Showing posts with label seram. Show all posts
Showing posts with label seram. Show all posts

Sunday, May 24, 2026

Dan langit petang itu pun berdarah

 Aku tulis di sini supaya ada jejak mimpi aku malam tadi. Begini :

Petang itu langit di Shah Alam masih terang, masih ada birunya walau pun sudah ada orennya. Masih ada awan putih kumulus walau pun angin petang mula bertenang. 

Aku berada di satu puncak bukit kecil, berpokok, berbelukar, sekitar seksyen 11. Di seberang lebuhraya itu aku nampak IDCC. Dan di langit jauh di atasnya aku lihat beberapa jet sedang bertempur dengan beberapa bebola cahaya yang bergerak laju, juga beberapa pesawat asing berbentuk tiga segi. Ada beaar ada kecil. Mereka kejar mengejar di balik awan. Langit meriah dengan percikan bom, dentuman dapat didengari tapi jauh di atas.

Lebih kurang 4-6 pesawat asing berbentuk 3 segi, ada satu pesawat yang amat besar terapung tak bergerak tapi di sekelilingnya ada banyak bebola2 cahaya yang mengejar jet2 pejuang. Aku tak rasa jet2 pejuang itu menang. Kemudian aku nampak dua bayang2 beaar terpapar pada awan, seperti seseorang disuluh dan bayang2nya tertumpah pada awan. 

Aku dapat rasa yang tempat ini tidak selamat. Aku perlu sembunyi. Di depan aku pula, aku nampak sesuatu di celah2 belukar. Seperti ada pondok kecil, sebesar dulang. Aku tenung dekat2 dan aku nampak seperti binaan miniatur sebuah bilik tidur, siap dengan katil dan perabot2 yang diperbuat daripada kayu.

Apabila aku ambil binaan miniatur itu, tiba2 ada beberapa ekor serangga terbang mengelilingi aku. Seperti lebah, berdengung. Tetapi seperti ada suara kecil. Aku dekatkan salah seekor, rupa2nya mereka itu manusia2 kecil yang bersayap. Mereka itu pari-pari. 

Aku tak peduli, aku ambil dan bawa pulang ke rumah yang tak jauh pun dari situ. Rumah kecil yang aku bina terselindung di bawah pokok2 besar dan dikelilingi rimbunan belukar. Aku letakkan binaan miniatur itu di dalam rumah. Tiba2 binaan miniatur itu membesar dan menjadi satu set bilik tidur lengkap, yang sempurna dengan katil dan kelambu, dengan tingkap dan langsir. Kerusi kayu dan meja kayu dan almari baju. Pari-pari tadi juga ikut masuk ke dalam rumah aku. Tiba2 mereka juga menjadi besar, bersaiz manusia biasa. 

Aku suruh anak aku masuk ke bilik itu. Itu menjadi biliknya. Rupa2nya pari-pari itu juga takut dengan pertempuran yang sedang berlaku di langit sana. Aku benarkan mereka sama-sama berlindung di rumah aku.

Dari apa yang pari-pari itu kata, sejumlah pesawat makhluk asing telah datang ke bumi dan kehadiran mereka bukanlah dengan niat yang baik.


Tuesday, July 10, 2018

On that day, space-time fabric was torn at Chenderong Balai

.
Begitulah tajuknya. Ya, panjang. Tapi itulah tajuknya. Manakala isi mimpi malam semalam seperti berikut:

Sesiapa yang pernah sampai di pekan Chenderong Balai, perkara itu berlaku di sebuah kawasan lapang di seberang jalan masuk ke Pt 2/7. Bekas sawah. Tidak jauh dari kawasan pekan pagi Sabtu.

Apa yang berlaku pada hari itu ialah kira-kira 50 kaki dari atas tanah di kawasan lapang itu, terbentuk seperti awan kelam yang nipis. Bergumpal. Ia keluar dari rekahan ruang udara. Ia keluar bersama-sama sambaran kilat kecil, seperti percikan elektrik.

Rekahan pada ruang udara itu menegak kira2 100 kaki dan gumpalan awan kelam yang nipis itu seperti keluar dan masuk semula.

Orang kampung mula berkumpul tetapi berjarak jauh, tak berani dekat2. Ianya mula dikesan pada waktu pagi. Selepas Zuhur, kenderan tentera dan van2 bercermin gelap mula datang. Pihak tentera mula membuat perimeter lebih kurang 200m dari rekahan itu. Dia tak benarkan orang kampung dekati.

Beberapa ahli sains kelihatan mencuba beberapa peralatan untuk menguji apakah bendanya itu. Mereka tidak tahu. Selang beberapa hari, mereka masih buntu.

Akhirnya mereka mereka sedar bahawa ruang udara itu merekah dan di balik rekahan itu adakah satu alam yang lain. Oleh kerana kesan elektromagnetik agak tinggi, mereka dapat mengesan satu anomali pada graviti di sekitarnya.

Sedang mereka membuat analisa, tiba-tiba komputer mereka menerima satu isyarat yang mereka tak tahu. Sistem komputer mereka telah diprogram semula menjadi komputer kuantum. Tiba2 sahaja mereka hilang kawalan ke atas komputer mereka. Sepertinya ada capaian dari alam sebelah sana ke komputer.

Komputer itu memaparkan siri2 soalan dan para saintis itu menjawabnya. Ia sedang belajar tentang manusia. Tiba2 komputer itu mempunyai kebolehan Artificial Intelligent dan seolah-olah 'hidup dan mempunyai kesedaran'.

Telah banyak pertanyaan dan dijawab. Pada mulanya para saintis itu gembira dan bangga kerana menemui 'suatu punca kehidupan yang cerdik selain daripada manusia' sehingga dapat berinteraksi dengan kita. Kemudian mereka tersedar, soalan2 itu menjurus kepada perkara2 yang boleh menjejaskan keselamatan sejagat!

Mereka mulai takut. Aku juga. Dalam diam2, aku menyusup masuk mendekati komputer. Pada kali ini, aku tak menaip seperti mereka. Aku terus bercakap. Anehnya, aku dapat respons. Dan mulai keluar beberapa simbol dan formula yang tak kenal. Aku takut dan secara spontan aku hempaskan komputer itu. Tak lama kemudian vorteks itu semakin laju dan rekahan pada fabrik ruang-masa itu semakin mengoyak lebar. Pancaran elektrik bertambah panjang dan banyak.

Aku lari. Dan aku biarkan pihak tentera menguruskannya. Apakah yang terjadi selepas itu dan siapakah 'intelligent life form' yang wujud di alam sana? Aku tak tahu....

.

Tuesday, November 8, 2016

Menegur mayat mati lemas

.



Aku tak pasti nak mulakan dari mana. Mimpi ni dah berlaku dua hari lepas tapi aku ambik masa untuk mencantum dan memahaminya. Biasalah, mimpi sering terlompat-lompat dan tak masuk dek akal jalan ceritanya. Aku rasa, inilah yang terbaik yang boleh aku tuliskan untuk mimpi ini:

Aku berada di dalam sebuah rumah papan, yang bertiang dan bertangga kayu. Pintu dan tingkapnya pun daripada papan. Tanahnya luas kerana ia sebuah kampung. Lamannya tanah berpasir dan sedikit rumput. Di hujung laman itu, lebih kurang 50 kaki dari tangga rumah, ada sepohon Rambutan tingginya segalah dan daunnya sudah tua dan tidak lebat, seperti baru lepas musim buah kerana aku dapat lihat ranting-rantingnya seperti  telah dipotong. Ada beberapa pokok kelapa yang tinggi melampai. Tidak jauh dari pokok Rambutan itu, kira-kira 50 kaki ke depan lagi, adalah Tanah Perkuburan Islam.

Suasananya seolah-olah pada tahun 80-90-an. Jalan-jalan kampung seperti tiada kesan kereta masuk, yang banyak ialah lorong-lorong bertebing akibat tenyehan tayar motorsikal dan basikal. Rumah itu seperti pernah aku kunjungi, seperti kepunyaan salah seorang penduduk kampung aku tetapi tiada kubur (mimpi biasanya akan menggunakan imej-imej yang telah ada dalam kepala sebagai latar belakang mimpi).



Di dalam rumah itu, aku duduk di atas tikar mengkuang di atas lantai papan, ada juga batang pinang. Ada sebuah TV lama di tepi dinding. Di ruang tamu itu ada beberapa orang lelaki dan perempuan... yakni orang-orang kampung dan tuan rumah itu. Ada seorang lelaki yang aku rasa dia bertaraf bilal atau imam atau mungkin juga seorang ustaz, sedang bercerita kepada kami di sudut kiri ruang tamu.

Suasana di dalam rumah itu diselubungi kesedihan. Ada kematian. Ada beberapa kujur mayat telah siap dikafan dan diaturkan di bawah pokok Rambutan, tidak jauh dari tanah kuburan. Beberapa orang kampung sedang menggali liang lahat untuk mayat-mayat itu.

Menurut cerita Ustaz itu, mereka adalah sekumpulan pendakwah Islam yang telah pergi merantau ke negara Afrika. Pada ketika ini, 'skrin' mimpi aku berpindah ke Afrika manakala suara Ustaz tadi menjadi naratif sahaja. Aku lihat sekumpulan anak muda lelaki dan wanita sedang berjalan dan mendaki bukit-bukit batu. Aku rasa mereka itu siswa dan siswazah yang menjalankan kajian sosial dan agama di situ.  Ada juru arah seorang lelaki Afrika tempatan.

