Saturday, June 28, 2008

Jalan2: Fuhh! Kembar Empat...


Pranngggg!
Terkejut. Tengah-tengah malam bunyi macam-macam.
.
Esok pagi, empat ekor anak kucing mohon berlindung di celah-celah para kat belakang. Memang selalu macam tu, ibu muda yang gelandangan dan diperkosa oleh jantan jongos, kemudian bila dah sarat, kat rumah sinilah dia tumpangkan anak-anaknya.
.
Cuma kali ni, muka anak kucing ni agak kiut. Kecik je. Rasa-rasanya, jantan jongos tu kepunyaan akak jiran selang satu rumah sebab dia ada 2 ekor kucing Burma. Dan si jantan jongos tu selalu lepak kat luar bila malam.
.
Buat masa ni, aku nak usik dia puas-puas...kecik-kecik macam tu memang gerammmm... nak picit-picit ekor dia. Aku nak cubit-cubit telinga dia. Opps! Akukah fedofilia itu???
.

Tuesday, June 24, 2008

Jalan2: Alien dah mendarat...


Kusss...semangat!
.
Terkedu Paku Payung sambil mendongak ke atas. Aku hairan. Aku pun turut mendongak ke atas. Mama pun hairan. Mama pun turut mendongak sama. Apa benda tu...?
.
Seolah-olah mayat yang dah mati 10 hari, muka kecut dan pucat. Mata sepet dan terpejam, mulut terkatup kemas. Hidung yang dah hilang. Makhluk Asing...?
.
Sejak bila tempat aku menjadi tumpuan makhluk asing ni? Apa-apa pun, dia juga ciptaan Tuhan. Walau pun penyamaran dia superb, dia tetap makhluk.
.
Kusss..semangat!
.

Sunday, June 22, 2008

Jalan2: Cerita tentang landasan ...

Termenung... Kemudian, aku snap landasan kosong.



Itulah yang mampu aku buat sambil menunggu tren yang tak sampai-sampai. 12.10pm...tiba-tiba nombor tu berkelip-kelip...12.23pm...berkelip-kelip lagi...12.30pm...baru tren sampai.

Janji Melayu?
Agaknya, segala yang ada perkataan "Melayu", semuanya tak boleh pakai, termasuklah Kereta Tanah "Melayu". Masa di KL Pusat, suara dari corong penyiar sayup-sayup berbunyi ' Tren dari Pelabuhan ke Sentel pada 6.13pm telah dibatalkan. Tren seterusnya akan tiba pada pukul 6.30pm...'

Aku ketawa dalam hati. kenapa tak cakap tren tu terlewat! Tak dapat sampai on-time! Lenguh kaki aku berdiri, bukan ada banyak kerusi, panas pulak tu, yang ada cuma kipas yang mengitar semula debu-debu dalam kubur konkrit besar tu.

Setiap kali lalu di Angkasapura, tren mesti kena slow. Sampai sekarang aku tak faham kenapa. Tunggu tren dari arah satu lagi lepas dulu kot. Tapi, bukan ke landasan tu berkembar? Aku tak faham.
-----------------------

Tapi, bila aku teliti balik foto yang aku snap kat atas tu, aku teringat masa geng kita orang lepak kat Stesen Keretapi Ipoh pukul 2 pagi, pekena Sup Ekor...ya...pertama kali aku disaji dan diuji dan dicabar untuk hirup Sup Ekor. C'man Penang hanya tersenyum. Dayaque yang beria-ia cabar aku. Kawan-kawan lain turut tersengih, menyindir.

"Ekor penuh ta** " Aku.
"Itu peribahasa untuk ayam jantan berkokok. Ini lembu" Dayaque.
Aku hirup sedikit. Masin ada, masam pun ada, bau lemak menyengat hidung. Tapi, itu dulu. sekarang, Sup lutut pun OK!
------------------------

Aku teliti lagi foto yang aku snap tu. Aku teringat lagi:

"Cuba kau tengok, landasan ni seolah-olah bercantum di hujung sana" C'man Penang.
"Tak adalah lah. Dia bercantum hanya dalam fikiran kau je" Aku.
Kemudian, kami termenung memikirkan sesuatu. Akhirnya, aku bersuara.

"Itulah bezanya..." Aku.
"Beza apa?" C'man Penang.
"Beza orang yang tahu dan orang yang cuba ingin tahu"
"Hmm.."
"Kalau buat kesimpulan hanya dari apa yang kau boleh nampak, kau akan kata yang landasan itu bercantum somewhere kat hujung sana. Tapi, oleh kerana kau pernah naik keretapi, kau tahu yang landasan itu tak akan bercantum kat mana-mana pun" Aku.

