Wednesday, September 26, 2012

Sebuah rumah papan usang... kisah di sekitar 1985-1986

.

Berhadapan dengan tanah Bapak adalah tanah milik seorang tua yang telah berpindah dari situ. Namun pada musim-musimnya, anak-anaknya akan pulang untuk memetik buah rambutan atau cempedak atau buah-buahan lain. Tanah Bapak dan tanah orang tua itu dipisahkan oleh jalan utama kampung. Orang tua itu telah berpindah ke sebelah tanah perkuburan di kampung lain. Mungkin lebih aman berjiran dengan orang-orang yang telah mati berbanding dengan orang-orang kampung yang masih hidup.


Rumah yang ditinggalkan di tanahnya itu ialah rumah papan bertiang tinggi. Kereta pun boleh diletakkan di bawahnya kalau boleh tetapi tak boleh kerana jalan masuk ke rumahnya itu hanya sesuai untuk motorsikal dan basikal. Hatta kenderaan beroda tiga pun akan ada masalah. Satu, kerana jalannya kecil dan terpaksa membelok-belok mengelak pokok kelapa dan koko. Kedua, jalannya terlalu semak dengan rumput kapal terbang atau ulan-ulan yang berselirat memanjat pokok.


"Kamu nak tengok hantu?" tanya Onn, salah seorang anak orang tua itu.

Onn bercuti semester dan tinggal di rumah usang itu untuk beberapa minggu ini untuk menjaga dusun yang sedang berbuah lebat. Pertanyaan itu dilontarkan kepada aku dan kawan aku semasa kami rancak bersembang pasal cerita-cerita hantu yang ada di sekitar kampung.

"Kalau kau orang nak tengok hantu atau rasa sendiri, jom ikut aku."ajak Onn.

Entah angin senggugut mana yang datang, aku dan kawan aku terus setuju.

"Ok. Malam karang pukul 11 kau orang tunggu kat simpang jalan masuk ke tanah aku tu." kata Onn.


Lebih kurang jam 11 malam, aku dan kawan aku pun berbasikal ke simpang jalan yang dimaksudkan tadi. Tak lama selepas itu, kami terlihat kelibat Onn berbasikal dari arah surau. Onn lebih tua daripada kami dalam 6 tahun tapi kami tak bahasakan dia 'abang', kami panggil nama sahaja. Dah biasa begitu.

Dia terus mengajak kami mengikutinya ke rumah pusaka tinggalan bapaknya. Dalam gelap begitu, cahaya lampu suluh menjadi penerang jalan ke rumahnya. Memang gelap sungguh di sekeliling rumahnya, almaklumlah, pokok-pokok di kawasan rumahnya sudah besar tinggi. Angin malam bertiup tenang. Bulan dan bintang berkongsi gelanggang untuk mencahayakan gelap malam.

Dia ajak kami naik ke atas rumahnya. Kayu 4"x2" menjadi anak tangga.

"Kata tadi nak tunjukkan hantu. Mana dianya?" tanya kawan aku.

"Nantilah. Naik dulu. Kita sembang-sembang dulu." balas Onn.


Kami pun bersembang dari satu topik ke satu topik. Kebanyakkan masanya Onn lah yang bercerita kerana dia lebih tua dan berpengalaman. Dia ceritakan tentang universiti tempat dia belajar ketika itu. Dia ceritakan juga mata pelajaran yang dia tuntut. Pada masa yang sama, kami rebus ubi keledek dan jerang air. Kami buat air kopi O. Kami kupas kulit ubi keledek dan kami buang kulitnya melalui satu lubang yang ditebuk pada lantai rumah itu. Sungguh praktikal. Ruang tamu beratap zink itu masih utuh, masih ada para buku. Tetapi ada beberapa buah besen air yang digunakan untuk menakung air hujan yang menitis akibat bumbung bocor. Tetapi, bahagian dapurnya telah runtuh. Onn gunakan beberapa keping zink untuk menutup laluan ke dapur.

 Onn kata, tak boleh tidur kalau nak jumpa hantu. Kami kena tunggu hantu datang, biasanya selepas jam 1 pagi. Dalam pada menunggu itu, aku sempat juga terlelap di atas katil tanpa tilam. Hanya papan. Api pelita minyak tanah kerap terganggu apabila ditiup angin malam yang semakin keras terjahannya. Kira-kira jam 2 pagi, Onn kejutkan aku.

"Shhh..." Onn letakkan jarinya pada bibirnya, menyuruh kami diam.

