Wednesday, December 30, 2009

Manusia bukan siapa-siapa...

.

Aku bayangkan: seseorang bertanya kepada aku, kenapa aku begitu bersungguh-sungguh menyapa dan merendah diri kepada orang yang lebih layak memanggil aku boss... Lalu, aku katakan:



Jangan lupa diri,
Dari lembah entah dimana, dibawa naik ke sini,
Dari manusia tak kenal siapa, dibawa naik tinggi,
Dari hujung mata cuma, kini berdiri gah segala seri,
Dari kosong nurani jiwa, sudah diasuh berhati murni,


Masakan hilang inti pati sekadar habuk singgah di pipi?
Mana boleh begitu, hai kawan!
Bukan sentiasa tenang tanpa cubaan!
Hidup ini bergalang ganti.







.

Monday, December 28, 2009

Sekian, laporan dari Bukit Larut pula

.


Hari Khamis. Pagi-pagi lagi aku dah tertancap di kaki Bukit Larut. Semalamnya, ada brader jual Roti John di pintu masuk Bukit Larut pesan, kalau nak naik jeep kena beli tiket pagi-pagi sebab jeep naik satu jam sekali dan cuti-cuti sekolah ni banyak yang tempah untuk rombongan keluarga.



Disebabkan pesanan itulah, aku cuba sampai pagi-pagi. Pukul 8.35am aku tercegat di pintu tiket. Dan tiket aku untuk jeep pukul 10am.



Hanya Land Rover yang cukup lasak untuk naik Bukit Larut. Dan aku tersenyum bila di belakang tiket itu tertera 'disclaimer' yang menyebut perkataan 'Land Rover' dan bukan 'Kenderaan'. Ini bermakna, pengurusan pusat peranginan itu perlu guna Land Rover sampai bila-bila dan tak boleh bertukar kenderaan lain, kalau tak 'disclaimer' itu akan memakan diri.






Memang kecut perut. Kalah 'Roller Coaster' dibuatnya. Bayangkan: jalan selebar kenderaan, gaung dalam, dan selekoh 170 darjah dengan 50 darjah kecerunan!



Ada pasangan dari Belanda bersama-sama aku. Pada mulanya ok tapi pada 1/3 jalan dia minta diturunkan. Gerun katanya. Hmmm... dasar Belanda.



Dan sesampai di atas, inilah antara yang ada:



Cafe klasik. Mee Segera satu cawan RM2



Penahan tingkap antik dan klasik



Wajah-wajah yang muncul dari dalam bukit




Dan pada masa itu, Riang-Riang sedang galak berkelamin. Merata-rata. Macam semut. Sesuatu yang aku tahu tentang riang-riang ni, selepas menetas dan dalam bentuk nimfa (ulat), ia berada di dalam tanah selama 7-9 tahun. Bila menjadi kepompong dan bertukar menjadi Riang-Riang dewasa yang berkepak, ia akan keluar dari tanah dan terbang ke pokok-pokok mencari betina.


Dengar kata, hayatnya semasa berkepak tidak lama. Selepas melampiaskan nafsu serakahnya, ia akan terkulai dan mati, manakala yang betina akan bertelur di dalam tanah, dan mati.



Lemah dan lesu. Apa agaknya yang mereka lakukan malam semalam?




Aku suruh Paku Payung bayangkan kehidupan seperti itu:

Selama bertahun-tahun hidup dalam gelap, sukar bergerak dan lemah. Apabila baru berubah menjadi sesuatu yang mampu bebas terbang ke sana dan ke sini, dan berbetina, dan menjalani hidup penuh riang-ria, tak lama kemudian... mati!


Paku Payung tak mahu.





.

Sunday, December 27, 2009

Sekian, laporan dari aku...

.


Pagi itu pagi Rabu, kami berpusu-pusu menuju ke Utara. Last minute booking. Nasib baik masih ada yang sudi menerima kami bermalam. Taiping Golf Resort di Kamunting. Sebelum itu, berhelai-helai peta yang aku google-map aku cetak, sekadar berjaga-jaga. Maklumlah, sudah lebih 20 tahun aku tinggalkan Taiping.


