Monday, January 31, 2011

Tentang 'kelangsungan hidup' semalam...

Tentang sebakul tapi lebih RM 50... entri sebelum ini.

Rupa-rupanya, ada lemak-lemak tepu terselit di bawah bakul itu yang tak terambil imejnya oleh kamera beresolusi sekadar VGA sahaja.

Ada cream cheese dan double cream rupa-rupanya yang Mama selitkan.
Antara bahan-bahan yang digunakan untuk ini...




Yang hitam-hitam di bawah itu adalah cebisan kurma Mariami.

Yummy...!


Dan... *plop* !!!

Secara magisnya, lelemak tepu itu pun berpindah ke perut kami.

Ah! Satu kerja pula nak membuang/membakarnya.
Lazatnya hanya di mulut. Nikmatnya terhenti di tekak.

Seterusnya adalah kesengsaraan...




.

Sunday, January 30, 2011

Kelangsungan hidup di dunia yang fana' ini

Demi menyeru seruan ekonomi keluarga dan demi menyahut cabaran pembelanjaan berhemat, konon-kononnya dengan bertukar dari menyorong troli kepada menjinjing bakul akan membantu belanjawan. Secara teorinya, kalau kecil nyiru kecil jugalah tampiannya. Dan kalau dah kecil tampiannya, tapak tangan sudah memadai untuk menadahnya.


Sebaliknya, kalau besar nyiru besar jugalah barang yang ingin ditadah. Maka, bergerak mengikut firasat, kami tidak pandang troli. Kalau dulu, sebab utama troli diperlukan ialah untuk letak Ariff di dalamnya dan sambil berangan-angan memandu kereta lumba, jadi kami tak perlu dukung. Kini Ariff dah besar. Dan bakul pun kami jinjing...




Ah...! Lenguh tangan. Penuh dengan barang. Punah juga lebih RM 50 duit aku. Pelik juga, barang sebakul lebih RM 50..! Mana pergi nilai duit tu?


Aku rasa, lepas ni kami tak akan bawa bakul atau troli. Kami hanya gunakan lengan 6 kerat kami sahaja. Kalau ada barang lebih, kami akan kepit pada ketiak-ketiak kami...





Sedikit selingan dari Kompang di Merung Mahawangsa:


" Setelah sejuk di bahagian depan badannya, Jali pusingkan badan dan baring menelentang. Jali sejukkan belakang badannya pula. Sambil itu, Jali bilang jumlah lubang pada bumbung zink dek paku. Zink itu zink guna-semula, tentulah lubang paku merata-rata. Lebih menarik apabila asap dari dapur kayu Emak menerawang naik ke bumbung itu. Akan kelihatan garisan-garisan putih dari setiap lubang paku pada bumbung zink itu. Garisan-garisan putih akibat cahaya matahari yang menerobos masuk melalui lubang-lubang paku; ibarat pedang LASER yang panas dan amat tajam.... "





.

Saturday, January 29, 2011

Kelapa dan anak kecil...

Mengikut kisah orang tua-tua, menjadi satu kelaziman orang-orang kampung untuk tanam 2-3 batang pokok kelapa jika mendapat anak. Buah kelapa akan diguna sebagai tanda kawasan uri ditanam. Juga ada sebab lainnya... ini yang menarik.



Apabila anak itu membesar dan semakin besar, dan akhirnya berkahwin, pokok kelapa itu juga telah besar dan tinggi. Agak-agaknya, itulah sebabnya orang kata " eh.. anak kamu dah besar panjang  ye Jah..."


Dan bila anak itu dah besar, tibalah masanya berkahwin. Pokok kelapa ini akan ditebang untuk temasya kahwin ini. Dikampung aku jika ada kenduri kahwin, seperti menjadi kemestian pokok kelapa akan ditebang.



Batang kelapa - buat jambatan, buat tungku memasak, buat kaki meja makan tetamu...
Pelepah kelapa - dianyam sebagai dinding pemisah, dekorasi khemah...
Lidi kelapa - buah gubahan bunga, tangkai bunga telur...
Daun kelapa tua - bahan bakar untuk bakar bulu halus ayam, kulit lembu...
Kelapa tua - santan
Sabut  kelapa tua - bahan bakar, pengasap untuk halau nyamuk malam-malam...
Kelapa muda - upah orang tebang pokok kelapa tu...
Umbut muda...

Umbut kelapalah yang selalu ditunggu-tunggu oleh orang-orang kampung yang datang 'merewang'

Sebenarnya, 'rewang' tu maksudnya 'menolong' dalam bahasa Jawa. Entah kenapa orang Melayu guna perkataan 'rewang' untuk aktiviti memasak ramai-ramai sedangkan 'rewang' itu boleh digunakan dalam banyak bentuk. Kalau nak ciplak bahasa Jawa pun biarlah tahu maksud asalnya. Sedangkan, aku pernah dengar perkataan khas lain yang kaum Jawa guna untuk aktiviti memasak ini tapi aku lupa.


Umbut kelapa selalunya dimasak lemak putih. Dan umbut masak lemak ini biasanya dimasak oleh tuan rumah untuk disajikan kepada para ahli 'rewang' iaitu sehari sebelum majlis kenduri kahwin itu. Ini kerana ayam dan daging biasanya akan sampai dan dimasak pada malamnya, kalau sembelih lembu, biasanya pada awal pagi hari kenduri itu. Jadi, lauk-pauk belum siap lagi. Umbut masak lemak dan ikan gelama masinlah yang menjadi penyendal perut para ahli 'rewang' itu.