"kau betul, tapi aku tahu sebab aku belajar dan faham apa itu landasan keretapi. Jadi, aku tahu landasan tu memang tak akan bercantum kat mana-mana pun" C'man Penang.
"Ya, itulah bezanya antara orang yang hanya percaya kepada mata dan orang yang melihat dengan mata kalbu" Aku.
.

Saturday, June 21, 2008

Jalan2: Kisah di Darul Ehsan Medical Center

Satu hari tu, aku terasa ingin bersendirian. Aku punyai lebih banyak soalan daripada jawapan. Setiap jawapan yang aku jumpa membawa lebih banyak soalan-soalan. Korang pun pasti pernah melaluinya juga, kan? Mungkin menjadi doa, walaupun cuma lintasan hati, maka aku pun diberikan sepi.

Maka, terlantarlah aku di DEMC selama seminggu. Aku pesan kat kawan-kawan, jangan datang jenguk aku. Aku pesan kat keluarga, datang hanya bila aku telefon, itu pun sebab nak suruh basuh baju-baju yang terpakai. Aku benar-benar ingin bersendirian. Aku hanya bertemankan buku "Sirrur Asrar" (Rahsia segala Rahsia) karangan Shk Qadir Jailani. Aku benar-benar habiskan masa sendirian aku dengan buku tu. Aku perlu cari jawapan kepada maha jawapan.

Sekali tu, aku teringin nak makan Big Mac, aku pun cari alasan untuk turun. Selepas senja, aku pun melintas di depan kedai lampu hiasan. Aku terasa sesuatu, aku termenung sejenak. Maka, aku dapat jawapan itu, sebahagiannya aku nukilkan dalam syair ini, selebihnya aku simpan ...

LAMPU KIASAN
Kisah dari DEMC
[20/7/2002]

Ada satu lampu hiasan
Kulihat cantik gemerlapan
Ingin aku jadikan kiasan

Cahayanya kemilau kabui mata
Tutup kaca menghijab punca
Jadi tabir pelembut sinarnya

Manik-manik kaca bergayutan
mengitari kaca lampu hiasan
Umpama hidupan aku kiaskan

Manik kaca bias cahaya
Satu muka satu warnanya
Segala rupa satu puncanya

Hai sahabat usah terpikat
Manik kaca itu kau lihat
Cahaya itu sebenar hakikat.

.

Friday, June 20, 2008

Jalan2: Apa lu cari kat sini?

Kapal dagang itu mengensot perlahan ditarik oleh bot tunda ke jeti kilang tepung. Manakala, feri-feri yang mengusung manusia ke pulau atau dari pulau pula memacu laju membelah air laut.

C'man Penang berdiri sambil bersandar pada tembok konkrit. Angin senja memutar-mutar rambut ala rasta dia. Aku perhatikan matahari yang semakin terbenam.

"Bukti-buktinya tersebar di merata-rata, lu cuma perlu faham untuk menemuinya" C'man Penang.
"Kenapa sains perlu bukti untuk percaya?" Aku.
"Sains perlu bukti yang konsisten dan boleh diulang, baru dianggap benar, agaknya"C'man Penang.

Masing-masing merenung ombak petang. Deburan ombak agak mengasyikkan.

"Lu ingat kisah Izrael dilantik jadi Malaikat Maut?" C'man Penang.
"Hanya dia yang sanggup memandang kepada Maut, tapi masih tak sanggup melakukannya, melainkan semuanya ada sebab" Aku.
"Ya, semua yang berlaku mempunyai sebab untuk berlaku. Itu yang sains cari, sebab untuk membuktikan sesuatu"
"Dia orang tersasar. Kalaulah sebab yang mereka cari, hanya sebab yang mereka jumpa, bukannya Tuhan"

Masing-masing merenung ombak petang. Deburan ombak masih agak mengasyikkan.

"Lu perlu bukti untuk percaya?" C'man Penang.
"Wa percaya bukti itu ada, sama ada jumpa atau tak, bukti itu ada"Aku.
"Lu ingat gambar-gambar aneh kalimah suci pada ikan, pada buah, pada daging? Kepoh satu dunia pasal tu, kemudian masing-masing kononnya bertambah keimanannya bila melihat bukti-bukti yang terzahir tu"
"Sayang sekali .... "
"Sayang amenda?" C'man Penang.
"Kenapa mereka perlu bukti-bukti macam tu untuk percaya? Selama ini, keimanan mereka hanya separuh? Mereka bukan menambah keimanan, tapi mengurangi keimanan"
"Wa setuju pendapat lu, kita tak perlu bukti untuk percaya, macam Abu Bakar..."

Masing-masing merenung ombak petang. Deburan ombak yang mengasyikkan membuai fikiran aku dan C'man Penang, petang itu.

.

