Sunday, January 31, 2010

Along dan Angah...

.


Minta maaf kepada semua rakan-rakan kalau seminggu ni jarang jenguk. Semuanya gara-gara aku terpaksa menunggu hari. Al maklum lah, semuanya kelam-kabut sikit. Mana katilnya, mana bantalnya. Pampers pun kena sediakan...


Petang tadi, penantian pun berakhir...


Syabas kepada Mama kerana menyambut kelahirannya.


Seperti biasa, Along masih bersifat Along. Dia enggan berkongsi mainan, enggan berkongsi bilik. Tak apa la... lama-lama nanti dia ok la tu. Buat masa ini, Along masih tidur di bilik yang tertera namanya... Mohd W## bin 3**4.


Seperti biasa, dalam menamakannya kita mesti mahu kesinabungan warisan. Maka, Angah pun kami namakan Mohd B## bin 3**4.



Inilah muka Angah yang baru berusia 6km....!











Dan itu reben diambil dari tali buaiannya...



.

Friday, January 29, 2010

Buat Along ku sayang...

.

Nota buat Along,


Bukan abah tak suka kamu. Bukan abah tak mahu kamu lagi kerana kamu sudah besar. Tidak sama sekali.


Kamu telah banyak berjasa kepada kami. Kali ini, biarlah Angah pula yang berbuat jasa. Dia masih muda, masih kuat. Biar Angah pula yang bekerja keras untuk kami. Along bolehlah berehat.


Abah sediakan parking lot yang terbaik buat Along untuk berehat.


Sekian.

Wednesday, January 27, 2010

Sepak ke tepi longkang je....

.

Konon nak jadi baik. Macam ustazah selalu pesan masa sekolah rendah dulu.


Entah macam mana, dalam perjalanan balik dari kerja, di simpang perumahan; aku terpandang dompet. Aku ambil dan minta tolong kakak dalam kereta (yang aku celah-mencelah dengan gaya Naga terbang dari syurgawi) untuk serahkan ke balai polis terdekat, sebab hari dah mendung, angin dah kuat menampar-nampar topi koboi aku yang keras kematu berchop 'SIRIM'.


Kakak tu geleng kepala, tak mau. Aku minta tolong baik-baik sekali lagi sebab hari nak hujan. Kuda aku gigil sejuk kalau kena hujan. Tapi kakak tu masih tak mau dan naikkan cermin tingkap.


Takpe, aku ambik dan jalan terus ke balai polis yang agak jauh jugak. Dalam perjalanan, aku kehujanan, lencun. Aku singgah di masjid. Aku tunggu hujan reda tapi lambat. Aku serahkan kepada pakcik kat masjid tu. Aku minta tolong dia hantarkan ke balai polis.




***Lebih kurang jam 9pm***


"Ini incik ************* ? Ada kenal ini worang nama &&&&&&?"

Tara kenal itu worang. Apsal?

"Incik punya nama ada dompet dalam"

Wooo.. itu dompet ka? Itu worang masjid kasi sama polis ka?
Itu aku jumpa tepi jalan, aku tengok ada pas penguatkuasa JPJ.
Aku takut nanti ada worang salah guna tahan perempuan pakai pas tu, lepas tu kasi rogol.
Kalau dompet worang biasa, aku sepak ke tepi longkang je...


Pegawai polis tu ketawa.




.

Tuesday, January 26, 2010

Satu hati.... satu jiwa.....

.

Di executive dining hall...

Kami saja makan lewat sikit. Malas nak beratur nak bayar. Lenguh tangan ampu pinggan yang penuh dengan nasi dan lauk 2-3 jenis. Kadang-kadang terfikir jugak, kalaulah tangan boleh lenguh nak ampu makanan tu, agak-agaknya macam manalah perut nak tampung? Itu sebab otot perut boyot.


Mengikut teori, mereka yang terkejar-kerjar nak makan dulu akan mencuba pelbagai lauk-pauk. Masing-masing akan cuba berlainan dari rakan-rakannya. Pelbagai pilihan.


"Itu juga menunjukkan mereka tak sekata, tak sehati. Berlumba-lumba mencari kelainan" kata kawan aku sambil menyudu nasi ke mulutnya.


"Lihat kita. Kita tak terburu-buru. Dan lauk-lauk kita adalah sama. Menunjukkan kita ini jenis bukan berkira, mengalah dan bersatu hati. Cita rasa yang sama" tambahnya.



Ceh! Kata aku.

