Saturday, March 19, 2011

Ini Uncle Goh, dia tak suka makan...

.


Perkenalkan, ini Uncle Goh Lim Kok. Umurnya: classified. Penyakitnya: classified.


Aku duduk-duduk di kerusi yang dideretkan di tepi dinding tak jauh dari Uncle Goh. Sambil-sambil itu, akuk langak-langakkan muka aku melihat kerenah orang-orang yang ada di situ. Macam-macam pelawat. Macam-macam sembang kosong dan lawak. Aku tau, sebahagiannya hanya untuk mengisi rasa bosan dan selebihnya untuk mengalihkan rasa sakit dan risau akan mati kepada topik-topik yang selalu diakhiri dengan hilai ketawa. Aku tumpang-tumpang dengar.

Tapi, Uncle Goh ini keseorangan. Berselimut. Terlalu kurus. Kulit dan tulang sahaja. Tulang pipinya lebih cembul dari hidungnya yang kecil dan mancung. Matanya terperosok ke dalam. Dekat setengah dozen air kotak tersusun di atas meja 1' x 3' itu. Mana pergi saudara maranya?


" ...semua keleja..." kata Uncle Goh kepada jururawat yang bertanya.

Senyumannya tak lekang-lekang bila bercakap. Jururawat itu nak ambil darah dari lengan kirinya. Dia minta Uncle Goh pindahkan jam tangan bertali besi itu ke tangan kanan. Terkial-kial Uncle Goh buka dan pasangkan semula jam pada tangan kanannya. Hampir tak ada tenaga. Dan yang kasihannya, bila dia angkat tangan kanannya, jam tangan itu 'melondeh' hingga ke pangkal ketiaknya.  Memang terlalu kurus.


" ... kenapa Uncle tak mau makan.. " kesal abang yang sorong-sorong troli-bawa-makanan.

Seperti biasa, Uncle hanya tersenyum. Nak makan yang 'order' punya, balas dia. Abang yang sorong troli-bawa-makanan itu hanya tersengih tetapi masih meletakkan satu set juadah diatas meja itu. Sebiji buah oren juga diletakkan di atas meja itu. Uncle makan tau, sikit pun tak apa, pesan abang itu sebelum dia berpindah ke katil yang lain pula.


Aku terfikir, macam mana Uncle Goh nak makan buah belum berkupas sedangkan nak angkat tangan pun tak lalu?

Aku pinjam pisau lipat dari ibu mertua. Aku tanya Uncle Goh, dia teringin nak makan buah? Dia gelengkan kepala dan, seperti tadi juga, tersenyum manis. Aku syak itu gigi palsu.

Aku dapatkan kepastian sambil menunjukkan pisau dan gayakan ala-ala nak cincang buah oren. Dia tetap gelengkan kepalanya, dia minta suruh simpankan oren itu ke dalam lacinya. Kemudian, dia minta tengok pisau lipat itu. Aku tak bagi. Gua bukan mau, gua nak tengok-tengok saja, pintanya dengan nada sedikit tinggi. Serta merta aku terbayangkan dia ambil pisau lipat itu lalu potong urat nadinya. Aku pulangkan pisau lipat.


Aku biarkan masa merayap pergi bersama-sama seekor lalat kecil dan deru angin dari tingkap.

Kemudian, Uncle Goh semacam resah. Dia kuak selimutnya. Dia lambai-lambai tangannya kepada aku. Aku pergi kepadanya. Dia minta tolong tutupkan suis kipas. Sejuk, katanya. Aku lakukan.

Selang beberapa minit, dia terkial-kial lagi, pada kali ini dia goncang satu persatu kotak air minuman. Ada yang kosong, ada yang masih berbaki dan ada yang masih belum ditebuk lagi. Aku bangun dan bertanya, dia nak minum perisa apa, aku boleh tolong tebukkan.

"...tak apa.. tak payah.." kata Uncle Goh. Seperti tadi, sentiasa tersenyum.


Kemudian, aku tergoncang satu kotak minuman laici yang masih berbaki. Aku hulurkan kepadanya. Aku rasa cukup untuk seteguk sahaja. Aku tanya, cukup? Dia angguk-anggukkan kepala, seperti tadi juga, tersenyum.


