Sunday, February 19, 2012

Pada pagi itu aku hempaskan topi keselamatan di atas meja

.


Aku rindukan kehidupan yang lebih tenang, yang lebih tenteram kerana aku telah terlalu dibingitkan dengan hiruk pikuk kotaraya yang seakan-akan tak pernah kenal erti malam dan tidur. Kotaraya yang berdenyut nadinya setiap masa, yang terbuka matanya setiap masa selagi ada manusia-manusia yang berkeliaran atau minum secawan kopi atau bersembang di gerai-gerai burger di tepi jalan. Mereka itulah nadinya. Jantung kotaraya itu berdenyut selagi ada nadi manusia yang berdenyut bersama-samanya.


Aku yang telah sebati dengan kotaraya hampir 20 tahun lamanya sampai juga seruan dalam hati aku untuk menghargai ketenangan yang hilang dari kamus kerjaya aku. Kini aku amat dambakan rasa sunyi dan kehijauan. Aku merindui masa-masa yang berdetik perlahan. Aku mahu melihat bagaimana alam ini berubah dalam imej detik-detik yang lebih perlahan.


Lalu pada satu hari itu, rindu aku pun terjawab dengan satu sengatan yang pedih di dalam rongga dada. Pada pagi itu aku hempaskan topi keselamatan berwarna putih di atas meja kerja. Terkejut semua rakan-rakan yang ada. Kesemuanya memandang kepada aku. Si Jepun, si Inggeris dan si Korea semua terhenti dari berbincang dan bertengkar. Terasa sungguh asing sekali pejabat itu apabila suasananya diam dan sunyi. Kesemuanya memandang aku yang tiba-tiba tertunduk sambil memegang dada.


Kesakitan itu menyucuk-nyucuk dada dan tangan aku terasa kebas. Tidak lama kemudian, beberapa daripada mereka menyambut tubuh aku yang semakin longlai dan hampir-hampir jatuh tersungkur dari atas kerusi. Kisah seterusnya terlalu kelam untuk aku ceritakan.


Apabila aku keluar dari bilik doktor itu, aku telah diberitahu tentang kisah yang berbuku di dalam dada. Sebuah kisah sedih tentang keadaan jantung yang berdegup semakin lemah. Semakin hari menjadi semakin lemah untuk terus menampung tubuh aku yang sasa, doktor itu berkisah, dan akhirnya akan terhenti dari terus bernadi. Bermakna, degup nadi kotaraya akan berkurang seorang nanti.


Lalu aku teringatkan kisah rindu aku akan kedamaian, tentang masa-masa yang berdetik lebih perlahan. Serta merta aku terfikir, inilah jawapan yang aku terima akibat rindu aku itu. Jadi, aku ambil keputusan untuk pulang ke desa. Desa yang segala-galanya hijau. Desa yang jam dindingnya bergerak lebih perlahan. Orang-orang kampung berjalan kaki dengan lebih tenang tanpa perlu terkejar-kejar. Lembu dan kambing yang berlari-lari anak, seolah-olah menari kegirangan menjemput sinar pagi yang damai. Embun-embun segar menitis di atas sepiring jemput-jemput dan secawan kopi O panas.


"Berapa lama lagi?" soal seseorang yang menemai aku pada pagi itu.

"Tak lama lagi..." jawab aku acuh tak acuh sambil melemparkan pandangan ke kebun sayur milik lelaki itu.


Aku hayun-hayunkan kaki aku. Pelantar yang diperbuat dari batang-batang kayu sebesar lengan dan disusun rapat-rapat itu seakan-akan turun berhayun. Nasib baik atap jerami itu dijalin kemas dengan tali kambing. Jika tidak tentulah pondok kecil di tengah-tengah kebun sayur itu tak berbumbung lagi.


