Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Thursday, September 17, 2009

Adakah malam ini malam yang itu?

.


Satu hari itu, malam Ramadhan, ketika aku masih belajar di peringkat tinggi. Seperti biasa, malam yang akhir sesuai untuk berburu malam yang penuh rahmat itu.


Di dalam bilik, aku keseorangan, tengah malam, malam-malam Ramadhan yang akhir. Aku ambik kesempatan itu untuk bersolat sunat. Sungguh tenang, aku dan sejadah itu, di dalam bilik itu, menghadap kaca tingkap dan langsir separa terbuka.


Seperti biasa, untuk menghalang gangguan cerna mata, biasanya aku pejamkan mata kepala dan aku buka mata hati. Cuba-cuba untuk khusyuk, keseorangan. Kawan-kawan yang lain mungkin berkumpul di masjid. Aku? Aku suka solat bersendirian. Bagi aku, solat ini antara aku dengan Tuhan aku. Aku suka pertemuan yang exclusive begini. Aku tak suka ramai-ramai, distraction. Berseorangan begini, aku boleh sedih, aku boleh menangis tanpa segan silu.



Tak lama selepas itu, melalui kelopak mata aku yang tertutup, tiba-tiba ada segalur cahaya menerangi muka aku. Ah...! mungkinkah ini malam yang itu?


Aku pejamkan mata lagi dan terus cuba-cuba khusyuk. Sungguh terasa dengan pemberian ini. Kemudian, cahaya itu kembali berbalam-balam. Eh.... mana dia pergi? Usai solat, aku berdiri semula dan aku lihat ke tingkap.

Di luar sana, angin meniup daun-daun kayu. Dan cahaya neon jalanan menembusi pokok itu, tepat ke muka aku...


Hmm... bukan lagi....







.

Thursday, September 10, 2009

Semacam satu tradisi pula

.


Menjadi tradisi sepanjang kerjaya aku, setiap bulan Ramadhan, aku hanya bekerja 4 hari dalam seminggu. Termaktub begitu dan semua bos-bos aku mentaatinya. Setiap hari Jumaat, aku akan bercuti. Jangan tanya kenapa.


Selama sebulan itu, waktu tidur aku memang kurang. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan, waktu tidur aku kurang sangat-sangat, kerana menjadi tradisi selama aku hidup ini, aku tak suka tidur terlalu awal. Biasanya pukul 12 malam atau pukul 1 pagi. Jangan tanya kenapa.


Kalau dulu, masa kecil-kecil dulu, aku masuk tidur jam 11 malam tetapi aku hanya melelapkan mata sejam atau dua jam kemudiannya. Semacam satu tradisi juga, macam-macam perkara bermain dalam kotak fikiran, dari imaginasi liar kepada imaginasi songsang. Imaginasi itu menyeka kantuk aku walau kelopak mata aku tertutup. Bulan Ramadhan menjadikan mata aku berpinar-pinar. Jangan tanya kenapa.


Bila dihitung, rata-rata waktu tidur aku cuma 6 jam sehari. Bila bulan Ramadhan, waktu tidur aku cuma 4 jam sehari. Bila aku telah bekerja, pola tidur aku tetap seperti tradisi. Dan hari Jumaat pada bulan Ramadhan, aku manfaatkan untuk berehat di rumah, juga kerana waktu kerja sebelah petang Jumaat agak singkat, semacam tidak berbaloi aku masuk semula ke pejabat setelah pulang bersolat Jumaat.



Tidak perlu ditanya kenapa kerana jawapannya ada di perenggan di bawahnya.





.

Sunday, September 6, 2009

Peringatan: Siap kau para peniaga bazaar S.Alam!

.


