Pages

Tuesday, May 16, 2017

Bagaimana nak tahu bateri kong atau alternator yang rosak

.

Apabila hendak hidupkan enjin kereta tiba-tiba starter motor semacam semput, kita selalu syak yang bateri telah 'conk'. Jarang kita terfikir kenapa bateri boleh habis sedangkan baru ditukar tak sampai setahun. (Nota: biasanya, hayat bateri kereta diantara 1.5 ~ 2 tahun. Sesetengah bateri sel basah boleh cecah lebih 2 tahun hayatnya jika dijaga dengan baik).

Eloklah kita fahami serba sedikit tentang sistem 'starting & charging' sesebuah kereta agar nanti kita tak melulu meletakkan sebab kepada bateri. Lebih parah lagi kalau kita asyik tukar-tukar bateri sahaja. Hari ini tukar bateri, esok lusa 'conk' lagi....aduh! Bukannya murah pula tu.

Berikut adalah diagram ringkas tentang 'starting & charging system' untuk kereta berenjin petrol atau diesel:


Imej dari: motorist.org

Bateri yang normal akan menyimpan cas dalam 12 volts. Apabila kunci diputarkan kepada 'start', Starter Motor akan memutarkan aci engkol untuk menghidupkan enjin, oleh itu ia banyak menggunakan tenaga elektrik dari bateri. Jika bateri berada dibawah 10.5 volts (bergantung kepada saiz enjin), kita akan dapati Starter Motor macam semput untuk berputar.

Apabila enjin telah hidup, sistem pengecas pula berfungsi. Mengecas dan menjana tenaga elektrik adalah tugas Alternator. Ia seperti generator elektrik kecil yang mampu menjana sehingga 14 volts untuk mengecas bateri. Voltage Regulator akan mengawal voltan kepada 12 volts untuk kegunaan lain pada kereta.

Dengan kata lain: sebelum enjin hidup, bateri bertugas. Selepas enjin hidup, Alternator bertugas.

Oleh itu, jangan buka lampu hadapan lama-lama atau pasang radio kuat-kuat jika ENJIN BELUM HIDUP kerana elektrik itu datang dari bateri. Takut nanti tak boleh hidupkan enjin.

Jika bateri anda 'conk', sila perhatikan perkara berikut:
  • Adakah bateri anda berusia lebih 1.5 tahun? Jika ya, mungkin benar bateri itu perlu ditukarkan.
  • Adakah sesiapa pernah mengusik kabel bateri atau kabel Alternator baru-baru ini? Cuba periksa sekali lagi sambungannya. Mungkin longgar.
  • Adakah anda memasang sistem audio atau lampu yang berkuasa tinggi baru-baru ini? Mungkin ia mengambil kuasa bateri sedikit.

Jika kesemua jawapan di atas adalah 'TIDAK', maka anda patut uji alternator anda. CARA yang tak mudah (sebab kena tanggalkan terminal bateri dalam keadaan enjin sedang hidup):

  1. Cuba hidupkan enjin kereta (kalau langsung tak boleh hidup cuba jump-start / pinjam bateri / tukar bateri)
  2. Buka hud hadapan dan tanggalkan terminal -ve bateri menggunakan open end spanar saiz 10.
  3. Jika enjin mati selepas beberapa ketika, alternator / sistem pengecas telah gagal 

Atau anda boleh lakukan UJIAN MUDAH seperti berikut:
  1. Cuba hidupkan enjin kereta (kalau langsung tak boleh hidup cuba jump-start / pinjam bateri / tukar bateri)
  2. Jangan tekan pedal minyak, biarkan enjin 'melahu' (idle) sehingga enjin agak stabil (RPM stabil)
  3. Buka lampu tinggi (headlight) dengan cara menarik tuil lampu isyarat (seperti kita bagi lampu kepada kereta di depan), kemudian lepaskan tuil tu. Lakukan berulang kali
  4. Setiap kali lampu On dan Off, cuba dengar perubahan pada enjin.
  5. Jika ADA perubahan pada RPM enjin (enjin jadi berat ketika On), maknanya Alternator masih berfungsi
  6. Maka, tukarlah bateri.

TETAPI jika TIADA perubahan pada RPM, tidak bermakna Alternator telah rosak. Mungkin:

  • Ada kabel tercabut atau longgar
  • Talisawat (belt) Alternator putus atau longgar
  • Ada fius yang terbakar

Periksalah dulu perkara di atas sebelum dihantar ke woksyop. Setelah berpuas hati, bawalah kereta ke woksyop yang diyakini. Biar pomen gunakan alat Multimeter. Sekurang-kurangnya, kita telah periksa dan berpuas hati sebelum menukar Alternator kerana harga Alternator bukanlah murah.



.

3 comments: