Wednesday, December 31, 2008
Jalan2: Tarikh seram sejuk 1 Januari 2009
Mana aku tahu! Aku pun pelik jugak, kenapa isu pemakaian tali pinggang keledar itu jadi besar. Propaganda. Memang tugas media untuk war-warkan kepada umum tentang denda dan penjara. Itu kerja dia. Kalau tak heboh, media tak buat kerjalah tu.
Yang aku tak faham, kenapa dia orang semua kelam kabut dengan tarikh 1 Jan 09. Biarlah kuat kuasa bila-bila pun, apa salahnya?
"Betul tu. Demi keselamatan" tambah dia.
Pemakaian tali pinggang keledar untuk kerusi hadapan telah lama dulu dikuatkuasakan. Aku nak tanya dia orang, berapa kerat yang kena saman? Berapa kerat yang kena naik mahkamah?
Entah kenapa, tiba-tiba aku rasa bersalah semacam bila sebut pasal saman. Aku raba-raba kat pinggang. Dia pandang pinggang aku, aku pandang balik pinggang dia.
"Tak payah. Dah nak sampai dah..."
.
Sunday, December 28, 2008
Jalan2: Pantun tak cukup kerat
Dua malam aku lepak kat Pantai Puteri.
Siang main ombak, malam main pancing. Sambil tenung batang pancing dalam samar lampu jalan, cuping telinga dienyak-enyak dek hilai ketawa, kejap kecik kejap garau.
Ombak kuat. Tak sesuai memancing tepi pantai. Tapi, aku peduli apa, dah terlanjur sampai. Aku labuhkan juga. Dapatlah Gelama. Maka, tak lengkap lah pantun Melayu itu...siakap tak dapat, senohong pun tak. Bahkan, ikan duri yang rembat semua jenis jadah pun tak sudi menjamah!
Petang hari kedua, ada seorang pakcik kelihatan mundar mandir di pesisiran pantai. Sesekali, dia bongkok mengutip tin minuman aluminium. Bila dah dekat, dia sapa, dia tanya khabar pancing aku. Tak ada.
"Ikan galak waktu pagi, subuh sampai pukul 11am. Waktu tu dia lapar"
Oh, ye ke... malam dia tak makan?
"Tengok nasib le. Pagi tadi, pakcik naikkan 3 ekor pari, 4kg seekor"
Pagi hari yang ketiga, aku tengok ombak je. Tak jadi labuhkan pancing. Aku main ombak.
Ombak tiga beradik.
Selalu dengar. Tapi, pagi tu aku cuba kenal pasti. Dari cerita nelayan, ombak ni bahaya untuk sampan kecil dan budak-budak main tepi pantai, ombak tu pandai sedut, pandai kaut. Aku cuba cari teori sebalik keterangan tu.
Ikut firasat aku, ombak ni bahaya sebab gabungan amplitud dan jarak gelombangnya. Amplitud [ketinggian puncak] mesti agak ketara, dan yang lebih bahaya ialah dia punya jarak gelombang [jarak antara dua amplitud]. Jadi, ombak ni perlu kelihatan ketara dan jaraknya agak rapat.
Aku tenung ombak-ombak yang datang. Akhirnya, aku rasa aku jumpa. Gelombang pertama hempas pantai macam ombak lainnya. Tapi, bila air tu mulai kembali ke laut, ombak kedua datang dan pertembungan ini menyebabkan air ombak pertama akan menyesar di bawah dan ombak kedua akan 'melompat' atasnya. Ini menyebabkan ombak kedua itu bergulung. Belum sempat buih ombak kedua itu hancur, ombak ketiga datang 'membantu'.
Oleh kerana tiga ombak ni rapat, air dari ombak 1 dan 2 belum sempat kembali ke laut sebelum ombak ke-3 menolak ke pantai. Akibatnya, buat beberapa saat, isipadu air di gigi pantai adalah lebih dari biasa. Jadi, isipadu air yang besar itu akan surut ke laut dengan lebih cepat dan kuat. Ia umpama tsunami kecil yang arahnya terbalik, iaitu dari pantai ke laut. Itu sebabnya ia dikatakan ada kuasa 'sedut'.
Aku berdiri dalam laut lebih kurang 10m dari pantai, paras air antara lutut dan peha. Bila ombak tiga beradik ni sampai, dia boleh cecah ke paras perut! Aku cuba hadap ke arah ombak dan cuba rasai kuasa tolakkan dan sedutan. Aku dapati, tolakkannya tidak sekuat mana tapi bila selesai ombak yang ke-3, aku terhoyong ke arah laut, hampir terjatuh walaupun badan aku besar. Itulah sedutan ombak tiga beradik yang penuh misteri, yang sering diceritakan orang laut.
[sepanjang eksperimen tu, anak aku ketawa tengok aku terhoyong-hayang. Mama pula nampak risau. But, somebody has to test the theory...]
.
Friday, December 26, 2008
FiQir: Wuiihh...berat nih
Kami biarkan asap rokok berkepul naik ke langit. Kami tak sentuh. Kami pandang langit.
"Kenapa awak risau sangat? Kita memuja Tuhan yang sama, Tuhan samawi. Bahkan, Nabi aku salah seorang nabi awak juga. Ulul-Azmi. Bahkan, ketika akhir zaman nanti, nabi aku juga akan turut sama dengan awak semua menentang Si Dajal bermata satu itu. Kenapa kita perlu bermusuh sedangkan nabi-nabi kita tidak pernah bermusuh, malah saling memerlukan?"