Ya, aku memang tak serik-serik kalau bab-bab makan memakan ni. Lebih-lebih lagi kalau untuk berbuka


Petang tadi, selepas bertapa lebih separuh hari di gua batu atas bukit sana tu, aku singgah di bazaar Ramadhan di Stadium S.Alam. Aku nak tengok, apa gahnya juadah di situ. Nak tengok pada asalnya. Nak tengok sahaja sebab Mama telefon dia nak buat sup ayam special untuk berbuka.


Bila aku sampai, lautan payung-payung merah menaungi seantero bumi. Kalau kucing(orengemok) berlari atas payung-payung itu, sampai ke hari raya haji belum tentu turun ke tanah gamaknya!

Aku mula 'moncah'! Aku telefon Mama, tak payah masak apa-apa. Aku beli semuanya di sini.




Gerai pertama aku singgah: Rojak Singapura.
Aku pilih yang kaw-kaw, yang menimbun tinggi. Aku geram sebab banyaknya dalam bakul tu. Aku cadang setiap satu jenis aku pilih satu. Tapi, bila aku buat macam tu, naik penuh plastik tu dibuatnya. Strategi aku tak betul. Aku pilih yang bertimbun-timbun je. Harga? RM 15 je.

(sampai dirumah, hampeh tak sedap. Pengajaran: jangan pilih yang bertimbun. Ia bertimbun sebab orang tak suka, tak sedap!)




Gerai kedua aku singgah: Lemang dengan rendah tok.
Aku pilih sepotong lemang. Kemudian, aku pilih rendang tok. Aku tengok daging yang pejal dan besar, baru berbaloi dengan harga rendang tu. Harga? RM 10 je.

(rupa-rupanya, rendang tok berdaging pejal dan besar tu adalah bahagian yang keras dan liat. Peringatan: lebih baik pilih rendang tok yang sedikit hancur dan kecil-kecil, lebih selamat!)




Gerai ketiga aku singgah: Nasi Beriyani berlauk.
Aku minta 2 nasi beriyani ayam dan nasi tomato. Untuk nasi tomato itu akan pilih lauk special. Untuk aku. Aku jenguk satu belanga yang besar. Di dalamnya gulai limpa masak kicap kegemaran aku. Aku suruh peniaga tu godak-godak seisi belanga, limpa ber uak-buak naik dan turun. Aku geram. Aku pilih yang agak besar, 2 keping. Harga: RM 14 je.

(Bila aku makan limpa tu, bau lembu melekat di tekak, hanyir pun ada. Peringatan: Jangan pilih lauk dalam periuk besar dan tak ramai pengunjung yang datang. Itu mungkin lauk minggu lepas!)



Dan aku pulang dengan kos makanan sebanyak RM39!




Aku memanjatkan kesyukuran ketika berbuka. Namun, aku masih tak puas hati dengan para peniaga bazaar Ramadhan di situ. Hish!





.

Thursday, September 3, 2009

Tup-tap-tup-tap, mungkin bunyi air liur menitik...

.

Salam Ramadhan buat semua, walau mungkin agak terlambat, kerana pada awal ramadhan hari tu, aku pergi ke 'rumah' kawan-kawan dan mengucapkan selamat hari raya.



Tup-tap-tup-tap, ramadhan telah hampir mencecah separuh bulan.

(nota: tup-tap-tup-tap; bunyi lesung batu untuk menumis lauk berbuka).




Tup-tap-tup-tap, badan aku masih berat begini, macam dah tak boleh capai target berat purata model iklan sabun je ni.

(nota: tup-tap-tup-tap; bunyi ketukan pensil pada bucu meja sambil memandang jarum jam yang bergerak lambat).




Tup-tap-tup-tap, hari raya kini hampir menjelma dari balik simpang rumah dan masih belum ada semangat nak beli-belah baju raya, maksud aku kemeja atau seluar (yang dalam atau luar).

(nota: tup-tap-tup-tap; bunyi hentakan tumit kasut sambil memikirkan berapa banyak duit hangus raya kali ini, selain hangus dibakar api roket dan bunga api).