Aku tak tahu ke mana arah tuju mereka, rasa-rasanya mereka menuju ke sebuah perkampungan. Selepas mendaki bukit berbatu, mereka perlu bersampan pula. Air sungai itu deras, berliku dan membelah batu-batu gunung yang pejal. Malang bagi mereka, ada sebuah jeram yang tinggi di sungai itu dan mereka gagal untuk kayuh ke tepi kerana sampan itu terlalu sarat. Sampan itu terus hanyut dibawa arus deras dan akhirnya jatuh terhempas ke atas batu di bawah jeram itu. Mereka semua mati lemas. Beberapa orang kampung di Afrika itu cuba selamatkan tetapi telah terlambat. Aku dapat lihat sampan mereka telah pecah dan serpihan-serpihan rangka kapal sahaja yang dapat dikumpulkan. Semeua mangsa tidak dapat ditemui.



Kemudian 'skrin' mimpi aku kembali ke ruang tamu rumah itu. Ustaz itu cakap hanya beberapa mangsa dapat ditemui, itu pun selepas beberapa bulan kejadian itu berlaku. Anehnya, keadaaan mayat mangsa masih seperti baru meninggal. Tidak ada cacat cela dan masih sempurna. Jadi, aku rasa mayat-mayat berkafan yang di bawah pokok Rambutan tadi itu adalah mayat-mayat mangsa itu. Kemudian aku rasa aku terlihat sesuatu di hujung anak mata.

Aku toleh ke sudut kanan ruang tamu rumah itu. Aku ternampak ada dua kujur mayat sedang terbaring di atas lantai papan. Muka mereka terbuka, jadi aku dapat lihat yang seorang itu lelaki dan di sebelahnya perempuan. Aku rasa pelik.

"Bukan ke kamu berdua tadi ada kat bawah pokok sana?" Secara spontan aku bertanya kepada mayat-mayat itu kerana rasa-rasanya mereka tadi ada di bawah pokok Rambutan.

Tiba-tiba mayat-mayat itu bergerak-gerak. Yang mayat lelaki itu bersusah payah untuk bangun kerana tubuh mereka telah dikafan dan diikat. Mereka mahu pergi semula ke bawah pokok Rambutan setelah aku tegur mereka. Melihat keadaan mereka yang bergelut untuk bangun itu, beberapa orang pakcik dan makcik pergi mendapatkan mayat-mayat itu untuk diusungkan ke bawah pokok Rambutan.

Aku hanya melihat mayat itu diusung... dan tak terfikir pula dalam mimpi itu untuk bertanya sama ada mereka itu masih hidup atau telah mati.



 

.

Monday, August 15, 2016

Lolongan anjing yang panjang di malam bulan terang.

.

Catatan peribadi:

Malam semalam, ketika lepak2 di anjung belakang kira2 jam 10pm, aku terdengar lolongan anjing2 liar dari arah tasik. Bukan seekor dua tetapi banyak dan bersambung sambung.

Sudah 4 tahun aku menetap di sini, tak pernah dengar anjing2 melolong. Ini kali pertama aku dengar. Langit cerah, bulang terang

Aku beritahu Mama, aku pernah dengar lolongan seperti itu....tapi duluuuu....masa aku kecil dan remaja dulu, di kampung.

Tapi sebelum aku teruskan cerita, aku temankan Mama buang sampah. Dah sudah di dalam rumah, baru aku buka mulut.

Lolongan seperti itu biasanya dikaitkan dengan Pocong. Lolongannya panjang dan mendayu dayu, seperti anjing2 itu mahu beritahu sesuatu.

Fenomena Pocong melanda petempatan aku ke? Kadang2 Pocong mahu muncul di bumbung rumah atau bumbung porch, tak semestinya di tepi jalan atau di luar pagar. Jadi, rumah dua tingkat juga tak terlepas dari risau....hahaha.




.


Saturday, November 9, 2013

Pondok tol ...

.

'Everything's gonna be alright 3x...no women no cry...'

Malam-malam begini, sejuk-sejuk yang semacam ini, lagu-lagu berjiwa tenteram dan memandu seperti cuka dan acarnya...saling membina 'flavor'.

Hasri melihat bintang berkelip. Bulan pula diganggu lampu neon. Hampir sama cerahnya. Dan gangguan neon itu semakin perlahan apabila semakin menghampiri pondok tol di lebuhraya itu.

Dalam banyak-banyak pondok yang berderet itu, hanya 3 yang berlampu hijau...dan Hasri terpaksa memilih kaunter tunai. Bukannya apa, Hasri tak mahu penyedia servis sistem kad pandu lalu menyimpan deposit kad dan mengaut untung di bank.

Dan hanya sebuah kaunter tunai yang dibuka...dan ada 5 buah kereta pula sedang beratur... Ahh! Sudah larut malam pun masih kena beratur. Hasri mengeluh kecil. Badan sudahlah penat, berbau hanyir pula kerana seharian belum mandi.

Hasri menoleh ke kaunter tunai yang paling hujung. Walau pun berlampu merah tapi ada kelihatan kelibat pekerja tol di dalam pondok. Tanpa berfikir panjang, Hasri piuh steering kereta ke kiri dan menekan pendikit minyak. Meluru keretanya ke kaunter paling kiri yang gelap tak berlampu.

Hasri turunkan cermin tingkap dan hulurkan sekeping not merah. Nasib baik pekerja kaunter itu masih mahu menerima Hasri.

'No women no cry...ooo...no women no cry.' Hasri menyanyi kecil sambil tangannya masih menadah duit baki di luar tingkap.

"Ini bakinya, bang."

Abang?!! Wow!

Hasri menoleh kepada gadis itu. Dalam balam-balam neon kuning, dia dapat lihat gadis berambut ikal itu tersenyum.

Tapi ada sesuatu yang kurang dalam senyumannya. Hasri julurkan kepalanya keluar tingkap. Ya, memang ada kekurangan pada senyuman gadis itu. Senyumannya sumbing...kerana sebelah muka gadis itu tiada!

Gadis itu julurkan kepalanya keluar tingkap pondok tol. Bebola matanya tersorok jauh ke soket mata. Hasri menggeletar. Mulut terkunci manakala telapak tangannya menadah ulat-ulat besar yang menggeletek dan meliuk-liuk...jatuh dari daging busuk di muka gadis itu...





.

Friday, November 8, 2013

Saya laparrr...

.

"Lepaskan...lepaskannn..!!!"

Dalam remang-remang senja itu, dua orang budak lelaki sedang bergelut di koridor siar kaki. Salah seorang darinya menjerit-jerit dengan kuat sambil meronta-ronta mahu lepaskan dirinya.

"Hey korang berdua! Kenapa ni hah?"

Gelutan mereka melerai. Lelaki bersongkok dan berkain palikat menolak bahu kedua-dua budak agar berjarak.

"Ustaz...dia..ddiaaa..." Kata Amirul tergagap-gagap. Ustaz Hasri alihkan pandangan ke seorang lagi...mengharapkan jawaban.

"Saya lapar." Budak berbaju lusuh berseluar pendek buruk mengadu.

Ustaz Hasri pegang bahu Amirul. "Kamu ada duit?" Tanyanya. Amirul anggukkan kepala. "Kamu dah makan?" Tanyanya lagi. Amirul anggukkan kepala tapi matanya masih memaku tubuh budak lelaki di belakang ustaz, mukanya masih pucat...masih terkejut dan takut.

Ustaz Hasri alihkan matanya ke muka budak lelaki berbaju lusuh itu. "Saya laparrr..." Katanya lagi.

Ustaz Hasri menarik nafas panjang. "Amirul...awak tahu kan? Kalau orang sedang lapar dan awak ada sedikit harta, awak kena bantu dia." Amirul masih pucat, "tta..taapiii..."

"Amirul! Kalau dia mencuri pun, dia belum tentu bersalah. Itu akibat laparnya."

"Ta...ta..pi ustaz, dd..ddia buka n nak ambil duit sa..saya." Kata Amirul tangannya menyuruh Ustaz Hasri menoleh ke belakang.


"Saya laparrr..."
Mata budak lelaki itu merah menyala...air liurnya menjejes-jejes...dan gigi taringnya mulai meruncing panjang.





.

Saturday, May 18, 2013

Kisah Hantu Raya

.

Hasri memandang jauh ke hadapan. Melihat hijau sawah padi. Merenung kelabu masa depan. Dia labuhkan punggungnya di kaki tangga, kakinya diletakkan di anak tangga lebih ke bawah. Baru kelmarin radio mengumumkan komunis menembak mati seorang dari pasukan polis hutan. Ini bermakna negara masih belum bersih dari ancaman 'orang hutan'.

Bosan menunggu padi masak. Kalau masak pun nanti dia terpaksa berkejar dengan si pipit. Selain orang-orangan, dia berharap ada si pegar untuk berlari dan bermain di batas-batas, biar si pipit terbang lari melihat kelincahan pegar yang cantik. Harap-harap tidaklah si pegar itu pula yang makan padinya.

"Nita...!" jerit Hasri. Terkocoh-kocoh Nita datang ke anjung. "Aku nak makan, aku lapar."

Senja berlabuh tenang di kampung itu. Kelapa dan pisang beralun perlahan mengikut rentak angin senja. Di dapur, Nita menyendukkan nasi ke pinggan Hasri. Tak sampai beberapa minit, sepinggan nasi dan seekor ikan sepat siam goreng telah habis dilahap Hasri. Berselera sungguh. Nita sendukkan lagi sepinggan. Nita cedokkan pula sayur keladi masak asam ke dalam nasi. Seperti tadi, lahap Hasri seperti tadi.

Apabila kentungan di ketuk bertalu-talu, menandakan telah masuk waktu Maghrib, Hasri terkocoh-kocoh pula membasuh tangan. Cepat-cepat dia teguk segelas air. Laju-laju dia berjalan masuk ke biliknya. Seketika kemudian, sebaik sahaja kentungan kembali sunyi, Hasri keluar dari dalam bilik dengan berkain pelikat dan berbaju kemeja putih yang lusuh. Hasri hanya menjeling sekejap sahaja kepada Nita sebelum dia turun ke kaki tangga lalu hilang dalam kelam senja.