Jadi, ada kaitan antara pokok kelapa dan anak kecil dalam budaya kampung.





.

Friday, January 28, 2011

Rezeki dipatuk ayam awal pagi...

Semasa kecil sekira-kira 4 kaki tinggi, aku berkawan dengan anak jiran yang rumahnya bukanlah dekat pun. Kalau pekik sampai tegang urat leher pun belum tentu dia orang boleh dengar. Silap-silap suara aku dibawa angin ke celah-celah pokok padi, atau kalah ditepuk suara daun pisang, kalau tak pun ditampan dedaun keladi yang geleng-geleng ' Laailaha Illallah..' setiap kali dirempuh angin.


Mereka sekeluarga lebih kurang sama macam keluarga-keluarga lain di kampung itu cuma mungkin keluarga aku lebih sikit tanahnya, lebih sikit usahanya tetapi yang lain-lainnya sama.

Satu perkara yang aku tabik kat kawan aku dan adik beradik dia orang ialah selalu bangun awal pagi, hatta pada hujung minggu tak bersekolah, hatta sembahyang subuh pun belum wajib, hatta belum sunat pun. Bila aku tanya, dah sarapan? Dia akan kata, dah pukul 6.30am pagi lagi.

Aku pernah tanya dia, kenapa bangun awal sangat? Dia kata, nenek dia pesan supaya bangun awal-awal pagi. Nenek dia kata, kalau bangun lewat nanti ayam patuk rezeki. Rezeki habis dimakan ayam.


Maknanya, dia bangun lebih awal daripada ayam jantan berkokok. Maknanya, dia bangun sebelum pukul 5.30am. Bagaimana aku tahu sebelum pukul 5.30am? Sebab aku tahu bila ayam jantan mula berkokok... ahaks.


* menopous *


Pagi tadi, juga pagi semalam, aku tukar sedikit jadual harian Ariff ke sekolah. Kalau sebelum-sebelum ini dia akan bersarapan dahulu di rumah, pada kali ini kami bersarapan di luar sebelum hantar dia ke pintu pagar sekolah.

Jadi, kami akan keluar rumah tepat jam 7.00am dan dia ada masa 20 minit untuk bersarapan sebelum ke sekolah tepat jam 7.28am. Sebagai motivasi, aku tunjukkan kereta lalu lalang dan kanak-kanak sekolah lain yang naik bas, dalam gelap subuh begitu dah bergerak ke tempat tujuan masing-masing. Aku suruh Ariff bayangkan pukul berapa mereka bangun dan pukul berapa mereka mandi.


"Tapi, kenapa dia orang semua kena pergi awal-awal...?" tanya dia.


"Sebab kalau lambat nanti rezeki dia orang kena patuk dek ayam.." inesen jawapan aku.

"...kalau gitu, rezeki Ariff banyak lagi la sebab keluar rumah awal..." katanya.

"... lambat sikit pun tak apa. Kat Shah Alam ni tak ada orang bela ayam..." kata aku.


Dan... kami pun sampai di pintu pagar sekolahnya. Ariff kata, esok pun dia nak bersarapan di luar. Dia suka keluar pagi-pagi. Suka gelap-gelap dan sejuk-sejuk.

"Esok hari sabtu. Tak sekolah...." kata aku ringkas.






.

Thursday, January 27, 2011

Senyum kambing

Dan.......

Aku ada masa terluang lagi untuk godek-godek Tetuan Iklan pula. Kali ini, aku tengok 'Keywords' yang pengunjung guna semasa 'google'...



Antara yang mencuri pandangan mata kelabu aku ini adalah yang itu tuuu...Aku terfikir juga, sejak bila aku ada tulis benda-benda macam ini? Hish.... agak-agaknyalah, begini kut lebih kurangnya...

Cerita melayu main sama kambing...

Pada satu hari yang panas rembang, Abu pergi ke rumah Ah Kow. Sesampai di rumah Ah Kow, kawannya itu, Abu tak nampak batang hidung dia pun. Puas dicarinya namun tak juga ketemu. Di dapur tiada. Di atas ampaian tiada. Di atas pokok buluh pun tiada. Di bawah kolong juga tiada.

" Ah Kow pergi ke kebun tolong ayahnya..." kata ibu tua separuh umur dari atas loteng.

Abu pun berlari susup-sasap ke kebun ayah Ah Kow. Habis lalang diredahi. Habis parit dilompati. Habis tunggul kayu dilangkahi. Setelah cukup bilangan birat-birat dan comot lumpur pada kaki seluar dan baju-T Abu, sampailah dia.

Abu tersenyum tapi dia bukan senyum pada Ah Kow, juga bukan pada ayah kawannya itu. Abu lemparkan senyuman manisnya kepada Moy. Moy adalah barang permainannya. Moy adalah kuda-kudaannya. Moy adalah peluk-pelukannya. Betis Moy cantik dan kuat. Walaupun bau badan Moy agak busuk. Setelah puas mengusap-usap belakang Moy, Abu toleh kepada ayah kawannya...

" patutlah bau kawan kamu tu macam kambing..."






Siapa-siapa nak sambung cerita, dipersilakan...


.

Wednesday, January 26, 2011

Crop Circle sawah padi, bagaimana yek..?

Salam muhibbah...

Tadi aku terbaca dalam koran Berita Harian Online cerita Dunia tentang 'Crop Circle' di Indonesia. Gambarnya aku tampalkan di sini (ehsan BHarian Online)...





