Tuesday, November 8, 2016

Menegur mayat mati lemas

.



Aku tak pasti nak mulakan dari mana. Mimpi ni dah berlaku dua hari lepas tapi aku ambik masa untuk mencantum dan memahaminya. Biasalah, mimpi sering terlompat-lompat dan tak masuk dek akal jalan ceritanya. Aku rasa, inilah yang terbaik yang boleh aku tuliskan untuk mimpi ini:

Aku berada di dalam sebuah rumah papan, yang bertiang dan bertangga kayu. Pintu dan tingkapnya pun daripada papan. Tanahnya luas kerana ia sebuah kampung. Lamannya tanah berpasir dan sedikit rumput. Di hujung laman itu, lebih kurang 50 kaki dari tangga rumah, ada sepohon Rambutan tingginya segalah dan daunnya sudah tua dan tidak lebat, seperti baru lepas musim buah kerana aku dapat lihat ranting-rantingnya seperti  telah dipotong. Ada beberapa pokok kelapa yang tinggi melampai. Tidak jauh dari pokok Rambutan itu, kira-kira 50 kaki ke depan lagi, adalah Tanah Perkuburan Islam.

Suasananya seolah-olah pada tahun 80-90-an. Jalan-jalan kampung seperti tiada kesan kereta masuk, yang banyak ialah lorong-lorong bertebing akibat tenyehan tayar motorsikal dan basikal. Rumah itu seperti pernah aku kunjungi, seperti kepunyaan salah seorang penduduk kampung aku tetapi tiada kubur (mimpi biasanya akan menggunakan imej-imej yang telah ada dalam kepala sebagai latar belakang mimpi).



Di dalam rumah itu, aku duduk di atas tikar mengkuang di atas lantai papan, ada juga batang pinang. Ada sebuah TV lama di tepi dinding. Di ruang tamu itu ada beberapa orang lelaki dan perempuan... yakni orang-orang kampung dan tuan rumah itu. Ada seorang lelaki yang aku rasa dia bertaraf bilal atau imam atau mungkin juga seorang ustaz, sedang bercerita kepada kami di sudut kiri ruang tamu.

Suasana di dalam rumah itu diselubungi kesedihan. Ada kematian. Ada beberapa kujur mayat telah siap dikafan dan diaturkan di bawah pokok Rambutan, tidak jauh dari tanah kuburan. Beberapa orang kampung sedang menggali liang lahat untuk mayat-mayat itu.

Menurut cerita Ustaz itu, mereka adalah sekumpulan pendakwah Islam yang telah pergi merantau ke negara Afrika. Pada ketika ini, 'skrin' mimpi aku berpindah ke Afrika manakala suara Ustaz tadi menjadi naratif sahaja. Aku lihat sekumpulan anak muda lelaki dan wanita sedang berjalan dan mendaki bukit-bukit batu. Aku rasa mereka itu siswa dan siswazah yang menjalankan kajian sosial dan agama di situ.  Ada juru arah seorang lelaki Afrika tempatan.

Aku tak tahu ke mana arah tuju mereka, rasa-rasanya mereka menuju ke sebuah perkampungan. Selepas mendaki bukit berbatu, mereka perlu bersampan pula. Air sungai itu deras, berliku dan membelah batu-batu gunung yang pejal. Malang bagi mereka, ada sebuah jeram yang tinggi di sungai itu dan mereka gagal untuk kayuh ke tepi kerana sampan itu terlalu sarat. Sampan itu terus hanyut dibawa arus deras dan akhirnya jatuh terhempas ke atas batu di bawah jeram itu. Mereka semua mati lemas. Beberapa orang kampung di Afrika itu cuba selamatkan tetapi telah terlambat. Aku dapat lihat sampan mereka telah pecah dan serpihan-serpihan rangka kapal sahaja yang dapat dikumpulkan. Semeua mangsa tidak dapat ditemui.



Kemudian 'skrin' mimpi aku kembali ke ruang tamu rumah itu. Ustaz itu cakap hanya beberapa mangsa dapat ditemui, itu pun selepas beberapa bulan kejadian itu berlaku. Anehnya, keadaaan mayat mangsa masih seperti baru meninggal. Tidak ada cacat cela dan masih sempurna. Jadi, aku rasa mayat-mayat berkafan yang di bawah pokok Rambutan tadi itu adalah mayat-mayat mangsa itu. Kemudian aku rasa aku terlihat sesuatu di hujung anak mata.

Aku toleh ke sudut kanan ruang tamu rumah itu. Aku ternampak ada dua kujur mayat sedang terbaring di atas lantai papan. Muka mereka terbuka, jadi aku dapat lihat yang seorang itu lelaki dan di sebelahnya perempuan. Aku rasa pelik.

"Bukan ke kamu berdua tadi ada kat bawah pokok sana?" Secara spontan aku bertanya kepada mayat-mayat itu kerana rasa-rasanya mereka tadi ada di bawah pokok Rambutan.

Tiba-tiba mayat-mayat itu bergerak-gerak. Yang mayat lelaki itu bersusah payah untuk bangun kerana tubuh mereka telah dikafan dan diikat. Mereka mahu pergi semula ke bawah pokok Rambutan setelah aku tegur mereka. Melihat keadaan mereka yang bergelut untuk bangun itu, beberapa orang pakcik dan makcik pergi mendapatkan mayat-mayat itu untuk diusungkan ke bawah pokok Rambutan.

Aku hanya melihat mayat itu diusung... dan tak terfikir pula dalam mimpi itu untuk bertanya sama ada mereka itu masih hidup atau telah mati.



 

.

8 comments:

Kakzakie Purvit said...

Boleh bercakap dengan org dah mati itulah anehnya mimpi kan
Apa lagi bagaikan boleh nampak cara dia mati walhal nun di Afrika

Tapi kakak ada kesan rasa dalam diri menghayati cerita di sebalik mimpi bagaimana cara mereka mati. Terkesan..

Unknown said...

phew..
penuh misteri mimpi bro nie,

Nizam.Ariff said...

Kakzakie..
Aku pun...tapi cuma mimpi.

Shark.
Ada lg mimpi2 sblm ni....

Dr Singa said...

detail nya mimpi kau!

Anonymous said...

ko kenal ke orang yang mati tu?

Nizam.Ariff said...

DrSinga.
Penceritaan semula dari imej2 yg masih melekat dlm kepala....haha

Rap.
Aku tak kenal...tp muka salah seorang siswi tu mcm awek indo dlm drama dakwah Indo yg biasa kluar ptg2 kat TV.

ewanthology said...

mungkin sekadar terbawa bawa (carried away) dari imaginasi/pemikiran alam nyata.

Nizam.Ariff said...

Ewan.
Ya...mgkn mainan tidur cuma

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com