Malam itu hanya sentir minyak tanah berkaki satu yang menerangi ruang tamu rumah papan itu. Tiada dengkuran. Tiada igau. Yang ada ialah suara katak bersahutan mengajak pasangannya mengawan. Yang ada ialah suara sahutan burung hantu menanda kawasan buruan. Yang ada ialah bunyi gesekkan cengkerik yang kerap terganggu dan terhenti dek bunyi burung hantu tadi. Yang ada ialah suara rengekan Nita dari tengah malam hinggalah ke hulu dinihari.

Menjelang kokokan ayam pertama, Nita pisat-pisatkan mata. Menggeliat ke kanan, ke kiri. Badannya masih lenguh-lenguh. Tilam kekabunya lembab dek peluh. Hasri sudah bangun, sudah ke padusan di luar rumah agaknya. Nita bangun sambil mengemaskan simpulan batiknya, kemudian simpulan rambutnya. Kemudian dia berjalan menuju  ke dapur sambil meraba-raba dinding, kemudian tangga, kemudian meja. Dia hidupkan bara. Dia jerang air. Barulah dia capai sehelai kain basahan dan keluar melalui pintu dapur.



"Sarapan dah siap?" terkejut Nita. Hasri tiba-tiba menegurnya dari tingkap papan.

Renik-renik peluh Hasri di dahi seakan-akan bersinar dipanah cahaya matahari yang agak keras walau pun baru sehasta menjulang dari ufuk timur.

"Dah... tunggu awaklah. Kita dah lapar sangat ni." kata Nita sambil tersenyum simpul, malu-malu. Hasri membalas senyum lalu ke berjalan laju ke rumah depan.

"Hissh..." dengus Hasri. Dicari-carinya batok di sekeliling tempayan. Tiada ada. Matanya terus melingas mencari-cari.

"Budak ni... buat kerja tak sudah." Hasri mencapai batok yang tergeletak di kaki tangga. Sesudah dua tiga curahan air, dia pun melompat naik ke atas tangga. Lalu ke ruang tamu. Berkeriut lantai papan dipijaknya. Kemudian turun ke tangga. Lalu ke meja makan mendapatkan Nita yang sudah duduk. Di depannya ada sebakul keledek rebus yang masih panas dan seteko kecil air Kopi Che' Nah.

Hasri berdoa lalu mengambil seketul keledek lemak rebus. Dipatahkan dua. Wap panas dari keledek itu naik ke atas, dilimpahkan cahaya matahari yang mencelah dari papan dinding. Lazat dan manis. Penat melapah lembu untuk masjlis kahwin Andak masih belum hilang.

"Seronok bergotong royong melapah semalaman tapi penatnya ditunda ke pagi. Lapar dibuatnya"

"Abang ni..." merah-merah muka Nita bila dikias begitu oleh suaminya.
Nita larikan matanya ke tingkap dapur. Tangannya masih tetap menimang-nimang sebiji keledek yang panas.

"Abang?" Nita tergamam. Keledek terjatuh dari tangan. Matanya memandang Hasri yang menjenguk dari tingkap. Menyirap darahnya.


Sepantas kilat Hasri bangun dari kerusi lantas menerpa ke tingkap. Nita yang terlopong panjang akhirnya jatuh tersandar meja. Nasib baik teko air Kopi Che' Nah tidak tumpah. Dengan sekali lompat Hasri bisa lolos melalui tingkap dapur itu. Dicekaknya leher Hasri. Dia tarik Hasri ke belakang sehingga ke tepi reban ayam.

"Cepat cakap! Apa kamu dah buat!!!" jerit Hasri kepada 'Hasri'.






.

Saturday, March 30, 2013

Bahana bersiar-siar dikala senja di taman herba S.Alam...

.

Hasri buntu. Petang itu belum petang sangat tetapi masa dirasakan masih panjang. Pokok Bunga Raya kedua telah pun selamat ditanam. Kereta sudah dibasuh. Tapi matahari masih bersinar kira-kira sehasta dari bumi di ufuk Barat.

Jam menunjukkan pukul 6.15pm. 'Masih sempat.', katanya dalam hati. Lantas mencapai kunci kereta dan beg kecil berisi kamera DSLRnya. Tujunya ialah sebuah taman herba bersebelahan dengan Mahkamah Shah Alam. Taman itu belum pernah dia pergi tapi dia sering lalu di jalan itu. Petang itu, dia mahu mencuba.

Sesampai di situ, suasana terang tadi kini menjadi kelam. Awan tiba-tiba mendung. Rintik-rintik hujan masih halus tetapi bakal menjadi kasar jika dicongak kepada awan hitam yang merendah itu. 'Alang-alang dah sampai, takkan nak berpatah balik.', katanya dalam hati.

Taman itu seperti telah ditinggalkan, tidak terbela sangat tetapi masih ada 2 pasangan pengantin baru yang mengambil gambar. Masing-masing dengan jurugambar profesional yang diupah. Terlihatkan itu, Hasri cepat-cepat mengeluarkan kamera DSLR dan membidik sudut-sudut yang difikirkannya cantik dan berbaloi untuk diabadikan dalam bentuk foto.

Hasri terus berjalan jauh ke dalam taman herba itu. Setiap langkahnya, dia mencari-cari subjek dan sudut sesuai, juga pencahayaan langit petang yang kini ditinggalkan matahari. Semakin kelam. Hasri sudah jauh ke dalam hutan itu. Dia berpaling ke belakang dan mencari-cari pasangan-pasangan pengantin tadi. Tiada.

Hasri pun berjalan melalui denai dan selanjutnya titi terapung yang merentang di sebahagian tasik. Titi itu beralun-alun apabila dipijaknya kerana titi itu diikatkan pada pelampung. Titi kayu itu tak bertiang. Kemudian dia berjalan melalui pokok-pokok petai hutan yang besar-besar juga rumpun-rumpuh buluh yang tinggi melampai.

Hari telah semakin gelap. Azan dari Masjid Biru baru berkumandang. Ruak-Ruak pun berteriak menyahut azan tadi. Hasri kembali ke keretanya. Kemudian Hasri memicit-micit kepalanya. Tiba-tiba sahaja kepalanya dirasakan sakit berdenyut-denyut. Mungkin kurang cahaya menyebabkan matanya terpaksa bekerja keras untuk mencari laluan keluar tadi.

Sebelum pulang ke rumah, Hasri singgah dulu di kedai Domino Pizza. Hasrat hatinya untuk membeli sekeping untuk makan malamnya nanti. Kepalanya masih berdenyut-denyut, seakan-akan mahu pecah. Mungkin perutnya masuk angin kerana bergerimis tadi.


Ketika Hasri melangkah masuk ke premis itu, dia perasan yang beberapa orang memandangnya. Hasri hanya memakai seluar sukan dan berbaju T berkolar lusuh dan longgar. Hasri betul-betulkan kolar bajunya. Selekeh sungguh, seperti baru lepas bermaksiat di taman bunga gayanya. Hasri tersenyum sendirian.

"Ya, encik. Nak buat pesanan aaa... aaaa." Tiba-tiba wanita di konti pesanan itu terbeliak matanya memandang Hasri. Seperti ada sesuatu yang menakutkan melekat pada Hasri.

"Kakak..? Kenapa kak?" tanya Hasri tak karuan sambil memicit-micit dahinya yang terasa berdenyut-denyut. Adakah sesuatu yang telah mengikutnya dari taman tadi? Kenapa kepalanya tiba-tiba terasa berdenyut-denyut? Banyak persoalan dalam kepada Hasri membuatkan denyutan kepalanya semakin menjadi-jadi.

"Aaaa... aaaa...." tiba-tiba wanita itu hampir-hampir terjatuh. Mujurlah ada seorang gadis rakan sekerjanya sempat memaut wanita tadi.


"Maaf encik. Kakak ni kalau terlihat lelaki hensem macam ni la jadinya... maaf ya encik..." kata gadis itu.







.

Wednesday, March 13, 2013

Apabila Nizam.Ariff bercakap tentang Badi Mayat...

.

Hasri suka. Dia suka dengan kemampuan handphone terbarunya kerana ada kamera. Sebelum ini, handphonenya tiada berkamera. Hasri seharusnya bersyukur apabila handphone lamanya telah rosak akibat terjatuh ke dalam lubang tandas.

Oleh kerana handphone barunya, walau pun murah, berkamera, Hasri sering jalan-jalan di sekitar pekan kecil yang agak jauh di pedalaman itu. Dia akan ambil foto kucing kurap, burung merpati, pokok-pokok tua yang hampir menyembah bumi, makcik-makcik menjual kuih di bawah gerai payung dan lain-lain lagi. Apabila malam, dia akan lihat kembali foto-foto yang diambil siang tadi.


Hari itu, Hasri jalan-jalan lagi di pekan itu. Ketika dia terbongkok-bongkok di tepi longkang, tiba-tiba "GEDEGANG!!!", Hasri dikejutkan dengan satu bunyi yang kuat. Dia tercari-cari arah bunyi itu. Kemudian dia ternampak beberapa orang berlari. Hasri ikut berlari menuju arah yang sama, di balik deretan kedai sana.

Sah. Ada kemalangan baru berlaku. Semakin lama semakin ramai yang datang melihat. Ambulan belum sampai pun lagi. Polis pun belum sampai lagi. Tetapi ada beberapa orang sedang cuba menarik keluar sekujur tubuh dari bawah perut lori ikan. Tidak jauh di belakang lori ikan itu ada sebuah motorsikal hampir remuk.

Sebaik sahaja ditarik, mangsa sudah tidak bernyawa. Pemandu lori pula sudah lari entah ke mana, mungkin kerana takut dipukul oleh orang ramai.

Hasri teringatkan handphone berkameranya. Dia susup-sasap mencelah orang ramai untuk mendekati mangsa yang terbaring kaku. Apabila sudah dekat, Hasri ambil foto wajah mangsa. Kelihatan mangsa masih sempurna seperti tiada kecedaraan, malah darah pun hanya sedikit yang keluar dari hidung dan telinganya. Matanya pun tertutup rapi. Mungkin cedera di dalam badannya, bukan di luar.