Aku anak sawah. Sawah padi memang menjadi nadi aku semasa kecil dulu dan budi tanah sawah itu masih mengalir dalam tubuh aku dan ia akan terus mengalir hingga aku mati. Ketika itu, baru ia mengalir keluar disedut cacing tanah dan serangga lain. Aku kurang pasti tentang edisi 'crop circle' di Eropah sana kerana aku tak tau bagaimana gandum dan jagung di tanam secara komersial. Tapi, kalau di sawah, aku agak mahir.

Sayugia diingatkan bahawa aku bukan menyangkal atau mengiyakan kejadian di Indonesia itu kerana aku tidak lihat sendiri di depan mata. Aku hanya cuba mengutarakan satu cara untuk buat 'crop circle' selain daripada menginjak-nginjak pokok padi itu.


Zaman dahulu, padi ditanam mengikut peringkat-peringkat umurnya. Benih padi disemai di tapak semaian yang dibuat khas dari lumpur lembut yang dibawahnya dilapisi dengan daun-daun pisang. Biji padi akan ditaburkan di atas lumpur basah dan ditutup dengan pelepah kelapa untuk elak dari dimakan burung. Setiap hari ianya perlu disiram dengan air kerana petak semaian ini dibuat di atas darat. Daun-daun pisang ini untuk memudahkan ketika anak padi itu dipindahkan nanti. Bila anak padi di tapak semaian itu setinggi kira-kira sejengkal, ia akan dipindahkan lagi ke tapak semaian kedua. Pada kali ini, tapak semaian itu dibuat di petak sawah.

Apabila anak padi itu mencecah ketinggian separas lutut budak sekolah rendah, sekali lagi ia dicabut dan barulah ianya ditanam mengikut grid 1 kaki x 1 kaki menggunakan 'kuku kambing'.

Itu dulu-dulu, kurang komersial.


Sekarang ini, biji padi yang telah direndam dan ditoskan 2-3 hari akan mula pecah dan tunas akar akan muncul. Ketika ini, benih padi akan dimasukkan kepada mesin 'Blower' yang akan ditaburkan di petak-petak sawah. Sebelum itu, petak-petak sawah itu telah di 'rotor' atau di bajak dan diairi beberapa kali sehingga rata. Selepas beberapa minggu, anak padi akan membesar dan tumbuh rapat-rapat kerana benih itu ditabur dan bukan di tanam menggunakan kuku kambing secara tradisional.


Ok.

Membajak menggunakan traktor. Jika traktor ini meninggalkan kesan tayar yang dalam pada selut lumpur dan tidak dicangkul semula supaya rata, biasanya, benih padi tidak dapat hidup kerana tapak tayar traktor itu lebih dalam, lebih kurang 1-2 kaki.

Jika ada drebar traktor itu kreatif dengan membuat beberapa pusingan 'U' di tengah-tengah sawah, apabila padi telah berumur 2 bulan, kesan tayar traktor itu tidak ditumbuhi padi.

Hasilnya.... crop circle yang kreatif hasil kreativiti di dredar traktor itu. Dan kita boleh panggil orang ramai, buat pameran dan jual gambar....

Satu pendapatan sampingan untuk pesawah sementara tunggu padi masak ranum...





.

Tuesday, January 25, 2011

Aku bunuh orang dah...

Sementelah ada masa terluang sikit, aku pun godek-godek dan gobek-gobek sikit blog aku sana-sini. Kemudian, aku terpana kerana hampir setiap minggu, entri bertajuk ' Aku Dah Bunuh Orang ' yang berusia ratusan hari dan ribuan jam itu masih diintai orang lagi. Malah, carta entri yang aku tampal kat sebelah kiri itu pun masih diunggulinya.


Aku dah mula takut, risau. Setiap minggu biasanya ada pengunjung yang singgah ke situ, kebanyakkannya dari pakcik Google dengan kata-picing 'tafsir mimpi bunuh' dan ' kena bunuh'. Agak-agaknya, manusia memang suka dengan bunuh membunuh.



Aku ada 'lampu atas kapla'. Apa kata kita buat cerita dari judul-judul entri:


Johan sukar untuk terima kenyataan yang dia terlepas peluang keemasan. Apa silapnya, adakah teknik yang diguna salah? hatinya bertanya. Di rumahnya, Johan mundar-mandir dari bilik air ke bilik air satu lagi, bukan kerana perutnya sakit tetapi kerana kerap membasuh muka yang panas membara. Darah seakan-akan menyirap-nyirap ke ubun-ubun kepala, darah yang membawa sama panas hati dan bisikan syaitan di dalam dadanya. Dalam pada dia jalan-jalan dari bilik air ke bilik air itu, Johan singgah beberapa kali di meja makan. Panas-panas juga, katanya dalam hati. Tapi, ekspresso dan mee segera masih diperlukan untuk kawal laparnya itu. Alunan keroncong dari laparnya itu umpama puisi yang tanpa runut bunyi, tak berlagu di dalam perut.

Johan gelengkan kepalanya, panas tetap panas. Dia tepuk meja dengan agak kuat lalu bangun untuk pergi ke pintu utama. Mama, yang terjaga dek bising tapak kaki Johan, keluar dari bilik dan pergi ke tengah-tengah ruang tamu.

" Apa masalah kamu ni? Orang lain dah lama tidur, bermimpi " Mama bertanya, sambil itu matanya melirik kepada jam dinding yang jarumnya terkangkang menunjukkan angka 11 dan angka 4. Hampir pukul 4 pagi.