Aku [ter] diam. Aku tarik satu pam dalam-dalam. Penghabisan. Aku cucuh bara merah ke tiang lampu. Aku kata, memang kita punyai Tuhan yang Esa. Semua ajaran nabi-nabi itu, termasuk Musa dan Daud, menyuruh kearah kebaikan. Aspek perlaksanaan yang membuatkan kita berbeza. Dan setiap nabi punyai rencana masing-masing. Rencana dari Tuhan jua. Kita perlu akur denganNya kerana manusia tidak semuanya sama.
-----------------------------
Tok Ketua kita menyarankan toleransi beragama. Betul.
Tapi, toleransi itu umpama telur dihujung tanduk. Kalau dalam istilah fizik kuantum, toleransi adalah quasi-statik. Dia diantara mengembang atau menguncup, bergantung kepada Nisbah Chandrashekar. Kalau dalam fizik dinamik, toleransi seperti gasing yang sedang berpusing ligat selagi ada tenaga dari momen-i [momen inersia]. Dan apabila usai tenaga itu, gasing akan teroleng-oleng pada paksinya dan rebah.
Toleransi bermakna ada sempadan bayangan. Sempadan ini mungkin bertindih di beberapa sudut. Selagi ada kuasa mutlak, sempadan bayangan ini akan sentiasa terimbang. Tapi, sampai bila?
Sempadan ini terimbang seperti dua kuasa alam ini: daya nuklear dan daya graviti pada satu bintang. Daya graviti [dari jisim] cuba menarik jirim-jirim yang di luar menjadi mampat. Manakala, daya nuklear [mampatan jirim mencetuskan belahan nuklear] pula menolak jirim-jirim tadi keluar. Bintang tidak meletus selagi daya-daya ini terimbang, selagi ada fuel untuk dibakar. Bila habis? remuk dan bintang akan meletus...supernova.
Sengaja aku kiaskan kepada fenomena alam kerana kita sebahagian alam fizikal ini. Hukum Tuhan adalah sama. Apa yang berlaku di langit, seperti juga ianya berlaku dalam diri kita.
Toleransi terimbang akan goyah. Kerana, telah tertanam satu benih dalam setiap agama. Benih itu dinamakan...seruan/syi'ar.
Setiap agama memerlukan pengikutnya mengembangkan ajaran ini kepada kaum lain. Bila ini dititikberatkan, imbangan akan teranjak ke sempadan yang lain, sempadan yang lemah. Dan pihak yang terhimpit akan diam? Tentu tidak! kerana ada satu benih lagi tertanam. Benih yang ini dinamakan...jihad/crusade.
Jadi, bolehkah benih-benih ini dicungkil keluar dari agama? Tidak! ianya asas penyebaran.
Kiamat pasti berlaku!
Peperangan demi peperangan pasti berlaku.
Si Dajal pasti muncul. Semua ini telah termaktub. Tidak boleh dihindarkan kerana kita tidak boleh berdoa agar Kiamat dihapuskan. Dan semua yang berlaku adalah bunga-bunga ke arah itu. Cuma, selagi kita hidup, kita hanya mampu berdoa agar Kiamat tidak berlaku pada zaman kita.
Entahlah... Tuhan Maha Mengetahui. Aku hambaMu yang takut kepada segala ancamanMu.
.
Wednesday, December 24, 2008
Jalan2: Hujung tahun yang HO HO HO
Awal tahun, kononnya nak ke C.Highland... tak jadi sebab musim hujan, tanah runtuh. Atau tayar tak berganti, telah botak. Dua dua mungkin betul. Tengah tahun pula, ramailah sedara-mara ajak [pergi kenduri] kahwin.
Kali ini amat hampir. Amin!
HO! HO! HO!
Duhai! Melaka yang bersejarah!
Kugali dan kujarah segenap bumimu
Kucari sekarun hartamu
Dulunya, kutemui setitis darah Tun Teja di Merlimau
Tepi nesan dan sekuntum bunganya
Telah aku sunting menjadi ibu kepada anakku
Kan kugali lagi dan kujarah lagi
Kali ini dan mungkin berkali-kali lagi
Tidak kira Tasek Merah, biru atau jingga
Tidak kira laut emas, perak atau suasa
Kan kulempar umpan biji saga
Kan kupancing ikan-ikan di dalam air
Dan 'ikan-ikan' yang berjemur atas pasir...
HO! HO! HO!
[Nizam.Ariff]
.
Tuesday, December 23, 2008
Jalan2: Nyaris aku kerana kamu...
Cis! Sumpah. Malam tadi, aku hampir leburkan wang RM62.80 kerana strategi Samudera Biru yang kamu canang dulu. Samudera Biru konon, ceh!
Entah kenapa, terlintas dalam fikiran untuk selak beberapa helai pertama dan terakhir, dan beberapa helai lagi di antaranya. Samudera Biru, Samudera Merah. Tidak lebih hanyalah strategi yang mengusulkan pengingin kekayaan untuk mencari lapangan niaga baru yang 'tanpa pesaing dan tanpa syarat', kononnya.
