Tuesday, November 11, 2014

Filem Interstellar - memugar kisah dimensi alam yang kompleks?


.



Interstellar, sebagai sebuah cerita panggung wayang, bagi aku hanyalah biasa-biasa sahaja. Hendak dikata ianya sebuah filem sains fiksyen pun tidaklah sangat, kalau dikata filem tentang masyarakat  dan cinta pun tidaklah sangat. 'Neither here nor there', bak kata orang putih. Walau pun filem ini bersandarkan fakta sains namun hasil garapannya tidak cukup untuk menjadikan ianya sebuah filem yang hebat. Aku rasa kalau tonton saluran 554 Discovery lebih berfakta, lebih-lebih lagi bulan November adalah 'space month' dalam saluran itu. Morgan Freeman yang tolong ceritakan. Filem cereka seperti ini perlu berani untuk memaparkan teori-teori yang dianggap kontroversi atau radikal dalam dunia sains, seperti Avatar, barulah umpph! Jikalau bersikap ambil jalan selamat dengan memaparkan pengetahuan sains yang kita sedia maklum dan fahami, aku rasa filem ini hanyalah seperti sebuah dokumentari sains. Malah dalam saluran Discovery Science juga pernah ada siri dokumentari-drama jelajah angkasa, dengan grafik yang tidak kurang hebatnya.



Sambungan kepada entri sebelum ini...

Sebelum kapal angkasa memasuki Wormhole, dipaparkan fenomena gravitational lensing yang diakibatkan oleh Wormhole itu. Ini terjadi apabila berlaku herotan pada fabrik ruang-masa akibat graviti. Ianya seperti melihat ke dalam botol sos tomato yang dikosongkan dan direndamkan ke dalam sungai. Masa kecil-kecil dulu inilah yang aku lakukan untuk melihat lumut dan tumbuhan akuatik. Seperti a la snorkling gittew...

Aku selalu guna istilah 'fabrik ruang-masa', apakah maksudnya?

Aku terjemahkan 'fabrik ruang-masa' itu dari istilah 'space-time fabric' yang sering digunakan oleh Prof. Hawking. Untuk memudahkan ketika membayangkan alam dengan dimensi lebih tinggi, eloklah juga kita mulakan dengan dimensi mudah. Kita mesti pernah belajar tentang graf. Graf yang paling mudah ialah berpaksikan X dan Y. X dan Y ini merupakan kedudukan sesuatu titik dalam satah menegak dan melintang. Setiap kedudukan titik itu dapat ditandakan dengan satah X dan satah Y. Apabila kita sambungkan titik-titik di atas satah X dan Y, ia akan menghasilkan lukisan dua dimensi (2D), seperti di atas kertas atau seperti gambar di dinding. Jikalau kita sambungkan 4 titik pada satah X dan Y, kita akan dapat bentuk segi empat dengan 2 permukaan yakni depan dan belakang.

Kemudian kita belajar tentang paksi Z, iaitu satu satah yang bersudut tegak dengan satah X-Y tadi. Dengan wujudnya paksi Z, ia memberikan kedalaman (depth) terhadap satah 2D paksi X-Y tadi. Ini bermakna, bentuk segi empat tadi akan menjadi bentuk kotak dengan 6 permukaan yakni depan-belakang, kiri-kanan, atas-bawah. Kini, lakaran segi empat tadi telah menjadi kotak di dalam ruang tiga dimensi (3D) yang diwujudkan oleh satah-satah X, Y dan Z. Dengan kehadiran satah Z, ia memberikan 'isipadu' kepada segi empat tadi iaitu isipadu 'kotak'.

Memanglah kita lihat dunia kita ini terbina dalam 3 dimensi. Kita lihat orang itu mempunyai isipadu (volume), kita lihat pokok-pokok, gunung-ganang malah lautan juga mempunyai isipadu. Itulah dunia 3 dimensi yang kita lihat dengan mata kasar. Namun, dunia 3 dimensi adalah dunia statik! Kita lihat orang yang 3 dimensi itu tidak bergerak kerana satah-satah X,Y dan Z tidak membenarkan sebarang perubahan. Sedangkan kita tahu dunia ini bergerak. Dunia 3 dimensi menjadikan kita kekal muda kerana proses penuaan memerlukan satu dimensi yang dinamik...dimensi yang membenarkan objek 3D tadi berubah. Oleh itu objek perlu bergerak dalam satu ruang yang lain...ruang masa. Jikalau kita lihat seekor burung yang sedang terbang, kita dapati kedudukannya di langit berbeza pada setiap saat. Ini kerana burung yang 3D tadi bergerak melalui satu ruang yang diwujudkan oleh satah masa.