" Aku tak sempat nak tembak. Baru aku masukkan peluru, dia dah terbang...hish! " Johan memengkis. Johan masih terbayangkan ayam hutan yang berbulu leret di ladang kelapa sawit tadi....

" Lepas ini, aku nak ajak Leman pergi ke ladang lain lah.... "

Johan pergi semula ke meja dan duduk di kerusi. Dia renung mee segera yang sudah kembang tanpa selera lagi. Dia capai secawan ekspresso lalu dihabiskannya hingga kontang... Mama terkebil-kebil melihat gelagat suaminya itu lalu masuk semula ke bilik tidur.




.

Monday, January 24, 2011

Kambing Sula Superman...

Ini bukan Rempit Kaki Motor ...

Jarang kita lihat mamalia boleh terbang selain kelawar. Kambing juga mahu menonjolkan kemahiran hidupnya untuk terbang seperti Superman.



Namun awas!!!

Superman terbang masih berkepala tetapi mat rempit jadi superman mungkin tanpa kepala.

Seperti kambing ini, masih berkelakuan seperti menunggang motor kapcai...tanpa kepala.

.

Vromm...Vroooooommmmmm!!!!!




.

Sunday, January 23, 2011

Sepohon kayu daunnya rimbun...

Entahkan serapah jenis apa yang dibaca, entahkan kemenyan jenis apa yang direnjis di dalam dupa, atau mungkinkah itu sekadar ilmu waris diri yang diamalkannya.


Kedondong
 
Itu mungkin tajali kisah keikhlasannya terhadap kehidupan yang fana ini. Ada apa pada daun-daun jika buah juga yang diharapkan manusia?

Juga, mungkin mahu menyangkal sesetengah kepercayaan bahawa fotosintesis majoritinya berlaku pada sel daun hijau bagi pokok berakar tunjang sepertinya. Maka, perlukah daun lagi jika dapat berbuah tanpanya?


Atau pun, itu adalah satu kecacatan ciptaan manusia yang terlalu siksa bagi pokok sepertinya, sama seperti perempuan berahim lima yang fokus kewujudannya hanya untuk melahirkan bayi?


Dunia memang gila...



.

Saturday, January 22, 2011

Yang Redup dan Yang bertaup


 

'Siapa sangka di tengah-tengah kota ini ada hutan...'

Itu mungkin ungkapan para pemuka hidup di kota ranggi. Pemuka yang bila kenal dunia sudah minum susu tepung adunan soya luar negara. Pemuka yang tiada hingus leleh melekap pada pipi dan mengalir ke bibir mungil.



' Siapa sangka di tengah-tengah hutan ini ada kota...'

Itu mungkin ungkapan para arkeolojis yang tertegul melihat sesuatu di depan mata. Atau mungkin suara dari lopongan mulut para pengail tegar yang menguak-nguak dedaun keladi dan senduduk putih ketika mencari-cari lubuk Tapah.


Namun di sini, kedua-dua hutan dan kota berkongsi tempat, berkongsi cerita. Mungkin juga berkongsi nasi lemak dan kopi O sambil bercerita tentang asal-usul masing-masing yang putih dan hijau. Bercerita tentang pahit dan kelat payau.


Bercerita sambil bertepuk tampar dan gurau senda yang keterlaluan. Mungkin hutan dan kota tu tak mengerti erti batasan, pada mereka kota dan hutan adalah penghuni manakala mata-mata yang melirik-lirik hanya pengunjung yang datang dan pulang apabila pintu kaca dikunci nanti.


Di sini, hutan dan kota terus bercerita tentang keadilan, politik nusa dan sukan. Mereka tidak pernah sentuh tentang hal-hal kiamat, tentang kematian. Bagi mereka itu adalah taboo.  Sesuatu yang sungguh... ' eleeehhh... cerita kiamat kat masjid la weh...'



Hutan dan kota berpadu. Kita pengunjung yang hanya bisa merasai keajaiban kesempurnaan mereka apabila disatukan.




.

Friday, January 21, 2011

Kesilapan kecil ....

Scene 1:

*tut.. tuttt.... tut..tuttttttt...*

" Ini Pak Abu ke? "
" Bukan. Ini anak saudaranya...."

" Boleh makcik cakap dengan Pak Abu...?"
" Oh... sebenarnya, Pak Abu dah meninggal makcik.."

" Innalillah...... Bila meninggalnya..?"
" Baru semalam makcik..."


Scene 2:

* tut..tuttt....... tut..tuttttt........*

" Pah, kenapa ayah kamu meninggal tak bagi tau aku..?"
" Hah?! Ayah meninggal? Betul ke ni ?"

" Baru tadi aku talipon nak buat appointment dengan dia.."
" .... nanti Pah talipon adik beradik... isk..isk.."


Scene 3:

*tut..tutt...... tut..tutttttttttt.........*

" Ada-ada je la akak ni... Ayah elok sihat .."
" Eh, ye ke? Tadi budak tu cakap Pak Abu dah meninggal..."

" Akak salah nombor kot. Apa nombor yang akak talipon ?.."
" 012- xxx xxxx...."

" Bukan la kak... ish.. Orang dah demam terkejut nih.."
" Minta mahap la ek... hahaha"




Apa kebarangkalian untuk kebetulan seperti itu? Ya, memang terlalu kecil. Tapi, itulah yang benar-benar berlaku petang semalam.


-----------------------
Update pukul 7.45am.

Tadi, aku berselisih dengan 2 orang lelaki. Seorang bertindak sebagai pengawal trafik dan seorang lagi pemandu teksi.