Tup-tap-tup-tap, tiba-tiba Mama mengeluarkan sesuatu dari dalam beg aku. Hah! ada bungkusan berplastik lutsinaran, aku pun baru sedar, entah berapa lama ia di dalam situ. Pemberian (baca: percuma) kompeni sempena mengambil bahagian dalam rangka kerja berkumpulan 2 bulan lepas.

'Hmm... abang pakai baju yang ni je la untuk raya nanti'




Hmm... kira ok juga tu. Kalau ikut hati, aku nak pakai baju Pagoda dan berkain pelikat pergi ke masjid untuk bersembahyang raya nanti. Tapi, atas nasihat kawan-kawan, lambang Tokong Budha pada jenama baju itu amat tak sesuai untuk dibawa ke masjid. Katanya, dah macam para munafik yang kepit patung Uzza pada ketiak ketika bersembahyang masa zaman Nabi dulu.





Yeay!!!!

Aku dah ada baju raya...






.

Wednesday, August 26, 2009

Bubur pisang bersagooooooooooooooooo.....

.

Petang kali itu, aku bertekad. Aku lupakan ikan keli salai kuah lemak kuning. Aku berkerat rotan dengannya. Walau sekuning mana kuahnya, sama ada ditumis dengan cekur atau tidak, aku tak peduli lagi.

Sekali kalau hatiku kau sengat dengan sondakmu, calar-balarnya tetap membisa sampai ke tulang. Biar pun pahit, aku makan. Selamat tinggal ikan keli salai. Semoga aku bertemu dengan yang lain selepas bulan puasa ini. Dah tentu aku usap dan ramas-ramas dahulu sebelum beli.



Lalu, aku tabur garam kemenyan pada sekeliling gerai ikan keli salai itu. Aku jampi serapah agar terdinding aku dari tertarik lagi kepadanya. Dan aku berikan fokus aku kepada gerai bubur-bubur pula.

Aku belek satu persatu, macam-macam jenis bubur yang telah siap di dalam mangkuk tapaw. Orang kata, berbuka dengan makanan yang lembut-lembut, macam bubur ini, bagus untuk perut. Cepat hadham, kurang boncit.

Aku angkat semangkuk bubur jagung dengan tangan kiri aku, aku angkat semangkuk bubur pisang bercampur sagoo telur katak minyak dengan tangan kanan aku. Beberapa kawan aku yang lalu lalang di bekalang tegur aku. Alang-alang, angkat je dua-dua sekali, kata mereka.

Tak elok terburu nafsu, aku bermonolog. Tuan gerai yang ayu itu tersenyum. Hari ini, aku berbuka dengan bubur pisang bercampur sagoo telur katak minyak. Esok nanti aku berbuka dengan bubur jagung manis pula, aku bermonolog lagi. Tuan gerai yang ayu itu tersenyum lagi.



Waktu berbuka, aku capai sudu plastik yang dibekalkan sekali dengan bubur itu. Aku buka dan aku cedok. Pekat semacam, mungkin sagoo telur katak minyak tu dah serap air bubur itu agaknya. Aku masukkan sesudu ke dalam mulut.... perrgghhhh!!!!!!!!!



Dia punya rasa....... tawar dan masam!
Aku sangka, dia guna pisang nangka, memanglah sedikit masam. Aku tibai sesuap lagi.... perrrghhh!!!!!

Sagoo telur katak minyak tu memang betul-betul telur katak minyak la....
Sagoo tu dah berbau hapak. Patutlah bubur tu pekat semacam!


Dan angan-angan aku untuk gilir berbuka bubur jagung dari gerai si ayu itu hari ini terpaksa aku batalkan.


Kadangkala , don't jugde a cook by its color sahaja kurang lengkap.

Tambahan, don't jugde a cook by the seller's look...







.

Ikan Keli salai... pergghhh! Menggigil gua...

.