Sebelum aku labuhkan bontot yang labuh itu, dia minta aku tolong carikan plastik dari dalam lacinya. Aku selongkar lacinya, ada dompet, ada duit syiling bertaburan, ada air ECPI, ada tisu dan ada beberapa helai plastik bungkus. Aku pilih yang kecil sahaja. Dia minta aku pindahkan ayam panggang berkunyit dari pinggang ke plastik itu dan simpankan di dalam laci.

"... nanti olang tadi mau angkat pinggan..." dia terangkan kepada aku.

Seperti-seperti tadi juga, bibirnya menguntum senyum. Kemudian, Uncle Goh tarik semula selimut. Aku biarkan dia berehat.


Kemudian, mata aku tertumpu kepada katil Ayah Mertua yang penuh orang di kelilingnya. Dan aku lihat cucu-cucunya sedang lihat atuknya makan nasi. Aku bangun dan aku tolong racikkan ayam panggang berkunyit itu dengan pisau lipat dan sudu garfu. Aku kecai-kecaikan supaya Ayah Mertua senang nak telan, giginya tak banyak yang tinggal. Sedikit-sedikit, aku masukkan ayam itu ke dalam mulut ... mulut aku. Saja nak rasa, aku kata kepada Mama.


Kemudian, Ariff cuit-cuit lengan aku. Aku hulurkan sedikit. Nak rasa, katanya. Lepas tu, cucu-cucu lainnya mula mendekati. Atuk suruh semua cucu-cucunya rasa ayam itu. Lagi pun, dia tak lalu makan, katanya.


Melihat cucu-cucu itu berebut-rebut nak rasa ayam panggang berkunyit, seorang India di katil sebelah bangun mendekati aku yang sedang sibuk kecai-kecaikan dada ayam.

"... ambil saya punya ayam, saya tak makan... ambil ayam tu kasi sama budak-budak.." kata uncle India itu.

Habis tu, nanti uncle nak makan apa? Tanya aku.

"... nanti orang rumah datang bawa nasi, bawa lauk..." katanya lagi.


Sesungguhnya, hari itu aku amat terasa Wad 2B di Hospital Jasin itu amat-amat 1Malaysia.

Sungguh!






.

10 comments:

tasekM said...

kita mmg dah lama hidup satu malaysia tanpa perlu dicanang-canang. tambah2 org melaka. india dgn india pun cakap melayu. cina dgn cina pun cakap melayu.

entah kenapa bila orang besar asyik mencanang aku jadi meluat.




.

Nizam.Ariff said...

TM,
rebelious.. macam aku gak, kita rebel. Orang kata A kita kata B, tapi bila orang lain kata B kita pulak kata A. Saja nak cari gaduh... gamaknya.

Linda said...

Kirim salam Assalamualaikun kat Ayah Mertua. Semoga cepat sembuh.

Kirim salam1Malaysia kat uncle Goh dan uncle India.

Eh, ko kat Jasin la nih ye?

Nizam.Ariff said...

b.kedondong,
yup... malam tadi balik..

aza ni said...

salam zam
maaf dulu

pendapat aku
inilah yang cuba di bangkitkan salam ovel tu..

salam zam
maaf lagi
tumpang lalu

salam tasek
maaf lagi
paendapat aku, orang besar cuma nak ingatkan kita semua supaya jangan lupa semangat 1 malaysia tu

salam zam,
maaf lagi
tumpang lalu

salam bkd
maaf bertanya
kenapa bila buka corat coret
ada pop up burner feed,
suruh log in.nak daftar dulu ke?

Nizam.Ariff said...

Azani,
Lebih baik bangkitkan nilai keharmonian sebab masa Nabi hijrah ke Madinah pun ada berpuak-puak. Penyatuan yang hampir sama cuma konsep dan pendekatan jauh berbeza.

aza ni said...

salam zam


aku setuju.

Nizam.Ariff said...

Azani,

ko tengok balik komen ko kat blog tijah... hahaha. mengamuk carlos karang...

Fadhilah Maarif said...

saya suka n3 ini dan juga komen dari TM.

Nizam.Ariff said...

Fadhilah,
memoir di hospital jasin... tasek mmg camtu kak, kadang2 kepala dia bulih fikir yg bernas-bernas...

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com