Dia pandang aku. Aku pandang balik dia.
Kami biarkan asap rokok berkepul naik ke langit. Kami tak sentuh. Kami pandang langit.
"Kenapa awak risau sangat? Kita memuja Tuhan yang sama, Tuhan samawi. Bahkan, Nabi aku salah seorang nabi awak juga. Ulul-Azmi. Bahkan, ketika akhir zaman nanti, nabi aku juga akan turut sama dengan awak semua menentang Si Dajal bermata satu itu. Kenapa kita perlu bermusuh sedangkan nabi-nabi kita tidak pernah bermusuh, malah saling memerlukan?"
Aku [ter] diam. Aku tarik satu pam dalam-dalam. Penghabisan. Aku cucuh bara merah ke tiang lampu. Aku kata, memang kita punyai Tuhan yang Esa. Semua ajaran nabi-nabi itu, termasuk Musa dan Daud, menyuruh kearah kebaikan. Aspek perlaksanaan yang membuatkan kita berbeza. Dan setiap nabi punyai rencana masing-masing. Rencana dari Tuhan jua. Kita perlu akur denganNya kerana manusia tidak semuanya sama.
-----------------------------
Tok Ketua kita menyarankan toleransi beragama. Betul.
Tapi, toleransi itu umpama telur dihujung tanduk. Kalau dalam istilah fizik kuantum, toleransi adalah quasi-statik. Dia diantara mengembang atau menguncup, bergantung kepada Nisbah Chandrashekar. Kalau dalam fizik dinamik, toleransi seperti gasing yang sedang berpusing ligat selagi ada tenaga dari momen-i [momen inersia]. Dan apabila usai tenaga itu, gasing akan teroleng-oleng pada paksinya dan rebah.
Toleransi bermakna ada sempadan bayangan. Sempadan ini mungkin bertindih di beberapa sudut. Selagi ada kuasa mutlak, sempadan bayangan ini akan sentiasa terimbang. Tapi, sampai bila?
Sempadan ini terimbang seperti dua kuasa alam ini: daya nuklear dan daya graviti pada satu bintang. Daya graviti [dari jisim] cuba menarik jirim-jirim yang di luar menjadi mampat. Manakala, daya nuklear [mampatan jirim mencetuskan belahan nuklear] pula menolak jirim-jirim tadi keluar. Bintang tidak meletus selagi daya-daya ini terimbang, selagi ada fuel untuk dibakar. Bila habis? remuk dan bintang akan meletus...supernova.
Sengaja aku kiaskan kepada fenomena alam kerana kita sebahagian alam fizikal ini. Hukum Tuhan adalah sama. Apa yang berlaku di langit, seperti juga ianya berlaku dalam diri kita.
Toleransi terimbang akan goyah. Kerana, telah tertanam satu benih dalam setiap agama. Benih itu dinamakan...seruan/syi'ar.
Setiap agama memerlukan pengikutnya mengembangkan ajaran ini kepada kaum lain. Bila ini dititikberatkan, imbangan akan teranjak ke sempadan yang lain, sempadan yang lemah. Dan pihak yang terhimpit akan diam? Tentu tidak! kerana ada satu benih lagi tertanam. Benih yang ini dinamakan...jihad/crusade.
Jadi, bolehkah benih-benih ini dicungkil keluar dari agama? Tidak! ianya asas penyebaran.
Kiamat pasti berlaku!
Peperangan demi peperangan pasti berlaku.
Si Dajal pasti muncul. Semua ini telah termaktub. Tidak boleh dihindarkan kerana kita tidak boleh berdoa agar Kiamat dihapuskan. Dan semua yang berlaku adalah bunga-bunga ke arah itu. Cuma, selagi kita hidup, kita hanya mampu berdoa agar Kiamat tidak berlaku pada zaman kita.
Entahlah... Tuhan Maha Mengetahui. Aku hambaMu yang takut kepada segala ancamanMu.
.
2 comments:
Wah..sampai ke hukum Fizik engkau berkarya ye.. Bagus bagus..
smile
Ashley,
kakaka.. saja je...
Post a Comment