Asalnya, aku mengenali Taiping melalui ini:






Dan setelah lebih 20 tahun, aku kembali mencari jejak-jejak aku yang aku sangka telah hilang. Bahkan tidak!. Ya, Taiping masih pelihara jejak-jejak aku bersama-sama sejarahnya yang dulunya bermandikan darah. Sama ada darah Melayu dan Inggeris atau antara Gee Hin dan Hai San.



Dan antara jejak yang aku jejaki kali ini adalah kompleks membeli belah ini, tempat aku mengecilkan kaki seluar jeans hingga kalau nak masukkan kaki kena bungkus dengan plastik, tempat aku beli kaset kosong dan upahkan dubbing lagu-lagu Slayer, Iron Maiden dan lain-lain dengan kadar 50 sen untuk sebuah lagu, tempat aku pekena cendol power dan koew teow kicap...



Sebelah sini Melayu, sebelah sana Cina: 1Malaysia



Dan aroma kedai-kedai makan ini masih seperti dulu. Asapnya menyelinap masuk ke tekak dan bergayut pada baju aku. Baju hitam yang diharamkan oleh penguasa asrama akibat penangan Ali Bakar dan Battle of the bands, dan Wings dan Search. Sampai sekarang aku kurang faham apa salahnya baju hitam itu pada waktu itu sedangkan Black Metal belum lagi terkenal di situ pada masa itu. Belum lagi aku dengar orang berbaju hitam bermain gitar karan sambil hirup darah kambing hitam di situ pada masa itu... belum lagi. Aku syak, penguasa asrama itu ada kasyaf...



... dan sebahagian lagi sama ada Mamak atau Pakistan...



Aku naik ke tingkat atasnya, aku cuba cari satu kedai jahit yang biasa aku datangi dulu. Tak ada. Ada seorang Cina tua sedang bersandar pada balkoni kaki lima menyapa aku. Aku terus tanya, mana perginya kedai 'I O U' ( I owe you)? Dia gelengkan kepala. Dia kata, itu sudah lamaaaa...


Aku kata, memang lama. Sudah lebih 20 tahun.



Itu baru hari pertama. Belum pun sempat malam berlabuh. Keesokkannya, aku selusuri Bukit Larut yang dulunya pernah aku takluki sebanyak dua kali sepanjang aku bermastautin di sini dengan berjalan kaki.


Cerita selanjutnya, nanti...



Jeep ke Bukit Larut






.

Thursday, December 24, 2009

Baring sambil peluk-peluk...

.




Shhh...!!! Don't disturb me. I'm having my beuty sleep...




Kata Jagad dalam mimpinya.

Ya, mimpinya dengan kawan bernama 'Bee'






.

Wednesday, December 23, 2009

Adegan yang tak sanggup kita alami...

.


Tak puas dengan air sejuk dan panas dari banjaran Titiwangsa, keesokkan harinya, kami berkunjung ke persada air peluh dan air kencing merata-rata di S.Alam pula.


Tapi, aku cerdik. Kali ini aku menjadi pemerhati kehormat. Aku tak nak bergelumang dengan air peluh dan kencing budak lagi.



Jadi, aku dan Mama ber'uzlah' ke tepi pagar di mana ada longkang air besar yang juga tempat budak-budak berlungsur pelampung getah. Aku berbaring pada tebing simennya, sehinggalah Mama kejutkan aku kerana aku mula bermimpi.





Wet World, S.Alam



Sekembalinya kami ke bawah khemah besar, aku tanya anak sedara aku, dia kencing dalam kolam? Dia jawab, ada sikit-sikit. Hmm... dah agak.


Aku tanya seorang lagi anak sedara, dia ada kencing dalam kolam? Dia anggukkan kepala.


Aku tanya Paku Payung, dia pun ada kencing jugak? Paku Payung kata, tak.