Malam itu, ketika sedang baring-baring di atas katil di dalam biliknya, Hasri teringatkan mangsa kemalangan siang tadi. Hasri capai handphone dan buka folder foto. Berkerut dahinya. Seakan-akan ada sesuatu yang aneh dalam foto itu. Hasri zoom wajah mangsa. Hasri lihat mata mangsa itu terbuka luas... terbeliak besar!

Seakan-akan mangsa itu marah kepada Hasri. Rasa seram mula memagut hatinya. Hasri tutup semula handphone tetapi wajah mangsa dengan mata yang terbeliak besar itu masih melekat dalam kotak kepalanya. Hasri pejamkan matanya. Dia cuba melupakan imej yang menyeramkan itu tetapi tidak berjaya.

Tak boleh jadi. Hasri buka matanya dan ketika itulah wajah mangsa terpampang di depan mukanya. Hasri menjerit-jerit ketakutan.....!


Sudah seminggu Hasri tidak dapat melelapkan matanya dengan tenteram kerana setiap kali dia pejamkan matanya, wajah mangsa yang terbeliak merah akan menjelma dalam kotak kepalanya. Dan apabila dia bukakan matanya pula, mangsa kemalangan itu tadi sudah pun berdiri di tepi katilnya....!






.

Wednesday, December 12, 2012

Lembaga hitam menghantui Hasri...

... cerita no. 3



Kedua-dua belah tangan Hasri yang besar itu terus melekap pada leher Nita yang jinjang. Tanpa membuang masa, dia cengkam leher Nita kuat-kuat, kedua-dua ibu jarinya menekan urat-urat darah di lehernya. Nita cuba melawan asakan Hasri itu dengan menarik tangan Hasri supaya terlerai dari lehernya. Gagal. Nafasnya sudah tersekat. Menjerit pun tidak boleh.

            “Mati kau! Mati kauuu!!!”, jerit Hasri kuat-kuat sambil menolak kepala Nita rapat ke sudut
.
            Dengan hujung-hujung tenaga yang masih ada, Nita menolak tubuh Hasri. Mereka berdua jatuh ke atas lantai. Ruang tamu itu diselubungi dendam kesumat yang amat hitam, sehitam syaitan yang telah merasuki jiwa muda Hasri.

            ”Mati kau!!!!”. Tidak puas hati kerana rontaan Nita, Hasri hentak-hentakkan kepala wanita itu ke lantai beberapa kali sehingga keluar darah, memancut dari kepalanya. Tidak cukup dengan itu, Hasri lepaskan satu tumbukan yang padu ke perut Nita. Nita menjerit dan berguling-guling menahan kesakitan. Kemudian, Hasri berlari ke dapur. Dia tarik laci kabinet dapur satu persatu lalu dituangkannya ke atas lantai. Dia capai sebilah pisau yang dijumpainya kemudian dia berlari kembali ke ruang tamu. Didapatinya Nita sedang merangkak lemah menuju ke pintu untuk keluar dari rumah.

            Hasri menyeringai, perasaan benci memenuhi segenap ruang fikirannya. Langkahnya penuh angkuh, dia dekati Nita yang sedang merangkak untuk cuba melarikan diri. Tanpa sedikit pun ada rasa belas kasihan, dia tendang perut Nita dengan sekuat-kuat hatinya. Nita melambung sebelum jatuh tergolek dan terlentang tidak jauh dari pintu rumah itu. Dia terbatuk-batuk teruk sambil memegang perutnya yang senak ditendang Hasri.

            Tanpa berlengah lagi, Hasri terus melompat dan bercelapak di atas perut Nita. Kedua-dua tangan Nita dihimpitkan ke lantai dengan menggunakan lututnya. Hasri layangkan pisau yang tajam dan berkilat di depan mata Nita. Berkilau mata pisau itu disuluh lampu kalimantang di ruang tamu.

            ”Tolonglah... jangan... jangan...”, suara Nita tersekat-sekat meminta dilepaskan. Air mata berjurai-jurai, meleleh pada pipinya. Hasri ketawa, mukanya penuh dengan raut benci. Hasri benar-benar kerasukkan dan mengamuk. Dia tersenyum sinis. Dia benci melihat muka Nita.

            Zuppp...!

            Pipi Nita terbelah, darah panas mula mengalir keluar dari luka itu. Dia menjerit kesakitan. Dia terus merayu supaya dilepaskan tapi tak diendahkan oleh Hasri yang sudah menguasai dirinya. Hasri alihkan matanya kepada dada Nita pula. Ditenungnya dada Nita yang berombak-ombak menarik nafas dalam kesakitan. Dia putuskan butang baju Nita satu persatu menggunakan pisau. Dia selak baju Nita. Dadanya terdedah sehingga ke pangkal perut. Nita tak henti-henti meminta dilepaskan tetapi rayuannya itu langsung tak diendahkan oleh Hasri.

            “Mana kejujuran kamu? Mana?!!!”, jerit Hasri. Nita hanya menangis menahan kesakitan. Darah dari luka di pipi terus mengalir ke rambut dan telinganya.

            “Ada dalam dada kamu agaknya...”, kata Hasri sambil pisaunya memotong coli.

          Hasri terbayangkan lelaki-lelaki ’jongos’ yang pernah bertenggek di dada itu. Hasri benar-benar menggila. Hasri lorekkan hujung pisau itu di dada Nita, dari pangkal leher hingga ke perut Tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Pasrah. Hasri sudah lupa di mana dia berada, dia sudah tak sedar apa yang dia sedang lakukan. Perasaan geram, benci dan dendam menguasai diri sepenuhnya.

            Chuppp....!

            Sepantas kilat mata pisau tu terbenam sedalam beberapa inci di pangkal perut Nita. Dia menjerit sekuat-kuat hatinya. Terasa sejuk mata pisau itu mengalir ke segenap urat saraf. Kemudian, rasa pedih pula mulai menjalar ke seluruh tubuhnya. Hasri tak berhenti di situ sahaja. Dia menghiris dan merobek dada Nita seperti melapah daging ayam sehinggalah mata pisau itu tersekat pada tulang sternum. 

       Nita menggelupur akibat kesakitan, meraung-raung. Kelam kabut Hasri membetul-betulkan kedudukan badannya supaya tak terjatuh, lututnya menghimpit tangan-tangan Nita yang asyik terangkat-angkat akibat reaksi dari rasa sakit yang teramat. Hasri pegang hulu pisau itu dengan tangan kirinya pula manakala tangan kanannya menghentak-hentak hulu pisau itu. Setiap hentakan, mata pisau itu menghiris inci demi inci menuju ke pangkal leher. Setiap kali hentakkan itu jugalah badan Nita terhenjut-henjut dan darah pula keluar bersemburan.

            Kini, dada Nita sudah luka dengan teruk sekali, dadanya ternganga menampakkan organ-organ yang ada di dalam. Badan Nita masih lagi terhenjut-henjut mengikut rentak jantungnya yang cuba mengepam saki baki darah yang masih ada di dalam tubuh.

            Akhirnya, henjutan itu pun lemah dan terhenti. Rumah batu dua tingkat itu menjadi sunyi. Tiada suara yang keluar dari mulut Nita lagi. Mulutnya ternganga luas manakala matanya terbeliak memandang ke siling. Bau darah yang hanyir menerawang ke segenap ruang yang ada, ditiup angin dari kipas yang berpusing laju.

            Hasri balingkan pisau itu ke lantai. Dia selukkan tangannya ke dalam rongga dada Nita yang terbuka, dikuakkannya sambil mengintai-ngintai, seperti mencari-cari sesuatu di dalamnya.

            ”Eh, betullah! Kejujuran tak ada dalam dada kau... hahaha!”, Hasri ketawa seperti orang gila.

            ”Mampus kau! Baru puas hati aku”, seranahnya.

            Hasri tinggalkan sekujur mayat Nita di atas lantai. Dia duduk bersandar di atas sofa dengan tangannya habis berlumuran darah. Dia termenung. Dia seluk saku bajunya dan menyalakan sebatang rokok. Namun, rokok itu gagal memberikannya kepuasan. Dia campak rokok itu ke arah tubuh Nita yang sudah terbujur tak bergerak lagi.

            Hasri pekupkan kedua-dua belah tangannya ke muka. Dia usap-usap mukanya yang berpeluh. Darah dan peluhnya bercampur-baur, bau hanyir menusuk lubang hidungnya.

            ”Hishhh! Busuk....!”.







{Adaptasi dari salah satu babak di dalam buku aku yang no-2: Kecubung}




.

Tuesday, December 11, 2012

Hasri, Nita dan.... ngeri menyeringai dari tingkap bilik tidur itu...

......... sambungannya.


Nita rimas kerana panas dan lama menunggu di dalam almari. Tiada tanda-tanda Hasri mahu meneruskan main kejar-kejar romantik itu. Bosan, Nita pun menjengah. Terdengar bunyi derap tapak kaki menaiki tangga. Nita masukkan semula kepalanya ke dalam almari. Dia tersenyum dalam keterujaan. Hasri masih mahu bermain!

Setiba di pintu bilik, daun pintu yang sedia terkuak sedikit itu terus dikuak sehingga luas perlahan-lahan. Cahaya lampu kalimantang dari tangga melimpah masuk ke dalam bilik yang gelap. Nita teruja. Tapi, Hasri tidak melangkah masuk. Dia hanya tercegat di muka pintu. Nita tunggu beberapa ketika tetapi Hasri masih tidak beranjak dari situ.

