Sunday, June 30, 2024
...dan musim pun hadirkan diri
Monday, June 24, 2024
Tayar Pancit, spare tyre tak ada angin, apa nak buat?
Semalam, tayar kereta dah berusia lebih 5 tahun. Seusia kereta, belum tukar-tukar tayar lagi. Walau pun pandangan lahiriah nampak elok dan hitam, rupa2nya tayar sudah mengeras dan menipis di bahagian dalam. Aku tak nampak yang itu.
Ada 2 kesilapan aku lakukan:
1. Jarang buat wheel alignment, menyebabkan tayar haus sebelah
2. Tayar dah lewat tarikh, sepatutnya ditukar setiap 3 tahun dari tarikh dikilangkan atau 40,000km. Walau pun perbatuannya baru 30,000km, getah tayar sudah mengeras.
Berbalik kepada tayar aku tadi, ia pancit bukan sebab tercucuk paku dsbnya tapi pecah ketika bergerak. Tayar hadapan pula. Nasib baik tak bawa laju.
Maka aku tukarlah tayar spare / tayar sementara yang kelajuan maksima 80km/j. Malangnya, ia juga tiada tekanan angin. Kesalahan ke 3: bila isi angin pada tayar, sekali sekala jenguk2 lah tayar spare dan isikan anginnya sekali.
Secara bertatih, aku pandu ke stesyen minyak terdekat untuk pam tayar spare tu. Oleh kerana tayar itu dah kempis habis, aku isi angin guna mod tyre inflate pada meter angin. Tapi dukacita, angin keluar ikut rim tayar tu. Macam mana nak buat?
Nasib baik ada abang food rider datang dan bagi tau, tayar tu kena angkat dari tanah. Tak boleh melepek sebab angin akan bocor.
Jadi dia tolong jack kereta hingga tayar spare terangkat tak cecah tanah. Kemudian barulah masukkan angin guna mode tyre inflate. Tapi angin masih keluar dari tepi rim. Macam mana nak buat?
Dia isikan juga angin tu sambil dia picit2 tayar supaya dinding tayar kembali rapat ke sisi rim. Selagi tak rapat, angin akan bocor.
Setelah beberapa ketika, tiada lagi angin yang bocor dan tayar ada tekanan.
Kemudian, barulah tukar mod kepada pengisian di meter angin. Dia set ke 410kpa seperti tertera pada tayar spare tu.
Dan pagi ini, aku tukar kesemua tayar. Walau pun perbatuan/mileage belum sampai 40,000km, tapi usia tayar itu dan lebih 5 tahun. Aku tak nak berlaku tayar pancit di atas lebuhraya. Terlalu bahaya. Macam2 berita kita dengar tentangnya.
Maka, silalah ambil iktibar dari kisah ini. Sekian.
Saturday, June 22, 2024
Gadis Penjual Tisu
Kami bersentuh pandangan. Dia senyum, aku balas senyum juga. Walau dari balik pelitup muka, aku tahu dia lontarkan senyuman, kerana matanya mengecil dan kulit pelipis berkerut sedikit.
Kami bersentuhan pandangan bukan sekali ini, bukan sebulan ini juga. Kami pernah bersentuh pandangan sejak berbelas tahun lepas, rekod diari ingatan. Dah lama kami kenal, kami bertegur. Tetapi aku lebih kerap menggeleng-gelengkan tapak tangan daripada bersuara.
Dari dulu dia menjinjing kampit plastik berisi tisu-tisu lembut bernilai sekitar 50sen (kalau dulu mungkin 20sen), tapi aku sedia maklum, harganya seikhlas hati. Kalau pun tidak, harganya sekilas hati bila orang di meja sebelah melirik.
Biasanya aku lihat orang hulur seringgit dua, ada juga lima ringgit. Ada juga yang menghulur duit tanpa menadah tisu lembut itu. Seperti yang aku kata, seikhlas hati atau pun sekilas hati.
Dulu2 aku sering juga hulur duit dan tarik tisu lembut. Sebabnya, kami sering ketemu di warung2 pojok atau di kedai2 gorengan petang. Ya, dia peniaga yang bijak. Dia tawarkan barang di tempat yang memerlukannya. Tisu lembut dan mulut yang 'cemomoih' adalah 'gu'.
Namun sejak kebelakangan ini, aku lebih suka menghulur senyum kepadanya. Berjabat pandangan dari balik pelitup muka. Kerana aku tahu perniagaannya mungkin amat berjaya kerana setelah lebih sedekat, dia masih meneruskan perniagaan ini.
Sekian.