Aku kata rugi sebab dia tahan kencing! Dan biarkan air kencing orang lain melekat pada badannya.





.

Tuesday, December 22, 2009

Satu hari penuh adegan yang panas-panas...

.


Pagi-pagi itu, kami bertolak ke Perak, dari S.Alam. Tujuan kami?:- kami mahu beradegan panas-panas... peluh-peluh... pergh!!!



Selama dalam perjalanan yang agak jauh itu, masing-masing bermain-main dengan fikiran. Kotak-kotak fikiran yang penuh dengan imaginasi tentang itu dan tentang ini: panas... pakaian tak keruan... peluh merenik... menitis... arghhh!!!



Kami tiba jam 10.30am. Masuk pun kena beratur? Ceit, kami nak bercuti, semua orang pun nak bercuti sama. Apa pasal dia orang semua nak ikut aku bercuti? Dalam banyak-banyak hari dalam setahun, apa pasal dia orang pilih nak bercuti sama dengan aku? 'Kasi can' la kepada aku...



Kami pilih tempat sejuk dulu. Kasi rendam dalam sejam dua jam, biar lembut semua kulit (baca: lembut segala daki). Rendam dalam kolah besar yang penuh dengan air dari gunung; air yang turun dari mata air di kaki Banjaran Titiwangsa; penuh kehijauan... dan tanpa klorin!



Dulu ada sotong kurita gergasi tersergam garang di tengah-tengah kolam sejuk tu, sekarang tiada. Tentakelnya dah kena potong. Ini mungkin gara-gara fanatik kepada iklan 'P1 max'...



Setelah berendam dalam 2 jam, kami berpindah kepada tempat panas! Ya, untuk adegan panas pula. Kami selusuri denai yang penuh dengan wap berbau Sulfur. Cuaca menarik; mendung dan kadangkala ada bunga-bunga rintik menerpa rambut dan bulu roma; mengimbangi kejutan hawa panas dari wap putih berbau Sulfur itu.



Kami rendam kaki kami dalam lubang air panas. Tak panas mana pun, sekitar 35 ~ 38 Celcius aku agak. Aku rendam kami sahaja. Tapi, ada 2 orang brader siap duduk dalam kolam panas, air separas dada. Aku cakap kat brader-brader tu, orang kata anak haruan boleh mati dalam air sepanas ini.

"... memang pun, bukan anak haruan, bapak haruan pun boleh mati kalau masuk dalam kolam panas ni..."


Dia tak faham maksud aku. Aku senyum.




Kolam air panas Sungai Klah, Felda Sungai Klah, Sungkai.



"Oooooo!!!!... anak haruan yang tu... errr.. faham, kami faham..."

Dan kami ketawa. Kakak-kakak dan makcik-makcik yang ada bertanda tanya pada dahi-dahi mereka. Lantaklah, ini hal lelaki.




Setelah puas berendam kaki, aku cuba tanya Spa. Alamak, habis ditempah untuk sekurang-kurangnya 2 jam lagi. Kemudian, aku pergi ke pejabat Ayurveda Treatment, pun sama sebab dia guna Spa yang sama. Ceit! Potong stim betul la... Ni satu lagi, pasal apa dia orang semua nak guna Spa bila aku nak guna? Ni mesti dengki kat percutian aku...



Salah satu punca air panas di Sungai Klah



Kemudian, kami pergi berendam dalam air suam-suam kuku dalam satu kolam besar. Aku cari tempat air suam yang terjun dari batu buatan dan aku duduk di situ sambil biarkan air suam itu mencurah-curah turun menghentam belakang aku. Aku biarkan diri aku tenggelam dalam keasyikkan deruan dan curahan air, lebih kurang 30 minit sebelum belakang aku terasa pedih.