Monday, June 16, 2008

Jalan2: Si Chatcibor


Chatcibor @ Pepatung.
.
"Petang itu tenang, setenang air yang tergenang pada sudut matanya"
.
Kata-kata itu mendayu-dayu di buai angin petang di tepi tasik itu. Waktu itu, aku baru sahaja membeli satu naskhah tafsir mimpi dari budak keturunan India berumur 9 tahun yang menjual buku dari seorang ke seorang. Katanya, ayahnya dah meninggal, dia datang naik bas untuk menjual buku, buat belanja sekolah.
.
Aku terlihat seekor Chatcibor bertenggek pada dawai, aku snap. Reflection dari permukaan air tasik agak tajam dan terang. Tiada kocakkan, tiada sedikit riak pun. Aku pun teringat...
.
"Kau perlu kasi clear jiwa kau, jangan ada gelombang, baru nampak jelas reflection pada jiwa kau" C'man Penang kata sambil tangannya menyelak rambut ala Rastafarian.
Aku diam. Aku berfikir agak lama, mana satu yang dimaksudkannya, yang surface atau maksud yang dalam.
.
"Kalau jiwa kau kacau, kau tak dapat lihat reflection dengan jelas sebab riak-riak akan ganggu surface jiwa kau. Kau tak akan dapat faham apa yang jiwa kau cuba sampaikan" tambah C'Man Penang.
.
Sekarang, bila aku tengok foto Chatcibor yang bertenggek atas dawai karat, yang aku nampak ialah reflection pokok dan awan biru. Tak nampak reflection Chatcibor pun, pada hal aku memang fokuskan kepada Chatcibor tu. Hmm..
.
Sekarang, baru aku faham apa yang C'Man Penang tu maksudkan, ye lah, selepas 12 tahun!
.

Sunday, June 15, 2008

SusTra: Sang Durjana Tapa ... finale

[Episode finale]

Dari puncak Qaf itu, Adijaga dan Sang Durjana Tapa melihat lembah yang dilanda ngeri. Dahsyat. Sang Durjana Tapa mengerling kepada Adijaga yang masih membatu, tergamam melihat bencana di bawah sana. Kemudian, dia mengambil segenggam pasir lalu mendekatkan kepada bibirnya, seraya berkata:

'Mereka yang sepi dan menderita, telah aku kuburkan,
telah aku buangkan hati dari dada mereka, telah aku
putuskan lidah dari rasa dunia dan aku belengu leher
mereka dari nikmat sementara, tapi mereka berterima kasih
kerana mata-mata mereka tidak perlu melihat ufuk ganas ini
dan mereka segera tinggalkan hidup ini, mencari hakiki.

Tapi,
mereka yang lengkap segala, dengan rumah, isteri dan harta,
mereka menangis melihat anak kecil dan rumahnya
terbakar dan hilang lenyap di bawah sana. Mereka lalai.
Mereka telah lupa,

Tanah digegar raungan batu-batu pecah
berdarah dan pasir menutupi mulut,
mata-mata dan telinga-telinga mereka.
Tangan-tangan menggapai bayang namun
tergenggam realiti yang berbara, panas.
Lalu mereka hairan dan terus hairan'

Sang Durjana Tapa tabur pasir itu pada kaki Adijaga. Adijaga tersentak lalu memandang kepadanya. Dia mendakap tubuh Adijaga lalu berbisik
"Saudaraku, siapa sebenarnya Si Pendusta?" Sang Durjana Tapa.

Adijaga meronta-ronta untuk lepaskan tubuhnya dari dakapan Sang Durjana Tapa tapi tidak berjaya. Sang Durjana Tapa mengembangkan sayap-sayapnya kemudian membawa Adijaga terbang ke langit. Terbang tinggi, tinggalkan lembah yang remuk dimamah ufuk merah, menuju langit ketujuh.

.

Friday, June 13, 2008

Jalan2: Jom main Jongkang-Jongket...

Aku. Minum teh tarik. Aku suap karipap inti daging. Aku. Duduk. Diam sambil mendengar.

Ah Pin : Aku keliru tentang harga sekarang ini ...
Rama : Kau perlu tengok dari skop yang lebih besar.
Ah Pin : Maksud kau?
Rama : Harga jongkang-jongket namanya.
Ah Pin : ???
Rama : Sekali harga naik, semua orang terjongket dibuatnya
Ah Pin : Ooo....
Rama : Tapi harga minyak umpama politikus naik lif.
Ah Pin : ???
Rama : Sebab kalau politikus naik, harga minyak naik. Tapi, kalau politikus turun, harga minyak mungkin turun juga...

Aku. Minum teh tarik. Aku suap karipap inti daging. Aku. Duduk. Diam sambil mendengar. Tapi aku tak kesah. Apa yang dia orang cakap ni???
.

Jalan2: Tepian kali yang nyaman...


