Thursday, November 11, 2010

Mari belajar sejarah...

Coretan ini agak panjang. Aku letak di sini, cukuplah untuk renungan untuk beberapa hari.




Dunia oh Dunia.


Dari Kaf jadinya buih yang terapung.
Dijunjung oleh nur ciptaan .
Di bawahnya sapi bertanduk .
Di bawahnya Nun berenang.
Di dalam air yang sentiasa bergerak.
Dan air itu di tengah-tengah pusaran angin.
RahmatNya ada di situ, celaanNya juga di situ.

Dari lumpur hitam dunia disaring, ditapis.
Dari air dunia yang bersih lagi membersihkan.
Maka dibentuk ia, lalu berbentuklah ia.
Kerana jasadnya diambil dari dunia, jadi
ke situlah nanti perginya. Tidak cukupkah lagi?
Tidakkah nanti ada dosa, ada sengsara? Tanya mereka.
Dia Tuhan Maha  Mengetahui, setiap segalanya.

Dihembus Ruh dari percikan Nur Murni,
Bersinlah ia dan terucaplah satu kata puji.
Syukur itu disalin, diamal para malaikat Arasy.
Sujudlah tapi tidak semua, ada yang engkar.
Jadilah celaanNya, doanya itu dulu tiada dirinya.
Maka akadlah, Iblis itu musuh Adam dan keturunannya
Nafsu senjata, akal perisainya.

Keseorangan Adam di Syurga, sunyinya hati.
Rindu teman bicara jiwa, Hawa dicipta. Kekasihnya,
tidurnya di sebelah kiri, jaganya di depan mata.
Keenakkan Syurga segala miliknya kecuali satu.
Hawa merayu. Adam terpujuk , tersingkirlah.
Turun ia, berbekalkan keampunanNya.
Jadi pelakon sandiwara di pentas namanya Dunia.


Dunia oh Dunia
Seru itu padamu.

Anak-anaknya diresapi dengki, diresapi ikhlas.
Lakon ngeri pertama, darah ditapis bumi, yang hitam
ketawa puas. Pohonan dan burung tunjuk saksi.
Lagi keampunan dipinta. Dunia telah terpalit,
kotor dengan iri mula bertunas.  Anak kepada anak
kepada anak , dengki dan ikhlas masih ada
tumbuh dalam dada.

Darah dan nanah, muntahnya lahar berbara.
Panjang pedang ukur kuasa. Aman
tafsiran para ketua cuma, berdiri menjulang
pedang, berdiri di atas temulang manusia.
Pohonan dan burung tunjuk saksi. Dengki dan ikhlas
masih berakar. Dunia jadi pentas sandiwara.
Temulang kering, atasnya matahari , bawahnya bara.
Si Botak berlegar menunggu mangsa tewas
tiada kepala. Panjang pedang tetap ukuran guna.
Angin bawa cerita, benar dan ragu berbaur sama.
Bawa sama hanyir, bau dosa tergenang di udara.

I

Ada yang satu itu, hidup telah dirasa, mati ingin dicuba.
Lalu dipintanya. Jibrail gundah, restu dari Maha Kuasa.
Maka, tahulah ia maut itu bagaimana rasa.
Neraka pula ingin diduga. Dipintanya, restu dari Maha Kuasa.
Seolah lebur belum pun di pintu, bahangnya amat terasa.
Syurga pula ingin dirasa. Dipintanya, restu dari Maha Kuasa.
Masuklah, lihatlah tapi jangan lama-lama, katanya.

Terpegun. Janji Tuhan kepada yang setia. Nikmatnya,
mengikat kalbu untuk terus di sana. Masanya telah tiba.
Angsurlah dulu, capal tertinggal dimuka pintu, helahnya.
Maka ia pergi ambilnya tapi lama tidak muncul lagi.
Pulanglah dulu, dia ingin gembira selamanya.
Bolehkah? Dengan izinNya, hidup sudah, mati pun dirasa.
Neraka sudah, bukankah mati itu sekali sahaja?
 
