Lama aku tinggalkan, sejak kenal IG dan TT. Tapi pagi ni aku jengah juga, gara - gara mimpi aku malam tadi, malam 22 Ramadhan.
Mimpi malam tadi bercerai kepada 3 bahagian dan aku terjaga di akhir setiap bahagian. Setiap bahagian seolah2 terpisah tetapi di hujung bahagian ke 3 itu adalah jawapan kepada keseluruhan mimpi, menjadikan ketiga-tiga itu sebenarnya satu mimpi yang panjang. Ini ceritanya (naratifnya diperbesarkan untuk kelancaran penceritaan):
Bhgn 1:
Aku sekeluarga pulang ke asal, menghala ke selatan, berkereta dengan logo nasional, suka-suka. Di pertengahan jalan, aku belok ke kiri, keluar dari lebuhraya, masuk ke jalan biasa. Jalan dua hala itu membelah pekan kecil kepada dua bahagian. Di bahagian kiri ada deretan kedai2 dua tingkat dan sebuah stesyen minyak. Aku ke bahagian kanan kerana ada satu bangunan setinggi 5 tingkat yang cantik. Di lantai bawahnya restoran dan penyambut tetamu manakala lantai2 seterusnya adalah bilik2 penginapan. Kami datang bukan untuk menginap. Kami datang untuk makan di restoran itu. Sedang kami menunggu pesanan sampai, terdengar suara2 orang sedang panik dan kecoh. Aku layangkan pandangan ke sekeliling, orang ramai mula menjerit2. Aku nampak orang2 memukul orang lain. Dan di belakang mereka ada seekor binatang, seperti serigala tetapi lebih besar daripada kerbau. Seperti harimau tetapi tiada bulu, malah kulitnya kelihatan keras, hitam dan berkilat. Kami cepat2 berlari ke arah lif dan naik ke atas. Sesampai ke tingkat atas sekali, kami terjah masuk ke salah satu bilik. Kami menyorok di situ. Suasana di luar bangunan dan di dalam bangunan beransur-ansur sunyi, hanya terdengar erang sakit dan derapan kaki-kaki dan pintu-pintu yang diterjah paksa. Aku tutup mata dan terjaga.
Bhgn 2:
Aku belok ke kanan, memasuki lapangan parkir kereta di hadapan sebuah bangunan yang cantik. Seni binaan ala-ala Romawi. Di hadapan bangunan, di sebelah kiri ada sebuah tugu batu granit hitam kelabu, berukir bentuk geometri yang aku tak faham, yang besarnya melebihi tinggi aku. Di bahagian tepi, kanan bawahnya ada terukir satu lambang yang aku pernah nampak tetapi tak pasti. Aku tunjukkan kepada Ariff dan aku kata "ini Freemason?". Dia mencemik tanda tak pasti. Kami berjalan masuk ke dalam bangunan, menuju ke arah meja2 disusun teratur di restoran. Ada sepasang manusia seperti kekasih, kelihatan seperti orang asing lewat 20an atau dalam 30an, berjaket hitam agak ketat tetapi kemas, seperti mereka bermotorsikal ke sini. Aku lemparkan senyum, mereka balas dengan 'hello, hai'. Aku angkat tangan dan balas 'hai'. Antara beberapa orang yang sedang duduk2 menikmati makanan, aku tertarik dengan seorang lelaki Caucasian, tubuh agak langsing, sedikit botak, memakai bush jacket kelabu. Rata2 yang sedang makan di situ bukan orang tempatan. Seperti orang2 Siam, Eropah dan Pinoy. Ketika berselisih dengan meja concierge, aku lihat ada 3 lif tidak jauh dari situ. Dan secara tiba2 aku teringat lif tu. Ya, aku teringatkan sesuatu. Cepat2 aku tarik tangan mereka berdua, bawa ke arah lif. Aku tekan butang lif menuju ke atas. Sebaik masuk ke dalam lif, aku kata "jangan bising2. Kita cepat2 naik atas, kita cari bekalan toiletries, tuala, selimut dan apa2 saja yang boleh dimakan. Lepas tu kita turun balik dan masuk ke kereta". Kami masuk dari bilik ke bilik untuk dapatkan bekalan. Kemudian kami turun semula. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, suasana sudah kecoh. Kumpulan2 manusia sudah berkelahi, berbunuh di dalam dan di luar bangunan, dan di luar sana juga ada seekor binatang yang besar bermata merah menyala, berkuku tajam, berkulit keras, hitam dan berkilat, juga sedang membunuh sekumpulan manusia. Kami cepat2 berlari ke kereta. Tetapi kami di halang oleh beberapa orang yang bersedia mahu memukul. Tiba2 sepasang kekasih yang berbaju jaket kulit hitam tadi datang melayang memberi sepak terajang kepada kumpulan lelaki yang menghalang tadi. Sambil2 itu mereka berdua beri isyarat supaya kami cepat2 masuk ke dalam kereta. Aku pecut kereta, keluar kawasan itu. Aku lihat sepasang kekasih tadi ada di belakang kami, bermotorsikal besar. Sepanjang jalan itu penuh dengan kekecohan, sehinggalah kami masuk semula ke lebuh raya bersama-sama sepasang kekasih tadi yang masih mengekori di belakang. Dan aku terjaga.