Memanglah! kalau lapangan masih baru, segala-galanya tiada penghuni. Tiada pesaing. Tiada rules, kerana itu samudera masih biru. Tunggulah, bila marga lain yang iri mula mampir kerana mau menggogok air emas yang sama, nanti Samudera Biru akan tohor. Perebutan akan berlaku, dan pertumpahan darah pun berlaku. Samudera Biru akan menjadi Samudera Merah.
Strategi itu kata, jika samudera menjadi tohor, menjadi merah, sayugia tinggalkan tempat itu dan pergi cari samudera yang masih biru! Memang, semua akan kata begitu.
It's just about enterpreneur dan leading the way. Itu semua orang tahu. Yang tak semua orang tahu ialah bagaimana takdir boleh menyelebelahi mereka untuk mendapat ilham dan berjaya? Bagaimana agaknya?
Cis! Aku amat hampir. Amat-amat hampir....
.
Monday, December 22, 2008
FiQir: Untuk kamu yang itu
Dalam gelas itu.
Baru aku tahu.
Apa itu suam-suam kuku.
*sigh*
.
Sunday, December 21, 2008
FiQir: Yoga? Aku Taichi...(2)
“Yoga dalam Sanskrit bermaksud mengawal, menyambung atau menyatu. Yoga dari segi istilah ialah “union; kesatuan; ‘sambungan atau ‘kuk’ roh individu dengan roh alam semesta; penyatuan dengan roh Ilahi. Pengajaran Yoga terdapat di dalam kitab suci agama Hindu ‘Bhagavad Gita’. Nama 'Bhagavad Gita' bermaksud "lagu tuhan", dan Bhagavat merupakan gelaran Krishna. Dalam konteks Bhagavad Gita, perkataan ‘Yoga’ memerihalkan satu pandangan bersatu, ketenangan fikiran, kemahiran bertindak, serta keupayaan untuk mengekalkan penyesuaian dengan kemuliaan Diri (Atman), dan yang mempunyai intipati yang sama dengan asas Kewujudan (Brahman).” - ”Hujah Pengharaman Yoga”, Mohd Aizam bin Mas’od, JAKIM.
Jadi, Yoga adalah salah satu jalan yang digunakan oleh agama Hindu untuk mencapai keabadian bersama Tuhan. Dalam Islam, pengamal Sufism juga membina jalan-jalan tertentu yang sesetengah kawan aku panggil ‘jalan pintas’, walau pun jalan pintas yang dimaksudkan itu bukanlah pendek seperti yang aku sangka. Fokus dan berterusan, katanya. Hati mau bersih baru jiwa boleh tenang, katanya lagi.
Dalam agama Hindu penyatuan dengan Tuhan boleh dicapai melalui senaman dengan teknik-teknik tertentu bermula dengan aturan nafas dan fikiran. Dalam Islam, penghayatan jiwa terhadap Tuhan untuk golongan umum dilakukan dengan ibadat wajib dan sunat seperti yang kita lakukan setiap hari, terutamanya ibadah malam. Untuk golongan Islam yang exclusive pula, zikir tertentu juga dapat mencapai matlamat tersebut, seperti kumpulan-kumpulan Tareqat. Mungkin inilah agaknya salah seorang Mufti mengatakan mengapa perlu kita melakukan Yoga kerana Islam juga mempunyai berbagai-bagai cara yang kita sendiri jarang mengamalkannya.
Menurut Mohd Aizam, kaitan senaman yoga dengan agama Hindu boleh disimpulkan seperti berikut: -
a) Padmasana merupakan imbangan yang sempurna seperti bunga teratai terapung di atas air kolam yang tenang. Bunga Teratai di kalangan Hindu adalah simbol keheningan, kejernihan dan keyakinan diri. Bunga teratai selalunya digambarkan dengan Tuhan Vishnu.
b) Garudasana ialah senaman garuda. Nama burung khayalan yang menjadi tunggangan Vishnu ketika mahu naik ke langit.
c) Bhakti Yoga ialah Yoga Ibadat, atau Yoga Cinta Ilahi dengan ini terbukalah akal dan hati kepada martabat Kehidupan Tertinggi, mengajar kita beribadat kepada Tuhan.
d) Jnana Yoga, (Yoga Ma’rifat) Jnana Yoga bertukar daripada perkara zahir dunia kepada batin yang ada dalam diri kita.
e) Raja Yoga atau Yoga Diraja, membimbing seseorang pengamal Yoga (yogin) itu kepada mengalami pencapaian Samadhi (bersatu) tertinggi boleh bersatu dengan Mutlaq (Allah).
Menurut agama Hindu, Yoga memberikan satu jalan untuk mengeluarkan diri daripada ’Dukkha’ dan ’Samsara’ [baru aku tahu mana datang perkataan ’duka’ dan ’sengsara’], seterusnya mencapai keabadian dengan Tuhan.
Mohd Aizam juga mengatakan, 'pada tahap (d) Yoga Ma’rifat kita sudah layak memeriksa diri dengan minda yang terlatih dan daya yang tinggi melakukan konsentrasi terhadap apakah Hikmat Manusia Ada Di Dunia ini, Kesatuan segala-gala (Unity of Allah Things; Wahdat al-Wujud atau Allah ialah segala-gala).'