Aku pindah ke tempat lain dan aku terus berendam dalam sejam lagi. Apabila kepala terasa pening, baru aku perasan yang suhu darah aku mungkin dan sama panas dengan suhu air itu. Cepat-cepat aku pergi ke tempayan besar yang penuh dengan air gunung yang sejuk. Aku libas 2 gayung air kepada badan aku. Sejuk. Tapi tak lama. Panas balik.



Aku libas lagi 3-4 gayung air sejuk. Tunggu sekejap. Sejuk. Tapi panas balik... pergh! Badan aku dah serap banyak sangat tenaga haba. Aku libas beberapa gayung air sejuk lagi. Ada 2 orang budak kecil memerhatikan aku dengan pandangan sayu, meminta gilirannya untuk bergayung. Mana boleh lepaskan gayung, aku tengah kritikal!



Aku tanya soalan yang aku tahu jawapannya, sama ada dia nak gayung. Mereka anggukkan kepala. Lantas aku cedukkan segayung dan aku jirus mereka berdua. Dan beberapa gayungan seterusnya adalah untuk aku lagi. Sehinggalah aku terpandang mak-bapak budak tu. Perlahan-lahan aku letakkan gayung ke dalam tempayan besar itu dan aku kembali semula ke dasar kolam panas itu.

"... terima kasih..." kata salah seorang budak tu. Ceit!



Ternyata, dengan modal RM10 aku mampu berendam sepuas-puasnya dan biarkan peluh aku menitis untuk dikongsi oleh para pengunjung semua.


Itu mungkin termasuk peluh mereka untuk di kongsi oleh aku. Dan aku pasti, turut berkongsi sama ialah air kencing budak-budak dalam kolam sejuk dan panas itu...





.

Thursday, December 17, 2009

Balas membalas...

.


Dua orang duduk berjiran. Yang seorang pandai memasak dan selalu masak yang sedap-sedap. Selalunya, bau masakan itu meresap masuk ke dalam rumah jirannya.


Oleh kerana jirannya terbau masakan yang sedap, seleranya sentiasa bangkit dan makan banyak. Akibatnya, berat badannya bertambah dan akhirnya, dia jatuh sakit.


Jiran yang sakit itu membuat laporan di balai polis dan menyaman jirannya itu. Satu hari itu, Mahkamah membicarakan kes saman tersebut. Hakim bertanyakan kepada jiran yang sakit, kenapa dia menyaman jirannya?

" Kerana bau masakannya masuk ke rumah saya dan menyebabkan saya berselera makan. Akibatnya, selang beberapa tahun, berat badan saya naik dan saya jatuh sakit. Saya mahu ganti rugi atas kesakitan saya "


Anehnya, Hakim itu memberi kemenangan kepada jiran yang sakit itu. Lalu Hakim bertanya, berapakah ganti rugi yang dia mahu?


" 1000 dinar ..."


Pada hari yang ditentukan, Hakim pergi ke rumah mereka. Hakim arahkan jiran yang sakit itu duduk di kerusi makannya, manakala jiran yang pandai memasak itu pula di suruh naik ke tingkat atas dan menjatuhkan syiling 1 dinar ke dalam mangkuk besi.


Hakim mengarahkan jiran yang sakit itu supaya mengira setiap kali terdengar dentingan syiling dinar itu jatuh. Maka, jiran yang pandai memasak itu pun jatuhkan syiling satu persatu sehingga genap 1000 dinar.


Setelah cukup, jiran yang sakit itu pergi ke rumah jirannya untuk mendapatkan duit dinar itu tetapi di halang oleh Hakim. Hakim itu kata:

" Bau masakannya masuk ke rumah kamu, bukan masakannya yang masuk. Jadi, hanya bunyi duit syiling sahaja yang boleh kamu ambil, bukan duit syiling itu "






.

Wednesday, December 16, 2009

Makan malam bersama kambing Boer

.

Hari Sabtu lepas, aku teringatkan cerita kawan aku (Kucai) tentang satu kedai daging segar milik Melayu Islam. Daging yang siap perap pun ada.