Sekarang, kita perlukan 4 dimensi yang terdiri daripada X,Y,Z dan masa untuk menggambarkan keadaan dunia yang kita lihat. Kenapa aku katakan 'dunia yang kita lihat'? Kerana mata kita hanya dapat melihat dunia seperti mana yang kita fahami ini. Bagaimanakah arkitek/rekabentuk dunia sebenar? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.



Kita telah berjaya membina 4 dimensi untuk menggambarkan dunia seperti yang kita lihat ini. Satah X,Y dan Z memberikan 'isipadu' kepada objek...dan isipadu adalah satu ruang seperti sebuah bangunan gudang yang besar. Dinding, bumbung dan lantai gudang itu ditentukan oleh satah X,Y dan Z manakala di dalam gudang itu adalah satu ruang kosong yang setiap titik di dalamnya juga boleh ditentukan dengan koordinat x,y,z yang lebih kecil. Dimensi yang ke-4 pula ialah masa. Jadi, dimensi X,Y,Z adalah 'ruang' dan dimensi ke-4 adalah 'masa'... maka jadilah 'ruang-masa'.



Kenapa pula dikatakan 'fabrik' atau kain?

Kita ketahui bahawa masa berdetik tanpa henti sejak ia diciptakan Allah. Jika kita ketinggalan dalam tuntutan-tuntutan masa, kita akan menjadi orang yang rugi. Apakah tuntutan-tuntutan masa? Segala apa yang disuruhNya dan yang ditegahNya. Dan semua tuntutan itu berasaskan garisan 'masa'. Dalam hal solat, misalnya, kita hanya perlu solat Zuhur sekali sehari dan wajib solat Zuhur pada esok hari. Jikalau masa tidak bergerak, kita akan solat Zuhur dua kali, tiga kali malah berkali-kali pada hari yang sama. Ini tidak mungkin kerana tiada tuntutan solat Zuhur lebih dari sekali pada satu hari. Oleh itu, semua tuntutan adalah seiring dengan aliran masa.

Bagaimana masa 'mengalir'? Masa bergerak ke segenap arah. Setiap gerakan pada masa akan menghasilkan satu satah masa atau dimensi masa. Ambil contoh sebuah tasek yang airnya sangat tenang. Kemudian campakkan seketul kelikir di tengah-tengah tasek. Satu gelombang akan terjadi. Kemudian gelombang tadi akan 'merambat' atau bergerak ke arah tebing tasek dalam semua arah. Gelombang air yang bermula dengan sentuhan kelikir pada permukaan tasek tadi kini semakin membesar. Jikalau ada 2 ekor itik sedang berenang, seekor di tengah tasek dan seekor di tepi tasek, yang berada di tengah tasek tadi akan merasa turun-naik gelombang air terlebih dahulu daripada itik yang berenang di tepian. Ini bermakna masa itu bergerak dari satu titik ke satu titik lain. Apabila ada dua titik masa, ia dapat membina satu satah lain.

Masa yang merambat, jika dilukiskan, adalah seperti jaring sarang labah-labah. Jikalau pada satu skala yang sangat besar, sebesar alam dunia ini, kita akan dapati bahawa satu titik kecil pada jaring sarang labah-labah itu adalah sebuah planet. Satu titik kecil yang kita nampak adalah bumi ini, mungkin. Sedangkan bumi ini mempunyai ruang / isipadu. Oleh kerana skala alam ini tersangat besar, dimensi masa tadi seolah-olah menjadikan ruang 3D ini seperti kek lapis...atau lapisan agar-agar dia dalam mangkuk kaca. Walau pun kek lapis atau agar-agar tadi mempunyai ketebalannya, namun oleh kerana skala masa itu sangat besar, ketebalan kek lapis atau agar-agar tadi dilihat sangat nipis...senipis kertas. Dan segala planet dan bintang-bintang hanyalah contengan atau lukisan di atas kertas tadi. Dan jikalau kertas tadi ditukarkan kepada kanvas, segala planet dan bintang yang kita lihat ini adalah lukisan abstrak pada sekeping kanvas. Kanvas adalah fabrik.



