Friday, August 29, 2014
Jenang...
.
Jenang.
Matanya berair dirundung asap sabut. Merah menyala seperti biji saga. Nasiblah hari masih siang, jikalau tidak, mungkin ada yang kata dia itu hantu raya. Tapi air mata itu air sangsi. Sama ada pedih atau tangis. Atau tangis sebab pedih. Atau pedih apabila dia menangis.
Dan pedih itu datangnya dari mana? Adakah asap sabut mencubit biji matanya atau dari hatinya yang seperti disayat-sayat? Hanya dia yang tahu kerana dia yang berada di situ...di tepi sebuah wajan besi baja yang tebal dan hitam.
Semakin lama semakin pekat Jenang. Bau wangi gula dan santan naik menyentap kudup-kudup rasa. Menyengkak hidung. Semakin payah tangannya memutar, memugar, menggaul. Jenang semakin berat. Jenang semakin pekat. Semakin jugalah air matanya bercucur. Semakin jugalah hidungnya berhingus.
Jenang meletus-letus. Bak lahar gunung berapi yang menggelegak. Teringat dia dulu ada satu cerita bagaimana seorang budak kecil terjatuh ke dalam Jenang. Melihat akan Jenang yang meletus-letus itu, ngeri menjalar dari tumit kaki naik ke pangkal leher.
Jenang sudah pekat. Terlalu pekat untuk dikayuhkan sudip lagi. Akhirnya dia beralah. Dibuangkan api berbara yang masih tinggal. Dikuisnya jauh sedikit. Disekanya peluh yang merenik di dahi. Disapunya pipi yang bergenang air mata.
Jenang, apa yang telah kau buat padanya? Kau pada mulanya cair, jadi semakin pekat sedangkan usia tua dia memamah kudrat saat demi saat, dari kuat menjadi lemah. Dan ketika dikemuncak dia lemah itulah Jenang menjadi pekat melekat.
Jenang.
.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Errrrrr jenang tu apa ekk? Hahahahhaa...sejenis kuih kaa? Serius tak tahu... ok mahu di gugal lepas ni...
Cik.
Haha....cepat gugellll.....
Aku x nak bg tau...
Post a Comment