II

Ada yang berkata, sakit gila apakah dia,
Menjemur kayu di bukit kecil yang kontang, untuk apa?
Mengikut lakaran Jibrail, ilham dari yang Esa, dipotongnya.
Itu bahtera. Besarnya semua ada sepasang di dalamnya.
Pengikut boleh dibilang dengan tapak kaki. Anaknya tiada.
Mana janji Tuhan? Umat sesat mencabar, ketawa.
Nantilah kamu semua. Azab seksaNya amat sengsara.

Maka, langit rendah menerkam. Bumi pula bergelegak.
Panahan murka Tuhan mengoyak layar hitam. Tersentak.
Rempuhan air dari segenap alam. Bumi mula berkocak.
Sebetis, sepeha, sedada.Tinggi lagi.
Bahtera terapung tinggalkan mereka yang berenang-renang.
Dan tenggelam. Angin turut berputar menyedut saki-baki.
Berolek bahtera menurut kuasa Tuhan, Bumi tiada sempadan.

Berlabuhlah, air disedut Bumi. Turun dari gunung.
Mengukur tapak kaki sepatu berkulit manusia.
Pentas Dunia ini luas dari masyrik ke maghrib.
Kulit dan hati lain. Pegangannya asing-asing.
Dengki dan ikhlas masih tumbuh dan berakar dalam dada.
Bahagia dan derita, biasa. Haiwan dan manusia sukar dibeza.
 
 III

Di tanah Al-Ahqaf, bumi tenang dan subur
Rindu Pencipta, RahmanNya, RahmatNya bertabur.
Hijau desa dan penuh sungai, namun mereka berpaling.
Patung itu rezeki, patung itu air ini, patung itu angin.
Pilihlah Tuhanmu. Apakah ini kaum Aad ? Atau kau lupa
nenek moyangmu ? Bukan, yang satu tetap satu, Hud berkata.
Al-Ahqaf bumi sejahtera, kini celaka, mengundang murka.

Inilah yang datang, dua gelombang mengetuk pintu langit.
Sangka mereka Rahmat, bukan. Itu sengsara.
Kering kemarau pun turun, yang hijau jadi kuning. Sungai?
Tandus. Wah, itu penyelamat, itu mega hitam di langit. Bukan!
Itu bencana. Taufan gemuruh menerjah. Bumi Al-Ahqaf bergegar.
Bersihlah kota dari dosa.
Lalu minggirlah, hilang Hud di Hadramaut.
 
 IV

Di tanah Al-Hijir, mega hitam sudah lalu, hiduplah kembali tanah
yang mati, subur semula dengan RahmatNya.
Masih terlupa, batu itu disembah, Tuhan kata mereka.
Bertaubatlah, Tuhan Salleh Maha Pengampun. Ah, kau
yang gila, mana buktinya? Nah, dari batu terbelah, keluarlah unta.
Kaum Tsamud gentar. Jangan diganggu ia, air itu ada giliran kamu.
Jangan dibunuh, bala Tuhan pasti menimpa.

Nah, bala diundang, mati dibunuh unta itu.
Mana azabnya? Tanya mereka.
Tunggulah, tiga hari untukmu, keempat untukku.
Lihatlah wajahmu, kuning, merah, hitam dan cukuplah.
Keempat itu balasanmu. Langit pecah, bumi terbelah.
Halilintar jadi penyuluh gelap bumi, ranaplah Al-Hijir,
Pindahlah Salleh, bumi Ramallah jadi pengganti.

 V

Putera Aazar, masih kecil, melihat patung lumpur dan
batu disembah , dan Namrud itu wakil tuhan? Masakan begitu?.
Lalu dihancurkan semuanya, tinggal satu. Mana kuasanya?
Murka raja Babylon, tuhan-tuhannya musnah. Api itu,
sebesar dosa Ibrahim katanya, membakar panas tapi
dingin di dalamnya. Lontarkan ia. Rasakan neraka dunia.
Tuhan Maha Kuasa, tersenyum ia di dalamnya.

