Sunday, May 17, 2009

Bahasa Tuhan

.

Kawan-kawan kata, aku selalu pandang ke langit. Tak seperti mereka yang lebih suka pandang ke tanah yang lebih nyata. Aku kata, kalau semua pandang ke tanah, siapa nak pandang ke langit? Aku akan pandang ke tanah jika SEMUA orang pandang ke langit. Ya, itu lah aku. Aku memang begitu.

Sebab itulah juga kawan-kawan aku selalu kata aku biol, tak betul, tak macam orang lain. Mungkin. Tapi, mungkin juga kerana mereka tak faham aku. Sesetengah kawan kata, aku ni pelik. Disebabkan itu, aku sukar bergaul. Kalau aku bergaul juga, aku terpaksa memakai jubah mereka, memakai topi fikiran mereka. Dan itu buatkan aku cepat lemas. Kalau terlepas kata, aku terasa malu. Baik aku keluar dari kelompok sosial itu. Ini kisah benar tentang aku. Sebab itu jugalah, aku cuma ada beberapa kawan yang boleh bercerita satu kelambu, bercerita dalam satu selimut. Dulu.


Aku pandang langit?

Entah bila tapi aku teka, sejak aku pegang karya Maha Agung itu. Sejak aku diceritakan oleh arwah bapak tentang kitab-kitab/primbon Jawa, cerita-cerita tentang Nabi-Nabi. Termasuk unsur-unsur mistik yang berlegar-legar sekitar kawan-kawannya, kerana aku sering diajak temaninya di warung-warung kopi. Sedikit-sebanyak, ia membentuk sahsiah fikiran aku, asas fikiran aku.

Dan sejak itu, aku selalu pandang langit. Mencari jawapan tentang itu-ini. Dan aku tak putus asa kerana aku tahu Tuhan sedang berbicara dengan aku. Cuma aku perlu dengar dengan teliti dan secara halus. Kalam-kalam Tuhan yang tersurat dalam naskhah Uthmani, juga tanda-tanda di sekitar ini. Kadangkala, aku tak perlukan mata untuk melihat. Tak perlukan telinga untuk dengar denyutannya suaraNya. Cukup dengan hanya berdiam diri.

Dan aku hampir gila. Ada suara dalam hati yang bercakap dan aku tak mampu kawal. Aku pergi ke hutan dan aku luahkan ' Aku tak takut kamu! Keluarlah kalau berani!' Itu biasa aku jerit pada pokok Cempaka sepemeluk itu. Dan aku selalu bermain-main dengan kata-kata ' Tuhan...terbalikkan... hanTu, Tuhan yang baik... hanTu yang jahat'. Memanglah, ketika itu aku baru Darjah 5!

Arwah bapak aku pernah kata, masa aku 15 tahun, dia seakan menyesal masukkan aku ke aliran sains. Itu mungkin kerana aku terlalu berbantah dengannya tentang penciptaan alam ini, tentang ruh, tentang jin. Aku termenung agak lama. Kenapa bapak aku boleh kata begitu?

Lama kemudian, baru aku faham. Tak semua dia faham dan tak semua aku faham. Kadangkala, maksud sebenar terbungkus dengan perumpamaan, dengan perlambangan. Simbolik. Semuanya masalah bahasa dan budaya.

Cuba bayangkan, kalaulah aku kembali ke zaman batu, pada awal-awal bahasa diguna dan aku perlu ceritakan tentang Kapal Terbang kepada mereka, bagaimana aku nak terangkan?

Aku pasti akan ceritakan begini: Ia terbang lebih laju dari burung, suaranya boleh pecahkan telinga, besarnya macam Garoda, sayapnya panjang dari timur ke barat, kakinya berkuku 18, ekornya seperti burung tapi kepalanya adalah manusia. Sekampung boleh duduk dibelakangnya dan boleh terbang sehingga ke sebelah dunia. Dia boleh bawa manusia ke langit dan hilang dicelah-celah awan, mungkin ke syurga. Aku ceritakan begitu kerana fikiran mereka cukup sampai ke situ.



Aku mencari jawapan dan Tuhan berbicara hampir ke telinga aku. Tapi kurang jelas, selagi aku tak tahu berbahasa Tuhan. Siapa nak tolong?





.

16 comments:

SHIMI said...

fuhh, dalamnya bahasa engko.
Dia sememangnya memahami engko, tapi hnya menunggu masa bila engko dapat betul memahami-Nya

Tuntutlah ilmu walau sampai ke negara China

kakpah said...

Kau tak payah mendongak ke langit je untuk faham bahasa tuhan. Ia ada di bawah, di depan di belakang. Di sekeliling.
Ada ilmu yang tak boleh kita capai sendirian kerana ilmu yang ada pada kita terlalu dangkal. Kena berguru.

