ke hadapan. Melihat hijau sawah padi. Merenung kelabu masa depan. Dia labuhkan punggungnya di kaki tangga, kakinya diletakkan di anak tangga lebih ke bawah. Baru kelmarin radio mengumumkan komunis menembak mati seorang dari pasukan polis hutan. Ini bermakna negara masih belum bersih dari ancaman 'orang hutan'.

Bosan menunggu padi masak. Kalau masak pun nanti dia terpaksa berkejar dengan si pipit. Selain orang-orangan, dia berharap ada si pegar untuk berlari dan bermain di batas-batas, biar si pipit terbang lari melihat kelincahan pegar yang cantik. Harap-harap tidaklah si pegar itu pula yang makan padinya.

"Nita...!" jerit Hasri. Terkocoh-kocoh Nita datang ke anjung. "Aku nak makan, aku lapar."

Senja berlabuh tenang di kampung itu. Kelapa dan pisang beralun perlahan mengikut rentak angin senja. Di dapur, Nita menyendukkan nasi ke pinggan Hasri. Tak sampai beberapa minit, sepinggan nasi dan seekor ikan sepat siam goreng telah habis dilahap Hasri. Berselera sungguh. Nita sendukkan lagi sepinggan. Nita cedokkan pula sayur keladi masak asam ke dalam nasi. Seperti tadi, lahap Hasri seperti tadi.

Apabila kentungan di ketuk bertalu-talu, menandakan telah masuk waktu Maghrib, Hasri terkocoh-kocoh pula membasuh tangan. Cepat-cepat dia teguk segelas air. Laju-laju dia berjalan masuk ke biliknya. Seketika kemudian, sebaik sahaja kentungan kembali sunyi, Hasri keluar dari dalam bilik dengan berkain pelikat dan berbaju kemeja putih yang lusuh. Hasri hanya menjeling sekejap sahaja kepada Nita sebelum dia turun ke kaki tangga lalu hilang dalam kelam senja.

Malam itu hanya sentir minyak tanah berkaki satu yang menerangi ruang tamu rumah papan itu. Tiada dengkuran. Tiada igau. Yang ada ialah suara katak bersahutan mengajak pasangannya mengawan. Yang ada ialah suara sahutan burung hantu menanda kawasan buruan. Yang ada ialah bunyi gesekkan cengkerik yang kerap terganggu dan terhenti dek bunyi burung hantu tadi. Yang ada ialah suara rengekan Nita dari tengah malam hinggalah ke hulu dinihari.

Menjelang kokokan ayam pertama, Nita pisat-pisatkan mata. Menggeliat ke kanan, ke kiri. Badannya masih lenguh-lenguh. Tilam kekabunya lembab dek peluh. Hasri sudah bangun, sudah ke padusan di luar rumah agaknya. Nita bangun sambil mengemaskan simpulan batiknya, kemudian simpulan rambutnya. Kemudian dia berjalan menuju  ke dapur sambil meraba-raba dinding, kemudian tangga, kemudian meja. Dia hidupkan bara. Dia jerang air. Barulah dia capai sehelai kain basahan dan keluar melalui pintu dapur.



"Sarapan dah siap?" terkejut Nita. Hasri tiba-tiba menegurnya dari tingkap papan.

Renik-renik peluh Hasri di dahi seakan-akan bersinar dipanah cahaya matahari yang agak keras walau pun baru sehasta menjulang dari ufuk timur.

"Dah... tunggu awaklah. Kita dah lapar sangat ni." kata Nita sambil tersenyum simpul, malu-malu. Hasri membalas senyum lalu ke berjalan laju ke rumah depan.

"Hissh..." dengus Hasri. Dicari-carinya batok di sekeliling tempayan. Tiada ada. Matanya terus melingas mencari-cari.

"Budak ni... buat kerja tak sudah." Hasri mencapai batok yang tergeletak di kaki tangga. Sesudah dua tiga curahan air, dia pun melompat naik ke atas tangga. Lalu ke ruang tamu. Berkeriut lantai papan dipijaknya. Kemudian turun ke tangga. Lalu ke meja makan mendapatkan Nita yang sudah duduk. Di depannya ada sebakul keledek rebus yang masih panas dan seteko kecil air Kopi Che' Nah.

Hasri berdoa lalu mengambil seketul keledek lemak rebus. Dipatahkan dua. Wap panas dari keledek itu naik ke atas, dilimpahkan cahaya matahari yang mencelah dari papan dinding. Lazat dan manis. Penat melapah lembu untuk masjlis kahwin Andak masih belum hilang.

"Seronok bergotong royong melapah semalaman tapi penatnya ditunda ke pagi. Lapar dibuatnya"

"Abang ni..." merah-merah muka Nita bila dikias begitu oleh suaminya.
Nita larikan matanya ke tingkap dapur. Tangannya masih tetap menimang-nimang sebiji keledek yang panas.

"Abang?" Nita tergamam. Keledek terjatuh dari tangan. Matanya memandang Hasri yang menjenguk dari tingkap. Menyirap darahnya.


Sepantas kilat Hasri bangun dari kerusi lantas menerpa ke tingkap. Nita yang terlopong panjang akhirnya jatuh tersandar meja. Nasib baik teko air Kopi Che' Nah tidak tumpah. Dengan sekali lompat Hasri bisa lolos melalui tingkap dapur itu. Dicekaknya leher Hasri. Dia tarik Hasri ke belakang sehingga ke tepi reban ayam.

"Cepat cakap! Apa kamu dah buat!!!" jerit Hasri kepada 'Hasri'.






.

8 comments:

alienpakailipstick said...

....

Nizam.Ariff said...

alien,
tu kira tak terkata ke apa tu?

tasekM said...

tak pe.
nita period.

kah2.


.

Nizam.Ariff said...

TM,
hantu raya makan darah.... takottt...

sepa said...

kejap. nak Tanya. yg melahap makan tuh, Hasri ke 'Hasri'... hahaha.

selalu jeh si Nita jd mangsa keadaan.!


.

Nizam.Ariff said...

Sepa,
kali ni aku guna subjek keledek, bukan rock melon.. keh keh keh

sudipVSsenduk said...

sepatutnya Nita kena tanya password dulu sebelum benarkan Hasri atau 'Hasri' masuk kelambu..

Nizam.Ariff said...

sudip,
"Hasri' boleh cilok paswed tu gak... hahaha

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com