Kalau benar mana buktinya, mana kuasanya? Pinta mereka.
Namrud mencabar, bagaimana besarnya? Agungnya?
Tak payah, cukup sekadar Si Kecil itu, terbang
dahagakan darah berdosa. Sedarkah? Tidak.
Hisaplah hingga kontang Namrud itu sekering padang pasir.
Dan Ka'abah pun dibina bersama-sama anaknya.
tanda kemenangan, tanda KeagunganNya.
 
 VI

Di Mukim Sadum, panas angin seganas matahari,
Kuasa pada pedang , kuda dan unta. Hidup songsang,
yang ada, yang bertamu, semua dipinta, atau
nyawa gantinya. Aduh ! Dua pemuda tampan
bertandang, rumah Luth dipagari jasad mereka.
Masuklah, biarkan mereka . Aduh! Mata-mata kami!
Gelap pandangan, sehitam hati-hatinya.

Keluarlah kamu sekeluarga, malam nanti
durjana tiba. Terus berjalan, ditoleh jangan, biarkan mereka.
Malam itu, bumi Sadum bergegar. Taufan mencantas. Langit
terang benderang dengan batu dan api, merejam mereka.
Aduh, isterinya. menoleh belakang, apa yang ada? Lalu
satu batu api membelok, kena padanya. Hancurlah,
Sijjil bukan bukan kepalang, bukan mainan.
 
 VII

Siapa menyangka, dugaan tiba waktu tubuh sekecil
ini? Ismail dan Hajar ibunya, ditinggalkan bawah panas
bahang pasir tandus mendahagakan. Air? Mundar-mandir
mencari tiada. Aduh, kasihan anak ini, bibirnya kering.
Jibril turun, ditunjuk satu tanah, diinjakkan kakinya. Keluarlah,
terpancutlah mata air jernih suci, Zamzam gelarnya.
Makmurlah, bersama kaum Jurhum menjadi jirannya.
           
Maka mimpi apakah ini? Satu petanda atau igauan?
Lakukan sahaja, moga yakin ikhlas diganti pahala.
Tapi anakku seorang sahaja? Ikutlah, anaknya redha.
Pasrah, tubuh kecil Ismail terbaring menanti masa.
Apakah pula kini, tiada terhiris? Cukuplah, satu suara.
Ikhlasnya berganti, ambillah itu, domba korbanan Qabil.
Nyawanya penebus Ismail. Itu janji Tuhanmu.

VIII

Dan Ibrahim dan isterinya Sarah, bertamu dua
malaikat, menjamu daging panggang. Makanlah.
Tiada disentuh kedua-duanya. Siapakah mereka?
Bimbang Ibrahim. Utusan Luth kami ini datang
bertandang mengutus salam gembira. Syukurlah,
bakal ada Ishak, sesudahnya Yaaqub. Apa setua ini?
Tiada yang mustahil, hamillah Sarah, ibu seorang nabi.

IX

Dan Yaaqub, putera Ishak. Doa bapanya sentiasa bersama.
Tiada aman bersaudara, bagaimana? Pindahlah, carilah Laban.
Ayah saudaramu jua. Pergilah bersama-sama pesan bapanya..
Kota Fadan A'aram, langit di atas pasir di bawah. Salahkah
mimpinya? Itu Rahil, puteri Laban yang kaya. Mas kahwin
tujuh tahun mengembala, dapat Layla kakaknya. Tujuh tahun
lagi mengembala, barulah dapat Rahil, Si isteri jelita.

X

Siapa setampan Yusuf ? Lelaki mulia dari Yaaqub dan Rahil.
Dari kecil ditindas saudara, di dalam perigi dikurung mereka.
Keluar pula menjadi hamba, dibeli Zulaikha wanita kaya.
Aduh ! Tampan jejaka pemikat hati, luhur budi pekerti.
Hilanglah malu, nafsu beraja tapi Yusuf masih setia.
Berkata semua, Zulaikha isteri Polis Negara maruah tiada.
Tidak mengapa, waktu jamuan pasti terkena.