Kali = Sungai kecil atau parit.
.
Yang melintang dan hitam tu adalah batang aku...oops...batang joran aku. Tempat ini terletak di sebelah Star Cruise parking. Dulu, 3 tahun dulu, aku selalu juga duduk-duduk menunggu ikan sambil 'menganyam' masa di Pelabuhan Star Cruise. Tapi, itu dulu, sebelum kebenaran melepak kat situ ditarik balik .
.
Aku pergi ke situ lagi pada minggu lepas, tapi dah ada pak gad. Aku tanya pak gad tu, kat mana orang selalu menunggu ikan naik ke darat, dia pun tunjukkan ke sebelah kanan dia.
.
"Abang undur dua tiga gear, lepas tu masuk lorong kelikir ke kiri. Sampai hujung, abang parking kat situ. Lepas tu, abang masuk ke dalam hutan bakau pinggir laut, ikut denai kesan laluan orang macam abang"pak gad.
"Abang konfem saya tak boleh sesat kalau ikut denai tu?" Aku.
"Alahhh...hutan tu bukan tebal sangat. Kalau abang sesat pun, dua tiga hari, mesti jumpa punya mayat abang..." pak gad.

Celuparnya mulut dia! Aku nak cari rezeki la, bukannya pergi skodeng orang. Aku pun ikut saranan dia, dan akhirnya sampai kat tebing sungai dalam gambar kat atas tu.
.
Waktu aku sampai, air tengah surut dan baru nak naik. Selang 30 minit aku labuhkan umpan, ada tiga orang mamat dari timur datang bawak jala.
"Abang nak jala apa?" aku.
"Apa-apa yang boleh dijala" diaorang kate.
"Oooo....." aku.
.
Selang 15 minit lepas tu, tiga orang India datang bawak bento (sejenis perangkap untuk ketam).
"Abang nak perangkap apa ? Biawak?Tak pernah nampak pun benda ni" aku.
"Saje try test ketam kat sini, nak cuba tangkap seekor dua" diaorang.
"Oooo..... " aku.
.
Air pasang mati, maknanya air lambat naik dan naik tak tinggi. Air tak berapa baik, kalau air slow naik, maknanya air darat yang mengalir ke laut patah balik ke darat, jadi ikan tak berapa suka ikut air macam ni. Kalau air pasang besar, air laut pun ikut sekali naik, jadi ikan akan ikut sekali. Aku pun patah balik pukul 6.30pm.
.

Thursday, June 12, 2008

Jalan2: Aku berubah...lama dah...

Aku. Minum teh tarik. Aku suap karipap inti daging. Aku. Duduk. Diam tapi mendengar.

Ah Pin: Aku tak sangka. Memang aku tak sangka.
Ramu : Kenapa, tak percaya?
Ah Pin: Kau minum air suam dan makan nasi lemak tanpa telur?
Ramu : Kerajaan tuntut kita berubah, kita kenalah berubah.
Ah Pin: Oh ya... jadi, mereka yang masih tak nak berubah
kat atas sana tu, kita kena ubah merekalah.

Aku. Minum teh tarik. Aku suap karipap inti daging. Aku. Duduk. Diam tapi mendengar. Tapi aku menyumpah. Bila. Aku bayar lebih 60sen. Dari biasa. Dan itu. Memang lain. Dari biasa.
.

SusTra: Sang Durjana Tapa ... 5

Sang Durjana Tapa, si pendusta atau apa pun gelarannya, itulah dia. Si pendusta itu berpaling kepada Adijaga dan tersenyum sinis.

"Aku bersedia?!! Untuk apa? Pembalasan?" Sang Durjana Tapa.
"Mungkin?!! Kau telah membunuh orang, Durjana"
"Ooo... Kau perlu tahu ini, kalau aku bunuh beberapa orang aku akan digelar pembunuh. Tetapi, kalau aku bunuh beberapa juta orang lagi, pasti aku akan digelar orang si Penakluk yang Hebat!! Sedarlah, saudaraku. Manusia sentiasa keliru"

Angin kencang. Batu-batu berapi menghujani daerah miskin dan kelam itu, api mula menelan segala yang ada, hapuskan segala derita penghuni daerah itu, tamatkan semusim seksaan Sang Durjana Tapa. Tiada lolongan sedih lagi, tiada jeritan pedih dari daerah miskin dan kelam itu lagi. Segalanya lebur bersama-sama api, dan ufuk merah dari selatan, yang kini mula berubah arah, menuju ke kota ketamadunan.

Sang Durjana Tapa memaut pinggang Adijaga, lalu melayang menuju puncak Qaf. Dari situ, ngeri amat jelas. Angin yang membawa api seolah-olah aliran banjir dari selatan yang menenggelami lembah di bawah sana.
.