Dengan perut kosong (aku tak kata lapar) dan mata yang keluyuran, menyusun tapak di aspal panas bazaar Ramadhan, sambil sebelah tangan menyeluk kocek seluar dan sebelah lagi memegang kunci, asap-asap mengabui pandangan mata. Sesak nafas dengan aroma ikan dan ayam bakar.

Tetiba saja semua orang boleh jadi chef dalam bulan ini. Macam-macam resepi keluar. Sedap atau tak, belakang kira sebab bukan boleh cuba-rasa pun...


Salah satu caranya, pelbagaikan warna pada makanan - guna color enhancer, sama ada semulajadi (kunyit, pandan, cili) atau tiruan. Kalau boleh, sekilas pandang, boleh kecur air liur...





Kelmarin, aku menjadi mangsa lagi (terus-terusan menjadi mangsa). Aku nak beli ikan keli salai berkuah lemak kuning. Aku pilih ikan yang terendam dalam kuah. Penjual tu tanya, kenapa pilih yang terendam? Aku cakap, sebab ikan hidup dalam air. Ikan jadi bangkai kalau di darat!

Yang sebenarnya, aku nak kuah tu meresap kaw-kaw punya. Aku pilih ikan keli yang gelap-gelap dan besar. Kalau ikan keli pucat semacam je, ikan tu dah mampos lama. Jadi, aku tunjuk ikan yang besar dan gelap.


Bila waktu berbuka puasa, aku terus capai ikan keli salai tu. Perghhh.....!!! Menggigil kepala aku dibuatnya.

Dia punya pahit! Tak tau nak kata. Itu bukan keli salai, itu ikan keli dah jadi arang.




Aku cerita kepada seorang teman, dia pesan: don't judge the book by its cover.

Ya, betul. Tapi aku ubah kepada: don't jugde a cook by its color!






.

Tuesday, August 25, 2009

Rakit dan teratai

.


Hujung minggu pada bulan puasa, kami yang masih bebudak ketika itu, banyak bermain dengan air. Kalau tak berkubang, kami berendam atau kami menyelam sambil tahan kentut dalam air.


Kalau musim air sawah penuh dan belum bertanam padi lagi, biasanya kami akan buat rakit batang pisang. Kami akan tebang 3-4 batang pisang Awak yang tumbuh secara tradisi dan meliar (kami tak berani tebang yang ditanam). Kami akan potong-potong sepanjang 5 kaki setiap sebatang dan kami akan cucuk kesemua batang pisang itu dengan 2 batang kayu panjang, supaya tak barai.


Kami akan tolak ke dalam sawah dan biarkan dia terapung. Kami akan naik atasnya dan berlayar. Bila matahari dah naik terik, kami akan angkat rakit itu ke darat, untuk sesi petang pula.



Atau kami akan bawa rakit itu ke sungai yang lebih dalam dan airnya lebih sejuk. Kami akan berakit menuju ke kelompok pokok teratai di tengah-tengah sungai yang tenang airnya. Rakit batang pisang bukan sesempurna mana, bontot kami tetap basah, cuma kami tak tenggelam.

Kami akan kumpulkan buah-buah teratai yang muda dan tua. Yang muda-muda, kami akan makan begitu sahaja masa pergi terawikh nanti. Yang tua sikit, kami akan campurkan sedikit garam laut dan rebus dalam periuk.


Sekarang ni, nak cari pokok teratai pun susah. Kalau ada pun kat taman-taman rekreasi. Nak terjun pergi ambil buahnya pun dah tak boleh. Kecuali kalau pergi ke kedai ah pek, dia ada jual isi buah teratai dari China.








Insyirah, tolong beritahu macam mana nak buat sup buah teratai?

.

Monday, August 24, 2009

Panas yang terlampau...

.

Pada masa aku bebudak lagi dulu, aku berbasikal ke sekolah rendah. Balik pukul 1.15pm, matahari tepat di dada langit, sungguh tepat sehinggakan bayang-bayang aku membulat di sekitar kaki aku (tokok-tambah).