Umpamakan kapalterbang itu sebuah alam. kau kena explain setiap bahagian kapalterbang tu secara terperinci, satu persatu. Tentang bahan, fungsi, keperluan, bagaimana ia terbentuk etc..etc.. Hanya orang yang mahir saja yang boleh explain. Kalau kau bukan orang yang mahir kau akan katakan kapalterbang itu sebagaimana kau katakan pada orang zaman batu itu. Dan dia akan terima bulat-bulat apa yang kau cakap.

Senang cerita, kau pergi cari gurulah. Bapak kau dah ajar dah tu semua. Asek nak bekepit ngan mama si paku payung je.

Cikgooden (Selumbar Emas). said...

tak reti...takleh nak tolong...hang ni tahap tinggi. Tak tercapai aku...

Nizam.Ariff said...

Shimi,
Nak tuntut tapi asyik-asyik back to basic, bersuci. Nak short cut tak bagi...

Kakpah,
Betul kak, gurulah yang boleh terangkan maksud tersirat dalam bahasa Tuhan yang amat tinggi. Tapi, kengkadang, tafsirannya itu pun aku selalu berbantah, mungkin sifat aku yang sedikit skeptical, juga dengan kawan yang pergi berguru. Last sekali, dia kata aku patut tanya terus dengan yang empunya Ilmu, terus tanya kepada Tuhan. Dia sindir la tu...

Cikgooden,
Aku tulis n3 ni sebab Jumaat lepas aku terima emel dari kawan, dia kasi 'Futuuhul Ghaib - Sh. Abdul Qadir Jailani versi flash'. Aku reply yang aku tak sangka dia masih ingat kat aku dan aku ucapkan terima kasih sebab aku dah agak 'lapar'. Dia balas, tak perlu berterima kasih dengan dia kerana Tuhan yang gerakkan hatinya untuk emel kat aku, sebaliknya terima kasihlah kepada Tuhan yang masih ingin berbicara dengan aku...

Maksud dia amat dalam! kerana itu juga, aku terpaksa bercerita tentang maksud yang dalam. Dan ayat akhir dia juga membuatkan aku terkedu... aku jauh dariNya tapi Dia masih ingat denganku... ni yang nak nangis nih..isk..isk..

Dan Futuuhul Ghaib ni tentang konsep 'kedirian', tentang kewujudan diri. Apa yang Tuhan nak bagi tau aku ni? Aku dah mula bangga diri kut, dah mula 'ujub pada diri...ish.. kena buang 'diri' jauh-jauh la gini...

Insyirah said...

Aduii...bahasa bro mendalam sunnguh. Tak sempat saya nak digest dalam satu nafas.

Bila Tuhan nak berbicara dgn kita, maknanya Tuhan bagi chance lagi kat kita. Saya, selalu buat salah. Tapi saya tahu Tuhan sentiasa bagi peluang kat saya. Syukur alhamdulilah. Ia bergantung pada diri saya bagaimana saya memahami bahasa Tuhan. Of course bahasa Tuhan itu tidak direct. Kita boleh interpret sendiri, cuma kita mahu atau tidak saja. Kalau tak reti jugak, mmg kena berguru la gamaknya. Tapi, saya fikir berguru itu adalah lebih baik. Sentiasa rujuk pada yg lebih pakar, tak kira dalam apa hal sekalipun.

tasikmerah said...

jika kamu kata..... 'Ia terbang lebih laju dari burung, suaranya boleh pecahkan telinga, besarnya macam Garoda, sayapnya panjang dari timur ke barat, kakinya berkuku 18, ekornya seperti burung tapi kepalanya adalah manusia. Sekampung boleh duduk dibelakangnya dan boleh terbang sehingga ke sebelah dunia. Dia boleh bawa manusia ke langit dan hilang dicelah-celah awan, mungkin ke syurga......'

dan. aku syak mereka akan menjawab...'uuk uuk akk akk ukk ukkk....'

hehehehehe... gamaknyalah! ha ha.



.



aku tak tahulah perbuatan bertanya terus dgn pencipta itu kerja gila atau apa. tapi. aku. ada kala buat begitu. bila berdua aku sering bertanya itu dan ini... kamu percaya tidak. esoknya, aku jumpa jawapan. misalnya, suatu hr tu... aku terima email dr seorg sahabat yg menerangkan perkara yg aku tanya itu... sesungguhnya Dia lebih mengetahui...



.

Nizam.Ariff said...

Insyirah,
Betul tu. Susah nak faham kalau hati dah naik kelabu, berjelaga dgn asap.. hehehe

TM,
Betul jugak tu.. mesti uk ak uk ak hahaha. Aku terangkan kat dia orang pun guna bahasa uk ak uk ak...