" Abang nak ambik Pak Abu kat dalam tu.."
" Oo.. ye la bang, dia dah tunggu awal tadi lagi..."

Berapa orang Pak Abu sebenarnya di dunia ni?



.


.

Thursday, January 20, 2011

Kopi O dan Tepung Goreng




Malam tadi aku terjaga pukul 1.20 pagi. Kepala aku bagai nak pecah rasanya. Aku bangun makan ubat migrain dan ponstan sekaligus. Sebelum aku terjaga, aku bermimpi aku menemani jenazah Bapak dari Hospital ke masjid berdekatan rumah dengan menaiki van jenazah. Masjid Jamek itu penuh dengan kaum India Muslim menyambut jenazah Bapak.


Pagi ini, aku minta Mama sediakan sarapan Tepung Goreng dan sambal ikan Sardin.
Dan Kopi O menjadi minuman aku.





.

Wednesday, January 19, 2011

Duduk sebentar dan bersandar

Mari kita sama-sama luangkan masa untuk merenungi tahun-tahun yang mendatang ini...
10 minit sahaja. Kita mulakan dengan Bumi ini yang semakin hari semakin kuat latahannya.


Semakin kerap ia menangis, semakin kuat gegar bahunya dek sedu-sedan.



Semakin ia hilang imbangan akal, sekejap ketawa dan sekejap menjadi amarah. Perasaan ibu tua yang semakin hilang warasnya. Semakin payah untuk kita agak kelakuannya.




Kemudian kita lihat Matahari. Dapat dirasakan yang ia semakin mencemburui kita. Dan Bulan pula, kalau dulunya dipuja kini dah jarang ia dipuja-puja dalam lagu.

Dengan kata lain, sistem cakerawala semakin bercelaru...menuju ke arah yang satu itu. Ya, yang satu itulah.


Dan kita cuba lihat diri kita. Kerana alam atas dan alam bawah sama-sama berkaitan. Dalam diri kita ada Bumi, ada Matahari dan ada Bulan ( lihat: 'dalam diri' dan aku tak tulis 'di dalam diri' ). Sistem cakerawala langit bawah ini juga semakin bercelaru. Fikiran kita bercelaru dengan hal-hal sekeliling. Persaingan yang kadang-kadang tidak perlu ada. kenapa perlu bersaing dan tertekan sehingga mengganggu cakerawala kita sendiri. Fikirkanlah.


Kita sesama kita yang mencipta semua kegilaan ini.

Tak bolehkah kita duduk bersandar sebentar dan fikirkan, apa perlu kita lakukan semua ini? Tidak penatkah dengan semua ini?


Kadang-kadang, aku terlalu penat dan seolah-olah ingin larikan diri ke satu tempat yang tidak ada kegilaan ini. Memanglah 'bekerja seolah-olah akan hidup 1000 tahun lagi' tapi tidak ingatkah kita akan penghujung jalan ini?


Sungguh celaru... fikiran aku celaru...




.

Tuesday, January 18, 2011

Projek jual air liur...

Saja jalan-jalan melawat kawasan, dan saja-saja singgah jenguk-jenguk dia orang tu semua buat kerja ke tidak. Almaklumlah, dah dekat 2 bulan tak ada hantar notis 'progress payment'.


Mungkin belum siap lagi tapi bentuknya dah boleh agak.
Aku tengok dah tak macam yang dalam poster iklan pulak.
Ye la, dalam poster tu siap ada pokok ada kereta.
Tapi, tak lah sampai macam ni...






Ayat pertama yang keluar dari mulut Mama:
'... macam rumah burung layang-layang (Walet) jer....'


Ada jugak nanti rumah tu aku buat projek jual air liur burung Walet ni karang....






.

Monday, January 17, 2011

Dialog yang hitam dan yang putih susu



Kopi-O      : ...tempat ini, suasana begini... lama kita tak kecapi bersama-sama.
Kopi+hazel : kita terlalu sibuk fikirkan perkara lain yang lebih penting sehingga lupa.
Kopi-O       : ... ya, kita lupa yang paling penting ada di sebelah kita, bukan di sana.

Kopi+hazel : kenapa you berpeluh-peluh ni? Bukan tak biasa minum-minum begini...
Kopi-O       : entahlah, mungkin teruja. Eh, you pun sama. Berlengas, lencun habis...
Kopi+hazel : eh..err.. tak adalah... *blushing*
Kopi-O       : ...ooo ...tak apa, I faham keadaan you...







Strawberry milk : Ooooo... kita pergi ke basuh tangan sekejap je, Abah dah kacau Mama... ish.




.

Sunday, January 16, 2011

Siakap Senohong Gelama Ikan Duri...

Seperti yang diberitakan sebelum ini, inilah dia yang dicari. Kulitnya bersih melepak. Matanya bersinar-sinar cantik, seolah-olah ada mutiara di dalamnya. sisik tersusun cantik. Bak kata lain, ikan ini ikan yang sihat, membesar dalam persekitaran yang sihat.



Ikan yang mula dinaikkan ke darat



Macam mana nak buat Gelama Jeruk?
Ada macam buat telur asin ke?





.

Melihat dunia dari balik mimpi

Si polan mana menjenguk aku dinihari.
Menghulurkan kepalanya melalui tingkap masa, melalui dedaun tingkap yang tertutup namun masih bisa menembusinya tanpa pecah kacanya.
Ah! Datang menjengah aku yang sedang hangat dipeluk selimut putih yang senteng.
Sekejap ditarik ke atas kalau dada aku digigit sejuk.
Sekejap ditarik ke bawah jika kakiku dicucuk nyamuk.