Datanglah kawan-kawanku dan saudara, jamuan tersedia.
Dikupas buah, Yusuf pun tiba, antara sedar jari terluka.
Malaikatkah atau manusia ? Tampan menggoyah Iman mereka.
Sambutlah Zulaikha, pujuk mereka. Tidak ! Yusuf berkata.
Relalah penjara jadi rumahnya, lebih baik daripada dosa.
Nasib masih ada, menjadi wakil pembesar raja. Saudaranya?
Diundang ke istana, dibalas dengan cara paling mulia.

 XI

Dalam zamannya tiada yang sebaiknya.
Harta kekayaan dan keluarga yang besar miliknya. Namun
zikir Ayub tidak pernah luput dari mulut. Puji-memujilah
para malaikat langit akan nabi besar ini. Dan Iblis,
mendengar dengan curiga, apakah benar ? Sudah tentu.
Ah! Itu kerana kekayaannya, itu kerana sihatnya. Dipinta
kepada Tuhan agar dicuba. Namun, kepayahan dan kesakitan
Ayub tidak menggores imannya.

Tawakkalnya terus di rumah kecil di padang pasir.
Sayang, isterinya terpujuk sedikit lalu diusir pergi.
Dan kesabaran Ayub telah terbukti, kerana kasih diberi
petunjuk. Diinjak kakinya keluar air dari Bumi.
Diminum sedikit  selebihnya dibuat mandi.
lalu isterinya, ingin dicambuk seratus kali tidak sampai hati.
Gantinya, dicekak rumput seratus lalu dicambuknya sekali.

XII

Syu’ib, lelaki dari kaum Madyan, di pinggir Syam.
Aikah itu disembah, tanah sekeping yang kosong. Mungkar jadi lumrah.
Kembalilah, tidakkah takut terjadi seperti kaum-kaum terdahulu ?
Ah ! Apakah kerana solatmu maka kami tinggalkan Aikah ?
Apakah kerana solatmu maka tradisi kaum ini dilupai ?
Jikalau kamu benar, jatuhlah awan hitam ke atas kami.
Dan Syu’ib sabar menahan cabar.

Lalu berdoalah Syu’ib, maka angin panas berhembus
mengeringkan tekak. Wah ! itu ada awan hitam membawa hujan.
Maka berlarian kaum Madyan bernaung menanti air.
Tapi panahan halilintar memancar terang, azab Tuhan yang menghinakan.
Dan batu-batu berjatuhan bertimpa-timpa, dan Bumi bergoyang.
Maka matilah semua mereka bergelimpangan di hadapan rumah mereka.
Binasalah kaum Madyan seperti mana kaum Tsamud telah binasa.

 XIII

Musa bin Imron bin Qahat bin Lawi bin Ya’kub, ibunya bernama Yukabad.
Isterinya bernama Shafura, puteri Syu’ib. Lahirnya di ramal, Istana Mesir
bergegar. Bayi lelaki pasti dibunuh Firaun, namun tertinggal seorang
hanyut di dalam peti. Di bawa dan diasuh di istana Firaun sendiri.
Ingin dibunuh jua tapi kasih isterinya azam berbelah bahagi.
Dan pohon dan air itu diambil nama menjadi Musa, dan disusui
semula oleh ibu kandungnya, itulah janji Tuhan yang maha Esa.

Terjadi satu peristiwa, Samiri itu Dajjal yang bermuka-muka.
Maka ditinggalkan Mesir sepuluh tahun berkelana, lalu kembali semula
bersama isterinya. Dalam jalan pulang, di Thur-Sina,
malam pekat menutup pedoman, tersasar jalan,  tersesat Musa.
Dilihatnya ada cahaya api bersinar-sinar di kaki bukit. Katanya,
Tinggallah dulu di sini, mudah-mudahan ada berita dari tempat api
atau kuambil sesuluh api untuk menghilangkan gigilmu ini.