Wahdat al-Wujud atau istilah yang kurang biasa kita dengar – Menunggaling Kowulo Gusti [Jawa] atau 'aku dengan Tuhan adalah tunggal' adalah satu falsafah ma’rifat yang dipegang oleh sesetengah Tareqat dan antara individu-individu yang terkenal ialah Hallaj, Siti Jenar dan mungkin juga Hamzah Fansuri. Sesetengah ahli agama beranggapan falsafah tersebut, juga digelar hakikah (hakikat), menyalahi falsafah syar’iah (syariat). Mereka ini digelar ulama syariat. Manakala ulama hakikat pula mengatakan kesempurnaan iman tidak akan tercapai dengan hanya melakukan syariat semata-mata. Maka, seringlah mereka itu tuduh-menuduh.
Haih....alangkah elok kalau dibuat kedua-duanya. Pada pendapat aku, syariat tanpa hakikat umpama berjalan tanpa tahu arah tuju. Hakikat tanpa syariat umpama tahu arah tuju tapi tak bergerak-gerak pun.
Kalau nak bertekak pasal ni, memang tak tahu bila nak habis. Sebabnya, berjalan tanpa tahu tujuan pasti akan sesat. Itu kata kawan aku. Tapi aku kata, masih ada kemungkinan / kebarangkalian yang tempat yang kita berhenti itu adalah tempat tuju yang sebenar. Kebarangkalian atau nasib? Kawan aku perli. Aku kata, kebarangkalian atau takdir. Sama seperti empat perkara yang ditulis oleh malaikat sebelum roh kamu dihembuskan ke janin. Itu takdir. Kesudahan kamu, sama ada berduka atau gembira. Telah tertulis di Luh Mahfuz kesudahan Syurga atau Neraka untuk kamu, sebelum kamu lahir lagi. Itulah juga kenapa dalam banyak-banyak manusia hanya 70,000 yang berjaya ke sana dengan aman. Sedangkan penduduk Malaysia saja dah dekat 27 juta.
Tapi, kawan aku kata kalau kita telah tahu kebenarannya (hakikat) mengapa perlu semua itu lagi? Kalau kita telah lalui secara rohani tentang hakikat sesuatu itu, tentang syurga, tentang neraka, tentang Tuhan, pasti akan berhenti. Tak perlu ke mana-mana lagi. Telah sampai destinasi. Bukankah itu yang dicari? Tinggalkan atau tanggalkan pakaianmu maka terserlahlah kebenaran (maksudnya pakaian duniawi). Kita akan bersatu dengan kebenaran. Dan kebenaran itulah hakiki. Hakiki hanyalah kepunyaan al-Haq. Itu Tuhan.
Entahlah. Bagi aku, pelajari hakikat supaya ketika menjalani syariat kita tidak tersesat. Malah lebih fokus dan tekun kerana kita tahu kebenaran itu. Oleh kerana jasad kita masih di sini, syariat itu perlu untuk menjalankan masyarakat. Itulah juga yang dilakukan oleh ulama-ulama terdahulu. Bukannya meninggalkan syariat bila mencapai hakikat.
Sengaja aku utarakan perbahasan diatas untuk menunjukkan bahawa dalam masyarakat kita sendiri terdapat pergeseran kecil [tentang cara kita menyempurnakan iman]. Perkara tersebut amat jarang diperkatakan oleh orang kerana terlalu sensitif.
Dan Yoga?
Kesimpulan dari hujah saudara Mohd Aizam menunjukkan ia adalah sebahagian ritual untuk mencapai ma’rifat, seterusnya mencapai hakikat [dalam agama Hindu]. Jadi, Yoga bukan perkara kulit. Yoga adalah perkara isi. Perkara asas dalam mencapai hakikat. Kalaulah perbahasan aku dan kawan aku itu dijadikan sandaran, aku rasa cukuplah. Dah cukup masin, tak perlu tambah garam. Kita elakkan darinya, itu lebih baik.
Sekarang aku faham tentang fatwa pengharaman Yoga itu.
.
Friday, December 19, 2008
Jalan2: Bola-bola api bergentayangan...
Selalunya, aku berdiri kat depan whiteboard pegang marker pen. Yang lain terkial-kial selak diari, kalau tak, buat-buat handphone menggigil. Biasala tu. Hampeh.
Tapi. Kali ini. Aku duduk kat kerusi. Masing-masing pandang aku. Kenapa? apa masalahnya? Tak biasa tengok aku duduk ke, hape ke?
"Bos?"
Eh. Tangan aku sakit. Tulisan aku buruk. Kamu je la pegang pen tu. Aku cakap, kamu tulis.
Aku turunkan tangan bawah meja. Aku selok dalam seluar. Akak depan aku jeling semacam, buat-buat tak kisah. Buat-buat tak nampak. Aku peduli apa.
Tangan aku sibuk meramas-ramas benda lembut dan spongy. Aku geram. Aku ramas kuat-kuat, aku lepaskan. Lenguh tangan kanan, aku tukar tangan kiri. Aku ramas-ramas lagi. Aku geram sebab setiap kali aku lepaskan, dia kembali ke bentuk asal, yang lembut dan spongy. Berkerut-kerut muka aku menahan rasa.
"Kenapa bos?"