Kami pun pasang telinga luas-luas. Kedengaran bunyi desiran angin kuras menghentam pokok. Anehnya, desiran itu seolah-olah melompat dari pokok ke pokok lain, bukannya serentak. Aku dah mula kecut tetapi seronok, terasa sungguh 'thrill' pada masa itu. Takut tetapi teruja untuk merasainya. Satu pengalaman yang sukar untuk di dapati.

Kemudian, aku terdengar seperti burung yang besar sedang berlegar-legar di atas bumbung. Sumpah, aku dengar kibasan kepaknya. Seketika kemudian, bumbung zink menjadi bising seperti ada sesuatu menaburkan pasir ke atasnya. Bukan sekali tetapi berkali-kali. Aku menjadi bertambah kecut.

"Jangan takut. Aku dah pagar rumah ni. Tapi kalau kamu berani, pergilah keluar, tengok sendiri." kata Onn.

Aku pandang pintu rumah yang elok berselak. Aku lega. Kemudian, aku lihat lubang sampah pada lantai rumah yang melopong. Aku mula terfikir yang bukan-bukan: tiba-tiba ada tangan berkuku panjang terjulur keluar dari lubang atau tengkorak dengan biji mata yang terkeluar dan berulat muncul dari lubang lantai itu.. macam-macam lagi. Tiba-tiba aku terasa mahu kencing.


Gangguan itu tak berhenti di situ sahaja. Aku juga ada dengar bunyi tapak kaki seperti sedang berlari-lari di bawah rumah dan di sekitar laman yang semak dengan rumput. Aku pasti itu bukan bunyi tapak kaki tikus atau kucing. Derapannya cukup kuat, seperti lembu atau kerbau. Tetapi, tiada lembu atau kerbau yang berkeliaran di kawasan kampung. Semuanya bertuan dan berkandang.

Lebih kurang 2 jam berlalu, segala bunyi-bunyi itu pun hilang. Hanya desiran angin yang keras menerjah pokok-pokok di sekeliling rumah.


Keesokan paginya, aku turun ke tanah. Aku jenguk di bawah rumah. Aku lihat banyak kesan tapak kaki yang masih baru. Aku tengok sekeliling, buah rambutan bergayutan. Merah, kuning. Ranum sekali. Aku juga nampak buah-buah langsat dan rambai yang lebat. Kesimpulan yang aku boleh buat ialah: keluang atau kelawar yang memakan buah dan kencing di atas bumbung, manakala tapak kaki yang banyak itu mungkin memerang yang mencari ikan di sawah berdekatan.

Jadi, aku rasa Onn sengaja mengajak kami kerana dia sunyi. Dia mahu berteman pada malam tadi. Teman? Baru aku perasan, kawan aku masih di atas katil... tidur bersama-sama Onn. Oh tidakkk..!!!!





Bukannya apa, subuh dah nak habis...



.

7 comments:

Cikgu Ma said...

haha..kemain citer dia..ok, x takut..kihkih

Nizam.Ariff said...

cikgu ma,
hahahaa... tak de niat nak seram-seram. cuma nak kongsikan pengalaman je...

sepa said...

kenanya betul2 hantu, mau meracau eh.! :D

Lady Windsor said...

errr ciri-ciri citer ko ni aku dah pernah mengalaminya...masa tu aku dalam platun buat latihan marching/baca kompas dari jam 6 petang hingga jam 6 pagi esoknya.
kami diturunkan di satu lokasi ketika hari hampir gelap. ntah mana lokasi tu..kami ada 13 orang, 2 daripadanya adalah YO (young officer) yang sama penakutnya macam kami. sampai pada satu bacaan kontur lereng bukit, kami disuruh diam dan baca apa-apa yang patut..sambil itu bila dongak ke atas ada makhluk terbang dari satu pokok ke satu pokok getah, berwarna putih dan besar (chisss tetiba aku berasa bulu tengkuk aku meremang)...dan kemudian ada bunyi pasir berderau. Kami sesat alam hutan dan terpaksa baring atas bumi tanpa alas sebelum hijab kami dibukakan...padahalnya kami dok ada kat tepi jalan raya besar dan dekat dengan markas...syaitan punya pasal...kabur dan ditutup pandangan...

ehhh ada connection tak dengan entry ko ni ek?

Nizam.Ariff said...

sepa,
mungkin juga hantu betul cuma aku yg tak nampak apa-apa.. cuma dengar je... hahaha




LW,
itu setan jenis apa ek?
hantu kpek kut sebab suka sorokkan budak2....

Lady Windsor said...

ntah le hantu apa..yg confirm..kami tak tahu jalan balik. pusing lima kali, kami dok situ juga.

Nizam.Ariff said...

LW,
twilight zone la kalau gitu... hahaha

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com