Bhgn 3:
Setibanya aku di depan bangunan tinggi dan cantik itu, aku parking motor aku tidak jauh dari tiang bendera (kali ini aku datang berseorangan). Sebaik sahaja aku letakkan topi keledar di atas tangki motor, tiba2 ada sebuah motor lagi datang dan parking di sebelah. Dan sebaik2 pula dia buka topi keledar, aku kenal dia, seorang kawan lelaki sama tempat kerja, namanya Sazali (bukan nama dia). Kami bertegur sapa, menzahirkan rasa kebetulan berjumpa di sini. Katanya dia juga nak makan di restoran itu. Alang2 dah berjumpa, kami masuk dan duduk semeja. Oleh kerana ramai orang, kami hanya dapat meja di kawasan hadapan, tidak jauh dari pintu masuk dan meja concierge. Meja kami kosong, kecil tanpa alas kain dan hiasan bunga kekwa, mungkin meja tambahan kerana ramainya orang, dan kami duduk secara berdepan. Aku layangkan pandangan aku kepada orang2 yang sedang makan. Riuh rendah dengan pelbagai bahasa yang aku tak faham. Ramai pelancong datang ke sini. Kemudian aku perasan akan seorang lelaki Caucasian separuh botak, seperti aku pernah nampak. Tiba2 Sazali tegur aku "jom lah order, lapar dah ni", aku angguk2 beberapa kali. Aku capai buku menu dan hulurkan kepadanya. Sebelum menerimanya, dia tarik sarung tangan motornya. Aku tersentak kerana bentuk tangannya lain. Tangan kanannya mempunyai 6 jari (jari kelingking tambahan) manakala ibu jari tangan kirinya besar dan seolah2 bercantum dengan jari telunjuk. Dan secara tiba2 suasana di dalam restoran itu senyap. Sebutir pun tiada kata. Aku toleh ke arah mereka. Aku tengok mereka SEMUANYA memandang ke arah kami. Aku mula rasa tak selesa. Kemudian mereka semuanya bangun, berdiri di sebelah meja masing2 dan membongkok, memberikan tunduk hormat. Aku pelik, tak mungkin kepada aku? Kemudian aku pandang kepada Sazali. Dia pun ternganga tak faham situasi itu. Tiba2 aku lihat kulit di kedua2 tangan Sazali terbakar bermula dari hujung jari, seperti kertas terbakar, mendedahkan kulit sebenar pada tangan Sazali - kulit yang hitam, keras dan berkilat. Dan kuku yang meruncing. Aku tergamam, panik. Aku pandang muka dia. Anehnya, dia juga tergamam, seolah2 dia sendiri terkejut dengan perubahan yang berlaku kepada tubuhnya. Perlahankan kulit sebenar tubuh 'Sazali' itu terdedah- hitam, keras dan berkilat. Maka aku tahulah yang ada dihadapan aku ini apa....
Dan aku terjaga buat kali terakhir, menunggu sahur.
.
No comments:
Post a Comment