Sudahlah, besok saja kita bercerita.
Malam ini masih ayu buat aku.
Aku tak mahu lepaskannya dari pelukan.
Aku tak mahu ia hilang tanpa aku bermimpi.

Aku perlu bermimpi kerana dalam mimpi itu aku bisa menemui aku.
Itu petunjuk yang perlu untuk aku terus hidup di siang hari apabila ayu malam meninggalkan aku untuk siangnya.

Tolonglah, tinggalkan aku semalaman lagi.
Cukup untuk malam ini sahaja.
Pagi nanti apabila mentari menjengah dari bukit sana, kamu datanglah.
Kamu jenguklah aku lagi tapi pada kali ini, sila datang secara orang-orang yang mulia.
Masuklah melalui pintu yang terbuka dan bukan dari dedaun tingkap yang aku tutup.

Oh ya, aku terlupa.
Kamu datang tidak pernah lambat sesaat, tidak pernah awal sesaat.
Setiap kali adalah sempurna, cukup sempurna dalam dunia kamu.
Aku yang kurang sempurna, itu aku akui kerana aku masih hidup dalam dunia aku yang serba berlebihan namun sebenarnya kekurangan.

Kekurangan yang hanya bisa dilihat melalui mata mimpi.
Tidak bisa dilihat dari mata nyata.
Kerana itulah aku tidak mahu kamu menjengah aku sekarang, malam-malam begini kerana aku mahu bermimpi dalam pelukan ayu malam.

Tolonglah, biarkan aku bermimpi semalaman lagi.
Aku perlukan mata mimpi aku untuk melihat kekurangan dunia ini kerana jika aku terjaga, seolah-olah dunia ini sempurna segalanya.
Tiada cacat celanya.
Namun, aku percaya itu semua dusta.

Hey kamu yang menjengah aku dari dedaun tingkat yang masih tertutup,
kamu yang datang tidak pernah awal dan tidak pernah lewat,
kamu yang datang menarik selimut aku yang senteng,
kamu yang kamu itu,
kamu sesempurna malam dan siang dalam dunia kamu.
Lihatlah aku bermimpi dari balik dedaun tingkap sana.
Pagi nanti bila aku terjaga, aku akan ceritakan segalanya.

Segala keji dan nista.
Segala busuk dan hanyir dunia ini.

Namun pada kali ni, biarkanlah aku melihat kekurang dunia ini buat kali yang akhir, jika itu yang kamu mahukan.
Kamu yang tidak pernah awal dan tidak pernah lewat.
Aku akan ceritakan segala-galanya tentang dunia nyata.
Aku akan ceritakannya dari balik dunia mimpi.
Aku janji.





.

Friday, January 14, 2011

Kejayaan tangganya usaha

Dek kerana lidah dan tekak yang berubah rentak akhir-akhir ini, juga dek imbauan kenangan silam dengan arwah Bapak, maka Ikan Gelama Masin menjadi juadah yang mesti ada. Ironinya, Ariff juga gemarkannya. Cuma kadangkala dia tanya, " telurnya boleh dimakan ke?"



Syahdan maka dek selalunya Ikan Gelama itu dihidangkan, bekalan Ikan Gelama itu pun maka berkuranglah ibarat menyunggih padi sebukit, sekepal juga jadinya.


Sebermula cerita akan Ikan Gelama Masin sudah hilang dari peterakna, maka gemparlah sekampung. Maka huyung-hayanglah seorang-seorang. Mana yang berjalan jadi berlari, mana yang berlari jadi berlompat, mana yang melatah bertepuk-tepuk, mana yang buta mencari tongkat. Maka gegak gempitalah segalanya. Maka debu duli pun naiklah ke langit, menuju ke Syonan-to'. Maka, mong-mong pun dipukul oranglah.


Sedangkan pasar belum cukup sepekan, manatah datangnya Ikan Gelama Masin itu. Maka syugullah beta, bila dilihat akan beta kepok yang berdebu itu maka bertambah-tambahlah syugul beta.


Sebeberapa lama sudah berhulu dan berhilir di ruang penghadapan, maka beta pun menyuruh bersiap-siaplah segala inang. Maka, beta pun mengajak semua pergi mencari Ikan Gelama.


Masuk hutan keluar hutan, masuk padang keluar padang. Habis gunung didaki, habis sungai diredah. Maka, sampailah beta dan segala inang ke negeri di bawah bayu biru itu:







Dapatlah kami berlaukkan Gelama Tak Masin pada malam itu...




.

Thursday, January 13, 2011

5 Ayat untuk jadi kaya raya seraya-rayanya

Jumpa kawan-kawan lama yang dah lama tak berjumpa, biasanya, masing-masing akan mengukur kejayaan masing-masing. Biasanya juga, kereta yang menjalar sering menjadi kayu pembaris. Entahlah kenapa. Kalau balik kampung, biasanya, kayu ukur yang diguna ialah ' dah ada berapa orang anak sekarang ? '...


Seorang kawan lama, berkongsi petua untuk berjaya yang diperolehi daripada seorang kawan lamanya yang aku tak kenal.

Kata orang itu, kalau amalkan 5 ayat mudah ini, kejayaan mungkin menjelma walau sekolah tak setinggi mana pun:

1.  ' Yes, sir... '

2.  ' No ploblem... '

3.  ' Sure...! '

4.  ' Galentee punya...! '

5.  ' Thank you - thank you..., tolong tanda tangan sini, sir...'