Aku stress kut. Aku ramas benda ni untuk release stress. Aku cakap. Namanya pun stress ball. Untuk kurangkan stress, ada orang main guli. Ada orang main duit syiling celah jari. Ada orang genggam spring kat tangan...
"Ada orang lempar bom"
Hah! Bagus, pandai pun kamu.
.
.
Tuesday, December 16, 2008
Jalan2: Agen Kitar Semula
Bunyi itu berhenti betul-betul di depan tong sampah besar di lorong itu. Aku sepetkan mata untuk elak asap yang berkepul-kepul.
Aku lihat makcik itu mula menyelongkar sampah-sampah di situ. Dia tenung-tenung, dia ambil dua tiga barang buangan dan letakkan dalam trolley yang aku kira dia ambil, kalau bukan curi, dari pasaraya sekitar ini.
Walau pun bukan sampah domestik, ia tetap berbau semacam setiap kali makcik tu punggah isinya. Aku cuit-cuit hidung beberapa kali.
"Kenapa? keji ke perbuatan makcik ni?"
Eh, ke situ pulak. Mana ada apa-apa. Cuma kurang senang dengan baunya.
"Bukan salah Makcik, dah nama pun lorong belakang, berbau la. Kalau nak wangi, pergilah masuk ke dalam"
Maaflah Makcik, saya tak kata apa-apa pun. Takkan aku nak tengok Makcik tu pun tak boleh. Ngomel memanjang.
"Hina sangat agaknya kerja makcik ni ye. Tapi, Makcik taklah sampai terkangkang sana terkangkang sini kat jantan-jantan macam pelacur tu. Memang hina kerja Makcik ni kut, sampai pelacur pun sekarang ni dah ada gelaran yang lebih mulia. Dia gelar pelacur tu Pekerja Seks!"
Makcik ni tengah brainwash aku agaknya. Badan aku sengal-sengal. Macam kena tembak dengan peluru penabur. Adeh..adeh...
"Apa ingat Makcik ni tak berguna ke? Makcik menolong menjaga alam sekitar. Bukan macam kamu, asyik merosakkan alam sekitar. Racun sana racun sini. Ada gelaran untuk kerja makcik ni. Apa ke bendenya... hah, makcik ni Agen Kitar Semula"
Ye la tu Makcik. Kalau begitu, aku juga seorang agen. Aku bekerja sebagai Agen Pembiakan. Ini kad saya....hehe.
"Memang jantan semua macam tu. Tak guna, kerah tenaga orang perempuan je. Cari duit sendiri malas! Kamu tu, buat apa kamu kat sini? Asyik hisap menatang tu je kerjanya ....%&@#*#@#*...."
Adui! Cukuplah tu. Aku lemas. Aku dah longlai kena sembur dengan Makcik tu...macam pekerja seks yang keletihan lagaknya....
Hahahaa...
.
Monday, December 15, 2008
Jalan2: Usikkan Kalbu
Tengahari itu...
Langit beri izin untuk aku intai dari tingkap. Cerah. Kami pun bergegas ke tasik.
Beberapa ekor kura-kura berenang-renang, mengekori aku sepanjang tebing tasik. Dah selalu dapat makanan mudah dari manusia, fikir aku. Aku seluk poket, aku pandang Paku Payung, aku pandang Mama. Kedua-duanya mencemik bibir. Maaflah kura-kura, aku tak bawa rezeki kamu. Tapi...
Aku bergegas ke bawah pokok-pokok yang daunnya rimbun. Aku terbongkok-bongkok kutip buah-buah kecil yang hijau. Paku Payung mendekati aku lantas turut mengumpul buah-buah kecil itu.
Aku baling satu persatu ke dalam tasik. plom! plom! plom! Beberapa ekor kura-kura mendekati bunyi dan suar olak air tasik itu. Aku campak lagi, hampir pada kepalanya. Ia tengok buah itu tenggelam dan hilang dalam keruh tasik.
Aku fikir. Kalaulah semua kura-kura menjadi secerdik ini, bagaimana agaknya? Kalaulah semua binatang menjadi secerdik itu, bagaimana agaknya? Kita? Kita bagaimana pula?
Maaf, aku tak bawa rezeki kamu. Bukan tugas aku memberi makan semua binatang di dunia ini.
.
Saturday, December 13, 2008
FiQir: Dunia kacau bilau
Entah kenapa, berita akhir-akhir ini buat aku teringat pasal dunia. Mungkin pengaruh filem "The Day The Earth Stood Still"? Mungkin pasal Obama, mungkin pasal ekonomi Yahudi? Entah.
Tapi, aku juga teringat beberapa bait puisi. Aku ambil beberapa bait dari "Puisi Dunia" yang aku tulis dari May 2000 sampai sekarang belum habis-habis lagi, aku letak kat bawah ini. Tak tahu bila nak tamat. Entah.
Bab: XIII
Musa bin Imron bin Qahat bin Lawi bin Ya’kub, ibunya itu Yukabad.
Isterinya bernama Shafura, puteri Syu’ib. Lahirnya diramal, Istana Mesir
bergegar. Bayi lelaki pasti dibunuh Firaun, namun tertinggal seorang
hanyut di dalam peti. Di bawa dan diasuh di istana Firaun sendiri.
Ingin dibunuh jua tapi kasih isterinya, azamnya berbelah bahagi.