Kalau alam ini seperti lukisan di atas sekeping kanvas, maka adakah alam ini rata?

Bukanlah payah mana pun, gulunglah kanvas tadi maka kita dapatlah permukaan yang melengkung. Tapi, adakah alam ini rata seperti kanvas tadi? Setelah Kiamat nanti, Allah akan hamparkan dunia yang baharu. Hamparan itu seperti tikar mengkuang? Fikirlah sendiri sama ada alam ini bulat atau rata.

Kanvas yang digulungkan... hmmm... menarik sungguh analogi yang aku buat... hahaha. Sekarang kita sudah 'bina' pemahaman bahawa 'ruang-masa' terbina dari satah x,y,z dan masa ... atau 4D. Sedangkan pada skala yang amat luas, seluas maya pada ini, 4D itu hanyalah sekeping kanvas. Untuk menghasilkan lengkungan, kanvas tadi digulung. Dalam sains, dimensi ke-5 adalah dimensi yang mampu membina ruang diantara 4D tadi dan ruang itu dapat dibina jika kanvas tadi melengkung. Apakah yang dapat membuatkan kanvas itu melengkung? Graviti.

Aku tak pasti/faham sama ada graviti adalah satu paksi dimensi ATAU ia adalah kuasa yang membentuk satah dimensi ke-5 (yakni kalau tanpa graviti, ruang yang dibina oleh dimensi ke-5 akan runtuh / musnah). Ia seperti memasak air di dalam mangkuk kaca tahan haba. Apabila air mula menggelegak, kita dapat lihat gelembung-gelembung halus muncul di dasar mangkuk sedangkan mangkuk kaca itu tidak berlubang. Gelembung-gelembung ini semakin membesar lalu naik ke permukaan air. Dari mana datangnya gelembung ini? Haba dari api yang panas tadi telah menjadikan molekul air bergetar lantas memberikan ruang untuk menghasilkan gelembung. Gelembung itu mempunyai isipadu tertentu. Samalah seperti graviti tadi. Ia menyebabkan permukaan fabrik kanvas itu melengkung (warping) dan lengkungan tadi menghasilkan satu ruang untuk dimensi ke-5 wujud.



Inilah yang cuba dibayangkan oleh krew kapal angkasa di dalam filem 'Interstellar' ketika mereka memasuki Wormhole... apabila salah seorang krew mereka berkata "...we are entering a higher dimension space". Adakah apa yang mereka rasai itu betul? Entahlah. Tak ada orang yang jumpa dan masuk ke dalam Wormhole lagi. Jangan ada pulak orang yang buat teori bahawa Mikraj itu berlaku dalam Wormhole sudahlah!



Apakah kesan graviti kepada fabrik ruang-masa?



Nantilah aku sambung.... dah sakit tengkuk aku menulis.







.

7 comments:

Daddy Ziyyad said...

panjangnya review kau....hahahaha
petang sikit aku dtg balik baca...

but kesimpulannya apa bro? wajar tonton tak filem ni?

Nizam.Ariff said...

Daddyz.
Tonton sekadar nak isi masa je la...klu nak fakta, tonton channel 554 je lg ok.

HeNRieTTa JoSe said...

wow...complicated....semalam cdg nk tgk, tpi terlepas time and next show agak lewat...cancell...

Su @ Aya said...

tak abih lg review interstellar ko nizam?

semlm aku baca word by word..
ari ni, aku baca mula2, tengah sikit, dan last.. hahahaha

err.. aku rasa aku tengok discovery jer la.

Nizam.Ariff said...

HJ,
Pada pendapat aku, kalau terlepas pun tak mengapa... hahaha


Su,
Blom lagi... tunggu eh... kasi rehat jari jemari aku dulu...

MegaImaginasi said...

review la ttg jhon wick pulak...haha

Nizam.Ariff said...

Mega.
Tak minat nak review....:)

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com