Wednesday, September 4, 2013

Kedai makan kukus yang sedap... pergh!

.

Sudah banyak aku bermimpi sejak yang terakhir aku bukukan tetapi aku malas nak ceritakan di sini. Kerap sangat aku bermimpi memancing ikan, menangkap ikan, makan ikan... padahal cuti raya hari tu aku dah pun pergi memancing dengan abang di sungai. Malam semalam pun aku masih bermimpi menjala ikan di parit dengan Mama, ditemani abang juga. Aku menjala untuk makan. Abang menjala ikan sebab dia nak beri makan seekor burung / itik liar / angsa liar yang tak dapat terbang dan tersadai di batas sawah kerana kepak-kepaknya lecun basah. Aku suruh abang sembelih je burung tu tapi abang kata dia nak bela... hehehe apa-apalah mimpi aku ni.


Tapi pada 2-3 malam lepas, mungkin pada malam minggu baru-baru ini, aku bermimpi yang sungguh .. bluekkkss! Aku ragu-ragu sama ada aku perlu ceritakan atau tidak. Tapi, beginilah... bacalah, kalau tekak terasa kembang, jangan salahkan aku.


Aku pergi ke kampung abang (abang aku yang lain) tapi kampung itu bukanlah seperti kampung yang abang aku tinggal sekarang ini. Aku rasa aku pernah nampak sebelum ini tapi aku lupa di mana. Ye la, mimpi biasanya akan menggunakan database / pengkalan data yang tersimpan dalam kepala sebagai latar belakang cerita biar pun data itu sudah dilupakan dan diarkibkan di minda tanpa-sedar.

Bayangkan beginilah, kampung itu sejenis kampung tradisional jenis ekonomi kebun kelapa. Seperti kampung tradisi yang lain, setiap lot tanah itu berekar-ekar luasnya. Jadi, jarak dari rumah ke rumah adalah jauh. Kalau ada yang mengerang malam-malam, jiran terdekat tak dapat dengar kalau semilir bukit tak menghembus kencang membawa suara.

Kebun kelapa itu bukanlah pokok kelapa kesemuanya. Seperti mana kampung tradisi juga, di celah-celah batang kelapa itu ada pokok-pokok lainnya. Dalam mimpi itu aku perasan ada pokok mempelam, pokok pulasan, ada pokok rokam yang sudah tinggi-tinggi. Manakala pokok-pokok kelapa itu sudah tentu tinggi ke atas. Maknanya, kalau berjalan di situ cahaya matahari jarang menimpa tanah berumput. Redup sahaja.

Jalan kampung itu pula tidak lebar tetapi elok bertar. Jalan itu sesuai untuk motorsikal dan basikal tetapi tidak cukup lebar untuk kereta apatah lagi lori. Yang menariknya lagi, jalan-jalan itu bersambung-sambung membentuk 4 segi... maknanya, jalan itu dibina diatas sempadan lot tanah. Oleh kerana lot tanah itu berpetak-petak, jalan tadi juga akan berpetak-petak, seperti seksyen-seksyen atau precint.

Baiklah... inilah ceritanya...

Pada satu pagi itu, abang aku mengajak aku dan Mama bersiar-siar di jalan kampung itu. Abang berjoging sebenarnya tapi aku dan Mama hanya berjalan kaki sambil menyedut udara segar. Entah macam mana, mungkin kerana luasnya kampung itu, kami bersiar-siar sehingga ke tengahari. Manakala abang aku berjoging sampai berpusing lebih daripada sekali.

Oleh kerana sudah tengahari, abang mengajak kami minum dan makan di sebuah kedai makan. Kedai makan itu bukanlah sebuah restoran. Kedai makan itu lebih kepada rumah papan kecil yang beratap zink tanpa berdinding. Malah lantainya juga adalah tanah keras. Mejanya diperbuat daripada papan lapis manakala bangkunya pula adalah bangku kayu panjang. Persis warung kopi di kampung-kampung.

Warung itu hanya sebuah dan ianya terletak di dalam kebun milik seorang penduduk kampung. Aku rasa, warung itu milik tuan tanah itulah. Aku lihat ada agak ramai juga orang-orang kampung yang bermotorsikal singgah di situ untuk minum dan makan... mungkin baru balik dari kebun masing-masing.