Tiba-tiba rasa pedih menjalar lagi tetapi tidaklah sesakit sebelum ini. Aku tanggalkan butang kemeja lusuh yang aku pakai.  Aku tunduk melihat dada aku yang sakit itu. Aku terkejut kerana aku dapati ada selinder besi sebesar dan sepanjang sebatang pen melekap di atas dada, betul-betul di atas kedudukan jantung. Ada satu selinder kaca berisikan sejenis cecair berwarna kuning di dalam selinder besi itu dan aku boleh lihat paras cecair dengan jelas. Di sepanjang selinder kaca itu pula terdapat beberapa LED kecil yang bermula dengan warna merah, kuning dan hijau. Aku dapati paras cecair itu berada di senggatan yang bawah. LED berwarna kuning sedang berkelip-kelip.


"Pulanglah dulu. Kamu patut cas semula bateri dan isikan semula serum tu sebelum habis... atau..." saran lelaki itu.

"Atau apa?" aku tercengang kerana aku baru perasan ada benda itu di dada aku.

"Itulah penyambung nadi kamu, sementara kamu menunggu penderma..." katanya sambil melangkah pergi meninggalkan aku di pondok kecil itu.


Aku terpinga-pinga. Aku tak tahu apa yang telah terjadi kepada aku dan sungguh, aku terasa begitu lemah sekali. Pandangan aku berpinar-pinar tetapi aku gagahkan diri untuk berjalan pulang ker rumah kakak. Nafas aku tersekat-sekat setiap kali aku langkahkan kaki dan akhirnya aku jatuh di depan pintu rumah kakak.


Aku tak mahu mati. Walau pun aku tak suka dengan kehidupan di kotaraya, tak bermakna aku mahukan kematian yang cepat seperti ini. Apa yang aku mahu hanyalah berhijrah ke desa dan menikmati masa yang tenang dan damai. Bukan pulang dengan keadaan selemah ini. Bukan.


Kakak unjukkan sebatang picagari. Aku terdiam. Sungguh, aku tak tahu untuk buat apa dengan picagari yang penuh dengan cecair berwarna kuning. Aku geleng-gelengkan kepala.  Lalu kakak tanggalkan baju aku lalu menyuntik cecair kuning itu ke dalam selinder kaca. Kemudian, kakak cucukkan sebatang besi kecil yang bersambung kepada wayar hitam ke dalam satu lubang kecil yang ada di selinder besi yang melekap di dada aku. Kakak sambungkan pula ke soket 3 pin. Kakak alirkan arus elektrik. Perlahan-lahan aku terasa lebih segar dan nadi aku pun berdenyut dengan lebih sekata.


"Jangan mati lagi. Bertahanlah sedikit lagi. Mungkin esok lusa, ada penderma datang..." kata kakak.


Dan hari-hari aku terasa amat panjang sekali apabila duduk tanpa berbuat apa-apa selain daripada menunggu seseorang mendermakan jantungnya kepada aku. Setiap hari aku dilanda rasa resah. Kehidupan begitu bukanlah yang aku harapkan. Aku tidak mahu hidup dalam keresahan menunggu kematian. Aku mahukan sebuah kehidupan yang tenang dan damai.


Aku termenung di kaki tangga, memikirkan hari-hari yang mendatang. Aku cuba korek semula kisah-kisah di kotaraya tetapi aku gagal mengingatinya kecuali perasaan kuat untuk hidup dalam tenang dan damai.


Dan kini, aku hidup tanpa dapat mengetahui apakah esok aku masih bernadi atau pun tidak...






[ itu mimpi aku malam kelmarin ]



.

6 comments:

sepa said...

ko kerja macam aku. jauh d pedalaman. memang sgt terasa masa sgt perlahan berlalu.
tp... kena ada 4-wheeler. sbb jln licin dan berlopak-berlumpur lepas hujan.

:)

tasekM said...

kalau ikut mazhab ultraman.
bila lampu kelip2 bertukar merah.
ko akan dapat power balik lepas tu.

jangan risau.



.

AZANI said...

err berapa volt? 12 ke 24..?


Take a break, bro

Aku said...

sepa,
kat sana perlahan ke?
bertuahlah ko ...



TM,
apa oasallah saintis tak buat jantung bionik....



Azani,
mana nak break nyer...
sabtu dan ahad ini aku tak keluar rumah... dan aku rasa masa tetap berdetik laju...

hairul392 said...

jom balik kg mancing...

Aku said...

Dak Ai,
mancing kat mana?
melaka mana ada sungai yang best2

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com