1. Nita intai dari belahan pintu almari yang terbuka selebar jari. Di tangan kanan Hasri tergenggam sebilah pisau pemotong daging! Nita hairan, hatinya penuh dengan tanda soal, apa yang Hasri mahu mainkan pula? Pisau? Takkanlah.... Dia kenal siapa Hasri. Kenal sungguh-sungguh kerana Hasri adalah teman sepejabatnya sejak 3 tahun dulu. Nita memberanikan dirinya lantas menguak pintu almari tempat dia bersembunyi.

"Hasri...?" Nita bangun lalu keluar perlahan-lahan. Hatinya masih penuh dengan tanda tanya.

"Hasri...? Kenapa dengan awak ni? Tak seronoklah kalau awak serius-serius pula..." Nita mendekati Hasri perlahan-lahan. Hasri masih diam membatu, tidak menjawab pertanyaan Nita.

Dek kemilau cahaya lampu kalimantang yang menyuluh mukanya, Nita tadah cahaya itu dengan belakang tapak tangannya untuk memberikan teduhan pada matanya, barulah jelas sedikit wajah Hasri dilihatnya. Tapi Nita terkejut kerana tiada senyum pada wajah itu. Mata Hasri menyorot jauh seolah-olah melihat jauh di belakang Nita. Hasri tak pandang Nita pun!

Nita cuba mengambil pisau pemotong daging dari tangan kanan Hasri tetapi belum pun sempat dia mencapainya, Hasri angkat tangannya setinggi yang boleh lalu terus menghayunkan pisau itu ke kepala Nita. Membuntang mata Nita apabila pisau tajam itu membelah tengkorak dan otaknya. Segumpal rambut Nita terputus lalu jatuh ke lantai. Darah Nita bersembur ke dinding dan wajah Hasri yang masih serius memandang sesuatu yang sedang melekap pada tingkap kaca bilik itu.


2. Nita terlihat pisau pemotong daging dari belahan pintu almari, pisau itu tergenggam erat di tangan kanan Hasri. Serentak dengan itu juga hidungnya tercium bau yang memeningkan kepalanya. Sungguh kuat bau itu menusuk lubang hidungnya.

"Yeay...!" serentak dengan itu juga Nita hamburkan diri, keluar dari dalam almari.

"Durian...! I like.. like.. like... muah-muah-muah" Nita terus memeluk lalu mencium Hasri yang sedang memegang sebiji Durian di tangan kirinya.

"Cepatklah buka..... I dah tak sabar nak rasa ni..." rayu Nita tetapi tiada tindakbalas dari Hasri. Dia masih tercegat tak beranjak dari muka pintu.

"Hasri...? Kenapa ni, sayangggg....?" Nita buat muka manja.

Oleh kerana Hasri masih mendiamkan dirinya, Nita ambil buah Durian di tangan kiri Hasri tetapi belum pun sempat dia capai buah itu, tiba-tiba Hasri terus mengangkat tangan kirinya tinggi-tinggi lantas menghentak buah Durian itu ke kepala Nita.

Nita jatuh terjelepuk di atas lantai, walau pun masih hidup dengan menahan sakit, dia terlalu lemah untuk bangun. Darah mula mengalir dari celah-celah rambutnya yang ikal dan panjang itu. Hasri melutut bersebelahan kepala Nita. Hasri benamkan hujung mata pisau betul-betul di tengah-tengah ubun-ubun Nita. Kemudian, Hasri hentak belakang pisau itu berulang kali sehingga mata pisau itu lenyap separuh ke dalam tengkorak Nita. Hasri sedang membelah kepala Nita seperti membelah sebiji buah Durian! Apabila terbelah, Hasri cungkil sedikit otak Nita lalu berjalan menuju tingkapa kaca. Cebisan otak Nita itu diunjukkan kepada sesuatu yang sedang melekap pada tingkap kaca rumah batu dua tingkat itu

 

3..... (ah.... sakit pingganglah pulak, nanti-nanti aku sambung)




.

Monday, December 10, 2012

Sebuah kubur yang berlubang dan rumah batu dua tingkat...

.

Lolongan anjing bersahut bunyi burung hantu membelah basah dan sejuk malam. Apabila mereka itu berbunyi, cengkerik terhenti berbunyi sebentar. Mungkin lolongan dan 'hoot-hoot' burung hantu itu lebih menguasai malam apabila mereka itu keluar.

Pesah-pesah bunyi daun-daun basah dek hujan senja tadi turut mengganggu dendangan cengkerik di tanah perkuburan itu. Terdengar bunyi seperti tanah sedang ditebuk, terdengar juga seperti pasir dikais-kais. Semua itu berbaur bersama bau wangi dari bunga cempaka yang pokoknya tumbuh subur berbajakan kompos mayat dan bau busuk yang keluar dari salah satu kubur yang telah berlubang. Senja tadi, ada sebiji buah kelapa tua telah jatuh akibat digoncang angin deras. Anehnya, sebiji kelapa tua yang tidak seberat mata itu mampu menumbuk tanah kubur sehingga menembusi ke papan lahad.

Dalam kesamaran malam yang agak pekat itu, batu-batu nesan yang banyak berwarna putih itu berceracak seperti batu tanda. Bunyi-bunyian dan bau-bauan yang telah berbaur itu, ditambah pula dengan angin sejuk selepas hujan dan langit hitam tanpa bulan membuatkan kawasan perkuburan itu diselubungi kengerian.

Ada kabus nipis seperti ditiup keluar dari kubur yang berlubang tadi, melalui lubang yang ditebuk kelapa tua tadi. Kabus yang seperti asap kelabu dan berbau amat busuk itu menebal dan memekat. Tidak lama kemudian, tanah dan pasir sekitar lubang itu bergerak-gerak, seperti mahu dipungkas dari dalam kubur....



Di sebuah rumah batu dua tingkat, Hasri sedang berseronok dengan Nita dan Nita bukanlah perempuan yang pernah Hasri nikahi. Gelak ketawa mereka berdua membelah dada malam yang sejuk. Meski pun begitu, suara dekahan mereka berdua itu lenyap ditelan daun-daun hutan kerana rumah Hasri itu agak terpinggir dari banglo-banglo mewah yang lain.

Mereka hanyut dalam keseronokkan. Sekejap Hasri di atas, sekejap Nita pula di atas. Mereka berkejar-kejaran di dalam rumah batu dua tingkat itu. Bila Hasri naik ke atas, Nita turun ke bawah menggunakan tangga di belakang lalu masuk melalui pintu dapur. Dan Nita akan naik semula ke tingkat atas bila Hasri turun melalui tangga di belakang.

Namun pada kali itu, ada sesuatu di pagar kawad di belakang rumah itu telah menarik Hasri untuk terus masuk ke dapur. Hasri berhenti di tangga pusing itu. Matanya menyorot jauh memerhatikan rumput-rumput yang melilit pagar. Seketika kemudian, mata Hasri terpaku pada sesuatu yang hitam sedang cuba memanjat pagar kawad...



Nita yang sedari tadi menyorok di dalam almari pakaian terasa rimas kerana panas. Dia pelik kerana tiba-tiba rumah batu itu menjadi senyap sunyi, tiada suara Hasri. Kemanakah perginya Hasri?





.

Tuesday, July 10, 2012

Cerita-cerita alam ghaib, cerita mistik di sekitar kampung aku...

.

Dunia mistik sukar hendak dipisahkan dari cerita kehidupan di kampung aku. Setiap kali aku balik kampung, ada saja cerita-cerita alam ghaib yang aku dengar. Kalau aku tak bertanya pun, orang akan bercerita juga. Selain daripada sumber 'tangan pertama' (first hand) yakni abang aku, orang-orang kampung juga rajin bercerita. Mudah saja, apabila berjumpa dan setelah berikan salam, terus tanya "apa cerita terbaru?"


Kalau ditempat lain mungkin gossip para artis atau orang kampung yang menjadi beritanya tetapi di kampung aku berita sebegitu amat jarang didengari. Sama ada mereka bukan jenis yang suka beli majalah URTV atau Mangga, atau pun cerita panas setempat lebih menghairahkan. Kalau tidak politik, pasti berita tentang kematian. Dan terselit juga berita-berita jerih-perih (perih dalam Kamus Jawa-London-Cambridge ialah pedih seperti luka yang dicucurkan air limau).


Berita kematian di kampung aku buat masa kini semakin kurang didengar. Kalau 5-10 tahun lepas, berita kematian si polan dan si anu kerap bersahutan seperti bunyi burung hantu di tengah-tengah malam. Aku pernah cuba rakamkan bunyi burung hantu bersahut-sahutan malangnya format telefon bimbit aku tak setara dengan format blog, jadi tak boleh di upload. Kalau tak silap aku, burung hantu dan burung pungguk tak sama.

Sekarang, kaum-kaum tua di kampung aku telah berkurangan. Baru-baru ini, aku bertanya kepada emak aku tentang orang-orang tua yang masih tinggal dan emak mencongak-congak sebelum mengatakan mungkin dialah golongan 'pioneer' yang masih ada.


Apa yang mistiknya dalam cerita kali ini?


Batang Senduduk Putih sebesar jari telunjuk yang mempunyai empulur berisikan sejenis 'damar' jernih seakan-akan plastik. Hanya sejengkal yang mempunyai 'damar'. Keratan batang yang lain adalah tumpat seperti biasa. Ini sebahagian keratan kepunyaan abang aku.


Santau.. santau... santau. Ini muntahan santau yang sempat abang aku rakamkan. Kelihatan cebisan-serpihan tulang yang agak besar. Di sekitar pekan di kampung aku masih kuat dengan gejala santau ini... berhati-hatilah kalau ke sana.


Sekali imbas seperti sebatang paku yang berkarat tetapi menurut abang aku, ianya adalah sejenis kayu atau tulang yang menjadi senjata sejenis jin bernama Pelesit. Senjata ini didapati daripada Pelesit yang ditundukkan oleh salah seorang pengamal perubatan mistik.


Mahu percaya? Terpulanglah tetapi kita wajib percaya kepada perkara-perkara yang ghaib, diantaranya Syurga Neraka, Hari Akhirat, Qadha Qadar, Jin , Malaikat, Syaitan...