Contoh penggunaan:

' Ah pek aaa...'
' Yes, sir....'

' Lu boleh bikin ini ka?'
' No ploblem...'

' Betul ke ni?'
' Sure..!'

' Kalau rosak macam mana?'
' Galentee punya..!'

' Ok la kalau gitu...'
' Thank you-thank you... tolong tanda tangan sini, sir..'



Oh ya, petua itu selalu digunakan oleh orang Cina yang berjaya, itu ceritanya... itu sebabnya dialek kena betul..




.

Tuesday, January 11, 2011

Minyak Tiga Serangkai...

Dulu-dulu, aku guna minyak sawit untuk semua masakan, sama ada untuk menggoreng atau menumis. Sambil-sambil itu, hendak tolong naikkan harga minyak isirong kelapa sawit, kononnya.

Kemudian, aku 'upgrade' sikit minyak masak untuk menumis kepada minyak jagung. Manakala minyak untuk menggoreng tetap minyak sawit.

Kemudian, aku tukar kepada minyak bunga matahari untuk menumis kerana minyak itu lebih 'ringan'. Manakala minyak untuk menggoreng tetap minyak sawit kerana minyak sawit lebih tahan suhu lebih tinggi.

Kemudian, aku teringat minyak zaitun yang disebut dalam surah An-Nur. Jadi, aku guna minyak zaitun untuk menumis. Manakala minyak zaitun yang masih 'dara' aku guna untuk 'dressing'. Waktu itu minyak zaitun dalam lingkungan RM20-25 untuk 1 Liter. Sedangkan minyak sawit masih aku guna untuk menggoreng kerana lebih tahan suhu tinggi.


Kemudian, minyak zaitun dah naik lebih RM30. Aku tukar kepada minyak biji anggur atau 'grapeseed oil' untuk menumis. Manakala minyak zaitun hanya untuk masakan bukan Melayu. Minyak sawit tetap diguna untuk menggoreng kerana lebih tahan suhu tinggi.

Sekarang, oleh kerana 'grapeseed oil' diluar musim dan malas nak pergi Tesco, juga kerana kecelaruan bekalan minyak masak, aku tukar lagi minyak untuk menumis. Oh ya, juga kerana ekonomi keluarga menguncup sedikit dewasa ini.

Akhirnya, minyak '3 serangkai' inilah yang ada dalam gerobok aku...






Manakala 2 serangkai ini aku guna untuk masakan bukan Melayu. Kemudian, aku menyesal beli cuka balsamik itu, sebab tak pandai nak pakai. Saja beli sebab botol dia cantik.. hahaha.





Ada sesiapa yang boleh beri nasihat, cuka balsamik itu untuk buat apa sebenarnya?



.

Sunday, January 9, 2011

Kecelaruan minda...

Kecelaruan minda sering dikaitkan dengan kegagalan mengatur emosi dalam diri. Minda aku bercelaru. Aku itu. Dan aku bukan mewakili mana-mana individu. Itu aku.

.........................

Bercerita lagi tentang ekonomi. Kebajikan diri kerap berkurang apabila pendapatan menjadi kurang setimpal dengan perbelanjaan yang meningkat. Kalau dulu-dulu aku naik motor pergi kerja. Namun atas faktor keselamatan (dengan statistik >50% kemalangan maut penunggang motor), aku bertekad memandu kereta walau minyak dan tol adalah kos tambahan. Lagi pun, naik motor ni bak kata orang, kita langgar orang kita jatuh, orang langgar kita pun kita jatuh. Kalau tak mati pun, kalau teralih sedikit tulang belakang pun, sengsaranya sepanjang hayat.


Kini, apabila imbangan pendapatan=perbelanjaan teralih akibat beban kos perbelanjaan naik, fulkrum asal terpaksa diganjak tapaknya ke satu tapak yang baru. Lokasi fulkrum gaya hidup baru ini biasanya akan mencantas perkara-perkara yang dianggap bukan asas. Nampak gayanya, kereta mungkin bertukar motor untuk pergi kerja walau keselamatan aku adalah perkara asas sebenarnya.


Keselamatan dan kesihatan sering menjadi korban cantasan kos sara hidup walau sebenarnya itu-itu adalah perkara paling asas, selain makan-pakai dan tempat berlindung. Orang zaman batu pun pandai menyorok di dalam gua atau bina rumah di atas pokok bagi menjamin keselamatan. Itu kalau zaman batu. Zaman sekarang, jaminan tambahan adalah dalam bentuk insuran perubatan.


Bertahun-tahun aku bayar insuran perubatan tapi syukur, aku belum pernah gunakannya lagi. Walau terasa seperti membazir tetapi ia satu cara menyediakan dana perubatan diri apabila diperlukan entah bila-bila, selain daripada menyimpan RM100K dan biarkan ia disitu. Boleh? ... Kalau tak boleh, baik cepat-cepat cari Tijah ... hahaha....


Kepala berserabut, bagi perokok tegar, keserabutan kepala itu biasanya cuba dirungkai dengan hisap rokok berbatang-batang lagi. Kononnya, lampu idea yang 'pling' itu bakal muncul dalam kepulan asap rokok ibarat jin 'poweroot' yang hijau dan kuning itu.


Aku?
Aku masih mencari formula. Itu azam aku tahun 2011 ini.



.

Saturday, January 8, 2011

Pembunuh sosial secara senyap...

