Thursday, August 6, 2015

Finale Mimpi .... dunia kacau

.

Finale cerita semalam...



Kelaparan dan kesejukkan menghalang aku dari rasa mengantuk. Ketakutan menjadikan mata aku tetap segar [amat jarang berlaku mimpi dalam mimpi apatah lagi tidur dalam tidur, tapi aku pernah alami mimpi dalam mimpi 2-3 kali seumur hidup dan salah satunya ada aku ceritakan dalam entri dulu-dulu. Ini bermaksud mimpi dalam mimpi itu boleh berlaku]. Aku bangun dan keluar dari bilik itu. Aku cari dari tingkat mana jejantas ke bangunan di atas bukit itu bersambung dengan bangunan ini. Rupa-rupanya di tingkat teratas.

Kenapa aku hendak pergi ke sana? Sebab aku lihat ada ramai orang di bangunan di atas bukit itu, mungkin di sana ada makanan. Aku pun rentas jejantas itu. Lebarnya dalam 5 kaki sahaja tetapi berbumbung. Aku lihat bangunan di atas bukit itu bukannya sempurna, maksudnya ia seperti bangunan yang belum siap. Masih ada tiang dengan besi terdedah, ada bahagian yang belum berdinding, ada juga yang hanya bingkai tingkap sahaja. Bila aku toleh ke bangunan yang kami huni tadi rupa-rupanya hampir sama! Kedua-dua bangunan itu menggunakan struktur besi keluli manakala dindingnya daripada batu bata.

Masih banyak tingkat yang atas-atas itu belum siap. Masih hanya struktur besi keluli yang terdedah tanpa lantai dan dinding. Aku dapat lihat beberapa orang bergerak dari bilik ke bilik atau tingkat ke tingkat dengan memanjat atau melompat dari tiang atau gelegar  besi ke tiang atau gelegar besi yang lain. Aku juga nampak tali kabel keluli dan paip berjuntaian. Ada diantara mereka yang bergayut dan berhayun menggunakan kabel itu untuk ke tingkat lain. Ngeri sungguh aksi mereka, lebih-lebih bila berada di tingkat tinggi sebegitu.

Aku sampai ke hujung jejantas. Di depan aku ada satu ruang besar tanpa dinding seperti kantin. Ada meja keluli tahan karat yang panjang, seperti yang biasa kita jumpa di kantin atau dewan makan. Aku lihat ada agak ramai juga orang sedang duduk makan. Di salah satu sudut ada beberapa orang sedang menceduk makanan dari besen-besen besar untuk diberikan kepada orang-orang yang sedang beratur. Aku pun ikut beratur untuk mengambil makanan.

Aku capai piring leper diperbuat daripada besi. Orang tersebut meletakkan sesudu makanan yang lembik seperti kentang lecek tetapi bukan kentang, ia seperti bubur Assyura yang pekat/kental, ada bijirin dan kekacang. Tak banyak, dia letak sesenduk kecil seperti satu-dua  scoop ais krim sahaja. Belum sempat aku berjalan untuk duduk di meja makan, aku dah habiskan separuh makanan dalam 2 suap sahaja! Sangat sedikit.

Kemudian aku teringatkan mama dan adik ipar yang menunggu aku dalam kelaparan. Serba salah aku jadinya kerana makanan hanya tinggal sesuap... untuk berdua adalah tidak mungkin. Aku putus akal. Aku rasa mahu menangis bila teringat mereka masih lapar. Jadi, aku masuk semula barisan untuk mengambil makanan. Ketika sampai di tempat orang memberi makanan itu, aku di halang oleh dua lelaki yang memegang besi panjang, aku rasa mereka itu pengawal. Aku cakap aku mahu ambilkan makanan untuk dua orang lagi, maksudnya untuk mama dan adik ipar, tetapi tetap dihalang. Aku dibawa keluar barisan secara paksa. Tangan aku disentap keras manakala seorang lagi menolak aku dari belakang, hampir terjatuh aku.