Adakah benda-benda di atas itu berkaitan dengan perkara-perkara yang ghaib? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Aku tak tahu jadi jangan tanya aku lebih-lebih.




.

Friday, June 29, 2012

Kisah mayat yang enggan keluar dari dalam van jenazah...

.
Mimpi lagi, untuk entah yang ke berapa kali.


Malam tadi aku bermimpi panjang. Kisahnya berkenaan dengan kemalangan kecil yang berlaku keatas saudara aku dan dia terpaksa dibawa ke hospital. Sepanjang nak menghantarnya ke hospital, macam-macam perkara berlaku, ada saja halangan yang terpaksa ditempuhi. Aku turut diminta menemaninya semasa dihantar ke hospital.

Tapi, aku tak nak ceritakan yang itu. Aku nak ceritakan beberapa imej yang aku ingat di dalam beberapa babak dalam mimpi itu.

Dalam satu babak itu, aku perlu mencari van untuk hantar saudara aku ke hospital kerana ambulance lambat datang. Diberitahu bahawa ambulance ytersangkut di jalan akibat sesak. Oleh sebab itu, aku berlari ke sebuah surau / masjid berhampiran. Aku terlihat sebuah Van Jenazah yang diletakkan di bawah stor beratapkan zink. Hati aku lega kerana sudah berjumpa kenderaan untuk bawa saudara aku ke hospital.


Tiba-tiba aku tersentak apabila di bawah stor yang berlantaikan tanah keras itu ada sederetan kepala manusia yang siap berbungkuskan kain kafan. Aku tak pasti sama ada mayat-mayat itu ditanam separas leher atau kepala mayat-mayat itu terpenggal dari tubuh mereka. Yang pastinya, aku lihat kepala-kepala itu bergerak-gerak dan mata mereka terbuka luas memerhatikan aku dan sekeliling...



Aku ambil inisiatif untuk melukisnya... lebih senang untuk faham scene tersebut


Kemudian aku amati kepala mayat yang dihujung kiri sekali. Aku dapati itu adalah mayat arwah Bapak! Dia tersenyum melihat aku. Lalu aku angkat tangan aku sambil memberikan isyarat bertanyakan khabar dia. Bapak memberikan reaksi yang terbatas, dengan senyuman dan gerakan kepalanya, tetapi aku faham yang dia baik-baik sahaja. Aku lega dan aku balas senyuman itu.



close-up... yang dikiri sekali itulah arah Bapak.


Kemudian aku dihampiri oleh seorang lelaki yang aku kira dia adalah Siak di surau/masjid itu. Lalu aku beritahu tujuan aku datang. Katanya, dia biasa menghantar orang ke hospital menggunakan van jenazah itu tetapi biasanya bukan orang eksiden. Dia kerap menghantar atau mengambil mayat di hospital.


Katanya, kalau aku tak kisah dia boleh hantarkan. Oleh kerana terdesak, aku pun setuju menggunakan van jenazah itu. Dia pun keluarkan van dari bawah stor lalu berhenti di laman surau/masjid itu. Kemudian dia keluar dari kerusi pemandu dan membuka pintu gelangsar (sliding door) van tersebut.

"Ada satu saja masalahnya..." tiba-tiba dia berkata sambil tangannya menunjukkan satu bungkusan di lantai van.

"Dia ni degil sikit nak keluar" sambungnya.

Aku lihat ada sekujur mayat manusia yang siap berbungkkus kafan sedang bergolek-golek. Tok Siak (aku rasa) terus memujuk mayat itu supaya keluar dari van namun mayat itu masih enggan berganjak. Akhirnya, Tok Siak itu pun meninggikan suaranya, mengugut mayat itu. Itu pun masih berdegil. Lalu Tok Siak memanggil aku.

Aku hampirinya lalu dia minta aku pegang bahagian kaki manakala dia dibahagian dada mayat itu. Dengan kudrat yang ada, kami angkat dan keluarkan mayat itu dari dalam van jenazah dan kami biarkan mayat itu di atas tanah di laman.


Tak lama selepas itu, aku dan Tok Siak pun menghampiri saudara aku yang sedang terbaring kesakitan di tepi jalanraya, tidak jauh dari surau/masjid...








.

Saturday, March 31, 2012

Kisah seram di bilik mayat di Hospital Teluk Intan






Hasri terkedek-kedek berjalan di belakang Doktor Rasyid dan pembantunya, mengejar langkah mereka berdua yang berjalan dengan agak pantas. Itu hari pertama dia berada di Hospital itu. Setepatnya, itu malam pertama ia menjalani latihan di hospital itu. Mereka bertiga melewati koridor kecil yang menghubungkan bangunan utama kepada bangunan yang lebih kecil. Malam itu dia akan melihat bagaimana bedah siasat dilakukan. Perasaan teruja berbaur seram memaut tangkai hatinya, berbuai-buai hatinya digayut takut.


" Kita ada kes baru, dok..." Hasri terdengar pembantu itu melaporkan kepada Doktor Rasyid.

" Kes bunuh? " tanya Doktor Rasyid.

" Tak.... Eksiden Motor. Mangsa terperosok di bawah treler. Kena gilis..."


Hasri terkedu apabila mendengarkan itu. Dia bakal seorang doktor tetapi dia masih merasa ngeri jika terpaksa berdepan dengan mayat yang berkeadaan sebegitu. Sebaik sahaja pintu bilik bedah siasat dibuka, udara sejuk menerjah keluar, menyapu wajah Hasri. Sejuknya menggigit ke tulang pipi. Terngiang-ngiang cerita kawan-kawannya tentang bilik bedah mayat, tentang perkara-perkara aneh dan seram yang berlaku di billik itu.


Di atas meja besi tahan karat itu terbujur sekujur mayat ditutupi sehelai plastik putih. Pembantu itu pun menarik plastik putih itu. Hasri ternganga apabila melihat keadaan mayat itu yang sungguh mengerikan: kaki kanannya telah putus, sebelah kanan tubuhnya sudah melepek seperti terhempap benda berat, lehernya terkulai dan mungkin tengkuknya telah patah, kepalanya kemek manakala kulit mukanya seperti ditarik menyebabkan mukanya terherot seperti disiat.


Doktor Rasyid tidak membuang masa, dia terus mencapai gunting dan perkakasan lain manakala pembantunya menolong mana-mana yang perlu. Hasri hanya berdiri di sebelah Doktor Rasyid. Dia tak dibenarkan menyentuh apa-apa buat kali ini. Doktor Rasyid menggunting pakaian mayat dengan berhati-hati. Darah masih mengalir, belum beku. Pembantu itu pun segera jirus darah tu dengan air, darah itu pun mengalir ke satu sudut meja besi lalu mengalir turun melalui sebatang paip dan hilang entah ke mana. Bau hanyir menusuk hidung. Darah manusia memang hanyir.


Sebaik selesai mayat itu dibogelkan, Hasri dapat lihat tubuh mayat itu seperti dikecai-kecaikan. Tiba-tiba Hasri seperti melihat kaki mayat itu bergerak-gerak. Dia tersentak lalu melontarkan pandangan terkejutnya kepada pembantu itu. Pembantu itu hanya tersenyum memandang Hasri.

" Itu perkara biasa... tak ada apa-apa..." kata pembantu itu.


Doktor Rasyid menoleh sebentar kepada Hasri. Dari balik topeng putih itu, Hasri dapat rasakan doktor tua itu tersenyum menyindirnya. Hati Hasri bercelaru. Kaki mayat itu masih menguit-nguit seperti mahu bangun. Debaran jantung menggetarkan dadanya. Kali ini, tangan kiri mayat itu pula yang bergerak-gerak. Berbagai-bagai cerita seram yang pernah didengarinya kembali ke kanvas imaginasinya.


Tak lama kemudian, Hasri terdengar bunyi seperti orang mendengus. Cepat-cepat Hasri renung mulut mayat yang herot itu, mana tahu kalau-kalau mayat itu yang berkeluh-kesah. Sungguh besar dugaannya di bilik mayat, sama seperti cerita-cerita yang didengarinya sebelum ini.

" Saya... saya dengar macam....."

" Shhh....! " pembantu itu memotong kata-kata Hasri.

" Tapi... "

" Shhhh...!!! " kali ini pembantu itu sedikit jengkel dengan Hasri.


Tiba-tiba, bau busuk seperti telur tembelang menusuk hidung Hasri. Dia hampir tersedak dan lemas apabila tercium bau busuk itu. Dia pun memekup hidungnya sambil menoleh kepada pembantu itu. Sepantas itu juga pembantu itu menjegilkan matanya, membulat.


" Aku kentut... " kata Doktor Rasyid dengan selamba.







.

Saturday, March 24, 2012

Kisah Hantu Penanggal di Kampung Parit 4/6L di zaman Jepun

.


Malam itu, rumah berdinding papan itu akan menerima tetamu baru. Kesan-kesan peluru senapang Jepun masih panas melubangi dinding itu. Pagi tadi, rumah papan itu dihujani peluru sesat tentera Jepun yang bertempur dengan perajurit Tanah Melayu. Entah berapa orang yang gugur, Seman tak kisah. Dia hanya menyorok di dalam kepok di bawah rumahnya. Dia hanya fikirkan isterinya yang sarat mengandung. Lewat petang tadi, air tuban isterinya sudah pecah.


Bidan Lijah dah diberitahu awal-awal agar bersedia dan Seman telah pun memaklumkan kepada Bidan Lijah petang tadi juga. Bidan LIjah yang sudah tua dan berpengalaman menyambut kelahiran hampir separuh penduduk kampung memang telah menduga sejak awal lagi yang tetamu bakal datang bukan seorang tetapi dua. Seman terkejut, membulat matanya. Tak mungkin kembar kerana perut isterinya bukanlah besar sangat pun.

"Bukan.... bukan itu maksud aku, Seman."

