Tuesday, October 21, 2014

Majlis BBQ di pulau kecil


.



Setelah fajar mulai terbenam, nyamuk-nyamuk pun keluar dari hutan mencari sesedut darah panas dan segar. Gigih sungguh mereka terbang menongkah angin laut petang. Salah seekornya telah berjaya hinggap pada hidung Pak Belang. Terpana sebentar dia, berkira-kira pula dia sama ada mahu ditepuk atau dikibas sahaja. Kalau ditepuk, nanti ibarat menampar hidung sendiri. Kalau dikibas, nanti nyamuk itu datang dan hinggap lagi. Dalam pada berkira-kira itu, nyamuk itu sudah pun kenyang lalu terbang meninggalkan hidung Pak Belang.


"Buatlah unggun api.... asapnya nanti memabukkan nyamuk." Nasihat Sang Raja Singa.


Pak Belang pun berjalan masuk ke hutan mencari dahan-dahan dan ranting-ranting kering untuk dibuatkan unggun api. Setelah dapat mengumpulkan sepemeluk banyaknya, dia pun keluar. Pak Belang susun kayu api itu di dalam kawasan bulatan batu-batu yang telah disediakan oleh Sang Raja Singa selama pemergiannya ke hutan tadi.


Jenuh Pak Belang mengetuk batu bagi mencari sepencar percikan api sedangkan Sang Raja Singa hanya duduk sambil meraut sebatang kayu tajam dengan menggunakan batu tajam. Setelah sudah siap, dia asah pula kukunya pada batu granit hitam. Manakala Pak Belang pula baru berjaya mendapatkan bara kecil. Ditiupnya perlahan-lahan... tertonggeng-tonggeng dia meniupnya sehingga bara tadi membakar menjadi api. Terbatuk-batuk dek asap jadinya. Sang Raja Singa hanya tersenyum sambil mengerling kepada Pak Belang.


"Malam ni kita nak makan apa? Bukan ada apa-apa binatang pun di pulau ni." Pak Belang bertanya.

"Beta tak tahu pasal kamu tapi beta tahu beta akan makan daging salai malam ini." Balas Sang Raja Singa tersenyum.


Jenuh Pak Belang berfikir, adakah Sang Raja Singa ada stor di pulau itu? Dimana pula hendak mendapatkan daging salai?


"Pssttt... mike tau ngape teman ngajak mike naik rakit ke sini?"


Sang Raja Singa pun tertawa berdekah-dekah sambil menimang-nimang sebatang kayu ditajamkan tadi. Tapi bagi Pak Belang, ketawa itu bukan menggelikan hati tetapi hilaian yang sungguh menyeramkan bulu romanya...





.


5 comments:

Kakzakie Purvit said...

Kesian Pak Belang yg innocent tu. Dasar Raja Singa tak mengenang budi..

Itulah jgn naif sangat kalau jadi manusia - eh ini binatang kan:)

Su @ Aya said...

ha ha ha ha ha!
Ketawa Raja Singa kuat2. Pak Belang telan air liur, mata terkebil2.


Begitulah yg aku bayangkan. Siap macam nampak2 raja singa nganga mulut luas2 sambil gelak. Hehe...

Nizam.Ariff said...

Kakzakie.
Kadang2 ramai yg menyamar dibalik belang...


Su.
Hah....mcm tu lah agaknya...haha

LydSunshine said...

Pak Belang tu kalau dia betul2 spesis pak Belang, sepatutnya dia boleh lawan Sang Raja Singa tu. Lawan tetap lawan.

Nizam.Ariff said...

Lyds.
Singa tetap raja dirimba.... Daulatnya ada...haha

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com