Perbuatan bertanya terus bukan gila. Ia perkara yang betul. Berdoa dan bersembahyang adalah bicara secara langsung dgn Tuhan.

alina said...

mm

aku pun selalu mendegar Tuhan tapi kadang aku leka. kadang aku dengar. kadang aku kurang jelas.

tapi aku harap dia sentiasa bicara, kerana aku takut suatu masa dia akan palingkn muka. dan trus diam dari aku.

ashley said...

Bagi akak le kan...(bagi orang yang ilmunya secalit dan secarik,senipis kulit bawang ni kan kan kan...)

Ke arah mana jua kau memandang di situ ada TANDA Kebesaran Tuhan..
Tanya dirimu..
apa sebenarnya yang kau cari?
KehebatanNya kah?
KebesaranNya kah?
KekuasaanNya kah?

Apalah sangat diri ini,jiwa ini dan akal ini..
kerana kita dipunyai oleh Yang Mencipta.

terlalu kerdil...
terlalu kecil...
terlalu terbatas..

dari mana asal kita..
dulu tiada..sekarang ada..
dulu hanya sebesar zarah, menjadi setompok darah..menjadi segumpal daging..lantas keluar dari rahim menjadi bayi..
bayi yang tidak tahu apa apa pada asalnya..
makan pakai dilakukan orang..
beransur besar akhirnya menjadi manusia dewasa...berakal..berfikir..

lantas..apa seterusnya??
dewasa..tua dan mungkin menjadi dungu kembali seperti bayi pula.. terpaksa makan dan pakai ditolongi orang..

kemudian..

terpisah gabungan nyawa dan jasad..

lantas..

jasad tidak berguna lagi..
jasad yang dipuja bentuk dan rupa kini bertukar menjadi kaku dan bisu..
dikambus masuk ke lubang gelap..

ke mana perginya roh dan nyawa..
alam yang GHAIB..yang hanya MATA HATI mampu merasakan dan mampu mengaku ADAnya ia!!

soalnya sekarang Mampukah mata hati kita melihat?

soalnya sekarang mampukan hati kita mengakuii...
sesuatu yang tiada di alam NYATA?

itulah yang dikatakan IMAN..


sekian...

(apa menda aku ulas ni???..lain soklan..lain jawapan le pulok...)

cerita BACK TO FUTURE versi Nizam tu...

Kalau MATA hati orang zaman batu tu terang benderang mungkin dia boleh menerima konsep kapalterbang yang diajor..
Tapi agak agak le kan..
zaman batu ni memang ada ker?
aku macam MUSYKIL sikit..
agak agaknya le kan..
time Nabi Allah mana tu???

sebab kalau ikut ikut kan..
orang dulu dulu pun HEBAT HEBAT juga senireka dan tamaddun demernyer...

ye lah..nak tahu le jugak..
entah lerrr..
mungkin BENAK kut!!

ha ha ha..

Nizam.Ariff said...

Alina,
Kalau kita terus berbicara denganNya, insyaAllah Dia pun terus berbicara dengan kita...

Ashley,
Err... aku kena komentar balik ke? panjang tu. Satu yang aku nak tambah, roh kita tak makan, tak minum, tak tidur, segalanya tak. Ruh adalah sesuatu yang murni. Dan sesuatu yang murni itulah yang akan pulang kepada penciptanya, kembali bersatu dengan yg Khaliq, insyaAllah. Kalau terpalit, tak tau la pulak...

Pasal zaman batu tu siapa nabinya, yang tu aku tak pasti. Yang aku tau, tiada nabi sebelum Nabi Adam (even Adam ni pun ada orang bijak pandai agama define lagi detail 'Siapa Adam?' cuba la google). Aku ada tulis tentang ni lama dulu tapi panjang dan meleret. Senang cerita, masa nabi Adam turun ke Bumi, dah ada kambing dan burung gagak seperti kambing dan burung gagak sekarang ni. Tak de pulak kambing tu rupa dinosour. Maknanya, dinosour mungkin dah tak ada.... selebihnya, akak agak sendirila maksud aku... hehehe

ashley said...

Tak silap aku..roh juga perlukan makanan cuma tak la menda maujud macam roti atau nasi..sebab roh pun bukan menda yang zahir!

Zikrullah itu makanannya..

Nizam.Ariff said...
This comment has been removed by the author.
Nizam.Ariff said...

Ashley,
Entah la kak. Aku fikir pun macam gitu. Tapi ada bijak pandai kata, ruh itu sendiri terbahagi kepada beberapa jenis. Dan ruh kudus bersifat Nur milik khaliq itu tetap suci kerana itu adalah Dia (jangan pening lak) yang di'letak' pada jasad fana. Setengah bijak pandai kata, inilah yang dimaksudkan 'Innalillah wa inna ilaihi rooji'un - dari Dia ia datang kepada Dia ia kembali'. Maknanya, ruh inilah sumber kekuatan Dia yang kita ada dalam diri, yang mana dengannya kita boleh berlari, berjalan dsb. Kepada mereka yang arif, mereka mengetahui akan hakikat ruh ini dan menggunakan kekuatannya, maka terjadilah perkara-perkara yang diluar pemikiran manusia yang biasa.