Dari pohon dan air itu diambil nama menjadi Musa, dan disusui
semula oleh ibu kandungnya, itulah janji Tuhan yang Maha Esa.
Terjadi satu peristiwa, Samiri itu Dajjal yang bermuka-muka.
Maka ditinggalkan Mesir sepuluh tahun berkelana, lalu kembali semula
bersama isterinya. Dalam jalan pulang, di Thur-Sina,
malam pekat menutup pedoman, tersasar jalan, tersesat Musa.
Dilihatnya ada cahaya api bersinar-sinar di kaki bukit. Katanya,
Tinggallah dulu di sini, mudah-mudahan ada berita dari tempat api
atau kuambil sesuluh api untuk menghilangkan gigilmu ini.
Tatkala sampai, keluar satu suara dari sepohon kayu
yang di kanannya lembah yang diberkati. Nyata kenabian Musa.
Dan tongkat pemberian Syu’ib dan tangannya adalah
juga petunjuk yang benar dan nyata.
Dan Firaun itu tugasnya yang utama. Padahal Harun itu
lebih petah berbicara. Maka jadikan kami sekutu, pintanya
Lalu keduanya diperintahkan bersama-sama.
Berkatalah Firaun, siapakah Tuhan engkau hai Musa? Ialah
Tuhan nenek moyangmu serta Tuhan seru sekalian alam.
Berkata lagi Firaun, siapakah Tuhan seru sekalian alam hai Musa? Ialah
Tuhan langit dan bumi, dan segala yang antaranya. Hai Musa,
datangkanlah bukti tanda-tanda jika kau benar tidak berdusta.
Nah, tongkat itu menjadi ular, atas segala ular dan Firaun ketakutan.
Hai Musa, panggillah kembali ularmu itu.
Dan ancaman makin gugah kesabaran. Keluarlah Musa bersama
baki kaumnya dan lari, lalu disusuli yang engkar. Gundah mereka.
Ya Musa, musuh di belakang menyusul, laut di hadapan
dan kita tidak punyai sampan? Lalu ditunjukkan jalan yang kering
diantara dua gunung air. Juga kubur bagi yang engkar dan Firaun.
Lalu ditimbulkan dan disimpan jasadnya untuk menjadi pedoman dan
pengajaran. Kini benarlah Tuhan Musa, Tuhan seru sekalian alam.
Pergilah Musa dan tujuh puluh lagi mengambil Taurat.
Dalam munajat di Thur-Sina, hancur gunung kerana Musa
lancang mulutnya. Dan Harun dan Samiri yang ditinggalkan
berbalah tentang anak lembu emas yang menguak sendiri,
dari emas cair yang dilempar segenggam dari jejak rasul.
Berkatalah, dan kami tetap berpegang kepada anak lembu ini
sehingga Musa telah kembali di tengah-tengah kami.
Pulanglah Musa menghempas Taurat, menarik janggut Harun.
Dan Samiri dihalau pergi, lalu tujuh puluh lagi ke Thur-Sina
pohon taubat dan mereka itu mati kerana lancang pinta pandang
Tuhan, dan Musa memohon ampun sehingga mereka hidup kembali.
Dan suku Kana’an di Palestin perlu diusir untuk bermukim, itu wahyu.
Hai Musa, pergilah kau seorang diri dan Tuhanmu , kami di sini.
Terpisahlah mereka dan Musa, dan kepura-puraan.
Hai Musa, siapakah yang paling bijak? Aku. Hai Musa, siapakah
yang paling berilmu? Aku juga. Disuruh Musa pergi mencari
seorang dari hamba-hamba yang ‘alim, di mana dua lautan bertemu,
bila mana makanannya kembali berenang ke laut dan hilang.
Berjanjilah keduanya, tidak Musa mendahului pertanyaan sebelum
penerangan dan tidak pula tiga kali. Dan sesudah tiga kali, berpisahlah
keduanya, dan Musa kembali sedar dari api kesombongan.
[hak karya Nizam.Ariff]
.
Wednesday, December 10, 2008
Jalan2: Mencari Chenta yang terbang...
Hari mantai [atau sehari sebelum hari raya] aku pergi Tlk Intan untuk cari bahan mentah untuk juadah hari raya korban. Aku parking kat belakang Kmplks Aik Aik. Entah macam mana, aku boleh terlupa nak kunci kereta aku. Tapi, itu bukan cerita untuk topik ini.
Orang atas tu. Aku snap masa dia tengah cari bahan untuk dijual. Cuma aku terpandang grafiti pada dinding. Sah aku kata, dia sedang mencari cinta yang telah terbang.
Nasib baik kereta aku tak turut terbang.
--------------------------
Aku guna istilah 'mantai' kat atas tu. Aku pinjam istilah orang Melaka.
Aku tanya mertua aku, kenapa mantai? Dia tak ada jawapan pasti. Jadi, aku buat teori sendiri. Dan dia gelihati. Teorinya begini:
Istilah 'mantai' itu derived daripada 'pantai'.
Mantai membawa maksud orang kampung pergi ke pantai.
Ianya berlaku pada petang melihat anak bulan.
Oleh kerana orang dulu tak punyai teleskop yang canggih, tok imam dan orang kampung akan pergi ke pantai untuk melihat anak bulan dengan lebih jelas.