"Habis tu?"

"Aku nak kamu panggil Bomoh Kulup sekali, sekadar berjaga-jaga. Aku dah tua, dah tak larat. Kamu panggil dia je untuk bantu aku tengok-tengokkan bini kamu tu nanti"

Seman bingung. Kenapa sampai berbomoh pula sedangkan isterinya hanya nak beranak? Namun begitu, dia tetap menjemput Bomoh Kulup.


Selepas masuk waktu Isya', Seman pun mendengar raungan bayi dari dalam bilik. Dia hanya duduk berjuntai kakinya di veranda bersama Bomoh Kulup yang tersenyum dan mengucapkan tahniah kepadanya.

"Perempuan..." jerit Bidan Lijah dari dalam bilik tidur.

"Perempuan lagi.... berderet anak perempuan dah ni..." bisik hati Seman.

"Hah! Pergilah masuk. Biar aku tunggu tetamu kedua malam ni."

Seman melangkah masuk ke biliknya, meninggalkan Bomoh Kulup dengan dupa berbara dan kemenyan bukitnya. Seketika kemudian, angin mula bertiup kencang.


Sehingga tengah malam, Bomoh Kulup dan Seman masih menunggu tetamu keduanya tetapi masih belum muncul-muncul. Seman sebenarnya tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Bidan Lijah dan Bomoh Kulup tetapi demi menjaga perasaan orang-orang tua itu, Seman turutkan sahaja asalkan isterinya selamat bersalin.


Bomoh Kulup bersandar pada dinding sambil menghembus asap rokok daun nipahnya. Angin masih kencang di luar tetapi di dalam rumah Seman itu sungguh sunyi. Bomoh Kulup hairan kerana tetamu kedua tidak datang menjengah lagi. Biasanya, pantang ada bau darah orang bersalin, pasti dia datang. Bomoh itu merasakan ada sesuatu yang tidak malam itu.


" Uri tembuni anak kamu tu kamu dah tanam?"

" Belum. Belum dibasuh lagi pun."

" Laaa... kenapa tak ditanam cepat-cepat. Dimana kamu letaknya?"

" Ada kat bilik air diluar sana tu..." muncung Seman.

" Dah, jom kita turun. Bawak lampu suluh." ajak Bomoh Kulup.


Langkah mereka berdua berhati-hati dan perlahan seperti mahu mengendap anak dara mandi di bilik air. Dari celah-celah lubang di pintu bilik air itu, Seman mengintai. Dia amat terkejut apabila ada kepala dengan rambut yang mengurai panjang sedang menjilat-jilat uri dan tembuni anaknya yang masih berdarah. Mahu sahaja Seman menjerit tetapi dia masih boleh bertahan. Dadanya berdebar kencang.


" Patutlah dia tak naik ke rumah. Makanannya ada di sini." bisik Bomoh Kulup ke telinga Seman yang pucat lesi.


Mulut Bomoh Kulup terkumat-kamit membaca mentera yang Seman tak faham maksudnya. Tiba-tiba pintu bilik air tak berkunci itu ditendang oleh Bomoh Seman kuat-kuat. Dengan sekali tendangan sahaja, pintu bilik air itu terkuak lebar. Cepat-cepat Seman menyuluh kepala berambut panjang itu.


Lembaga itu cuba terbang keluar tetapi Bomoh Kulup sudah 'pagar' bilik air itu. awal-awal lagi Jadi, kepala berambut panjang itu hanya terkatung-katung bilik air itu, tak boleh ke mana-mana. Seman terkejut melihat lembaga yang amat mengerikan. Tali perutnya berjurai-jurai dan berbau amat hanyir sedangkan lidahnya terjuntai panjang dan berdarah. Mukanya seperti mayat, pucat tetapi matanya merah menyala apabila terkena suluhan Seman.


" Kamu lagi...! Aku dah bagi amaran kepada kamu, Maimon tetapi kamu ni degil!"


Maimon? Kepala Seman terus terbayangkan Kak Maimon janda berhias yang tinggal di hujung kampung. Rupa-rupanya, Kak Maimon mengamalkan ilmu hitam. Sungguh Seman tak sangka.


" Aku bukan kacau sesiapa pun, Kulup. Aku cuma... cuma nak minum sikit je.." tiba-tiba kepala berambut terurai panjang itu bersuara.

" Minum sikit kata kamu? Kamu tu minum darah tau tak?! Darah! Pengotor sungguh...!" bentak Bomoh Kulup sungguh-sungguh.

" Kamu tak tau, Kulup. Kamu tak tau..."

" Apa yang aku tak tau? Aku dah tau kamu memang amalkan ilmu ni lama dah. Aku dah pakat dengan Bidan Lijah nak tangkap kamu lama dah. Hah! Sekarang aku dah dapat kamu..."

" Tolonglah, Kulup. Aku bukan buat apa-apa pun. Lagi pun... lagi punnn...."

" Lagi pun apa? Apa?"


" Aku cuma nak minum darah uri tembuni tu je..."


Kak Maimon tiba-tiba merintih hiba. Perasaan sedih tiba-tiba menyelubungi bilik air itu. Seman terasa hairan kerana kini dia tak rasa takut pun.

" ... aku cuma nak minum Stem Cell ... itu je..." tambah Kak Maimon.

" Stem Cell ? Apa tu?"

" Itulah, kamu tak tau... ilmu kamu belum cukup lagi, Kulup...."







.

Wednesday, February 29, 2012

Tentang Toyol yang aku tahu...

.

Apabila aku belek-belek entri lama-lama yang berunsurkan mistik, aku teringatkan satu entri tentang Orang Bunian yang ini. Aku dapati ada senarai di situ dan aku hanya ceritakan yang nombor 3 sahaja. Nombor 1 dan 2 aku belum ceritakan lagi. Jadi, aku nak bayar hutang itu sekarang ini...


Aku nak ceritakan yang nombor 2 dulu. Yang nombor 1 nanti-nantilah...

"Pengalaman bersembang dengan arwah Kiyai Hamzah tentang Toyol", itu tajuk yang sesuai kut.

Aku tak ada pengalaman tentang / dengan Toyol. Aku mengaku awal-awal. Cerita ini adalah apa yang diceritakan oleh arwah Kiyai Hamzah terus kepada aku semasa menemani arwah bapak minum dengannya di sebuah watung kopi di Langkap, lewat tahun 80-an.



Katanya, dia pernah tangkap beberapa ekor Toyol yang berkeliaran dan yang sedang menjalankan tugas-tugas suruhan tuannya. Katanya Toyol itu seperti budak kecil berusia 5 tahun  tetapi sifat jin/syaitan yang berasaskan api, ia boleh kecil dan boleh jadi besar budak 5 tahun; dan Toyol bergigi tajam. Aku tak pasti sama ada aku pernah bertanyakan warna kulit Toyol itu tetapi seingat aku dia tak ceritakan pun pasal warna kulit. Mungkin sebab racist... hahaha


Dia ceritakan bahawa Toyol ini paling efektif kalau sepasang. Kelebihan Toyol yang Tuhan anugerahkan ialah ia mampu melipat duit kertas sehingga cukup kecil untuk melepasi lubang kunci yang terkecil. Apabila telah lepas, pasangannya akan sambut dan masukkan ke dalam beg selimpang.


Aku tanya dia, macam mana Toyol boleh masuk ke dalam laci berkunci? Dia kata, Toyol akan masuk menggunakan bontotnya dahulu. Toyol itu akan gonyoh-gonyoh bontotnya pada lubang kunci (apa barang gonyoh kat lubang kunci, ye dak?). Lubang kunci itu akan membesar seperti diperbuat daripada getah. Aku tak dapat bayangkan pada masa itu bagaimana tetapi itulah yang diceritakan kepada aku. Aku syak, bontot Toyol itu yang mengecil sehingga muat lubang kunci itu.


Apabila bontotnya telah bolos, ia terus masukkan kepala dan kakinya kemudian akan mengerjakan duit si mangsa. Toyol tak akan habiskan duit. Dia akan tinggalkan sedikit konon-kononnya si mangsa tak akan perasan. Heh! Bab duit siapa yang tak boeh perasan, kan?



Cerita yang nombor 1 nanti-nantilah aku ceritakan....




.

Saturday, February 11, 2012

Kisah Alin di malam Jumaat Kliwon...

.


Alin seorang yang penakut. Walau pun dia baru darjah 6 tetapi sifat penakutnya sudah keterlaluan. Sifat penakutnya itu menjadikan dia seorang kanak-kanak yang tertekan. Sudah beberapa kali penjaganya cuba mengubatinya ke serata tempat, sifat itu tidak berkurang pun malah bertambah. Sebutlah bomoh mana pun, sebutlah ustaz mana pun, semuanya tidak menjadi. Ada yang mendakwa Alin memang dikacau hantulah, setanlah tetapi yang pasti tiada satu pun yang mampu mengubati sifat penakut kanak-kanak itu.


Cuma penjaganya belum lagi berjumpa dengan pakar psikologi kanak-kanak. Penjaganya tidak mahu nanti Alin dikatakan sakit jiwa dan ditahan di hospital sakit jiwa. Penjaganya perlu memegang amanat kedua ibu bapa Alin.


Setiap malam Alin akan ketakutan lebih-lebih lagi ketika mahu tidur. Sejurus sebelum terlelap, matanya seolah-olah terlihat bayang-bayang di cermin tingkap biliknya. Lalu matanya tidak jadi terlelap. Dia selalu terbayangkan wajah wanita ngeri dengan darah meleleh turun dari ubun-ubun tanpa henti. Atau wajah lelaki yang bengis dengan separuh mukanya terbakar hingga nampak tulang pipi dan rahang.


Atau muka seorang lelaki yang berkedut seribu dengan lintah, lipas dan lipan berkeliaran masuk hidung keluar mulut, masuk telinga keluar soket mata yang membolong jauh ke dalam. Atau lembaga hitam yang merangkak sambil mengheret separuh badannya yang telah hancur seperti telah digilis lori balak.


