Showing posts with label Siri bercakap tentang syaitan. Show all posts
Showing posts with label Siri bercakap tentang syaitan. Show all posts

Monday, August 15, 2016

Lolongan anjing yang panjang di malam bulan terang.

.

Catatan peribadi:

Malam semalam, ketika lepak2 di anjung belakang kira2 jam 10pm, aku terdengar lolongan anjing2 liar dari arah tasik. Bukan seekor dua tetapi banyak dan bersambung sambung.

Sudah 4 tahun aku menetap di sini, tak pernah dengar anjing2 melolong. Ini kali pertama aku dengar. Langit cerah, bulang terang

Aku beritahu Mama, aku pernah dengar lolongan seperti itu....tapi duluuuu....masa aku kecil dan remaja dulu, di kampung.

Tapi sebelum aku teruskan cerita, aku temankan Mama buang sampah. Dah sudah di dalam rumah, baru aku buka mulut.

Lolongan seperti itu biasanya dikaitkan dengan Pocong. Lolongannya panjang dan mendayu dayu, seperti anjing2 itu mahu beritahu sesuatu.

Fenomena Pocong melanda petempatan aku ke? Kadang2 Pocong mahu muncul di bumbung rumah atau bumbung porch, tak semestinya di tepi jalan atau di luar pagar. Jadi, rumah dua tingkat juga tak terlepas dari risau....hahaha.




.


Saturday, May 18, 2013

Kisah Hantu Raya

.

Hasri memandang jauh ke hadapan. Melihat hijau sawah padi. Merenung kelabu masa depan. Dia labuhkan punggungnya di kaki tangga, kakinya diletakkan di anak tangga lebih ke bawah. Baru kelmarin radio mengumumkan komunis menembak mati seorang dari pasukan polis hutan. Ini bermakna negara masih belum bersih dari ancaman 'orang hutan'.

Bosan menunggu padi masak. Kalau masak pun nanti dia terpaksa berkejar dengan si pipit. Selain orang-orangan, dia berharap ada si pegar untuk berlari dan bermain di batas-batas, biar si pipit terbang lari melihat kelincahan pegar yang cantik. Harap-harap tidaklah si pegar itu pula yang makan padinya.

"Nita...!" jerit Hasri. Terkocoh-kocoh Nita datang ke anjung. "Aku nak makan, aku lapar."

Senja berlabuh tenang di kampung itu. Kelapa dan pisang beralun perlahan mengikut rentak angin senja. Di dapur, Nita menyendukkan nasi ke pinggan Hasri. Tak sampai beberapa minit, sepinggan nasi dan seekor ikan sepat siam goreng telah habis dilahap Hasri. Berselera sungguh. Nita sendukkan lagi sepinggan. Nita cedokkan pula sayur keladi masak asam ke dalam nasi. Seperti tadi, lahap Hasri seperti tadi.

Apabila kentungan di ketuk bertalu-talu, menandakan telah masuk waktu Maghrib, Hasri terkocoh-kocoh pula membasuh tangan. Cepat-cepat dia teguk segelas air. Laju-laju dia berjalan masuk ke biliknya. Seketika kemudian, sebaik sahaja kentungan kembali sunyi, Hasri keluar dari dalam bilik dengan berkain pelikat dan berbaju kemeja putih yang lusuh. Hasri hanya menjeling sekejap sahaja kepada Nita sebelum dia turun ke kaki tangga lalu hilang dalam kelam senja.

Malam itu hanya sentir minyak tanah berkaki satu yang menerangi ruang tamu rumah papan itu. Tiada dengkuran. Tiada igau. Yang ada ialah suara katak bersahutan mengajak pasangannya mengawan. Yang ada ialah suara sahutan burung hantu menanda kawasan buruan. Yang ada ialah bunyi gesekkan cengkerik yang kerap terganggu dan terhenti dek bunyi burung hantu tadi. Yang ada ialah suara rengekan Nita dari tengah malam hinggalah ke hulu dinihari.