Aku cakap aku mahu berjumpa dengan ketua di situ. Ada seorang lelaki Kaukasian berbadan sederhana tetapi tinggi, keluar dari bilik kaca. Dia bertanya. Aku kata aku bukan mahu ambil makanan untuk diri sendiri tetapi untuk aku bawa balik ke bilik untuk dua orang lagi. Puas aku merayu tetapi tidak berjaya. Akhirnya dia suruh aku bawa mama dan adik ipar datang ke situ, ambil sendiri makanan. Alasannya, amat berbahaya untuk aku bawa makanan keluar kerana aku mungkin dirompak atau mungkin terbunuh kerana makanan menjadi rebutan di luar bangunan itu. Ok, aku faham.

Aku lihat piring besi, masih ada sedikit sisa tadi (yang aku sendiri belum kenyang tapi itulah sahaja makanan yang dikongsikan kepada semua). Aku kaut sisa sikit tadi dan aku masukkan ke dalam bungkusan plastik, akan aku bawa untuk mama dan adik ipar sebagai alas perut sebelum mereka datang ke kantin itu.

Aku berjalan ke jejantas. Pada kali ini aku lihat jejantas itu sudah buruk...lantai besinya sudah banyak yang tiada. Aku terpaksa meniti di atas rangka besinya sahaja. Sesampai di hujung, aku melompat ke tingkat yang hanya ada lantai tanpa ada dinding. Aku berpaut pada tiang besi. Aku lihat banyak juga tingkat yang melopong tanpa lantai simen.

Tiba-tiba aku terdengar suara seorang lelaki menjerit meminta tolong. Aku lihat lelaki itu di tingkat bawah aku, aku dapat lihat sebab berlubang tak bersimen. Lelaki kurus separuh umur itu menjerit kepada seorang budak lelaki berumur sekitar 7-8 tahun yang berada di tingkat sama tetapi jauh di hadapan terpisah, aku dan lelaki itu tidak dapat pergi kerana ada banyak lantai yang tak bersimen di antara kami dan budak itu. Bangunan itu seperti belum siap atau mungkin rantainya runtuh akibat letupan, begitulah keadaannya.

Budak lelaki itu sedang memegang sesuatu, seperti selinder besi berwarna hijau tua. Dia sedang bermain-main dengan besi selinder itu. Lelaki tadi, yang aku rasa itu mungkin ayah budak itu, menyuruh anaknya berhenti bermain dan buangkan besi itu jauh-jauh, tapi tidak diendahkan. Budak itu leka bermain seperti baru mendapat barang mainan yang baharu. Lelaki itu terus meminta tolong, dia panik, tapi aku tak mampu pergi ke sana.

Kemudian aku terlihat seorang lelaki sedang melompat dari tiang ke tiang, dari lantai ke lantai dan kadang-kadang bergayutan pada kabel keluli seperti tarzan. Aku cam lelaki itu. Dia adalah ketua yang aku berjumpa di kantin tadi. Dia terus berhayun dan melompat ke lantai budak lelaki tadi. Dengan tangkas dia rampas selinder besi itu lalu cucukkan sejenis pin. Dia lega tetapi budak lelaki itu terpinga-pinga, tak tahu apa yang bahayanya. Aku syak selinder besi itu adalah sejenis bom. Budak lelaki itu mungkin telah terjumpa bom itu di celah-celah runtuhan bangunan.

Serta-merta aku dapat rasakan bahawa dunia ketika itu menjadi seperti itu kerana peperangan besar. Akibatnya, dunia jadi kacau bilau, jadi sakit. Makanan terhad. Cuaca jadi tak menentu. Akibat terdesak, nilai-nilai kemanusian telah berubah. Nafsi-nafsi. Manusia dan haiwan tak jauh bezanya...untuk survival, untuk terus hidup. Tapi, apalah gunanya hidup dalam dunia seperti itu? Kalaulah mati itu tidak menyakitkan, aku rasa mungkin ramai yang memilih untuk mati daripada terus hidup di situ.



Mimpi aku berakhir di situ sahaja. Namun banyak persoalan masih belum berjawab...



.

2 comments:

PutriPurnama said...

tak payah dalam mimpi dialam nyata pong, malaysia kita diambang kacau bilau ( sengau sikit, ala ala tengganu kita..sebab selesema).

Nizam.Ariff said...

Puteri.
Mgkn sbb itu aku mimpi kut....

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com