Dan itulah yang dimaksudkan bahawa Tuhan itu lebih hampir dari urat merih. Kerana Dia ada dalam diri kita.

Kerana itu juga ada pujangga sufi bersyair 'aku lihat dengan mataMu, aku mendengar dengan telingaMu...' dengan menghapuskan nafsu dan sifat diri, maka fana lah mana yang fana, yang tinggal hanya yang kekal selama-lamanya.

Sedangkan ruh satu lagi adalah jiwa, yang lebih rendah yang perlukan belaian zikrullah. jiwa ini adalah jelmaan dari ruh yang pertama tadi. Kalau ruh tadi itu adalah nur, maka ruh jiwa adalah bayang-bayangnya. Maka, jika nur tadi 'pulang' atau istilahnya dari 'satu kembali bersatu' (jangan pening lak)ia umpama hilang punca cahaya maka hilanglah bayang-bayangnya.

Itu pendapat aku je. Wallahu'alam.

Nizam.Ariff said...

Ashley,
Dengan kefahaman sebegitulah (aku berpendapat), baru kita rasa yang Dia mengetahui apa-apa yang kita buat, kita lihat dsb. Barulah kita rasa malu kalau kita berbuat sesuatu yang dilarangNya. Barulah rasa seperti ada polis dalam diri kita. Dan barulah ibadah kita terasa lebih dekat denganNya, terasa lebih hampir.

Itu pendapat aku je. Wallahu'alam.

Err... jangan pulak fikir aku pengikut kerajaan langit lak... HAHAHA

AZANI said...

Nizam.Ariff: aku minta maaf kerana ambil masa untuk sentuh bab ini, aku cuba cari alasan dalam bahasa yang mudah kerana tidak semua yang setingkat denganmu,orang boleh belajar perkara yang sama dari orang sama,cuma setiap yang mendengar akan mendapat kefahaman yang berbeza bergantung kepada apa yang diizinkan Tuhan padanya.Contoh: saya berkata buah tembikai, ada yang mendengar sudah terbayang rupa tembikai, rasa tembikai,berat buah tembikai, cara tembikai berbuah,padahal saya baru sebut buah tembikai sahaja.Kalau saya tak pernah jumpa buah tembikai,hara dari pembacaan sahaja, maka setakat apa yang saya baca yang boleh disampaikan,saya tak boleh bayangkan rasa tembikai, atau bagaimana beratnya ia dsbnya,tapi bagi orang yang pernah rasa, lihat buah tembikai, ia sudah cukup memahami apa yang saya katakan.Begitulah dengan ilmu,ada yang mendapat pendedahan tambahan dari apa yang di dengarnya melalui waridat atau hadiah yang dikurniakan Tuhan kepadanya.Payah nak diungkapkan dalam bahasa kerana barangsiapa yang merasainya dan telah melaluinya pasti tahu.Saya percaya di kala kita membaca sesuatu tiba tiba tersingkap satu kesedaran dan pemahaman yang tidak bersuara, tidak berbahasa cuma seperti satu cetusan diminda maupun sanubari kita.Kadang kadang berlakunya setelah berhari hari dari titik mula persoalan yang mana baru kita berkata ooooh begini rupa jawapannya.Yang menjadi masalahnya adalah Khannas wujud dalam dirikita,dikhuatiri apa yang kita sangka ilham baik adalah pemula kesesatan.Saya sendiri rajin membuat rujuk silang dengan orang orangyang saya rasa ariff,walaupun kadangkala tak berapa bersetuju dengan pendapatnya, tapi saya tak akan menolak bulat bulat, saya akan rujuk second opinion dari orang lain yang kadangkala kita tak sangka dia mempunyai pemahaman yang dasyhat.Semoga Allah bersama anda dan tetapkan anda di atas jalan yang lurus.

Nizam.Ariff said...

Azani,
Aku juga seperti kamu. Komentar yang aku tulis tu bukan pendapat aku. Itu semua adalah jawapan yang aku terima bila aku tanya. Juga seperti kamu, aku susah nak setuju 100% kepada jawapan tu. Aku dah kata, aku ni skeptikal. Aku akan taya 2 -3 pendapat dan kebanyakkan nya adalah bercanggah, atau ada versi pemahaman sendiri. Kadang-kadang, kita dapat jawapan setelah bertahun-tahun. Cetusan dalam hati memang sentiasa ada. Kadang-kadang, mana yang baik aku ikutkan, sehingga aku jumpa hujah yang membatalkannya, aku tinggalkanlah. Apa-apa pun , hati mau bersih dari penyakit.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com