Menjelang kokokan ayam pertama, Nita pisat-pisatkan mata. Menggeliat ke kanan, ke kiri. Badannya masih lenguh-lenguh. Tilam kekabunya lembab dek peluh. Hasri sudah bangun, sudah ke padusan di luar rumah agaknya. Nita bangun sambil mengemaskan simpulan batiknya, kemudian simpulan rambutnya. Kemudian dia berjalan menuju  ke dapur sambil meraba-raba dinding, kemudian tangga, kemudian meja. Dia hidupkan bara. Dia jerang air. Barulah dia capai sehelai kain basahan dan keluar melalui pintu dapur.



"Sarapan dah siap?" terkejut Nita. Hasri tiba-tiba menegurnya dari tingkap papan.

Renik-renik peluh Hasri di dahi seakan-akan bersinar dipanah cahaya matahari yang agak keras walau pun baru sehasta menjulang dari ufuk timur.

"Dah... tunggu awaklah. Kita dah lapar sangat ni." kata Nita sambil tersenyum simpul, malu-malu. Hasri membalas senyum lalu ke berjalan laju ke rumah depan.

"Hissh..." dengus Hasri. Dicari-carinya batok di sekeliling tempayan. Tiada ada. Matanya terus melingas mencari-cari.

"Budak ni... buat kerja tak sudah." Hasri mencapai batok yang tergeletak di kaki tangga. Sesudah dua tiga curahan air, dia pun melompat naik ke atas tangga. Lalu ke ruang tamu. Berkeriut lantai papan dipijaknya. Kemudian turun ke tangga. Lalu ke meja makan mendapatkan Nita yang sudah duduk. Di depannya ada sebakul keledek rebus yang masih panas dan seteko kecil air Kopi Che' Nah.

Hasri berdoa lalu mengambil seketul keledek lemak rebus. Dipatahkan dua. Wap panas dari keledek itu naik ke atas, dilimpahkan cahaya matahari yang mencelah dari papan dinding. Lazat dan manis. Penat melapah lembu untuk masjlis kahwin Andak masih belum hilang.

"Seronok bergotong royong melapah semalaman tapi penatnya ditunda ke pagi. Lapar dibuatnya"

"Abang ni..." merah-merah muka Nita bila dikias begitu oleh suaminya.
Nita larikan matanya ke tingkap dapur. Tangannya masih tetap menimang-nimang sebiji keledek yang panas.

"Abang?" Nita tergamam. Keledek terjatuh dari tangan. Matanya memandang Hasri yang menjenguk dari tingkap. Menyirap darahnya.


Sepantas kilat Hasri bangun dari kerusi lantas menerpa ke tingkap. Nita yang terlopong panjang akhirnya jatuh tersandar meja. Nasib baik teko air Kopi Che' Nah tidak tumpah. Dengan sekali lompat Hasri bisa lolos melalui tingkap dapur itu. Dicekaknya leher Hasri. Dia tarik Hasri ke belakang sehingga ke tepi reban ayam.

"Cepat cakap! Apa kamu dah buat!!!" jerit Hasri kepada 'Hasri'.






.

Tuesday, July 10, 2012

Cerita-cerita alam ghaib, cerita mistik di sekitar kampung aku...

.

Dunia mistik sukar hendak dipisahkan dari cerita kehidupan di kampung aku. Setiap kali aku balik kampung, ada saja cerita-cerita alam ghaib yang aku dengar. Kalau aku tak bertanya pun, orang akan bercerita juga. Selain daripada sumber 'tangan pertama' (first hand) yakni abang aku, orang-orang kampung juga rajin bercerita. Mudah saja, apabila berjumpa dan setelah berikan salam, terus tanya "apa cerita terbaru?"


Kalau ditempat lain mungkin gossip para artis atau orang kampung yang menjadi beritanya tetapi di kampung aku berita sebegitu amat jarang didengari. Sama ada mereka bukan jenis yang suka beli majalah URTV atau Mangga, atau pun cerita panas setempat lebih menghairahkan. Kalau tidak politik, pasti berita tentang kematian. Dan terselit juga berita-berita jerih-perih (perih dalam Kamus Jawa-London-Cambridge ialah pedih seperti luka yang dicucurkan air limau).


