.
Pada satu malam itu, aku berada di sebuah taman di pinggir satu bandar. Kelihatannya seperti di taman tasik Taiping, tidak jauh dari Zoo Taiping. Aku ke situ untuk memancing di tepi tasik atau sungai yang tohor airnya. Malam itu aku letakkan kereta di bahu jalan raya. Bertemankan lampu neon sekitar jam 10 malam, aku sediakan peralatan memancing seorang diri.
Sambil melangut memandang joran kalau-kalau umpan diragut ikan, aku melihat-lihat sekitar taman tasik. Ada beberapa pasangan sedang berjalan atau berjoging. Ada beberapa mat motor menguji kuasa motorsikal dan keberanian (ego) masing-masing. Semakin malam menganjak ke larut malam, orang mulai berkurangan.
Tinggallah aku berseorangan di tengah malam di tepi tasik. Air tasik tenang, dan masih bertemankan limpah neon kuning. Aku terlihat 3-4 orang anak muda dalam awal 20-an umurnya, mereka berjalan kaki di jalan raya di bawah neon sambil bersembang rancak. Namun tidak lama kemudian, aku terdengar jeritan.
Aku bangun, tinggalkan pancing aku di tasik dan bergegas pergi ke jalan raya. Aku lihat beberapa orang anak muda tadi telah melarikan diri. Tinggal 2 orang anak muda di situ. Aku hampiri mereka. Salah seorang dari anak muda itu menjerit-jerit kesakitan, menggelupur, menepuk-nepuk tubuhnya sambil bertanya kawannya " Apa kamu buat kat aku ni?" berulang kali.
Aku tak percaya apa yang aku lihat. Tubuh anak muda itu seperti mereput dan menjadi kabus sedikit demi sedikit. Seorang anak muda lagi seperti sedang menyedut nafas dalam-dalam, menyedut kabus tubuh badan kawannya yang mereput. Sedikit demi sedikit tubuh kawannya itu disedut, dalam 10 minit, tubuh kawannya pun hilang. Kini tinggal kami berdua.
Aku hampiri anak muda itu. Aku bertanya, " kenapa kamu buat begitu?". Dia seperti baru lepas mendapat tenaga baru. Apabila aku tanya, wajahnya ada seperti rasa malu dan bersalah. Aku bertanya semula.
Dalam rasa bersalah, dia terangkan kepada aku. Katanya, dia terpaksa buat begitu. Dia telah terperangkap dengan seorang pengamal ilmu hitam. Dia pernah menderita kerana sakit, hampir mati. Dia didatangi seorang wanita untuk membantu mengubatinya. Wanita itu mengajarkannya satu ritual untuk kembalikan tenaga supaya dia dapat terus hidup. Dalam terpaksa, dia telah bersetuju. Tetapi ritual itu memerlukan korban...menyedut sari kehidupan orang lain.
Aku dapat rasakan ianya seperti kisah pontianak yang menghisap darah tetapi ritual itu lebih dahsyat! Ia menukarkan manusia menjadi wap kabus dan wap itu disedut sehingga manusia itu luluh dan hilang sepenuhnya.
(bersambung: seterusnya, bagaimana aku ikut anak muda itu mencari wanita sihir itu dan apa kesudahannya).
.
4 comments:
mcm seram je...
Hmmm...mcm seram tp aku tak terkencing dlm tido...haha
Cerita ni buat aku teringat satu mimpi pelik di siang hari.
Nk gi buat karangan skang.
Cinta.
Mimpi siang hari mmg pelik2...sbb senses byk dpt info...haha
Post a Comment