Tuesday, October 26, 2010

Hari-hari terakhir aku...

.

Lemah. Termenung.

Puas aku imbas kembali namun masih juga belum faham. Aku tahu, namun aku tak faham kenapa perlakuan mereka terhadap aku berterusan begini. Aku kuis daun-daun perang dan lembab, masuk ke dalam sungai dan hanyut dibawa buih sebelum hilang ditelan jeram kecil. Sejuk sungguh air gunung yang turun dari celah-celah rumpun buluh. Aku masih belum sarapan. Mulut aku masih sakit, kaki aku masih sakit, masih luka dihiris akar dan duri tajam semasa berlari akibat dikejar. Masih berdarah diselar dengan nista dan keji umpat mereka.


Aku buruk, aku keji, aku najis bagi mereka. Ok, aku terima. Tapi, apa salah aku kepada mereka? Aku tak pernah minta untuk berjumpa mereka, malah akulah yang lari menjauhkan diri dan masuk ke dalam hutan, susup sasap, aku rempuh segala yang ada di depan. Kenapa aku perlu dikejar anjing-anjing, kenapa perlu aku diburu sampai begitu sekali? Biarkanlah aku di hutan ini.


Aku bingkas berdiri, seperti terdengar sesuatu dari balik semak sana. Aku cemas. Seram sejuk menjalar seperti akar semalu. Seperti rotan saga yang selalu menyebabkan aku jatuh tersembam dan berdarah. Ya, seperti ada sesuatu. Pasti.


Dan kelibat hitam berbelang kuning itu melompat, menerkam dari arah semak senduduk. Aku cuba elak ke kiri namun kuku tajamnya masih sempat singgah pada rusuk kiri aku. 4 garisan dalam membelah daging rusuk aku. Terasa panas darah menyembur keluar. Dalam pedih dan sakit, aku berlari dan lari dan lari tanpa menoleh lagi. Aku rempuh lalang dan rumput kapal terbang yang berbelit-belit.


Agak jauh, aku pasti sibelang itu gagal menjejak aku. Aku tercungap-cungap mencari nafas, bernafas namun terasa tak puas. Aku lihat luka pada rusuk kiri aku, baru aku perasan darah aku berjejeran keluar, banyak. Patutlah aku terasa amat penat. Aku terbaring, tergeletak tak mampu bergerak lagi. Aku hanya merenung langit biru dan tinggi.


Entah kenapa, aku terasa amat aman sekarang ini. Terasa aku akan bebas. Aku tak perlu risau jika tubuh aku dilapah. Aku terpana dengan langit biru. Aku sungguh teruja.



Maaf, aku pergi dahulu. Aku tinggalkan nota kecil ini di sini. Aku harap akan ada sesiapa terjumpa nota ini disamping tulang belulang aku.


Yang ikhlas,

Babi Hutan.





.

11 comments:

Anonymous said...

Salam,

Nasib si Bxxx Hxxxx. Mereka jugak makhluk ciptaan Tuhan.

Nizam.Ariff said...

Anon,
Lepas ni nak citer pasal anjing kurap pulak la...

addyaholix said...

dunia makin moden. babi hutan dah mula pandai menulis ya bang. mana kamu jumpa nota tu?

Nizam.Ariff said...

Addy,
Aku jumpa dalam mimpi...ahaks

addyaholix said...

kau memang manusia hebat bang. aku ingat mimpi aku. tapi selalu lupa jalan ceritanya, tapi kau boleh ingat ayatnya sebutir-sebutir. hebat!

Nizam.Ariff said...

Addy,
kadang-kadang, yang real itu mimpi... percayalah. Even hidup ini satu mimpi yang panjang. Kadangkala terlalu panjang dan menyenakkan sehinggakan tak sabar-sabar nak bangun dari tidur... percayalah!

addyaholix said...

sekarang, mimpi dan nyata hidup aku sama saja. aku sendiri keliru mana satu mimpi, dan mana satu hidup.

Nizam.Ariff said...

Addy,
exactly, itu maksud aku. Jadi, ko tulis apa saja cerita dan ko boleh kata itu mimpi atau itu benar-benar terjadi... sama saja...

addyaholix said...

terima kasih bang. aku terus bersemangat nak menulis. tapi selalu sangat hangat-hangat taik ayam. haha!

kakpah said...

tak sangka pulak Dia itu boleh menulis... dan meninggalkan nota..
ish..

Nizam.Ariff said...

Addy,
Takpe, janji tulis...

Kakpah,
Dia tulis nota dalam tulisan dia, dalam bahasa dia. Cuma yang kita patut musykil ialah, kenapa kita semua boleh baca tulisan dia, boleh faham bahasa dia... kecuali, kita juga adalah.... hahahaha...
Sori kak, raya nanti aku datang rumah minta maap...hahaha

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com