Berita kematian di kampung aku buat masa kini semakin kurang didengar. Kalau 5-10 tahun lepas, berita kematian si polan dan si anu kerap bersahutan seperti bunyi burung hantu di tengah-tengah malam. Aku pernah cuba rakamkan bunyi burung hantu bersahut-sahutan malangnya format telefon bimbit aku tak setara dengan format blog, jadi tak boleh di upload. Kalau tak silap aku, burung hantu dan burung pungguk tak sama.

Sekarang, kaum-kaum tua di kampung aku telah berkurangan. Baru-baru ini, aku bertanya kepada emak aku tentang orang-orang tua yang masih tinggal dan emak mencongak-congak sebelum mengatakan mungkin dialah golongan 'pioneer' yang masih ada.


Apa yang mistiknya dalam cerita kali ini?


Batang Senduduk Putih sebesar jari telunjuk yang mempunyai empulur berisikan sejenis 'damar' jernih seakan-akan plastik. Hanya sejengkal yang mempunyai 'damar'. Keratan batang yang lain adalah tumpat seperti biasa. Ini sebahagian keratan kepunyaan abang aku.


Santau.. santau... santau. Ini muntahan santau yang sempat abang aku rakamkan. Kelihatan cebisan-serpihan tulang yang agak besar. Di sekitar pekan di kampung aku masih kuat dengan gejala santau ini... berhati-hatilah kalau ke sana.


Sekali imbas seperti sebatang paku yang berkarat tetapi menurut abang aku, ianya adalah sejenis kayu atau tulang yang menjadi senjata sejenis jin bernama Pelesit. Senjata ini didapati daripada Pelesit yang ditundukkan oleh salah seorang pengamal perubatan mistik.


Mahu percaya? Terpulanglah tetapi kita wajib percaya kepada perkara-perkara yang ghaib, diantaranya Syurga Neraka, Hari Akhirat, Qadha Qadar, Jin , Malaikat, Syaitan...

Adakah benda-benda di atas itu berkaitan dengan perkara-perkara yang ghaib? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Aku tak tahu jadi jangan tanya aku lebih-lebih.




.

Tuesday, January 24, 2012

Foto untuk Siri bercakap tentang syaitan yang direjam...

.

Berikut adalah foto yang aku ambil sendiri di malam kedua aku menempelkan muka di rumah kecil itu. Foto itu adalah muntah seorang pesakit yang terdiri daripada tulang tajam, kaca, duri nimbung dan benda-benda kotor yang lain. Baunya? Macam harammmmm.. punyalah busuk kerana telah lama di dalam badan pesakit dan telah mula bernanah pun. Sejenis santau...



muntahan santau masih 'berbisa' dan 'hidup' sehinggalah ditawarkan dengan doa untuk menewaskan sihirnya



Apabila sihirnya ditewaskan, barulah 'racun'nya boleh dilihat dengan mata berupa bahan-bahan yang berbisa dan berbahaya...



Siri bercakap tentang syaitan yang direjam akan disambung di MM kerana di sana lebih sesuai untuk siri entri yang panjang seperti ini...



Siri cerita ini hanya menceritakan pengalaman aku  pada malam kelmarin dan malam semalam dalam dunia perubatan tradisional. Apa yang aku tulis adalah apa yang dilihat dengan mata zahir aku sendiri dan tulisan ini bukanlah untuk memberi pendapat tentang falsafah yang digunakan oleh pengamal perubatan tersebut.




.

Siri bercakap tentang syaitan yang direjam...

.

"Jom..." kata abang aku ringkas apabila aku turunkan cermin kereta.

Maka aku pun pandulah kereta aku membontoti motorsikalnya. Jalan tar ada sedikit berlubang, jadi aku gunakan ketangkasan aku untuk mengelak lubang benam yang berselerak dan tak menentu kedudukannya. Ternyata ia bukanlah satu kerja yang mudah ditengah-tengah malam begitu. Ada 2-3 lubang benam yang aku tak sempat elak, lalu berhenjutlah aku dan kakak aku.