Lauk kita sama sebab lauk-lauk lain dah habis!
Ini je yang tinggal.
Takkan nak makan nasi kosong je?





.

Monday, January 25, 2010

Aku masih diawang-awangan... didakap sirrus and kumulus

.



Aku jalan terasa goyang-goyang.

Terasa seperti pijak angin. Macam pijak awan kumulus nimbus.

"Pegi la check darah..." kata Mama.

Bukan, bukan sebab tu...


Sebab Dr. Cardin yang kita beli semalam!

"Hmmm!!!" kata Mama.




*Scene lain*




Tak ada apa yang aku nak share pagi ni.

Kecuali satu sahaja.

Aku berpesan kepada kaki aku dan kaki-kaki kamu semua.

Melangkahlah ke jalan yang selamat.

Sesungguhnya, jalan yang selamat itu jalan yang lurus...



"Eh, kamu buang tebiat ke...?" kata mereka berjamaah.

















.

Sunday, January 24, 2010

Aku terlupa...

.

Masa-masa begini, hari terasa panjang...

Malam atau siang, nampak macam sama.

Kadang-kadang, lupa hari - lupa tarikh.

Kadang-kadang, lupa tadi - lupa esok.

Waduh!




Adakah ini gara-gara handphone?
Kesan jangka panjang penggunaannya?


Agaknya, kini aku kena jawab panggilan dari telinga kanan pula.
Dan guna mulut sebelah kanan juga.





.

Saturday, January 23, 2010

Panggang memanggang.. sedap wooo!

.

Semalam, sembang dengan salah seorang 'janitor' @ 'plumber'.

Dia kata, dia pernah nampak Jagad berkeliaran hari tu.


Dan dia kata, ada makcik-sapu-sampah nak ambik Jagad, nak bawak balik rumah dia.


Nasib baik dia tegah makcik-sapu-sampah, dengan alasan kucing 'secantik' itu pasti ada pemiliknya. Ya, Jagad itu bertuan!


Dia juga ada cerita, ada orang Vietnam tinggal berdekatan.


Dan mereka suka makan kucing.

Malah, dia pernah lihat sendiri mereka itu makan anjing.

Mereka buat unggun api besar, ikat kaki anjing itu dan lempar anjing itu hidup-hidup ke dalam api. Malangnya, api itu bukan sejuk...


Kemudian, mereka kikis @ siat kulit anjing itu 'macam siat kulit keledek rebus', katanya.

Lepas tu, daging anjing itu dihiris kecil dan cicah ke dalam kicap+cili...





Nasib la ko Jagad. Kalau tidak, ko jadi kucing panggang!





.

Tuesday, January 19, 2010

dan tubuhnya terbaring lemah berhampiran tompok-tompok minyak...

.

lepas makan malam, makanan masih beratur di esofagus menunggu tindakan lemah-lembut si peritalsis, menuju perut; Paku Payung ajak aku keluar berjalan-jalan meniup angin, menghembus bayu Isya' yang sejuk dan lembab dengan kabus hujan petang tadi.



dan setiap nafas aku, setiap nafas Mama; kami berdua tahan barang sesaat dua dan mendengar kalau-kalau ada ketukkan pada dedaun pintu. mana tahu, kamu jumpa jalan pulang. hampa.


Paku Payung gegas tangan aku, membuka pintu selabar-lebarnya. Lalu kami selusuri denai-denai batu yang kering di dalam tapi basah di luar. satu persatu. hampir hilang 1 jam masa kami.


akhirnya, aku lihat kamu di bawah sana. mendekam tanpa suara. mana suaramu?


kamu tergelimpang hampir pada tompok-tompok minyak yang hitam, atas lantai simen yang berdebu dan busuk.


'aku dah kata, dunia ini penuh duka, penuh sengsara...'

dia memandang aku tanpa suara.


aku ambil tangannya. aku papah dia supaya berdiri dan berjalan menuju ke rumah. tanpa suara.


aku harap, kini dia percaya dengan kata-kata aku.


'makanlah dulu. kamu tentu lapar. sekejap lagi, kita perlu berbicara. banyak perlu dibicarakan. tentang dunia kita, tentang kamu dan tentang aku'

dia angguk lemah sambil menyuap makanannya.


'dunia ini dijadikan untuk mereka yang berhati kejam. hati-hati yang mulia selalunya terpinggir. lantas, jika kamu mahu keluar ke sana, kamu perlu tahan busuk hanyir lendir. dunia sana kotor, sekotor hati-hati mereka yang hidup kekaburan. '

dia mendengar dengan tekun kali ini.