Tuesday, June 10, 2008

SusTra: Sang Durjana Tapa ... 4

[Jiwa celaru yang berperang]

Adijaga mengawasi sekeliling. Dari puncak bukit kecil itu, Adijaga memandang ufuk Selatan yang merah. Debu duli berterbangan dan ufuk merah itu semakin hampir. Adijaga termenung seketika, dia keliru.
"Itu angkara engkaukah, Durjana?" Adijaga.
Sang Durjana Tapa, si pendusta atau siapa pun dia, melayang turun dari puncak Qaf menghampiri Adijaga.

"Bukan. Itu maha dahsyat!" Sang Durjana Tapa.
"Mungkin itu dari Gusti Agong, untuk kau Durjana!"
"Mungkin tapi aku pasti bukan untuk aku seorang. Kau turut sama"

Debu duli merah dari ufuk selatan menghampiri pantas. Gunung-ganang yang dilandanya berputar dan hancur. Lidah-lidah angin selatan mulai kuat meniup rambut Adijaga dan Sang Durjana Tapa. Kedua-duanya berpandangan, kengerian mula terasa.

"Saudaraku, aku rasa inilah sepertimana janji Gusti Agong" Sang Durjana Tapa.

Angin semakin kencang, debu duli menampar-nampar muka. Semakin sukar untuk membuka mata. Adijaga melihat kota ketamadunan di belakangnya, lalu menggelengkan kepala. Angin maha kencang membawa debu duli dari ufuk selatan mula melanda daerah miskin dan kelam itu. Pekikan ketakutan kedengaran bersama-sama bingit deruan angin. Di sebalik angin kencang itu, api merah kian mara dan membakar segala yang berada dalam laluannya. Dahsyat. Gunung-gunung hancur dimamahnya, batu-batu yang terbakar terbang ditiup angin kencang dan menghentam apa-apa sahaja yang ada dalam laluannya. Ufuk merah selatan semakin hampir ke daerah miskin dan kelam itu.

"Bersedialah, Durjana"
.

Monday, June 9, 2008

SusTra: Sang Durjana Tapa ... 3

[Versi ini ada monolog]

Sang Durjana Tapa, si pendusta atau siapa pun dia, itulah dia sebenarnya.
Si pendusta itu melayang membelah awan ke puncak Qaf. Sayap kejam hitam disemat kemas. Dia perhatikan sekeliling, di bawah sana. Tompok-tompok nyala api dan asap tebal menyelubungi daerah miskin dan kelam itu. Jauh di kanan sana pula, daerah yang belum dia sentuh, punyaan Adijaga. Si pendusta itu mendengus panas dek silau cemara dari Puncak Keagungan di situ, pusat kota ketamadunan.

'Aku pasti ke situ, satu hari nanti dan aku akan campak cemara itu ke laut Khalzum. Kota itu telah aku kepung dengan nafsu. Perlahan-lahan asap nafsu itu ditiup masuk ke pinggir kota dari lubang-lubang kepalsuan yang aku gali. Biarkan mereka mabuk perlahan-lahan, biarkan mereka alpa dengan kepura-puraan. Biarkan mereka berlumba-lumba menghiasi rumah-rumah mereka dengan kemewahan, biar mereka dirikan tugu-tugu kemegahan, segah Puncak Keagungan itu. Kemudian, akan aku perintahkan tikus-tikus tenteraku bertebaran di sana, memasuki setiap lorong dan rumah untuk membisik dengki dalam sanubari para isteri, membisik keraguan dalam sanubari para suami, membisik rasa berontak dalam sanubari anak-anak mereka. Kemudian, akan aku rentap jiwa mereka yang terpinga-pinga, sedang mereka tidak percaya dengan apa yang berlaku. Itulah masanya, ya! itulah masanya aku semat kata-kata dusta dan pasti Adijaga tidak akan mampu menahan kaumnya'

Di kota ketamadunan, Adijaga dapat merasakan dirinya diperhati dari jauh. Dan angin semakin kuat bertiup dari selatan, menerbangkan debu-debu ke segenap lorong-lorong kota. Dan suara angin itu tidak semerdu seperti sebelumnya. Adijaga dapat rasakan sesuatu akan berlaku.
.

Sunday, June 8, 2008

SusTra: Sang Durjana Tapa ...2

[Perlu sedikit khayalan. Bahasa pun payah sikit]

Sang Durjana Tapa, si pendusta itu atau apa pun namanya, itulah dia. Senyuman sekelat rupa itu ada petanda. Diangkat sepatunya setinggi egonya, dan mata dusta merenung tepat pada anak mata Adijaga.

Kemudian, sepantas kerdipan, direjam tumit sepatunya pada dada kering mangsa yang terbaring. Derapan temulang berbalut belulang nipis merintik-rintik gegendang Adijaga. Dia berpaling, tak sanggup melihat si mangsa yang menggelepar. Dan darah mulai memencar dari luka.

"Kau kejam! Sungguh kejam kau!"
"Kau silap, itu belum cukup lagi..."