Aku mahu makan mee goreng dan air sirap sahaja. Jadi, aku pesan yang itu. Tetapi, tuan warung itu kata di warungnya ada satu resepi masakan kukus yang istimewa dan digemari ramai. Tuan warung itu tahu bahawa aku dan Mama bukan orang situ, jadi dia syorkan aku mencubanya. Malah, dia akan tunjukkan cara-cara membuatnya... menarik sungguh, aku seperti Antony Bourdain pula rasanya.


Tukang masak pun mengeluarkan periuk kukus. Di letakkan di atas dapur arang yang berbentuk bulat diperbuat daripada tanah liat (seperti tempat kaum Cina membakar 'duit' untuk ruh tersayang). Kemudian, dia jerangkan sejag air.

Selepas itu, tuan warung itu membawa bahan makanan untuk kukusan itu...

Aku lihat dia memegang seekor ular yang kecil, lebih kurang sebesar ibu jari dan sepanjang 2-3 kaki. Warna ular itu kelabu kehitaman dan kepalanya bundar (tidak terlalu bulat). Aku rasa itu ular air.

Mula-mula, tukang masak wanita itu (aku rasa itu isteri tuan warung) menunjukkan cara untuk 'menyiang' ular itu. Dia potong kedua-dua belah pipi ular itu untuk mengeluarkan taring. Kemudian dia buang rahang bawah ular itu. Ular itu masih hidup!

Setelah siap, dia masukkan ular tadi hidup-hidup ke dalam periuk pengukus dan menutupnya. Lebih kurang 10 minit, dia buka penutup pengukus dan keluarkan ular tadi yang aku lihat sudah berubah warna dan sudah masak!

Kemudian, tukang masak itu menunjukkan cara-cara untuk mengeluarkan daging ular air itu. Dia gunakan sebilah pisau tajam lalu membuat torehan pada kulit di sepanjang belakang ular tadi. Kemudian, dia gunakan belakang pisau tadi untuk 'melurut' atau menolak daging ular ... aku tak tahu nak cerita tetapi caranya seperti mengeluarkan isi Vanilla dari kacang Vanilla (Vanilla bean).

Daging ular itu sungguh lembut. Aku teringat ianya seperti isi Ikan Siakap yang dikukus pula... hahaha. Patutlah dia gunakan ular air yang masih kecil kerana daging ular itu masih lembut.

Sebelum dihidangkan, dia tuangkan sedikit kicap masin, bawang putih dan daun bawang lalu digaul bersama-sama daging ular itu di dalam sebuah mangkuk kecil. Dia kata rasa daging ular itu manis dan sedap!

Jangan risau.. aku tak makan. Ada seorang pelanggan beria-ia menyuruh aku makan ular kukus itu. Lalu aku suruh tuan warung itu berikan kepadanya... tak mengapa, aku belanja dia makan ular kukus.


Ada sesiapa nak cuba resepi itu?




.

12 comments:

cinta said...

Kagum. Mimpi yg sungguh jelas. Mimpi yg byk tafsiran. tp kalau nk tafsirkan di sini bole jadi entri. hehe..

Nizam.Ariff said...

Cinta,
mimpi makan ular, apa tafsirnya?

Dr K said...

Kau ni betul betul ketagih mancing ni...hahahha

Ular masak 3 rasa la yg paling sedap ..:P

sepa said...

aku pernah tengok org panggang ulor hiduphidup...!

Nizam.Ariff said...

Daddy Ziyyad,
ko pernah makan ek? Hahaha


Sepa,
Ko tak tegah ke?
ish...!

t.a.t.a said...

aku selalu nampak orang kena patuk dengan ular.




nampak di Discovery Channel je.

Nizam.Ariff said...

tata,
kalau gitu, aku pun pernah tgk buaya kerkah kerbau... hahaha

t.a.t.a said...

hahaha.

kau pernah nampak orang pijak ular?

Nizam.Ariff said...

tata,
terpijak tu pernah... kalau sengaja pijak, tak pernah la pulak...

t.a.t.a said...

tapi kan kenapa orang kalau terpijak ular, ular tu pasti mati kena bunuh kalau ia tak lari. tak pulak aku tengok orang terpijak ular, pastu dia minta maaf pada ular tu.

ada tak orang buat macam tu?

Nizam.Ariff said...

tata,
dah nama ular... bukan dia faham pun.... hahaha

ASH said...

Buleh tak kau basuh kaki sebelum tidur..?

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com