'kamu tinggallah dengan kami....'





.

Dia pergi tanpa menoleh lagi...

.


Bukan sekali, malah berkali-kali telah dilakukannya. Kalau hidup berkalang jiwa rendah, mungkin begitu jadinya...


'Kenapa? kenapa masih mahu pergi?'.
'aku ingin lihat dunia sana. Aku sudah bosan dengan dunia ini'.

'berkali-kali aku katakan, dunia sana bukan mudah. ia busuk. ia ngeri. aku telah buatkan dunia ini terbaik buatmu. percayalah'.
'tidak cukup dengan percayamu. aku mahu lihat sendiri...'.


'cukuplah...'.

Lalu dia berhambur diri, tak sempat aku tampani. Dia berlari dan terus berlari, tidak menoleh ke belakang lagi. Aku tergumam. Mama seakan-akan mahu menjerit, hanya riak mukanya yang bisa bersuara.

'abang...macam mana ni?'.
Mama gusar.
'biarkanlah... dia keluar dalam keadaan kenyang dan sihat. berdoalah dia akan pulang nanti...'.




dan tengahari semalam, aku dan Mama pulang menjengah rumah. kami masih berharapan dia akan tunggu di pintu. hampa.


dan petang semalam, kami berlumba-lumba untuk pulang awal. masih berharapan. Namun harapan hanya harapan. dia telah tiada. dia telah pergi mencipta dunianya sendiri. pergi tanpa menoleh kepada kami lagi...


pergilah. mungkin benar kata-katamu. dunia yang ini adalah ciptaan kami. untuk kami dan tidak sesuai buat kamu.



kami akan kekal hidup di sini. walau dunia kami suram tanpa kamu...






.

Saturday, January 16, 2010

Entahlah, belum bersedia lagi kut...

.


Paku Payung cubit-cubit daging ayam, kemudian dia cicah-cicah ke dalam cairan kicap bercampur cili dan bawang besar, kemudian lenyap ke dalam mulutnya.

" Dia duduk di belakang kita dalam kelas. Kalau dia tak faham perkataan, dia tulis atas kertas dan dia bagi pada kita..."


" Lepas tu, kita tulis jawapan, lepas tu kita bagi semula kertas tu..."


*nyam...nyam...nyam*



Mama tanya, kalaulah tak tahu jawapan tu?

" Kita tulis je.. ' I dunno '... kemudian kita serah balik kat dia..."

Mama duga pula, kalau kawan perempuan tu tulis ' I love you' ?



*pause*


"Entah la.......... kita tak pasti lagi ... belum bersedia lagi kut... "




?


*dan aku hampir-hampir tersedak sup ayam dengar jawapan dia, sungguh!*




.

Tuesday, January 12, 2010

Menangis kena pada tempatnya juga...

.


Tadi masa balik, lepas hujan, aku henjut kuda api aku ikut celah-celah semak dan renek kereta dan bas kilang... oh ya , dan lori-lori yang tak reti istilah disiplin.

Aku pelik, kenapa kali ini semak dan renek amat tebal dari biasa... jenuh aku elak ranting-ranting kayu bercermin yang terjuntai di kanan dan di kiri. Terserlah kemahiran imbangan badan gaya 'Naga menepuk buih di pantai' yang menjadi salah satu jurus rahsia aku...

Sesampai di penghujung semak, baru aku nampak beberapa kereta tersadai di tepi. Bukan sebab hujan tapi eksiden...

Dan aku terlihat seorang perempuan masih duduk di dalam salah satu kereta yang remuk sedikit sambil tersedu-sedu. Dan beberapa orang lelaki, yang aku syak pemilik kereta di depan-depan yang remuk, sibuk mendamaikan hati gundah perempuan itu. Kereta perempuan itu di belakang sekali.

Alangkah baiknya, kalau masa aku eksiden dulu, tuan-tuan punya kereta yang aku langgar pujuk aku macam itu. Alangkah indahnya rasa kalaulah dulu tidak ada nada maki dan geram yang keluar dari mulut mereka dan masuk ke telinga aku...

Kenapalah dulu aku tak macam perempuan itu... menangis....???

.


Saturday, January 9, 2010

Tatacara bersenam dengan cara yang benar

.

Seperti biasa, kalau ada kesempatan, sekurang-kurangnya seminggu 2 kali, kami akan beriadah a.k.a bersenam. Memang rutin. Untuk kesihatan badan juga...