Selepas beberapa dekad, hari melihat anak bulan has been associated dengan hari pergi ke pantai.
Jadi, kalau Makcik Wok tanya ke mana semua orang pergi?
Senah akan jawab " dia orang semua tengah mantai"
Jadi, hari merebus ketupat dan memasak rendang telah digelar Hari Mantai
...
...
...
... dan tahun 2020 nanti, Hari Mantai akan jadi cuti umum.
...
...
... dan 100 tahun lagi, akan wujud Hari Mantai Sedunia...
.
Monday, December 8, 2008
Jalan2: Catatan pada dinding
Sebahagian daripada catatan dinding. Boleh baca?
Ceritanya begini:
Sabtu lalu, aku berpeluang balik raya di kampung sendiri. Aku masuk bilik emak, salam sana, salam sini. Tinjau sana, tinjau sini. Tengok mana-mana yang kekal, mana-mana yang berubah. Macam detektif polis pulak. Biasa la tu kalau balik sekali-sekala...
Dulu, aku pun dah sedar tentang tulisan tu. Tulisan jawi arwah bapak pada kepingan papan dinding biliknya. Itu aku tahu sebab setiap kali ada peristiwa penting, dia akan ambil marker pen dan tulis pada dinding tu.
Tapi, kali ini, aku lihat ada kelainan sikit. Ada tambahan sikit. Aku eja sikit-sikit [dengan merangkak-rangkak] setiap satunya. Kebanyakkannya pasal membaja dan menuai.
Tapi yang satu ini agak menyentuh hati....
" Ayahanda Hamdan meninggal pada 13 May 2007"
Salah seorang abang aku telah tulis catatan penyudah kepada semua catatan-catatan sebelumnya.
.
Friday, December 5, 2008
Jalan2: Kalau kepala dah banyak sangat pikir...
Aku:
Eh, kau tak ada keje ke? Cepat sangat balas email...
M.Alwie:
Brader…sekarang zaman bukak email pakai handphone ler….ni ... dalam tangki gas pun boleh reply email …bila kau nak maju????
Aku:
Ye ke? Sejak bila kau upgrade h.phone???
Setahu aku, kau yang kuat protes penggunaan gelombang mikro yg berleluasa sebab boleh mencemar sekitar dan memudaratkan navigasi burung merpati, selain tangan jadi panjang sebelah [ lepas tu aku cakap h.phone orang tak genggam lama-lama, dia orang sangkut kat tali pinggang, baru kau tarik balik tuduhan yang ini]...
M.Alwie:
Bro--- lu agak so yesterday lah. Liquidate our requirement lah. If the thing is within “necessity” spectrum – then use it. Yg tak boleh ialah kalau guna hanya sbb org lain pun guna.
Aku tak pakai kad ATM sbb surrounding aku skrg byk bank...dan kaunter tak sesak...but, when the time comes whereby aku dah tak de easy access to bank counter, then aku kena pakai kad ATM. This is sumthing to do with “the law of one price “ – under economic naturalist punya konsep + blue ocean strategy .
Can Economy explain these questions :
- Kenapa kamikaze pilot pakai helmet masa nak bunuh diri ?
- Kenapa org jual susu dlm kotak tapi air bergas dlm tin ?
- kenapa accident kat jalan north bound tapi jln kat south bound pun jem ?
- Kenapa butang kemeja lelaki sebelah kanan but for ladies sebelah kiri ?
- Kenapa Tiket flight Orlando-Chicago-Orlando lagi mahal dari Chicago-Orlando-Chicago ?
- Kenapa supermarket kat US bukak 24 jam walau kat kawasan hulu dan tak de customer pun yg shopping tgh malam ?
- Kenapa 24hr shop , kat pintu dia masih ada kunci ?
- Kenapa orang tak makan nasi + air teh dlm satu masa ?
Aku:
Ok. Jawapan ikut teori kebarangkalian:
- Kepala tak hancur, orang boleh cam muka(30%); kalau kena tembak tak tembus kepala dan boleh accomplish mission (70%).
- Susu sedap, cepat habis tak yah simpan lama-lama (40%); Air berkarbonat ada gas bertekanan rendah (60%)
- Kena hati-hati sebab dah ada orang yg mati, takut (50%); pemberita ada sebelah south bound (50%)
- Kalau peluk, butang baju lelaki & wanita berada pada bahagian yang sama, senang sikit nak bukak/seluk (100%)
- Airport Tax untuk Chicago dan Orlando berbeza (100%)
- Siang orang beli belah, malam lori datang masuk top-up stock (100%)
- Ada masanya dia orang nak pegi tandas, kena tutup sekejap (100%)
- Haaa… yang ni aku tak boleh komen sebab ada orang tuang teh tarik dalam nasi goreng dan makan..
M.Alwie:
Jwpn semua salah. ..dia ada kena mengena dgn cost-benefit factor ( kan aku dah kata – explanation dia from economy point of view )
Fikir lagi...
Note: airport tax Orlando & Chicago sama = USD40
--------------------
Aku dah malas nak layan. Nanti la, jumpa masa sesi mengeteh malam minggu...
.
Monday, December 1, 2008
Jalan2: Cemas Detik 12.00 Malam...