Tatkala sampai, keluar satu suara dari sepohon kayu
yang di kanannya lembah yang diberkati. Nyata kenabian Musa.
Dan tongkat pemberian Syu’ib dan tangannya adalah
juga petunjuk yang benar dan nyata.
Dan Firaun itu tugasnya yang utama. Padahal Harun itu
lebih petah berbicara. Maka jadikan kami sekutu, pintanya
Lalu keduanya diperintahkan bersama-sama.

Berkatalah Firaun, siapakah Tuhan engkau hai Musa ? Ialah
Tuhan nenek moyangmu serta Tuhan seru sekalian alam.
Berkata lagi Firaun, siapakah Tuhan seru sekalian alam hai Musa ? Ialah
Tuhan langit dan bumi, dan segala yang antaranya. Hai Musa,
datangkanlah bukti tanda-tanda jika kau benar tidak berdusta.
Nah, tongkat itu menjadi ular, atas segala ular dan Firaun ketakutan.
Hai Musa, panggillah kembali ularmu itu.

Dan ancaman makin gugah kesabaran. Keluarlah Musa bersama
baki kaumnya dan lari, lalu disusuli yang engkar. Gundah mereka.
Ya Musa, musuh di belakang menyusul, laut di hadapan
dan kita tidak punyai sampan ? Lalu ditunjukkan  jalan yang kering
diantara dua gunung air. Juga kubur bagi yang engkar dan Firaun.
Lalu ditimbulkan dan disimpan jasadnya untuk menjadi pedoman dan
pengajaran. Kini benarlah Tuhan Musa, Tuhan seru sekalian alam.

Pergilah Musa dan tujuh puluh lagi mengambil Taurat.
Dalam munajat di Thur-Sina, hancur gunung kerana Musa
lancang mulutnya. Dan Harun dan Samiri yang ditinggalkan
berbalah tentang anak lembu emas yang menguak sendiri,
dari emas cair yang dilempar segenggam dari jejak rasul.
Berkatalah, dan kami tetap berpegang kepada anak lembu ini
sehingga Musa telah kembali di tengah-tengah kami.

Pulanglah Musa menghempas Taurat, menarik janggut Harun.
Dan Samiri dihalau pergi, lalu tujuh puluh lagi ke Thur-Sina
pohon taubat dan mereka itu mati kerana lancang pinta pandang
Tuhan, dan Musa memohon ampun sehingga mereka hidup kembali.
Dan suku Kana’an di Palestin perlu diusir untuk bermukim, itu wahyu.
Hai Musa, pergilah kau seorang diri dan Tuhanmu , kami di sini.
Terpisahlah mereka dan Musa, dan kepura-puraan.

Hai Musa, siapakah yang paling bijak ? Aku. Hai Musa, siapakah
yang paling berilmu ? Aku juga. Disuruh Musa pergi mencari
seorang dari hamba-hamba yang ‘alim, di mana dua lautan bertemu,
bila mana makanannya kembali berenang ke laut dan hilang.
Berjanjilah keduanya, tidak Musa mendahului pertanyaan sebelum
penerangan dan tidak pula tiga kali. Dan sesudah tiga kali, berpisahlah
keduanya, dan Musa kembali sedar dari api kesombongan.

XIV

Daud, anak muda berani berbaju besi, bertempur di Palestin
dan isterinya adalah puteri Thalout, ganjaran kemenangannya.
Gemilang namanya di atas nama Thalout seorang raja, lalu dengki
mula berakar di dalam dada raja. Daud mesti disingkir atau dia tersingkir.
Menyisihlah Daud ke luar kota tapi tetap disusuli. Yang diburu
kini memburu. Cukuplah dua kali diberi peringatan nyawa dan Thalout
akhirnya insaf. Kerajaan ditinggalkan dan Daud menjadi penggantinya.