**********


Seperti biasa, rutin riadah kami bermula dengan memilih Troley TESCO yang sesuai, yakni roda yang masih berfungsi baik dan tidak seperti ketam: tolak ke depan tapi bergerak mereng...!


Kemudian, pastikan Troley itu kosong tanpa ada sebarang 'flyers' dan plastik-plastik bungkusan. Jika ada, kami akan bongkokkan badan 80 darjah untuk kutip dan buang (ke Troley sebelah). Kesan bongkokkan itu akan menguja otot-otot utama pinggang, ini penting sebagai aktiviti pemanasan badan!


Kemudian kami tolak Troley itu dan cara kedua-dua tangan dilurus ke depan dengan darjah kejatuhan 20 darjah. Dengan cara ini, graviti akan memberatkan tangan (berat=[9.81]x[jisim lengan]) dan tangan akan cuba melawan daya ini lantas merangsang otot-otot lengan...


Sewaktu melangkah, pastikan setiap langkah adalah sama iaitu sekitar 0.6m jaraknya pada kelajuan semi-malar 1 langkah/saat hingga selaju 10 langkah/saat (dalam kes-kes rebut udang yang dah nak habis di atas dulang longgok-murah!).




Sewaktu melintasi setiap rak-rak barangan, pastikan kepala di toleh ke kanan dan kiri, walaupun ketika itu kami berada berhampiran rak 'Tidak Halal' dan arak. Ini untuk memastikan otot-otot leher diregangkan sepenuhnya.


Bila berselisih dengan awek-awek yang montok-montok, jangan terus teruja. Seharusnya mata perlu memberi tumpuan pada titik-titik tertentu padanya dan cuba ikutinya sambil bergerak. Dengan cara ini, otot-otot bola mata akan turut diregangkan!



Dan akhirnya, tanpa disedari, kami telah berjalan sekitar 0.136km sehingga 0.715km dan percayalah, ianya memenatkan dan mampu membakar 2500 kalori!



Dan kadar denyutan jantung yang tinggi. Terutamanya bila berselisih dengan awek-awek montok... dan bila terasa cubitan ala-ala ketam pada lengan!




Kami sudah. Anda bagaimana?

Kini giliran anda mencubanya...



.

Friday, January 8, 2010

Sepagi ni DEMC...

.


Dari tadi aku sayik belek-belek sekitar premise yang satu ini. Aku masuk ke dalam dan aku tunggu di barisan penuh kerusi biru yang masih cantik.

Menunggu dan menunggu sehingga giliran tanpa nombor ini sampai...

Pendaftaran.


Aku tak dapat tahan tekanan dari teka-teki dalam kepala aku. Bagai nak pecah. Bagai sakitnya berpindah dari belebas-belebas jirim kelabu menuju ke pelipis...


Aku tanya gadis di sebalik PC di depan aku, kenapa rata-rata pekerja kesihatan di sini semuanya muda-muda belaka? Memang itukah ketetapan syarikat?

"Ada juga yang tua-tua, tapi duduk di dalam ofis"


Aku tanya lagi, ofis di mana?

"Ofis kami di belakang sana, di bangunan sebelah..."



Owhhhh...!


Aku cakap lagi, bilalah agaknya kamu kena pindah ke bahagian ofis pulak....

Gadis itu menjeling... bukan! Dia mengerling tajam..!



.

Thursday, January 7, 2010

Jalan-jalan lurus yang dilimpahi cahaya fitnah...

.


Dan jalan-jalan itu penuh dengan simbahan cahaya fitnah, yang buta pun mampu melihat dari pendengarannya, yang tuli pun mampu mendengar dengan lidahnya, yang bisu pun mampu berbicara dengan matanya...



Sesiapa pun boleh tenggelam dalam keasyikkan cahaya fitnah itu. Tenggelam dalam kelembutan cahayanya, dalam pandangan mata hatinya. Namun disebalik mata-mata itu, palitan-palitan keji busuk hanyir bergumpal-gumpal membakar dan terbakar. Cahaya dari api itulah yang bersatu bersama fitnah, lalu menerangi jalan-jalan yang lurus lagi benar itu...



Fitnah keji yang indah dan memabukan sesiapa sahaja itu mampu menghanyutkan sesiapa sahaja kepada kalam suci, yang tertulis pada bait-bait keji yang menyesatkan. Kalam suci yang indah di dalam kitab-kitab penuh fitnah itu...



Ketawalah, hai kau Dajjal!!!!
Awalmu semakin hampir ke mari,
akhirmu juga.....



Ketawalah, hai Dajjal!!!







.