Lebih kurang 300 meter dari sekolah tadi, aku lihat abang aku membelok ke kiri lalu masuk ke satu lorong yang lebih kecil. Aku ekorinya dengan suluhan lampu kereta yang sengaja aku dongakkan. Jelas kelihatan lalang dan pokok pisang di sebelah kanan manakala di sebelah kiri pula adalah parit yang selebar 6 kaki dan sedalam 4-5 kaki. Aku kenal binaan parit sebegitu kerana semasa aku kecil-kecil dulu parit seperti itulah tempat aku dan kawan-kawan aku bermain 'aci terjun'. Kalaulah mainan 'aci' itu adalah bermain kejar-cuit dan sesiapa yang kena cuit akan mengejar orang lain, begitulah juga dengan mainan 'aci-terjun' cuma bezanya kami akan terjun dan berenang ke tebing sebelah apabila kena kejar.


Lorong itu memang kecil dan tak beraspal. Kelihatan dua lorong tak berumput kesan tayar kereta. Jika tayar kereta aku tak masuk ke dalam lorong yang berlurah itu, tayar kereta aku akan memanjat tebing kerana lorong itu berlekuk. Oleh kerana siang tadi hujan, lorong (yang lebih tepatnya, lurah) itu menakung air. Maka, tayar kereta aku pun dimandikan dengan air lecak dan berlumpur. Tiada pilihan lain kerana kalau tayar menaiki tebing lurah itu, pasti kereta akan terhoyong - hayang dan jatuh ke dalam parit di sebelah kiri itu bukanlah sesuatu yang baik, lebih-lebih lagi di kampung orang dan di tengah-tengah malam begitu.


Lebih kurang 150 meter dari smpang jalan beraspal itu, aku dapat lihat cahaya lampu kalimantang tersimbah dari sebuah rumah papan satu tingkat yang kecil. Setibanya aku di depan rumah kecil itu, aku di sambut oleh 2 batang pokok cempedak dan sebatang pokok nangka di laman rumah. Laman rumahnya sungguh kecil, sesuai dengan tuan rumah yang hanya bermotorsikal sahaja. Laman rumahnya hanya cukup untuk meletak sebuah kereta dan itu pun sudah boleh mengganggu kenderaan lain yang lalu-lalang di jalan itu. Jadi, aku terpaksa menghimpit kereta aku serapat yang boleh ke pokok cempedak supaya tak menghalang pengguna jalan yang lain.


Rumah kecil berdinding papan, berbumbungkan zink dan berlantaikan simen itu boleh dikategorikan sebagai rumah yang dhaif dalam konteks lelaki bandar seperti aku. Namun aku rasa binaan rumah seperti itu adalah umum di kampung itu, cuma mungkin ada yang lebih besar tanah dan ruangnya. Di bawah verandah yang berstruktur 'pisang sesikat' seluas 6x8 kaki tanpa dinding itu terdapat 2 buah mesin penyembur racun yang menggunakan kuasa motor petrol 2 lejang dan juga beberapa peralatan membuat rumah. Abang aku kata, tuan rumah itu mengambil upah kerja-kerja tani di kampung disamping mengambil upah membuat rumah. Patutlah, kataku dalam hati.


Abang aku sudah menyelinap masuk ke dalam rumah itu sedangkan aku dan kakak aku masih terkial-kial menyusun langkah di depan pintu agar tak terpijak barang-barang tuan rumah dan kasut-kasut tetamu yang sudah pun berada di dalam rumah. Ada kayu pagar melintangi pintu itu, jadi sesiapa yang mahu masuk perlu melangkah pagar kayu itu. Aku lihat kakak aku terkial-kial melangkah pagar itu kerana dia berbaju kurung. Dia mahu pastikan betisnya tidak dililhat oleh tetamu yang kesemuanya adalah lelaki. Tak semua berhajat yang sama dengan kakak aku kerana dari butir bicara mereka itu sedang bersembang tentang kerja tani mereka, tentang hasil yang sedikit, tentang skim pelaburan kerajaaan yang baru (pelaburan RM5,000 dan dapat dividen bulanan RM140) dan beberapa cerita lagi. Sebuah TV usang menayangkan rancangan yang sebenarnya cuma menjadi penyegar telinga dan mata sahaja kerana mereka itu lebih rancak bersembang daripada menontonnya.


