Friday, June 28, 2013

Sensitif kepada bisikan dan petunjuk...

.

Kalau kita buka betul-betul mata dan telinga hati, kita pasti dapat mendengar bisikan-bisikan yang membisik kepada kita. Bisikan-bisikan yang frekuensi gelombang bunyinya berada di luar julat boleh-dengar telinga manusia, wajah-wajah pembisiknya mempunyai frekuensi gelombang elektromagnetik berada di luar julat keboleh-tampakkan mata manusia.

Ilham, petunjuk atau klu dan sepertinya... ada. Wujud.

Tetapi kadangkala hijab kita berlapis-lapis banyaknya sehingga bisikan-bisikan itu terselimut penuh dengan sirr.

Sebagai contoh:
  • Ketika melangkah masuk ke kawasan masjid, Hasri terlihat ada banyak peti derma. Secara spontan, minda Hasri kaitkan peti derma dengan sedekah wang. Semasa Hasri berjalan di sepanjang koridor masjid itu, Hasri terfikirkan bila kali terakhir dia menderma - secara ikhlas, siapakah yang menerima sumbangan dari peti derma itu. Seterusnya, mindanya berfikir tentang kepayahan orang yang kurang mampu dan sedang teruji, hatinya pun merasa kasihan. Hatinya juga merasakan betapakah untung hidupnya sekarang, dia bersyukur. Namun sebelum Hasri mengambil wudhuk, dia singgah di salah satu gerai untuk membeli air minuman. Duit baki pembeliannya di masukkan ke dalam kocek baju. Dalam berposak-posak menentang arus untuk ke tempat berwudhuk, seorang lelaki menegurnya. Lelaki itu menunjukkan duit kertas baki pembeliannya tadi terkeluar dan hampir jatuh dari kocek. Hasri cepat-cepat masukkan semula. Selepas berwudhuk, Hasri keluarkan cermin mata yang dimasukkan ke dalam kocek bajunya. Semasa dia keluarkan cermin mata itu, duit kertas tadi turut terkeluar dan jatuh ke lantai. Terdetik di hati Hasri, mungkin duit itu tidak mahu berada di dalam koceknya lagi. Mungkin duit itu tidak mahu menjadi milik Hasri lagi. Sebelum Hasri melangkah masuk ke ruang solat, Hasri lihat satu peti derma wakaf. Hasri pindahkan duit itu ke dalam peti derma wakaf biarpun nilainya agak besar... dia yakin duit itu tidak lagi mahu berada di dalam koceknya.
  • Hasri bertubuh tinggi lampai. Sememangnya dengan tubuh yang sebegitu tinggi dan besar, duduk bersila lama-lama di masjid bakal menyebabkan sakit pinggang dan kebas kaki. Apabila terjadi begitu, Hasri akan meregang-regangkan pinggang dan urat belikatnya. Dia akan ubah-ubah silanya. Kadang-kadang dia lunjurkan kakinya. Kerap juga dia buat begitu. Hasri tertanya-tanya, adakah dia seorang yang mempunyai masalah begitu? Padahal ramai juga yang bertubuh besar dan lampai seperti dia. Tak pula dia lihat mereka itu resah menanti solat. dalam pada melihat-lihat dan membuat analisa terhadap para jemaah di sekeliling, pandangannya sering terhalang dengan orang bersolat sunat. Ke kanan, orang tunggang-tonggek. Ke kiri pun sama. Bila Hasri fikirkan secara mendalam, dia dapati, dia perlu gerak-gerakkan badan supaya otot-ototnya tidak lenguh... lantas Hasri bangun dan mendirikan solat sunat sehinggalah muazzin mengajak bersolat.

Kita berdoa meminta diberikan petunjuk. Kita berdoa meminta diberikan penyelesaian kepada masalah kita. Doa itu di'dengari'Nya. Dan petunjuk itu diberikanNya. Adakah kita cukup sensitif untuk mendengari dan memahaminya?




.

2 comments:

Dr K said...

HidayahNYA tiba bila azan maghrib berkumandang...Tapi berapa ramai yg terlena dek penangan Teduhan Kasih?, terkocoh kocoh solat...:P

Nizam.Ariff said...

Daddy ziyyad,
Aku harap ko tak mcm tu...hahaha

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com