Alin bukan sahaja melihat malah mencium bau-bau busuk yang datang bersama-sama mereka itu. Bau hanyir darah dan nanah jangan dikatalah, itu sudah mesti. Yang paling Alin tidak tahan ialah bau daging busuk yang mereput.


Malam itu seperti malam-malam lainnya. Cuma lebihnya malam itu ialah malam Jumaat yang istimewa. Malam Jumaat itu sama tarikhnya dengan kejadian yang menimpa kedua ibu-bapanya 5 tahun lepas. Malam Jumaat seperti malam itulah kedua ibu bapanya mati akibat kemalangan yang ngeri. Tubuh ibunya hancur digilir lori tangki setelah terhumban keluar dari kereta manakala bapanya sempat dibawa ke hospital dalam nyawa-nyawa ikan.


Tubuh ibunya terpaksa dikutip di dalam 3 karung guni oleh pekerja lebuhraya cebis demi cebis sepanjang 50m lebuhraya itu. Sesetengah daging ibunya terpaksa dikorek dari celah-celah bunga tayar dan kerangka lori tangki. Manakala usus ibunya yang sepanjang 20 kaki itu terbelit ditayar lori tangki yang menggilisnya. Darah ibunya tersimbah di sepanjang jalan itu. Kepala ibunya hanya dijumpai seminggu kemudian oleh Orang Asal yang sedang berburu. Kepala ibunya itu telah pun berulat ketika dijumpai dan terpaksa dikuburkan secara berasingan dari tubuhnya.


Alin sempat bertemu bapanya dan bapanya itu sempat memberikan pesan kepadanya dan penjaganya. Namun pertemuan itu bukanlah satu pertemuan yang indah kerana muka bapanya telah hancur dihiris kaca manakala kedua-dua belah matanya telah terkeluar dan hilang.


Malam itu, Alin menggeletar kerana dia tahu 'ibu'nya akan datang menziarahnya seperti setiap malam Jumaat lepas-lepas. Ibunya akan datang dari arah tingkap yang terbuka sendiri walau pun dirapatkan. Alin kenal sangat dengan bunyi tingkap 'nako' yang dibuka. Ianya bermula dengan layangan bayang-bayang hitam dari lampu jalan yang melimpah ditingkapnya. Apabila itu berlaku, Alin akan cepat-cepat tarik selimutnya hingga menutupi mukanya. Kemudian Alin akan mematikan dirinya. Dia akan cuba menahan nafas dan apabila tidak tertahan lagi, dia akan menarik dan menghembus nafas perlahan-lahan. Sangat-sangat perlahan.


Selepas itu, tangan 'ibu'nya akan memaut pada jeriji tingkap lantas menarik sebahagian tubuhnya yang berjurai hancur dari paras dada ke bawah. Muka ibunya juga turut hancur dan raut muka ibunya bukan lagi bulat atau lonjong tetapi telah pipih dan pipinya terpokah menampakkan daging-daging pipi yang telah reput dan bercacing. Apabila kepala ibunya telah masuk ke dalam biliknya, seluruh tubuh ibunya akan terus jatuh selonggok di bawah tingkap. Alin kenal sangat dengan bunyi itu. Bunyinya seperti kain batik basah yang jatuh di lantai bilik air.


Seketika kemudian, ibunya akan menyeret tubuhnya yang hancur dan reput itu ke arah katil Alin. Laluan heretan ibunya itu akan basah dek darah dan nanah hijau. Bau hanyir dan busuk akan segera memenuhi bilik Alin. Lalu dia akan pekup kedua-dua hidungnya kerana tak tahan dneganh bau itu tetapi dia tak dapat bergerak kemana-mana lagi. Dia akan membatukan diri.


Kemudian ibunya akan memaut birai katilnya. Alin akan terasa kain cadarnya ditarik-tarik oleh ibunya. Tak lama kemudian, Alin akan terasa seperti benda berat dan basah menghempap kakinya, naik ke betisnya, naik ke pehanya sehinggalah ke atas perutnya. Alin akan menggeletar. Peluh dia akan berjurai-jurai turun. Kemudian Alin akan terdengar suara ibunya seperti tersekat dikerongkongan. Suara ibunya yang serak-serak itu akan memanggil nama Alin berkali-kali tetapi Alin tidak akan buka selimut. Oleh itu, ibunya akan tarik selimut Alin agar terdedah mukanya. Jika mukanya terdedah, dia akan tutup matanya dengan kedua-dua belah tapak tangannya. Jika dia berbuat begitu pula, tangan ibunya yang lembab berlendir dan hanyir itu akan memaut lengan Alin lalu menariknya kuat-kuat hingga terganjak dari matanya. Jika itu pun berlaku, biasanya Alin akan memejapkan matanya rapat-rapat. Alin tak sanggup bertentang mata dengan ibunya itu.



'Tuk.. tuk..tuk..' 


Pintu bilik Alin diketuk. Serta merta Alin menarik nafas lega kerana ia pasti bukan ibunya itu. Itu mungkin penjaganya. Alin pun bingkas bangun dari katilnya dan berlari menuju ke pintu. Dia akan minta penjaganya meneminya tidur pada malam Jumaat itu.

Apabila pintu dibuka, di depannya berdiri seorang lelaki dengan wajah terhiris hancur dan soket matanya melopong jauh ke dalam. Manakala darah berjurai-jurai turun dari daging pipi yang telah mereput. Alin tercegat dipintu tanpa dapat bergerak. Manakala lelaki itu terus berjalan dan menolak Alin masuk ke bilik semula.


Dan pintu bilik Alin pun ditutup dan dikunci dari dalam....






.

Monday, April 11, 2011

Rahim bodoh kerana terlupa, malam keramat itu dilanggarnya...

.

imej: redbubble.com



Musim menuai memang musim yang meriah, siang-malam sibuk dengan mesin-mesin padi yang tak henti-henti menggerit batang-batang padi, memamahnya, lalu memuntahkan jerami dari bontotnya. Manakala padi akan dikumpulkan di dalam tong besar di atasnya. Apabila penuh, padi tadi akan dituangkan ke dalam lori-lori yang menunggu.


Malam itu, giliran lori Rahim pula.

Malam itu, lori 5 tan miliknya sendat dengan padi. Malangnya, kilang padi tidak dibuka malam hari. Tetapi, mesin padi itu perlu muntahkan isi padi itu kerana perlu menjamah sawah lain yang sedang menunggu. Mahu tak mahu, Rahim perlu bermalam di dalam lorinya di tepi jalan yang sunyi itu. Tak boleh ditinggalkan, kalau tak esok pagi lorinya akan berjalan sendiri.


Dan malam itu, lorinya tidak jauh dari rumah Usop, rumah pawang yang dibenci orang kampung tetapi masih diperlukan bila ada orang kampung yang sakit. Saudara mara pawang ini selalu melakukan upacara yang pelik-pelik. Salah satunya, dalam setahun mesti sekali anak-anak dara mereka mandi berkemban di atas kubur datuk mereka.


Malam itu, Rahim baring sendirian di dalam kabin lorinya. Cengkerik berdendang, cahaya bulan samar-samar ditapis awan. Rahim perlu jaga muatan padinya daripada dipunggah orang tetapi matanya tak mampu ditahan lagi bila jam hampir pukul 1 pagi. Rahim rebahkan badannya. Dia tutup tingkap kerana tak sanggup mendengar desingan sayap nyamuk.


Namun sekejap sahaja. Rahim terasa bahang panas. Dia buka semula tingkap cermin lorinya. Dia berbaring menelentang manakala kedua-dua kakinya dilunjurkan keluar tingkap, ditopangkan pada birai cermin.


Ketika itulah, Rahim terdengar seperti keluhan kecil. Nafas yang mendengus payah sambil berjalan mengheret kaki. Bunyi rantai besi melarik kelikir jelas didengarnya. Rahim terlupa sesuatu. Ya, dia terlupa di mana dia berada sekarang. Sekarang, dia sedar tetapi terlewat. Kalaulah dia ingat siang tadi, pasti dia ajak Jefri temankannya. Terlambat.


Bunyi seretan kaki berselang seli dengan bunyi rantai besi yang terseret di atas jalan berbatu kelikir semakin hampir. Rahim diam membatu. Ditarik kakinya masuk ke dalam kabin lori. Rahim tunduk menikus. 'Benda' itu datang dari arah kubur lama dan 'bertandang' ke rumah Usop. Orang kampung sedia maklum perkara itu akan berlaku pada malam-malam tertentu dalam setahun. Dan salah satu malam itu adalah malam ini. Rahim boleh terlupa!


Kini, bunyi seretan kaki dan rantai besi itu betul-betul di sebelah lorinya. Rahim terus berdiam, terus menikus dan berharap 'benda' itu terus melangkah pergi ke rumah Usop.


Tetapi, bunyi seretan kaki dan rantai besi itu terhenti betul-betul di luar kabin lorinya. Rahim merasa amat menyesal kerana terlupa. Kini, dengusan nafas didengarinya dengan jelas dan hampir. Rahim perlu keluar dan lari.



Perlahan-lahan, Rahim buka pintu sebelah satu lagi dan memulakan langkah beribu. Perit tapak kakinya menapak di atas jalan batu kekilir dilupakan. Setelah agak jauh, Rahim toleh ke arah lorinya. Satu lembaga hitam setinggi tiang eletrik berdiri dekat dengan lorinya. Rahim teruskan lariannya menuju ke surau berdekatan.


Lori dan muatan padinya akan selamat, kerana tiada orang yang berani ke situ kerana mereka tahu malam ini adalah malam keramat untuk belaan dan pembelanya. Cuma Rahim yang bodoh, terlupa...






[ seperti diceritakan sendiri oleh 'Rahim' suatu waktu dulu ]



.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com