Sang Durjana Tapa membongkok, kuku besinya menyelinapi luka terbuka si mangsa lalu merentap secebis hatinya.

"Adijaga, selamat datang ke pinggir duniaku"
"Kau telah banyak berubah"
"Tidak. Kau tu yang menjadi lemah. Lihat ini, kau menjadi lemah kerana ini. Dan aku musnahkan ini demi kau"

Adijaga pejamkan mata. Kuda apinya menderam garang. Sang Durjana Tapa mengibas-ngibas sayap-sayapnya, debu duli berterbangan, dan dia pergi tinggalkan Adijaga untuk mencari mangsa lainnya.

Adijaga pacu kuda apinya menuju bukit kecil. Dari puncak, Adijaga renung jauh ke depan. Asap hitam dan nyala api menguasai langit kusam dan celaru. Awan merah ufuk selatan bawa bencana ke daerah miskin ini. Adijaga renung lebih jauh, jauh dari ufuk merah itu, jauh ke dalam dirinya, mencari inti diri. Dunia kelam di pojok sanubarinya masih menyimpan pedih. Dunia hitam sehitam sayap-sayap si durjana itu.

Adijaga pejamkan matanya. Dunia hitam dalam sanubarinya masih tebal berisi pedih, menyesakkan, menolak-nolak dan bergelodak dalam jiwanya. Air merenik pada hujung matanya, dan menitis.

"Adijaga! Kau menangis???"

Adijaga tersentak. Dilepaskan renungan lalu kembali ambil realiti. Dia mendongak, Sang Durjana Tapa terawang-awang di atas sambil mengibas-ngibaskan sayapnya, menutupi mentari yang kekuningan.

"Salahkah?"
"Kau menangis? Untuk apa kau menangis?"
"Aku menangisi dosa-dosa kau, Durjana!"
"Dosa-dosa aku? Aneh! Aku tahu mengapa kau ke situ. Kau menangisi jiwa kau, Adijaga. Kau sedar dan jiwa kau turut menangis"

"Bukan. Dosa-dosa kau, Durjana"
"Siapa si pendusta kalau begitu, hah? Ataukah kau terlupa? Cuba selami dasar jiwamu, aku ini bukankah kau yang dulu?"

Sang Durjana Tapa ketawa. Dan tawanya menghujani daerah miskin ini dengan darah-darah pekat para mangsanya.

<smbg>.

Saturday, June 7, 2008

SusTra: Sang Durjana Tapa

Ini daerah terasing. Ini daerah yang menyatukan kehampaan, kelaparan dan kemarahan. Daerah terbiar. Atau mungkin saja sengaja dibiarkan miskin begini.

Adijaga berjalan, hati-hati menyusun langkah di antara tubuh-tubuh yang kering. Tangan-tangan kurus diangkat-angkat meminta sesuatu untuk dimakan. Adijaga gelengkan kepala. Dia tahu angkara siapa. Lantas melompat naik ke pelana. Kuda apinya dicabuk beberapa kali dan memecut pergi keluar dari daerah ini.

Adijaga memerhatikan si gelojoh itu dengan pandangan jijik. Mual dengan apa yang berlaku, Adijaga berpaling ke arah sungai yang mengalir lesu dan kotor.

Sang Durjana Tapa, si gelojoh yang menyentap dan meratah daging-daging yang berjurai dari selangka manusia yang terpejam matanya, menahan sakit yang amat. Raungannya kecil dan lemah. Pasrah, tak mampu, terlalu lemah hatta untuk menjerit. Senyuman si gelojoh melebar puas.

"Durjana, kau hidup atas kesengsaraan orang lain".
"Bukan, mereka yang memilih untuk menjadi begitu".
"Durjana, Pendusta Bermata Satu atau apa pun namamu, kau yang memilihnya, bukan mereka. Kau fikir dunia ini hanya untuk kau?"
Sang Durjana Tapa tersenyum, sinis.

"Mungkin kau yang tidak sedar semua ini. Dunia ini bukan untuk semua. Bukan! Dunia untuk yang berkuasa. Mereka ini tidak ubah seperti daging rusa yang kau buru dan makan. Apa bezanya? Dunia adalah kita dan kita adalah dunia, dan aku berada di puncak hierarki. Aku makan apa yang ada di bawah. Kau?".

"Falsafah yang kejam dan kotor. Kau ada kuasa dan kau jadikan mereka lemah. Kau sekat, kau tahan tangan-tangan mereka dari menyuap roti ke mulut isteri dan anak-anak kecilnya. Kau padam api di dapur-dapur mereka. Kau jadikan malam mereka gelap-gelita. Kau cemari perigi-perigi mereka dengan tuba. Kau rentangi jalan-jalan mereka dengan onak dan duri".

"Aku menjalankan kekhalifahanku. Dan mereka ditakdirkan menjadi hamba-hambaku dan haiwan buruanku."