Dalam kepanasan melampau itu, aku kayuh basikal aku untuk pulang dari sekolah. Sepanjang jalan, aku terbayangkan air cendul, air sirap, air kelapa muda bersirap pandan! Seksa sepanjang kayuhan sejauh 5km di jalan batu kelikir yang berbonjol-bonjol. Keletak-keletuk bunyi tulang aku di gegar kelikir-kelikir itu.


Sesampai di rumah, aku tanggalkan pakaian seragam, tinggallah aku berseluar pendek. Bila masuk ke dalam rumah, perubahan cahaya mendadak menyebabkan pandangan aku kelam sekejap. Bila dah separa bolen, aku akan cari permukaan lantai simen yang sejuk (biasanya di bawah meja) dan aku melekap macam tapak sulaiman yang terdampar di pantai!

Bila satu bahagian badan dah sejuk, aku terbalikkan badan, untuk sebelah badan lagi. Bila permukaan lantai simen tu dah tak sejuk lagi, aku cari port lain yang lebih sejuk.




Dalam pukul 3pm, bila matahari dah menyendeng sedikit, aku akan pergi ke kolam ikan di depan rumah. Ada pelantar kecil dan tangga yang menjulur ke dalam kolam ikan itu. Di situlah aku akan labuhkan kaki-kaki aku. Kemudian, aku turun sedikit demi sedikit. Akhirnya, aku berendam dalam kolam ikan itu.


Aku biarkan badan aku diketit-ketit oleh berpuluh-puluh anak udang sampah. Kadang-kadang geli pun ada. Entah apa yang dia makan aku tak tau, aku mana ada kurap. Kulit aku mulus... aku anak kelahiran Pan Asian. Bapak Jawe dan emak Cina. Kiranya aku ni boleh jadi model iklan sabun mandi la agaknya... hahaha




Dekat 'Asar, baru aku naik. Badan naik kecut. Tapi, aku tak sentiasa berendam. Agak-agak dah sejuk, aku naik ke atas pelantar dan keringkan badan.


Juga, aku akan naik bila aku nak kentut. Ustad kata, kentut dalam air boleh batalkan puasa!







.

Sunday, August 23, 2009

Air batu dan serbuk kayu gergaji

.

Kedengaran sayup-sayup suara azan 'Asar dari tingkat 11 ini. Dan aku masih waras untuk tidak menganggap itu sebagai azan maghrib.


Dulu, masa aku kecik-kecik, waktu 'Asar adalah waktu yang paling sibuk di bulan puasa. Masa tu belum ada lagi LLN di kampung. Emak selalu buat air teh atau kopi panas sebab kami tak ada peti ais. Mana boleh ada sebab LLN tak masuk lagi.

Ada seorang pemuda kampung yang ambil inisiatif untuk berniaga ais ketul. Dia tempah lima enam 'takung' ais dari kilang ais. Dia masukkan dalam peti kayu dan ditabur serbuk kayu gergaji untuk elakkan ais dari cepat cair. Dia akan berbasikal, pusing satu kampung menjaja ais.



Biasanya, aku akan tempah 2 ketul ais, lebih kurang sejengkal lebarnya setiap satu, yang berharga 20 sen satu ketul. Dengan ais inilah aku buat air sirap atau cendul.

Dulu juga, bazaar Ramadhan belum lagi terkenal di kampung aku. Kalau ada pun ialah kedai-kedai makan yang tutup pada siang hari, jadi dia orang jual kuih pada sebelah petang. Kebanyakkannya, jiran-jiran akan bertukar-tukar juadah berbuka.

Kadang-kadang, makcik-makcik dah berpakat. Mereka berpakat masa lepak tengah hari sambil sembang-sembang.



Sekarang?

Huh! Karipap seketul pun 50sen. Itu kalau inti kentang. Kalau inti ayam atau daging, dah lain harga.






.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com