Setelah bersalaman dengan tetamu yang ada, aku cari tempat bersila aku di ruang tamu seluas 8x12 kaki dan terus bersambung ke dapur yang mengunjur di sayap kiri rumah beberapa kaki lagi. Ada 2 bilik yang bersambung dengan ruang tamu dan aku sandarkan belakang aku di antara keduanya. Lantai simen itu hanya berlapikkan tikar getah yang bercorak bunga merah, yang tepi-tepinya bergerigi kerana dimakan reput.


Abang aku telah pun tenggelam dengan sembang-bicara tuan rumah dan kawan-kawannya sambil menggulung rokok tembakau cap kapal terbang. Mereka bersembang dengan dialek Perak yang agak pekat, dialek Perak Hilir walau pun aku tahu ada beberapa diantara mereka itu berketurunan Jawa, termasuklah abang aku itu. Malah, sebab abang aku turut serta dalam 'majlis' perubatan di situ kerana dia boleh bertutur dan memahami bahasa Jawa halus. Tuan rumah masih muda yang aku agak dalam usia lewat 30an, berwajah campuran Melayu - Jawa, kelihatan merendah diri dan lebih banyak mendengar daripada bersembang. Aku biarkan sahaja kelompok itu bersembang walau kadangkala mereka turut bercerita kepada aku. Aku tak tahu isu semasa di kampung itu jadi aku lebih banyak mengangguk dan ketawa daripada bercakap.


Seketika kemudian, tuan rumah itu melihat jarum jam yang menunjukkan 12.20am lalu dia bergegas ke dapur dan terus keluar ke bilik air yang berada di luar dapurnya sambil menjinjing sepasang selipar. Tidak lama kemudian, dia masuk semula ke dalam rumah dengan muka dan tangan yang basah dengan wudhuk lalu terus masuk ke salah satu bilik. Dia bersolat sunat. Usai bersolat sunat, dia teruskan ibadatnya dengan berzikir pula...


"Asalamualaikum..." terdengar tuan rumah itu memberi salam dengan agak kuat lalu disambut oleh kawan-kawannya, termasuk aku yang duduk bersandar tidak jauh dari pintu bilik itu.


Sebaik sahaja menjawab salam itu, abang aku pun bergegas masuk ke dalam bilik, meninggalkan rokok daunnya yang masih berbaki...





.

Monday, January 23, 2012

Kisah syaitan yang direjam...

.


Malam itu siangnya penuh dengan hujan, jadi jalan yang berlopak-lopak menjadi sungguh lecak dengan bekas tayar motorsikal dan kereta. Tanpa mempedulikan suara katak kuang yang menyahut sang betina, aku dan kakak aku teruskan juga membelah dada tengah malam ke rumah kecil yang dipagari kelapa sawit.

"Jangan lupa, pukul 12 malam, kita jumpa di depan sekolah rendah Pengkalan Ara. Aku tunggu di situ," pesan abang aku, "abang jaga dah kenal aku."

Itu pesan abang aku sore tadi sebelum dia pergi ke rumah kawannya mengadakan kenduri. Aku tak dijemput, jadi aku tak ikut dia. Oleh kerana aku tak ikut, aku dan kakak aku terpaksa pergi kemudian ke rumah bomoh itu. Janjinya, pukul 12 tengah malam, barulah aku sampai. Bila aku tanya kenapa tak boleh diawalkan sedikit, abang aku kata memang dia mulakan perubatan selepas jam 12 malam. Aku tak bertanya lebih.

