Monday, June 22, 2009

Satu hari nanti, jangan lupa pada kami...

.



SATU HARI NANTI


Satu hari nanti, mungkin juga esok pagi
Bila kau dapati rumahmu di bawah terik matahari
Jangan lupa kau jengah bulan malam tadi
Ingatlah lembut cahayanya menusuk sanubari.

Satu hari nanti, mungkin juga esok lusa
Bila dalam diri kau rasa ada kuasa
Jangan biarkan kami yang dulu merana
Ingatlah duka kita hadapi sama-sama.

Satu hari nanti, mungkin tidak lama lagi
Bila angin panas menjadi nafas bumi
Jangan lupa pada embun di daun-daun padi
Ingatlah ia menitis pada pagi AidilFitri.

Satu hari nanti, mungkin sebelum mati
Bila pagimu bermula pada tengahari
Jangan lupa sarapan ibu dan sejuk air perigi
Ingatlah basikal biru dan jalan selebar jari.

Satu hari nanti, mungkin sedikit masa lagi
Bila kau mandi sabun kau mahal dan wangi
Jangan lupa lopak bendang dan limau kasturi
Ingatlah ban besar tempat kita bermain aci.

Satu hari nanti, mungkin juga esok hari
Bila mainanmu hanya ada dalam PC dan TV
Jangan lupa pada getah, lastik dan guli
Ingatlah gasing dan seluar koyak di kaki.

Satu hari nanti, mungkin juga kejap lagi
Bila kau rasa lemah dan nafas terhenti
Janganlah kau risau atau sedih hati
Ingatlah kami juga akan rasai mati.


[17/10/2003]






.

11 comments:

SHIMI said...

pehh bro...
ko dulu johan deklamasi sajak ke/
tak pun pesta pantun.

Hidup umpama roda, ada atas dan bawahnya. Moga kita tidak lupa dengan akar kita..

ada macam m.nasir tak gua nasihat lu

ASH said...

Sila jawab soalan berdasarkan sajak di atas :-

1. Siapakah 'kami' yang dimaksud dalam sajak di atas?

2. Sebutkan permainan tradisional yang dinyatakan di dalam sajak ini?

3. Nyatakan pendapat anda mengenai perasaan penyajak sewaktu menulis bait bait sajak ini.

antara soklan bocor......BM SPM tahun 2020.

sekian.

Insyirah said...

Sajak ni dikarang masa tahun 2003 ke? Eheh...saja tanya soalan yg tak berkenaan.

Kak Ashley, soalan BM SPM itu sangat kacang goreng.. :p

ibundo said...

yela...yela... aku ingat.

aza ni said...

bila pujangga bermadah
terkedu aku mengalah
rasa sedu rasa resah
tak keruan tak tentu arah
bagai otak diperah perah
mencari erti makna tersirah
berkamus kamus aku menjarah
sana sini aku menerjah

tasekM said...

kak ashley, ko ni teringin nk jd pembuat soalan SPM yek....?

nnti la aku tanya pak yidin kot2 bulih lepaskan ko sorg. teruk benar dah gedik dia nih.....

:p

addyaholix said...

aku paling suka rangkap yang terakhir bang. menusuk!

kau serba boleh bang. turun la ilmu sikit. cis!

tulis la puisi-puisi baru bang. aku tengok banyak ko letak yang lama-lama saja.

ASH said...

TM,
tak nak lah jadi cikgu Bahasa Melayu..
kang ramai sekeh pala aku sebab merosakkan bahasa..
ha ha ha..
sesambil kena jeling ngan cikgu BM sekolah lama ko...

ngeh ngeh ngeh

Insyirah,
kalau senang...sila jawab sekarang.
tak betui, aku luku pala.
bab bab meluku boleh tahan juga kekuatan jari jeamri aku ni..he he he

Dak addy..
aku tengok ko tu dah mmerayu rayu semenjak azali lagi nak tuntut ilmu ngan Dak Nizam ni..
siap jadikan Dak Nizam idola lagi..
ko dah bayar yuran tusyennye ke belum?

Nizam.Ariff said...

Shimi,
Gua baca sambil membaja sawah padi je. Lu punya nasihat tu tinggi sikit dari Mnasir ... hahaha

Ashley,

1. Kami = org yang dikenali 'kamu', tapi tak semestinya 'kami' itu manusia fizikal. Boleh jadi juga ianya adalah 'kenangan lama' dalam diri 'kamu'.

2. Salah satu permainan tradisional ialah gasing.

3. Perasaan penyajak dibuai-buai kenangan lama yang pahit dan yang manis dan pandangannya pada masa depan yang mencabar, ini kerana penyajak adalah 'kami' dan juga 'kamu'. Penyajak berkata-kata dengan dirinya sendiri dan pengalaman lalu.

OK. Aku dah bagi jawapan bocor untuk BM SPM tahun 2020.

hahaha


Insyirah,
2003, asalnya aku nak poskan dalam kad hari raya kat abang aku kat kampung, tapi tak jadi sebab takut dia kata aku buang tebiat lak...

Kakpah,
Ingat kat aku ye..


Azani,
takpe, aku dah bagi soalan bocor. Tapi kan, cuba bandingkan dengan kenangan lama. Bayangkan air sungai yang sejuk dan jernih mengalir di celah-celah jari kaki mu, apa yg kamu rasa? sejuk? tenang? Sepi? alami?


TM,
Ko dengki kat ashley yek? hahahaa..


Addy,
Yang baru-baru aku reserve untuk keluar 5 tahun lagi... hahaha
Tak adalah, itu semua bahasa biasa-biasa je... nantilah kalau ilham datang aku buat yg baru...


Ashley,
Aku dah jawab soklan periksa akak tu untuk Adik Insyirah. Dia tinggal kopipes je.. hahaha
Kesian kat Addy, akak jangan le mintak yang bukan-bukan, tapi kalau dia nak kasi, kita kongsi aku:akak, 90:10, ok tak kak? Hahahaha....

ASH said...

TM tak dengki tau..hati dia baik bak buluh perindu..

errrr..
apsal lain sangat perumpamaan aku ni....mengong kejap!

Nizam.Ariff said...

Ashley,
Aku rasa akak maksudkan, bagai aur dengan tebing...

Eh, betul ke?

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com