Wednesday, January 6, 2010

Fitnah menerangi bumi...

.

Langit kelam.

Mungkin menahan fitnah yang kini menjadi terang. Seterang-terangnya menyinari muka bumi sehingga kita semua menjadi hairan, kaku dan keliru. Adakah cahaya itu cahaya Iman?


Langit kelam kerana suram hatinya melihat muka bumi yang semakin parah dengan terang fitnah. Dan kita seolah-olah mabuk dengan kecintaan kita kepada Tuhan. Memang parah.


Langit semakin malap dan gelap. Cahaya fitnah menjadi terang seterang-terangnya, terlalu terang sehingga bisa membaca segala susunan abjad-abjad yang kita ingat tentang keimanan, tentang keTuhanan.


Ayat-ayat keTuhanan yang turun itu untuk kita atau untuk mereka?



Dan cahaya fitnah terus menerangi muka bumi, menunjuki jalan menuju kemusnahan...
Persis seperti yang telah Engkau dijanjikan.





.

Monday, January 4, 2010

Iklan terbuka yang membuka mata dan minda...

.

Aku rambang mata.

Kalau beli sekarung Tuborg, boleh dapat earphone percuma!
Kalau beli Nescafe pun ada tawaran hebat!
mana satu lebih bagus?






Mungkin yang ditengah-tengah tu kut... nantilah aku tanya budak-budak hingusan Melayu yang lalu lalang kat koridor depan kedai ni...



Kedai 24-7 ni pamerkan iklan ini pada dinding kaca bahagian luar, menghadap ke koridor. Ya, tujuannya untuk tarik perhatian pelanggan.


Oleh kerana kedai ini pamerkan secara terbuka, alang-alang terbuka, aku pamerkan di sini agar lebih terbuka dan lebih efektif iklannya.



Amacam?






.

Sunday, January 3, 2010

Tertebus masa lalu...

.

Aku sedar, aku terhutang masa keluarga dengan Mama.

Aku tebus masa itu semalam...




Mama suka tenung bola lama-lama, kenapa yek?
tenungan yang bisa pecahkan bola...





Paku Payung jenis tak sabar, nak terjah cepat je...
tapi bola masuk jugak!







Nak hayun bola bowling, kami tak pandai nak susun kaki pulak...

Tapi, lorong bowling tu kat sebelah je. Nanti-nanti la kami main...



.

Saturday, January 2, 2010

Ribut 10.52 pagi kata Sweet Charity, 1 Januari 2010..

.


1 Januari 2010...


Satu permulaan yang kurang menyenangkan dan memberi gambaran yang 2010 bukan tahun yang senang?



Pada awal-awal 1 Januari 2010, tahun masehi baru disambut dengan gerhana bulan. Ya, bulan yang dipuja-puja oleh pujangga tentang kecantikkannya telah menunjukkan bahagian wajahnya yang buruk.



Paginya, aku pergi ke kedai jahitan untuk ambil pakaian seragam Paku Payung yang perlu ubahsuai. Aku dah hantar seminggu lalu. Memang telah siap tetapi seluarnya telah dipotong terlalu singkat sehingga satu inci dari atas buku lali! Didapati, tukang ukur itu gagal menulis pada nota kecil yang ukuran itu adalah ukuran siap, bukan ukuran untuk dipotong. Akibatnya, tukang jahit telah potong ikut ukuran siap. Hasilnya, dicampurkan kelim yang perlu dibuat, seluar itu 2 inci lebih pendek! Seluar perlu disambung semula dan sumpah, ianya buruk sekali apabila kainnya berlainan tona!



Tengaharinya, kami pergi ke kedai makan. Kami ambil 2 ekor ikan keli bakar untuk dicicah air asam, antara kegemaran kami. Bila aku cuit dagingnya, didapati dagingnya tak boleh tanggal dari tulang belakangnya. Bermaksud, ikan belum cukup masak. Aku pulangkan kepada towkey kedai untuk dibakar semula. Dia minta maaf sambil bercerita yang ibu-bapanya datang dari Kedah untuk sambut tahun baru dirumahnya. Dia sedikit kelam-kabut kerana perlu sediakan sarapan untuk tetamu yang datang di rumah. Jadi, masakan tengahari dimasak lewat dari biasa dan secara tergesa-gesa. Sedang elok berbual tiba-tiba api pemanggang ikan menjadi besar dan secara kelam-kabut dia berlari untuk mengawalnya!


Petangnya... dan petangnya.... ahhh! Tak perlu aku ceritakan...







.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com