Jadi, jam 11.30pm, aku dan kakak aku pun bertolak dengan ditemani bunyi katak kuang jantan yang bingit menusuk gegendang dari arah kiri dan kanan jalan. Sawah bendang bertukar kepada ladang sawit yang telah berusia. Jalan berbatu kelikir itu aku redah dengan berhati-hati kerana lebarnya hanya cukup-cukup untuk sebuah kereta Honda untuk berselisih dengan sebuah motor Modenas. Jalan itu tak cukup untuk menampung dua buah kereta berselisih. Oleh itu, jika ada kereta yang terpaksa berselisih dengan, aku terpaksa masuk ke lorong rumah orang sebelum keluar semula dan teruskan baki perjalanan.

Debaran bertambah kuat apabila semakin hampir ke rumahnya. Jalan kampung itu sungguh lengang. Syukur kerana aku tak perlu berselisih dengan orang. Kami berdua diam membatu. Radio pun tidak aku hirau. Senyap melayan hati yang gundah.

"Aku tak risau pasal nak berubat. Yang aku risaukan ialah selepas berubat." kata abang aku petang tadi.

"Di situ ramai yang buang macam-macam. Banyak barang belaan yang kena bunuh oleh Pak Haji dan kawan-kawannya," tambah abang aku lagi, "jadi kadang-kadang itu memang ada seekor dua yang berani mengekor sampai ke rumah."

"Lebih-lebih lagi kalau mereka dah tau yang salah seorang kawannya kena bunuh dengan Pak Haji, mereka mungkin menyerang atau balas dendam," abang aku serius," itu yang aku takutkan."


Tepat jam 12 malam, kami telah sampai di depan pintu pagar sekolah rendah Pengkalan Ara dan kami hanya menunggu abang aku yang datang terus ke situ dari rumah kenduri tadi. Ada beberapa anak muda sedang rancak bersembang di tepi terusan sawah. Aku tak dengar butir bicara mereka kerana agak jauh. Aku tumpukan kepada hajat kakak aku yang sedang dilanda musibah di sekolahnya di Rawang sana.

Menurut ceritanya, kawasan itu dulunya kepunyaan seorang penduduk kampung yang berkebun. Untuk menjaga dusunnya, dia telah membela beberapa ekor syaitan untuk menjaga kebunnya. Apabila kerajaan membeli tanah itu untuk dibuat sekolah, syaitan-syaitan itu masih ada dan berkeliaran. Demi menjaga keharmonian murid-murid sekolah itu, penduduk kampung sering mengadakan upacara semah berupa seekor kambing hitam yang disembelih dan disajikan darahnya kepada syaitan-syaitan itu. Jika tidak, anak-anak mereka akan diserang histeria di sekolah itu. Apabila kakak aku berpindah ke sekolah itu, upacara itu dihentikan.

"Bila dihentikan, mulalah syaitan-syaitan itu mengamuk minta darah kambing lagi," cerita kakak aku, "puncanya kerana ikutkan sangat kehendak syaitan itu, inilah jadinya."

"Mulalah budak-budak nampak orang tua melintas kelas, ada juga yang nampak wajah yang hodoh menunggu di pintu pagar sekolah. Mana dia orang berani nak datang ke sekolah lagi kalau macam tu." keluhnya.

"Kenapa tak suruh syaitan tu cari balik tuannya? Suruh syaitan-syaitan tu tagih janji tuannya," aku berikan pandangan, "sebab yang berjanji bukan kita. Yang berjanji ialah tuannya."

"Dia dah lama mati..." ringkas jawapan kakak aku.

"Kalau gitu lagilah senang. Suruhlah syaitan-syaitan tu cari kubur orang tua bedebah tu." kata aku lagi.

"Kalaulah senang macam tu, dah lama kami buat." balas kakak aku.


Serta merta perasaan geram menerpa ke dalam hati. Terasa seperti aku nak siat-siat syaitan-syaitan itu dek degilnya mereka.


Tak lama kemudian, kelihatan sebuah motor menghampiri kami. Dia abang aku. Dan kami pun bertolak ke rumah Pak Haji....




.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com