Satu peristiwa di Ailat, janji Musa dan Bani Israel tentang Hari Sabtu
itulah masa ibadah tapi itulah masa ikan terapung-apung di air, menggugah
hati dan janji para nelayan, lalu merenggut kesucian Hari Sabtu. Tapi Daud,
seorang Rasul, tetap menasihati, akhirnya berdoa agar dibuat pengajaran.
Lalu tanah bumi Ailat bergegar. Daud, ditangannya ada besi mengalir,
suaranya memukau telinga, hinggakan burung-burung dan gunung-gunung
turut bertasbih, sambil mendengar berita dari burung-burung yang terbang.

XV

Sulaiman putera Daud, diberi pengertian tentang suara burung,
dan diberikan segala sesuatu, maka ini adalah kurnian Tuhan yang nyata.
Seperti doanya, tiada kerajaan di dunia sebesar Baitulmaqdis, kerajaannya.
Namun sekecil semut pun masih ragu-ragu. Setiba di San’a Hud-Hud
hampir derhaka, bawa berita Ratu Balqis kerajaan Saba nun di sana.
Siapakah yang mampu membawa singgahsananya ke depan mata ? Ifrit sebelum bangun
tetapi Asif sebelum kerdipan mata. Itu ilmu manusia, kurnian Tuhan Maha Esa.

Berserahlah Ratu Balqis di San’a, istana berlantai kaca putih miliknya.
Dan Sulaiman terus menduga, membuang fitnah nista pada betisnya.
Maka bersaksilah Si Ratu kepada Tuhan Yang Esa.
Dan ditundukkan angin kepada Sulaiman yang perjalanan sepetang
bersamaan sebulan, dan sebahagian Jin menjadi suruhan dengan izin Tuhannya.
Tatkala kematian Sulaiman ditetapkan, tiada petunjuk kecuali anai-anai
yang memakan tongkatnya sehingga tersungkur dan terlepaslah Jin dari azab hina.

 XVI

Dan Ilyas itu adalah seorang dari yang dirahmati umurnya,
doanya ingin berzikir sepanjang hayat termakbul, maka duduklah
bersemayam di dalam taman beribadah kepada Tuhan.
Telah datang Izrail kepadanya, salam Tuhan telah sampai, Maka menangislah,
bukan takut mati, bukan juga cinta duniawi, tetapi tidaklah lagi dia
dapat berzikir seperti manusia lain yang hidup. Dan ajalnya pun ditangguh
itulah kurnia Tuhan Yang Esa.

XVII

Yunus bin Matta pula untuk Ninawa, bukan darah dagingnya.
Kaum yang masih gelap dan lemas dalam kekafiran. Datanglah Yunus
mencegah mungkar. Cubalah datangkan tanda ancaman jika kau benar.
Maka berdoalah Yunus menuntut ancaman Tuhan yang setimpal
dan dia pergi meninggalkan Ninawa tanpa restu Tuhan, meninggalkan
kaum yang degil. Maka suasana berubah kelam, mega hitam mengepung.
Aduh resah, ternakan turut gelisah. Inilah tandanya. Berimanlah mereka.

Sampailah Yunus ke pantai menumpang kapal, yang dikepung ribut dan gelora.
Seorang perlu dikorbankan, dan Yunus sehingga tiga kali undian, terjunlah.
Disambut gelombang, ditelan Nun lalu dikurung sebagai balasan Tuhannya.
Sehingga sampai masanya, dikeluarkan dia yang kurus dan sakit. Pohon Labu
itu rahmat Tuhan, kembalikan tenaga untuk disuruh kembali ke Ninawa.
Untuk disambut dengan keimanan dan ketaqwaan oleh ribuan mereka
yang ditinggalkan, untuk menyempurnakan iman dan aqidah mereka.