Kami pun pergi cari lokasi kedai itu dekat Seksyen 7- S.Alam. Aku lupa nama kedai tu tapi kedai tu sama kawasan dengan Pasaraya Bintang. Simpang masuknya ialah bertentangan dengan pintu masuk selatan UiTM S.Alam.


Setelah pusing sekali dua, akhirnya aku jumpa. Dan seperti biasa, aku jadi macam penguatkuasa makanan sedunia. Aku tanya mana dapat bekalan, jenis-jenis daging, bahagian-bahagian daging, yang mana sedap yang mana keras, beza lamb dan mutton, aras kolesterol, jenis perapan dan cara-cara potong.


Termasuk juga soalan-soalan komersial harga sekilo, perbekalan di Malaysia (dia tak ambik daging tempatan, aku tanya kenapa tak ambik dan dia bagi alasan yang kurang logik), logistik (direct import dari Australia), cawangan lain (kat Penang pun ada), jualan (katanya, 300kg Boer sehari untuk mamak Beriyani di UiTM S.Alam sahaja!), profile pelanggan-pelanggan lain dan tujuan (purpose of buying), jenis produk yang ditawarkan, jenis perkhidmatan yang boleh di tawarkan (kambing perap seekor pun boleh disediakan).


Setelah puas hati dengan 'seminar' 30 minit itu, kami pun mula pilih daging.

Dan akhirnya kami pilih daging kambing (lamb shoulder) siap diperap. Cukup untuk 3 orang makan dan harganya cuma RM 13.90. Puas hati aku? Ya, memang puas ...







Dalam perjalanan pulang, kami singgah di TESCO untuk beli barang-barang lain sebagai pelangkap makan malam kami: Russet Potatoe, Carrot, Pitted Black Olive, Sweet Corn...

Kami tanam pokok pudina. Sos pudina aku buat sendiri.




.

Tuesday, December 15, 2009

Saat-saat itu...

.


Sehari dua sebelum menjadi lelaki dewasa (dia kata: lelaki remaja), aku ajak Paku Payung tengok 2012 di The Summit. Aku bercuti hari tu. Saja gatal bercuti.


Dia suka tengok science fiction tapi oleh kerana aku dah review jalan ceritanya dari entah mana-mana, aku beritahu dia yang jalan ceritanya tak lah setanding mana pun. Plot yang sama. Nilai-nilai kemanusiaan sama diketengahkan. Tak ada bunuh-bunuh tikam sana-tikam sini. Tak ada kepak-kepak kepala keluar otak pun.




Ada masa lebih kurang sejam lagi sebelum masuk panggung, aku ajak dia pergi ke sebelah. Kami habiskan masa ayah-anak dengan bermain menatang ni:






















Paku Payung berjaya masukkan 3 bola untuk setiap game.... dan beberapa kali bola putih masuk lubang juga. Not bad!









.

Saturday, December 12, 2009

Aku sudah bilang, mesti ada belancan..!

.


Demi menghormati Paku Payung yang sedang berpantang, kami sama-sama menolak dan menghindari makanan-makanan yang menjadi pantang larangnya.


Dan aku terasa macam orang lepas bersalin semasa hari-hari awal Paku Payung berpantang larang.


Dan aku rasa macam dah hilang berat badan... rasa ... macam... je.


Hakikatnya, kalau aku singgah kedai makan waktu lunch, aku makan macam tak hengat dunia.


Dan bila pulang, cukuplah sekadar nasi dan lauk-sayur yang tiada unsur-unsur ayam atau udang atau belacan... hah! Belacan!


Ya, orang kota seperti aku tetap gemar belacan Melaka. Bak pantun orang dulu-dulu:


Kalau tuan mudik ke hulu,
belikan saya belacan Melaka,
kalau tuan mati dahulu,
jangan tuan menghantui saya.





.

Wednesday, December 9, 2009

Dari pohon palma di puncak bukit...

.


  • Aku berkesempatan melabuhkan diri bersama-sama rakan sekerja untuk makan malam di Sheraton Putrajaya malam kelmarin, walau hati rasa berat sebab Mama tak dapat turut serta sebab tak sihat.

