Friday, May 23, 2008

FiQir: Sejarah kembali berulang-ulang...

Dalam Koran Utama hari ini tentang PM dan Mantan PM:

"Tan Sri Abdul Aziz Tapa yang menyatakan kemelut antara kedua-dua pemimpin itu sudah mencapai tahap memerlukan penglibatan Tuanku Mizan sebagai ‘orang tengah’ untuk menyelesaikannya.
Abdul Aziz seperti dilaporkan oleh Bernama hari ini berkata, hanya menerusi campur tangan Tuanku Mizan sebagai wakil raja-raja Melayu, kedua-dua pemimpin itu boleh duduk berbincang bagi mengatasi perselisihan pendapat antara mereka."

Aku pernah melihat perkara seperti ini, tentang Bendahara, Bendahara yang bakal diturunkan dan Sultan. Ceritanya seperti ini:
______

"Maka, dipersembahkan oranglah Bendahara Seri Wak Raja sudah mati, maka Baginda terkejut mendengarnya. Maka Baginda pun terlalu dukacita lalu berangkat pergi menanamkan Bendahara Seri Wak Raja seperti adat orang besar-besar; tujuh hari Baginda tiada nobat.

Maka, anak Bendahara Seri Wak Raja itu tiga orang; yang tua sekali perempuan Tun Kudu namanya lalu diperisteri oleh Sultan, adapun yang tengah itu laki-laki Tun Perak namanya, dan yang bongsu Tun Perpatih Putih namanya. Maka, setelah Bendahara Seri Wak Raja itu mati, maka Seri Nara DiRaja diangkat Sultan Muzaffar Syah menjadi bendahara.
Maka, sekali peristiwa, ada seorang Kelang mengatakan dirinya teraniaya oleh Tun Perak sedikit, maka berdatang sembah ke bawah duli Baginda. Maka, berkata-katalah Tun Perak dengan bentara Seri Amerta, maka dengan muslihat, lepaslah Tun Perak dengan bijaksananya.

Maka, Sultan Muzaffar Syah pun tahu akan Tun Perak itu bijaksana maka dijadikan Baginda Perdana Menteri, digelar baginda Paduka Raja, disuruh duduk di balai seri setara bendahara Seri Nara DiRaja.

Setelah Paduka Raja dan Seri Nara DiRaja dua orang itu menjadi orang besar, maka anak Melayu pun berbelah, setengah pada Paduka Raja, setengah pada Seri Nara DiRaja, kerana keduanya itu orang berasal. Maka, Baginda tahu akan perihal itu maka berasa terlalu dukacita. Maka baginda lalu hendak bermuafakat akan Seri Nara DiRaja. Maka, Sultan Muzaffar Syah pun menyuruh Seri Nara DiRaja beristeri akan Tun Bulan, kemudian Tun Rakna Sandari, kemudian Tun Kanaka, ditanya Baginda seorang-seorang.

Maka sembah Seri Nara DiRaja, 'Mohon patik, Tuanku'.
Maka, tiadalah berkenan. Maka, beberapa anak orang besar-besar ditanyakan oleh Sultan, tiada juga berkenan pada Seri Nara Diraja.

Maka, titah Sultan, 'Maukah Seri Nara DiRaja akan Tun Kudu, anak Bendahara Seri Wak Raja, saudara Paduka Raja yakni Tun Perak?'
Maka, sembahnya, ' Daulat, Tuanku!'.

Maka, Tun Kudu itu lagi isteri Sultan, maka diceraikan Baginda lalu diberi pada Seri Nara DiRaja. Setelah sudah, maka tiadalah Melayu berbelah. Maka, Paduka Raja pun dijadikan bendahara dan Seri Nara DiRaja menjadi Penghulu Bendahari."
______________

Adakah ini yang ingin dicadangkan oleh TS Abdul Aziz Tapa untuk menamatkan kemelut 'dua orang Melayu yang sama berasal' ini? Kalau benar, memang parah dibuatnya....
.

No comments:

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com