Tuesday, February 25, 2014

Bercakap dengan Jin


.


Entah semilir apa yang bertiup, arah mana dan hendak ke mana perginya, aku tak pasti. Sekonyong-konyong aku terbang ke daerah itu dari langit kelabu, daerah yang aku rasakan seperti aku tahu tetapi tidak  secocok dengan suasana di situ...suasana lama.

Di sebuah rumah papan beratapkan zink berkarat dan sisir-sisir dedaun rumbia sebahagiannya, seorang perempuan sedang keluar dari pintu dapur, melangkah bendul sambil menatang cicipan petang bersama-sama sekoleh air minum. Seorang budak lelaki membontotinya. Segar bau kopi kampung menerbangkan seka nafsu ke lelangit siling rumah papan itu.

Namun sekilas anak mata aku bisa melihat ada sepasang kepulan asap kelabu sebesar buah kelapa berpusar-pusar seketika sesamanya sebelum naik dan hilang di belakang perempuan itu. Aku lihat, aku nampak tetapi aku biarkan. Asap dari dapur barangkali, itu telahan aku pada ketika itu. Lalu kami pun jamah rezeki pada petang itu.

Keesokkannya, ketika mahu ke dapur, aku berselisih lagi dengan sepasang kepulan asap itu yang berpusar-pusar terawang-awang separas pinggang dan bahu, pada kali itu di ruang tamu pula. Tidak seperti sebelumnya, pada kali ini sepintas lalu aku dapat meneka kalibat wajah lelaki dan wanita terbentuk secara tidak sempurna oleh asap kelabu itu. Sepintas sahaja dan kepulan asap itu pun menipis dan hilang ke lelangit siling.

Sudah dua kali, aku fikir, cukuplah itu. Lalu aku berjumpa dengan seorang tua di kampung itu. Seorang tua yang aku kira cukup masak dengan kisah-kisah ganjil seperti tadi. Yang aku kira boleh menerangkan maslahat sekurang-kurangnya, jika tidak dapat menolong pun. Paling tidak pun, dia sanggup berkongsi khawatir aku ini.

Kepadanya aku ceritakan kisah tentang sepasang kepulan asap yang seolah-olah menari dan berpusar-pusar sesama sendiri di rumah aku. Aku katakan juga yang aku seolah-olah dapat melihat sekilas wajah seorang lelaki dan seorang wanita. Aku katakan padanya, aku khawatir itu sepasang Jin yang datang mahu menumpang tinggal di teratak tua aku. Selain daripada penampakkan begitu, tiada gangguan lain yang berlaku pada aku sekeluarga. Lalu aku mengajaknya untuk datang melihat sendiri kejadian yang aneh itu.

Sesampai orang tua itu di rumah aku, segera dia membuka pintu rumah yang tak berselak. Seperti yang aku duga, kepulan-kepulan asap itu sedang bergentayangan di ruang tamu. Segera aku tunjukkan kepadanya.

 "Pada firasat aku, itu bukan dua...tapi nantilah dahulu." Katanya.

 Lalu orang tua itu hampiri kepulan asap itu. Aku dengar seperti mereka berbisik-bisik sesuatu. Pada kali ini, kepulan-kepulan asap kelabu itu tidak hilang seperti selalu.

 "Ohh... yang kamu lihat itu bukan dua tetapi sebenarnya jumlah mereka ada 70! Di rumah kamu ini ada 70 jin sedang bertandang. Mereka hanya menumpang."

Lalu orang tua itu memanggil aku dengan isyarat tangan untuk merapatinya. Aku pun hampirinya. Kemudian aku disuruh mengintai ke dalam kepulan asap itu. Apabila aku renung ke dalam kepulan asap itu, aku dapat melihat satu dunia yang lain, dunia yang asing. Kepulan-kepulan asap itu seolah-olah satu pintu ke dunia misteri, seperti satu koyakan fabrik ruang dan masa sebesar buah kelapa. Di dunia misteri itu, sekilas lalu aku sempat melihat sebuah perkampungan lama dengan rumah-rumah kayu beratapkan daun rumbia manakala penduduk-penduduk di situ sibuk berjalan ke sini-sana, seperti ada kera'ian. Agak ramai. Aku rasa betullah kata orang tua itu, jumlah mereka bukan dua tetapi 70 makhluk berbangsa Jin.

Walau pun aku tidak rasa mereka itu mahu mengganggu aku, namun aku tidak mahu mereka mengejutkan aku sekeluarga nanti. Lalu aku minta orang tua itu memberitahu agar kaum Jin itu berpindah dari rumah aku. Tapi aku tak pasti sama ada mereka akur untuk keluar atau tidak...

Mimpi malam minggu itu berakhir di situ sahaja...setakat ini tiada sambungannya.


.

10 comments:

Tijah said...

pergh. payah betul aku nak hadam penulisan ko nih. ke aku kena amek july paper ek?

Nizam.Ariff said...

tijah.
hmmm..sempat lagi nak daftar...hehe

t.a.t.a said...

Kak Jah, kalau betul akak amek kitorg leh beri sokongan moral kat akak. Buat sepanduk dan duduk di luar dewan. Nak tak?

Nizam.Ariff said...

Tata.
daripada banner, baik rentangkan jawapan supaya senang disalin...

t.a.t.a said...

Nanti semua calon dalam tu lulus.

tasekM said...

apa ke bangang tijah itu pun tak paham.

kikikikiki...











ok jah.
salam... salam...
aku tak nk bergaduh dgn ko hr ni.
hr ni je la...



.

t.a.t.a said...

kak tas, sentap karang kak jah.

Daddy Ziyyad said...

kalau boleh benar2 bercakap dgn jin, kau nak ke bercakap dgn jin? :P

LydSunshine said...

Tajuk entry ni boleh jadi jugak MMI = Mimpi minggu Ini.

Nizam.Ariff said...

Tata,
Sharing is caring...


Tasekm,
Berdamailah korang berdua... duduk sebumbung (langit), buat apa gaduh2...
keh keh keh..


DaddyZ,
Kalau dia tak kisah, nak juga aku bertanya pasal sejarah dulu-dulu.... pasal Hang Tuah ke... ye lah, umur ribu-ribu tahun...
Percaya atau tak itu perkara kedua, boleh check balik fakta... hahaha


LyDS,
Tak mampu nak tulis mimpi tetiap minggu pulak le... hahaha

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com