  • Dan dalam berat hati itu, aku cuma mampu berulang-alik mengambil juadah sebanyak 5 kali sahaja.

  • Sempena akan malam itu, kami meraikan ulang tahun hari lahir 5 orang daripada kami. Dan aku kata, setiap 12hb adalah hari ulang tahun kelahiran aku, kenapa tak boleh sambut juga?

  • Sebelum pulang, aku pergi ke tempat ABC (air batu campur) yang aku lihat mampu mengancam nafsu selera aku. Aku minta semangkuk tapi oleh kerana tekak aku kurang sihat, aku tak mahu dia letak ais. Dia kata balik " kalau macam tu, cuma BC je. Bukan ABC encik".

  • Dan aku telah pilih kekacang dari Eropah, bukan kacang tanah. Kerana kacang tu lebih mahal dan makan malam ini bukan aku yang bayar. Kawan tanya aku, kenapa kacang tu mahal? Aku kata, sebab nak kutip kacang tu bukan senang. Kena bergelut dengan 'Chipmunk' yang juga nak kutip kekacang tu...







.

Monday, December 7, 2009

Resepi untuk pagi yang sejuk...

.



Sempena hujan guruh berdesing yang sejuk dan sungguh melayukan kelopak mata ini, aku sempat menunjukkan satu resepi kepada Mak Mertuaku di kampung hujung minggu lalu:








Nama resepi = 'Ikan Tenggiri masin berasam dan berselimut hijau pada pagi yang sejuk'




Rencah:

Sepotong ikan Tenggiri masin selebar 2 jari,

3 helai pucuk ubi berdaun lima siap dibasuh untuk setiap potong ikan Tenggiri,

Minyak masak secukupnya untuk menggoreng (separas 1/3 tebal ikan Tenggiri),

Kuali bersaiz sederhana besar untuk menggoreng,

Satu sudip yang cukup panjang untuk elak percikan minyak,

Dapur untuk memasak,

Gas dan api yang secukupnya untuk panaskan kuali dan minyak.




Caranya:


Susun 3 lapis pucuk ubi dia atas meja dan letakkan sepotong ikan Tenggiri masin/asam di tengah-tengahnya. Lipat dan bungkus kemas-kemas ikan itu dengan pucuk ubi itu. Panaskan minyak dan masukkan bungkusan itu ke dalam kuali. Pastikan ianya dimasak dengan api yang kecil atau sederhaa besar. Balik-balikkan sehingga pucuk ubi kelihatan kering/gareng.




Hidangkan dengan Ubi Rebus yang masih panas, pada pagi-pagi yang sejuk dan hujan masih renyai-renyai...















.

Thursday, December 3, 2009

Bangga seorang ayah...

.

Dan Paku Payung pun melirikkan senyuman dalam kesahnya. Keluhan kecil yang mungkin hanya berbunyi dalam hatinya.


Aku pakaikan dia sehelai kain sarung yang aku sisipkan pada tali pinggang hijau. Aku sematkan bajunya agar nampak kemas. Kenapa?

"...bukan takut yang itu... cuma tak nak jadi orang dewasa..."


Takut? Bukankah menjadi dewasa idaman kanak-kanak? Tak perlu dengar leteran abah dan mama, tak perlu pergi sekolah pagi-pagi pakai baju seragam...


" ... betul. Tapi.... tak nak jadi dewasa sebabbb...."

*pause*

Sebab?


" ... tak suka sebab nanti hormon testosteron bertambah, nanti tumbuh misai, tumbuh janggut... tumbuh bulu ketiak, bulu dada ... bulu ari-ari... "


Hmm...dan aku hidupkan enjin kereta membelah dada awal malam dengan doa selamat. Tepat jam 9.00pm, segala kerisauan aku berakhir tetapi segala kerisauan Paku Payung semakin memuncak dari hari ke hari.




.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com