XVIII

Zakaria, pewaris Bani Israel dari Musa, pemimpin dan pemelihara
Taurat dari kurang atau bertambah. Syugul hatinya pada hari tua
melihat isteri semakin luput menjadi ibu, sedih mendambakan
pewaris yang bakal menjaga Taurat, memimpin Bani Israel
juga pewaris sulbinya. Aduhai, tiap hari berdoa, merintih pinta
belas Tuhan Yang Esa. Dan akhirnya terkabul. Isterinya hamil
pada usia lanjut. Dan itulah Rahmat Tuhan, itulah Kuasanya.

Dan Maryam anak Imran, dititip kepadanya melalui undian,
menjaga mihrab, seperti nazar ibunya, beribadat kepada Tuhan.
Dan tiap pagi dan tiap petang, makanan dan minuman terhidang
tanpa dipinta. Ibu bakal seorang Nabi Besar, pengganti Taurat.
Sehingga saatnya, Zakaria berlepas tanggungannya, Yahya
lahir ke dunia, sebagai waris sulbinya. Itulah Rahmatnya
dan itulah Kuasanya.

 XIX

Dan Yahya bin Zakaria, sejak kecil diberi Ilmu dan Hikmah,
petanda zuriat Zakaria masih memelihara Taurat dan kaumnya,
terlalu bangat beribadah sehingga kurus dan pucat, bermunajat.
Menjadi rujukan Ilmu, penyelesai masalah dunia dan akhirat.
Dan menyuruh banyak bertaubat kepada yang salah, dan
dimandikan di Sungai Jordan, tanda pembersihan dan digelar
Yahya Pembaptis, diikuti hingga ke hari ini oleh setengahnya.
 
Dan penguasa Palestin, Hirodus, bercinta dengan anak saudara,
Hirodia yang kecil dan cantik ingin dikahwininya.
Tidak boleh, fatwa Yahya. Jangan dilawan syariat Musa.
Si kecil cantik melawa di depan penguasa, hatinya terbawa-bawa.
Bunuhlah Yahya, dan kita akan bersama-sama.
Gelap mengabui mata penguasa gila, dan kepala Yahya
masih berdarah lehernya dihidangkan di depan mata.

 XX

Isa bin Mariyam, seorang Rasul seperti mana yang terdahulu,
jasadnya satu dan rohnya bukan tiga. Beribu tanpa bapa.
Pembawa Injil menerangi kaumnya. 
Dan palang itu menjadi bayang-bayang. Matinya
diangkat ke langit? Atau jasadnya masih bersemadi?
Dan rupa yang saling tak tumpah menjadi ganti. Doanya
menjadi umat Muhammad bakal termakbul
bersama-sama Kiamat yang bakal muncul

.......


Umpama bayang-bayang, hadir terang
hadirlah ia. Gelap datang, hilanglah ia. Iman
jadi pakaian. Hati tetap dengki dan ikhlas
berakar, mencengkam erat. Pedang masih berkuasa.
Ganti dan digulung. Diterbalikkan bumi mereka.
Itu akibatnya, dibakar oleh api dari langit.
Hilang berganti. Jika tidak, Dunia ini sepi.





[reproduksi ditegah kecuali dengan kebenaran aku]

.

5 comments:

tasekM said...

mak aiiiiiii... mengah.

tarik nafas jap. ok. nk sambung baca.



.

Nizam.Ariff said...

TM,
Baca sampai habis tau... kalau tak, penat je aku perah kepala nak buat...

ckLah@xiiinam said...

...ckLah dah nak cuti seekolah ni. Nizam pulak sambung ajar Sejarah ya!


:D

Anonymous said...

aku dah dpt tengok gambar ko mat dino

http://www.facebook.com/photo.php?fbid=157280020977099&set=a.157269320978169.26831.154541141250987&pid=247595&id=154541141250987

Nizam.Ariff said...

Cklah,
Itu namanya pembelajaran berterusan...hahaha

Anon,
Ye ke? pesal panjang sangat filename tu?..

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com