"Bukan! Kau kumpul kekayaan dari kesengsaraan mereka dan jadikan mereka miskin. Terlalu miskin sehingga hidup mereka umpama haiwan. Dan kau jadikan buruan untuk lampiaskan serakahmu. Dan bila tiada lagi anak-anak kecil untuk kau gembalakan dan buru, apa yang akan
kau lapah nanti? Kau pula akan kelaparan! Percayalah, kau pula akan kelaparan!".

Sang Durjana Tapa tersenyum lagi, tetapi kali ini senyumannya lebih
kelat.
.

Friday, June 6, 2008

Jalan2: Kecoh sekejap je, percayalah...

Aku. Minum teh tarik. Sambil makan karipap inti daging. Aku. Duduk. Diam tapi mendengar.

"Semua orang kecoh, harga minyak dah naik" Ah Pin.
"Ah, sekejap je tu..." Rama.
"Nanti, tarif elektrik pula nak naik" Ah Pin.
"Jangan risau, sekejap je tu..." Rama.
"Lepas tu, harga gas akan naik" Ah Pin.
"Tak apa, sekejap je tu..." Rama.
"Bila harga gas naik, harga makanan pula naik" Ah Pin.
"Pedulikan, sekejap je tu..." Rama.

Ah Pin kerutkan dahi. Kenapa Rama boleh selamba, sedang orang lain kelam-kabut. Kecoh satu Malaya. Rama sudahkan juraian meehoon goreng yang penghabisan, dia hirup kopi lambang kejantanan perlahan-lahan, cermat sekali. Ah Pin makin gelisah ingin tahu. Rama letakkan cawan, juga perlahan-lahan....

"Kau tunggu je. Dah tak lama lagi dah tu... kejap lagi dia turun le..." Rama.

Aku. Minum teh tarik. Sambil makan karipap inti daging. Aku. Duduk. Diam tapi mendengar.
.

SkeTsa: Kenduri Kahwin

Terpisat-pisat mata Mak Jah Latah kena asap dari tungku. Dikejap-kejapkan matanya pejap-pejap sekejap-sekejap sampai meleleh air mata menahan pedih asap.

Minah Jeran menggodak-godak senduk panjang di dalam kuali besar. Hiruk-pikuk khemah memasak dengan arahan begitu begini dan umpatan itu ini. Riuh. Meriah kenduri kahwin anak sulung Pak Majid Kerbau Balar.

"Sampai bila aku nak godak cili ni, Mak Jah" Minah Jeran ketuk pinggir kuali hitam.
"Ooopocot...eh..godak-godak...godak pecah minyak..eh...eh..naik minyak...eh..minyak naik..."Mak Jah Latah.

"Hah! Siapa kata minyak naik?" Mail Semboyan terkejut.
"Apa? Minyak naik?" Akop Kidal pun terkejut.
"Minyak dah naik! Minyak dah naik!..." laung Kemal Lotong sahut-bersahut.

"Hah, Mak Jah ooiii...minyak dah naik ni. Masukkan apa lagi?" Minah Jeran.
"Masukkan le daging tu. Biarkan sekejap, lepas tu naikkan api besar sikit, baru mesra" Mak Jah Latah.
"Oo0... kejap lagi naikkan api la..." Minah Jeran.

"Hah! Siapa kata api naik kejap lagi?" Mail Semboyan terkejut.
"Apa? Api naik kejap lagi?" Akop Kidal pun terkejut.
"Api nak naik! Api nak naik!..." laung Kemal Lotong sahut-bersahut.

Pak Majid Kerbau Balar sesak nafas sekejap. Dia berlari turun mencari Jamal Bas Sekolah di bawah khemah satu lagi. Tak jumpa.
"Apa halnya Pak Majid, kelam-kelibut je?" Manap Seberang.
"Aku..aku cari si Jamal. Ada hal emejensi nih"
"Kenapa?"
"Rombongan pengantin lelaki suruh kita jemput dia orang kat sana. Towkey transpot tak nak jalan, caj dah naik..caj dah naik"

"Hah! Siapa kata transpot caj dah naik?" Mail Semboyan terkejut.
"Apa? transpot caj dah naik?" Akop Kidal pun terkejut.
"Transpot caj dah naik! Transpot caj dah naik!..." laung Kemal Lotong sahut-bersahut.

.

Thursday, June 5, 2008

Jalan2: Lu memang gila...

Ah Pin terangguk-angguk mengikut rentak lagu opera Cina. Sesekala ditepuk-tepuknya dashboard. Karim, yang berbaris dibelakang, resah semacam. Berpeluh-peluh.

