Monday, January 4, 2016

Romy si tukang jahit... ( mungkin bukan nama sebenar )

.

Minggu lepas aku terjumpanya di siar kaki. Dia dengan mesin jahitnya. Tekun tetapi masih ada masa untuk beramah mesra dengan orang² yang lalu lalang. Aku bertanya jika dia boleh potong kaki seluar sekolah Ariff. Boleh, katanya.

Maka pada Jumaat lepas, aku datang dengan beberapa helai seluar - untuk dipendekkan dan dikecilkan. Katanya ambil petang esok (yakni petang Sabtu lepas).

Maka pada petang Sabtu itu, aku datang. Seperti diagak, belum siap. Tak boleh jadi, aku tarik kerusi plastik dan aku duduk dengannya di siar kaki itu. Kalau tak ditunggu, entahkan siap, gumam dalam hati aku.




Namanya Romy. Itu yang aku curi dengar dari sapaan pelanggan²nya. Aku temankan menjahit, aku kata. Silakan, katanya.

'Kamu orang mana?' aku tanya.
'Abang teka?' dia balas.

Dari pelat bahasa Melayu, susuk tubuh, gaya rambut dan kulit yang sawo matang itu aku teka... 'Pakistan!???'
Dia ketawa panjang.... 'Saya orang Acheh, bang.'
'Habis tu, kenapa kulit kamu gelap?' aku tanya.
'Matahari petang, bang. Berjemur begini.' jawabnya.

Di depannya ada bidai buluh, masih baharu. Katanya bidai itu baru dua hari dipasang. Selama enam bulan lepas, panas petang tepat kena tubuhnya. Patutlah hitam. 'Nak kerja carimakan.' katanya lagi.

Tangannya laju. Mulutnya agak ramah bercerita. Kerap juga pelanggan datang sama ada menghantar seluar baju yang perlu dirubah atau datang mahu ambil yang telah siap. Kadang² ada pelanggan yang mencelah kerana rubahan yang mudah. Romy minta kebenaran mencelah, aku benarkan kerana kerja² rubahan seluar Ariff agak rumit.

Aku bertanya, kerja tunduk² begitu tidakkah sakit tengkuknya. 'Sakit, bang.' jawabnya. Tapi masih menjahit? Dugaku.
'Mahu cari duit untuk makan, bang. Tapi kesihatan itu perlu. Tak guna banyak duit kalau sakit, bang. Kesihatan itu yang utama.' jawabnya. Aku setuju banget.

Apa nanti kumpul duit untuk beli tanah di Acheh? Dugaku lagi. 'Tidaklah, bang.' cepat dia jawab.
'Menjahit ini cukup untuk bayar sewa dan makan minum. Itu pun cukuplah.' sambungnya.
'Kamu tak simpan?' Dugaku lagi.
'Makan lepas sudah cukup, bang. Jangan difikirkan jauh². Dapat makan esok lusa pun sudah cukup dulu.'
Aku terdiam. Sudah dua falsafah hidupnya aku dapat korek....tentang kesihatan dan perancangan masa depan.

Kelihatannya dia seperti berjuang untuk hidup di bumi asing. Berpanas di siar kaki. Bekerja siang dan malam di minggu² akhir sebelum sesi sekolah bermula. Aku sangkakan tentu dia memandang jauh ke depan tapi apa yang dia pandang adalah sesuatu yang mudah....esok dan lusa. Tak perlu risau yang jauh².




'Sudah 3 hari saya tak tidur, bang. Banyak kerja nak disiapkan.' keluhnya dalam senyum.
'Alahhh....tinggal satu hari. Minggu depan budak dah sekolah. Kamu lapang.'  Aku kata begitu sebab rata³ yang datang untuk rubah pakaian seragam sekolah.

'Makan tengahari pun belum lagi.' keluhnya lagi.
Aku lihat jam sudah jam 4 lebih.
'Tak apa. Orang tak mati kalau 3 hari tak makan, asalkan dapat minum.' pujuk aku.
'Oh ya. Saya mahu beli air. Abang mahu apa?' Tanya dia. Aku terdiam.
'Kamu yang sibuk, biar aku yang belikan.' tawar aku.
'Tak apa, bang. Sekejap ya.' Dia bingkas bangun dan menyelinap ke gerai air.
Kemudian dia muncul dengan dua gelas Milo ais... satu untuk Mama dikongsi dengan Ariff, satu lagi untuk aku. Kemudian dia datang lagi dengan segelas untuk dia.

Selanjutnya kami bualkan tentang Acheh, tentang tsunami, tentang undang² Islam di sana. Juga tentang kampung halamannya yang ada sungai dan air terjun. Katanya di sana sejuk walau pun siang hari.

Dua jam lebih kami bersembang sambil dia bekerja, akhirnya siap. Aku tanya berapa? Dia minta dibayar untuk dua helai sahaja. Yang dua helai lagi rubahan kecil tak perlu dibayar.

Sudahlah air Milo ais dia belanja, dia bagi diskaun lagi.

Mungkin kerana aku temaninya untuk bersembang.


.

4 comments:

Ssan said...

Suka bila dia ckp pasal cukup perancangan utk hari esok atau lusa. betul jgk tu, kadang-kadang kita ni sibuk merancang utk masa yg jauh dihadapan padahal yg esok pun blm tentu lg

Nizam.Ariff said...

Ssan.
Kdg kala terlaluan risau perkara yg belum pasti...tak elok.

Lady Windsor said...

rezekinya akan lebih murah..baguslah kalau ada ramai anak muda macam romi ni...

Nizam.Ariff said...

LW.
Semoga anak muda kita pun mcm dia tu..

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com