Wednesday, August 5, 2015

Sambungan #2 Mimpi ..... kemanusiaan

.

Sambungan cerita semalam...



Setelah beberapa jam berjalan di dalam angin kencang dan sejuk itu, di hujung jalan beraspal compang-camping ada pekan kecil tetapi bangunan-bangunannya tinggi juga. Ada yang sampai berbelas tingkat tapi kesemua bangunan seperti bangunan tinggal. Tingkap-tingkap kaca pecah, catnya  kusam dan kotor, kertas bertaburan di tiup angin, langsir terkoyak, ada beberapa tingkat dengan kesan terbakar. Di jalan-jalan pula sampah bertaburan, kereta berkarat remuk dan terbalik, malah ada yang sudah hangus.

Setibanya di lokasi itu, aku lihat manusia berlari-lari masuk keluar kedai dan pasaraya, menjarah barang-barang yang boleh diguna. Mereka berpakaian seperti pengemis di bandar-bandar Eropah... berbaju lusuh dan berlapis-lapis, mungkin menahan sejuk.

Salah satu babak yang aku ingat jelas ialah ketika kami lalu di lorong di celah bangunan, ada sebuah pasaraya yang sedang dijarah. Di kaki limanya ada rak empat segi yang dipenuhi selipar, sandal dan kasut wanita. Aku suruh mama dan adik ipar rebut, malangnya tak ada yang sesuai. Aku lihat orang bertolak-tolak masuk keluar pasaraya itu, berebutkan makanan dalam tin dan bahanapi. Ada yang bergaduh dan pukul memukul kerana barang amat sedikit.

Kami teruskan berjalan, bertiga sahaja. Kumpulan yang sama-sama datang tadi entah hilang ke mana. Mungkin ikut sama menjarah barang-barang agaknya. Akhirnya kami sampai di depan sebuah bangunan yang tinggi berbelas tingkat. Mungkin bangunan pejabat perniagaan. Di belakangnya ada bukit yang tinggi, hampir sama tinggi dengan bangunan itu. Ada bangunan juga di atas bukit itu dan ada jejantas yang menyambungkan kedua-dua bangunan itu.

Kami masuk ke dalam bangunan itu. Kertas berselerak. Di satu sudut di ruang legar yang berselerak itu ada timbunan kayu dan perabot yang telah dibakar, mungkin sebagai unggun api pemanas badan. Tiada elektrik. Lampu pecah. Lantai kotor. Aku perlu cari tempat yang selamat dan sentosa untuk bermalam, tidak ditampar angin sejuk, tidak dilihat orang yang berhati busuk. Hari telah senja. Kami naik ke tingkat atas dengan tangga. Berhati-hati kami melangkah kerana takut ada penghuni yang ganas dan teritorial, kami pula yang diserang. Kami tak ada senjata apa-apa. Setingkat demi setingkat kami naik. Bilik-bilik di sepanjang koridor itu seperti ada penghuninya. Pintu tertutup atau ada suara yang keluar dari balik pintu. Kami tak berani masuk. Kami cari lagi.

lebih kurang di tingkat 10-11, akhirnya kami jumpa satu bilik dihujung koridor. Itu mungkin bilik pejabat kerana ada meja dan kerusi pejabat. Kami ketepikan semuanya, kami susun kertas di atas lantai sebagai alas untuk berbaring. Kami terasa lapar...terasa haus. Kami jengah keluar pintu, ada bilik seperti pantri, ada sinki di situ tapi airnya hanya menitis. Kami tadah untuk minum. Haus hilang tapi kami lapar dan kesejukkan. Kami kembali masuk ke bilik pejabat. Kami duduk berpelukkan untuk menghangatkan badan, kami letih jadi kami berbaring pula, berhimpit bertiga...(adegan seterusnya dipotong, tak lulus siaran).

Beberapa jam selepas itu, pintu bilik kami dikuak perlahan. Kami gugup, takut. Kemudian muncul satu kelibat wanita tua sambil membawa sebungkus plastik. Aku bangun dan ambil plastik itu dalam keadaan menggigil. Wanita itu kata dia tinggal selang dua pintu dan dia tahu kami baru sampai ke situ. Di dalam plastik itu ada beberapa tin makanan segera dan bahanapi untuk membuat unggun. Sepanjang malam itu kami tidur-tidur ayam, takut jika diserang atau dirompak.



(sambung lagi...)



.

2 comments:

Daddy Ziyyad said...

jap, berapa part mimpi kau ni Nizam?

Nizam.Ariff said...

DaddyZ.
Esok last part...haha

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com