Kami sepatutnya bertolak ke SA jam 9.00 mlm. Tapi, oleh sebab-sebab yang tertentu, kereta yang satu lagi hanya bersedia pada jam 12.00 mlm. Tup-tap-tup-tap, kami pun bertolak jam 12.45 mlm. Minyak tinggal kurang satu ‘takuk’ untuk perjalanan sejauh 170km. Tak apa, boleh singgah di Selandar untuk isi minyak.
Tapi, Petronas di Selandar dah tutup. Baru teringat, stesyen minyak di luar bandar tak banyak yang buka 24 jam. Hati dah kecut sikit. Tak apa, masih ada harapan di Simpang Ampat sebelum masuk tol PLUS.
Tutup jugak! Kaki dah gigil tekan pedal minyak. Hati-hati. Tak apa, masih ada harapan di Petronas di hentian Pedas menuju ke Utara. Tutup jugak! Termenung aku sebentar. Harapan akhir ialah di hentian Seremban yang sejauh 60km lagi!
1.47 am .... dan minyak dah dekat 'E'
--------------------------
Aku korek kotak ingatan. Aku ingat semula tip-tip jimat minyak. Seperti berikut:
- Enjin paling jimat menggunakan minyak pada RPM sekitar 2800 ~3300. Dikenali juga sebagai ’economic range’. Bergantung pada saiz kenderaan dan kapasiti enjin. Kapasiti enjin aku 1.5ltr Automatik, MPI dan berat kereta lebih kurang 1 tan. Jadi, aku set pada 3000 RPM, lebih kurang 95~100km/j. Kalau lebih, minyak juga lebih. Kalau kurang, minyak pun guna banyak jugak sebab nak kekalkan inersia.
- Jangan selalu gunakan brek sebab ia adalah pembaziran tenaga [amaran: cara ini berbahaya]. Kita tekan minyak supaya lebih laju tapi kita buang momentum kelajuan itu dengan menekan brek. Jadi aku kena elakkan tekan brek selalu.
- Tutup Aircond. Sebab Aircond compressor menggunakan kira-kira 1 kuasa kuda. Baik aku suruh kuda tu tarik kereta daripada tarik compressor aku. Tapi, dalam kereta berkuap. Kena bukak cermin ambik angin luar, tapi....
- Jangan buka cermin tingkap luas-luas sebab angin yang masuk akan berikan rintangan atau ’drag’, minyak makan lebih. Jadi, aku buka tingkap depan lebih kurang satu inci sahaja untuk stabilkan suhu luar dan dalam [nasib baik malam].
- Tutup lampu hadapan yang utama, pasang yang kecil sahaja [amaran: cara ini amat berbahaya] sebab lampu depan tu pakai 13A punya line. Kalau tutup, kurang sikit tekanan kepada altenator. Dapat jugalah jimat sekitar 200 RPM.
- Elakkan menekan minyak secara mengejut atau cepat sebab ECU akan baca ’fuel demand’ dan dia akan bagi minyak lebih. Jadi, masa naik bukit aku tekan minyak secara perlahan.
- Jangan kerap menukar gear sebab setiap kali tukar gear, kena tekan pedal clutch. Setiap kali tekan pedal clutch, RPM akan turun. Bila masuk gear, kelajuan akan turun sebab kehilangan RPM. Tapi, kereta aku automatik. Tak tertakluk kepada terma ini.
- Waktu menuruni bukit yang curam, lepaskan minyak sebab sesetengah kereta, ECU akan baca ’SAS Active’ dan dia tutup minyak satu atau dua selinder. Kereta aku bukan kereta mewah yang ada ciri-ciri macam tu. Tapi, aku lepaskan juga pedal minyak sebab nak compensate aku tekan minyak masa naik bukit tadi.
- Seboleh-bolehnya, ikut kenderaan hadapan yang lebih besar [amaran: cara ini berbahaya] dengan agak rapat supaya rintangan angin berkurangan. Aku cuba ikut lori malam tu tapi lori lambat sangat sampai RPM jatuh bawah 2500. Aku ikut bas ekspress pulak. Tapi lagi hampeh, dia orang pecut sampai 120km/j. Aku ikut satu MPV dari belakang.
- Kalau nak potong lori, pergi jauh ke lorong kanan sebab nak elak dari angin sisi lori, terutama ketika nak sampai ke kepala lori tu. Angin yang persis angin lintang tu akan memberikan rintangan ketika memotong.
- Kalau belok, kena pandai ’makan jalan’. Maknanya, kalau belok kiri, makan sikit bahu jalan. Kalau belok kanan, masuk sikit lorong orang.
- Di lebuh raya yang bengkang-bengkok, pastikan cari apex yang betul. Pastikan laluan selurus yang mungkin [kata ustaz, jalan yang lurus adalah jalan yang selamat] sebab ia akan memendekkan radius bengkang-bengkok tu, maka jarak laluan juga pendek. Jadi, aku pun makan lorong sebelah juga.
Akhirnya, kereta aku selamat sampai di hentian Seremban. Lampu minyak masih juga belum menyala lagi! Jadi, aku dah berjaya. Syukur.
Kalaulah boleh amalkan cara memandu macam ni, tentu jimat minyak. Tapi, apa ada hal.....harga minyak dah turun! Lepas isi RM50, aku pecut macam biasa.
Benar kata orang tua-tua, masa susah beringat, bila dah senang mulalah kita lupa diri.
.