Thursday, September 9, 2010

Khayal malam Raya... suara takbir bergema

.

Ini cerita dulu-dulu, zaman belia harapan bangsa. Sempena Hari Raya yang bakal tiba ini, aku masih teringat satu peristiwa pada malam Hari Raya satu ketika dulu. Dulu-dulu.


Pada malam itu, bintang-bintang bermaharajalela di dada langit kerana bulan masih bayi, tiada sinar bulan untuk mengabui bintang-bintang yang malap. Ibu bulan masih dalam pantang, darah nifas pun masih meleleh keluar. Anak bulan baru diumumkan lahir dan kelihatan di ufuk barat. Pengumuman dari penyimpan mohor besar raja-raja Melayu telah dibuat kelmarin, jadi sahlah esok Hari Raya.


Selepas berbuka untuk hari terakhir Ramadhan, aku bermotor pergi ke surau berdekatan untuk bertakbir dan bertahmid. Dari corong pembesar suara surau yang salah satunya menghala betul-betul ke laluan jalan berkelikir ini, jelas suara arwah Bapak sedang bertakbir, diselang-seli dengan suara-suara jemaah lain, seperti okestra.


Sebelum sampai ke titi batu surau itu, aku berhenti di satu titi lain, jalan masuk ke rumah kawan aku. Beberapa kawan aku dah ada di situ, lepak di atas titi yang merentangi parit kecil yang menyalurkan air ke sawah-sawah padi. Aku singgah sekejap. Mereka sedang menghisap rokok. Dari sebatang ke sebatang. Bara dari muncung rokok umpama mata toyol yang baru lepas dari kurungan... merah menyala. Asap berkepul-kepul.


Kemudian, aku perasankan sesuatu. Bau asap rokok itu bukan seperti asap rokok biasa-biasa. Ada bau seperti daun lembab yang dibakar. Agak lemak juga baunya. Aku tau, melalui pengalaman aku, mereka sedang pekena Ganja. Aku dah agak... kerana salah seorang kawan aku baru balik dari ibu kota... bawa bekalan racun minda sekali. Entah apa yang disembangkan, butir bicara kurang jelas. Tetapi, setiap patah perkataan akan diselang-seli dengan ketawa berdekah-dekah. Ya, kalau khayal dalam Ganja, payah nak kawal segala perbuatan.


Tak lama kemudian, dua orang kawan lain bermotor dan singgah di situ. Rokok berganja pun bertukar tangan. Masing-masing khayal di malam Raya. Aku ketawa juga melihat keletah mereka, namun ketawa aku bukan dalam pengaruh khayal.. kalau ada pun sikit-sikit je la.. ala.. sepam dua pam... biasa la.


Dari sorong pembesar suara surau itu, kedengaran jemaah bertakbir dan bertahmid.


Seorang kawan berceramah, beri nasihat itu ini, termasuk bahayanya penggunaan dadah dikalangan remaja bawah umur. Ya, seperti mereka. Seorang lagi kecoh dengan perut yang lapar dan haus. Dia mundar-mandir kemudian dia turun ke gigi air. Dia mencangkung dan menceduk air dengan tapak tangan. Ahhh..! segar.. katanya. Manakala seorang lagi sedang berdiri di hulu parit itu, tak jauh. Sedang kencing. Sah... memang segar air yang diminum oleh kawan tadi. Macam air teh, katanya. Lantak koranglah!


Kawan yang bermotor tadi meninggalkan kami. Aku lihat motor yang ditunggang bergerak macam ular kena ketuk... melilau kanan kiri. Akhirnya, hilang dalam gelap malam.

Dari surau itu, gema takbir dan tahmid semakin rancak.


Tak lama kemudian, dua orang kawan yang bermotor itu kembali kepada kami. Cermin sisi motornya patah. Ada luka kecil pada lutut salah seorang dari mereka. Kami dekati mereka berdua. Kami tanya, apa yang terjadi.

"Ni.. budak bangang bawak motor. Dah berhentikan motor tapi tak turun kaki.."

"Laa.. aku ingat kamu yang turunkan kaki... bahlol.."


Ya, akhirnya kedua-dua mereka tak tongkat motor dengan kaki. Dan mereka jatuh macam badak sumbu dalam khayal...



Di surau itu, para jemaah khusyuk bertakbir dan bertahmid, diketuai oleh arwah Bapak aku.




.

3 comments:

tasekM said...

penyudahnya ko bertakbir ke tidak nih....?

:p



.

ckLah @xiiinam said...

Malam ni kita bertakbir sama-sama ya!

Nizam.Ariff said...

TM,
Takkkk! Hahaha..

Cklah,
Jom, tapi dari sebalik tabir je la...

Baincardin,
Salam untukmu jua...

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com