"Lu apa hal kawan? relaks la..." Ah Pin menjerit dari tingkap.
"Tak tahan wooo...sudah banyak. Kereta pun banyak" Karim.
"Haiyaa... orang lain pun tunggu lama, lu relaks la..."
"Mana boleh tahan-tahan. Nanti jadi batu"
"Jadi batu? Eh, jadi itu si Tanggang ka, apasat?"
"Q banyak panjang. Semua stesen minyak ini macam, sana penuh sini penuh. Apa macam mau buang, mati la"

"Wa jalan dulu boleh ka?" Karim
"Woiit! Mana boleh. Ikut turn" Ah Pin
"Wa bukan mau isi minyak. Wa mau tumpang kencing saja"
.

Wednesday, June 4, 2008

Jalan2: Lu kerja gila...



Wa boring asyik jadi pemandu pelancong (tune kerek sikit).
Wa pandu penat-penat, dia orang tido kat belakang. Dah sampai, dia orang loncat keluar dulu tapi wa kena luruskan pinggang 1/2 jam. Wa mau buat thrill...

Lu pernah dengar Shadow Rider?
Semuanya bermula pukul 11.30 malam minggu bila mamartua wa kat belakang cakap jalan masuk kampung dah terang, ada banyak lampu baru. Ya ka? Wa pun test. Wa tutup lampu kereta. Wa maintain 60km/j, tak boleh laju-laju sangat. Sini banyak lembu kerbau tido atas jalan wo. Wa pandu ikut arah lampu jalan. Terang? Oo kk la... kelam tapi boleh lagi nampak jalan. Wa pandu pakai instinct bila kat celah antara 2 tiang lampu yang agak jauh tu, cahaya tak sampai. Tapi. oo kk la...

Masa atas highway dari Selatan, jalan jammed. Wa boring lagi. Wa tengok, banyak kereta bas. Banyak lampu terpasang. Wa pun instinct, sana lampu sini lampu, buat apa wa pasang lampu lagi? Wa teringat nak transform jadi Shadow Rider. Wa pun tutup lampu. Jimat sikit petrol wa. Wa dapat instinct, riders depan dan belakang kutuk wa kaw-kaw punya. Peduli apa, sana lampu sini lampu, buat apa wa pasang lampu? Wa rasa thrill...

.

Tuesday, June 3, 2008

SkeTsa: S.O.S - Semua Orang Susah

Berpinar-pinar mata Yeop Kulop Tokei Petai, tangan kanannya menekup dahi yang kemerahan. Terkedek-kedek Yeop Kulop Tokei Petai berjalan ke arah kerusi panjang.

"S**l punya Dolah, aku baru cakap sikit, dia dah cepuk aku" Yeop.
"Apa yang kamu buat sampai dia marah sangat?" Bibah, isterinya.
"Aku dah kata, mulai hari ini, harga Petai aku naik 20sen. Dia tak puas hati".

Petang tu, Dolah Tempoyak berarak keliling kampung, bagi tau harga Petai dah naik 20sen. Heboh satu kampung. Hashim Pencen, Minah Jeran dan dua tiga orang lagi turut melalak. Timah Janda naik pitam bila dengar harga Petai dah naik 20sen. Sambal petainya akan naik harga juga, mungkin tak laku lagi. Tak boleh jadi, Tok Ketua panggil Yeop Kulop Tokei Petai dan semua orang kampung ke balai raya.

"Aku nak tanya, kenape kamu naikkan harga Petai kamu?" Tok Ketua.
"Dah 5 tahun aku tak semak harga Petai aku, dah sampai masanya" Yeop.
"Tapi...Petai tu kamu ambik dari hutan, bukan kena bubuh baja pun" Tok Ketua.
"Setiap kali habis panjat, aku terpaksa urut pinggang aku. Harga minyak urut tak pernah aku berkira. Kira subsidi la tu. Tapi sekarang ni, kerap sangat aku berurut, pinggang aku asyik sakit je. Mana aku tahan nak subsidi lagi..." Yeop.

"Ramai yang menanggungnya bila harga Petai kamu naik 20sen" Tok Ketua.
"Tak apa, aku strukturkan semua harga Petai" Yeop.

Hashim Pencen mula senyum, Minah Jeran pula tersengih, Timah Janda urut-urut dada tapi Dolah Tempoyak mengerutkan dahi, betul ke ni?

"Ok. Untuk memastikan kesaksamaan, harga Petai akan kekal bersubsidi untuk yang miskin. Untuk yang berpendapatan lebih, harga Petai adalah 20sen lebih mahal..." Yeop.

Orang kampung bersorak riang. Ada yang terlondeh kain, Pak Kaduk terkoyak seluar kertasnya (pinjam watak).

"Tapi.... mereka yang beli Petai dengan harga bersubsidi... setiap malam Jumaat kena datang ke rumah aku, bawak minyak urut dan urut pinggang aku... bergilir-gilir sampai pagi..." Yeop.

Orang kampung mula menggaru-garu kepala. Timah Janda rasa ngeri...

.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com