Beberapa minggu lalu, aku pulang ke kampung halaman. Memang akhir-akhir ini aku selalu berhujung minggu di kampung, sama ada di Melaka atau di Perak. Mana-mana yang bolehlah. Kadang-kadang itu kerana urusan, kadang-kadang itu kerana rindu dan kadang-kadang itu kerana aku mulai bosan dengan hidup.

Hidup di bandar sebegini. Banyak sangat cabaran, dugaan. Adakalanya, aku rasa kalah. Banyak kali juga aku rasa mahu mengalah. Harapan. Tali harapan masih tinggal selembar untuk aku gayut. Berapa lama ia boleh bertahan gamaknya...?


  • Satu hari hujung minggu itu, aku beli sardin dalam tin 'cap 3 ayam berkokok ganteng' di sebuah kedai runcit. Harganya RM5.00. Aku bayar sahaja kerana aku malas nak tanya. Dah boleh diagak jawapannya. Aku ada beli sardin jenama yang sama di bandar ini di sebuah pasaraya gergasi. Harganya RM4.29. Berapa banyak jurang harga antara bandar dan kampung. Antara pasar borong dan kedai runcit.
  • Selalu aku beli sayur kampung di pasar malam di bandar ini. RM1 untuk secekak yang hanya muat-muat mulut aku. Atau kalau tak keterlaluan, layak hanya untuk menyungkil tahi gigi. Sedangkan di kampung, RM0.50 untuk secekak yang boleh diulam oleh 3 orang. Ironinya, itu pun aku tak beli sebab aku boleh dapat bercekak-cekak di kebun sebelah secara percuma. Malahan, kalau nak lagi segar, makan nasi disebelah pokok itu dan setiap suapan, gigit ulam itu terus dari pucuk!
  • Pada satu malam minggu lepas, Ariff nak minum 'air cap badak berkaki tiga'. Nak kurangkan panas badan dengan mineral Gipsium, katanya. Oleh kerana malas nak henjut kuda kepang malam-malam, aku berjalan ke kedai runcit di dalam kawasan rumah. Harga sebotol RM 2.00. Sedangkan, kalau aku beli dikedai 'kulit siput kapis' di luar pagar sana, harganya hanya RM 1.70. Dan kalau aku lebih rajin pergi ke kedai runcit di deretan kedai jauh sedikit, harganya RM 1.50. Dan kalau rasa nak beli 1/2 dozen, harga sebotol akan lebih rendah.
  • Kadar untung ASB setahun biasanya sekitar 8.5%. Dan setahun juga zakat dibayar 2.5%. Manakala inflasi pada 4 - 6%. Berapa nilai semasa dan nilai hadapan sebenar duit simpanan itu? Macam tak berubah. Itu kalau duit simpanan. Kalau pendapatan naik cuma 3% setahun sedangkan inflasi 4%-6% setahun, nilai pendapatan aku merosot sebenarnya. Itu belum lagi harga rumah yang naik macam roket pakai enjin turbo kembar empat.
  • Pasar malam yang lepas, aku ubah sikit perbelanjaan dapur. Kali ini, Ikan Gelama Masam Masin menjadi menu aku. Semalam, makan tengah hari aku berlaukkan Ikan Bulu Ayam Masin sahaja. Janji perut kenyang.

Corak pemakanan aku semakin berubah. Kalau dulu sanggup beli sayur organik, beli kacang pun organik, tauhu pun organik, air soya pun organik. Sayur berdaun yang murah tapi kaya dengan racun pun aku tak sentuh.

Kali ini, aku terpaksa  ketepikan aspek kesihatan. Beli sayur yang banyak racun. Makan ikan masin yang banyak garam tapi peduli apa. Arwah Bapak aku dulu pun suka makan ikan masin juga. Semalam, aku cakap pada Mama yang menu aku dah sama macam menu arwah Bapak aku.


Mungkin ramai yang kurang sedar. Kebanyakkan kita akan abaikan aspek kesihatan diri bila ekonomi keluarga mulai terjejas. Ya lah, kalau jaga sangat kesihatan nanti mati tak makan. Kalau ubahsuai hidup jenis hentam keromo janji ada duit simpan pun mati sakit pula. Sama saja...





.

Friday, January 7, 2011

2011 - Semangat yang hilang

Mentang-mentang minggu pertama dalam tahun yang baharu, semangat berkobar-kobar. Tapi bukan aku. Itu orang lain.

Semangat yang baharu menjana pemikiran dan iltizam yang baru. Walau iltizam yang baru itu hampir sama dengan iltizam tahun sebelumnya. Dan hampir-hampir sama dengan tahun-tahun yang sebelumnya. Bezanya mungkin dulu tulisan Roman Simplex tapi pada kali ini tulisannya Jawa Panorogo atau mungkin Jawi Khat Khufi.

Iltizam yang 'baharu' ini seterusnya menjana cara kerja dan tindakan yang efisien, cekap. Segalanya 'short, precise and concise'. Sampai kadang-kadang payah untuk difahami dek kerana singkatnya.

Semangat aku?

Huh! Aku masih mencari semangat untuk tahun 2011 ini. Sambil-sambil itu, aku timbang-timbang semangat yang masih ingin melekat pada batang tubuh aku ini, sama ada kuat atau lemah. Lemah atau kuat....? Hmmm....

Semalam, berjalan di antara gerai-gerai kanvas PVC di pasar malam, aku cuma beli:
Ikan Tenggiri Batang 1.3kg seekor
Buah-buahan - Pelam lemak manis + Jambu Madu
Bebawang - bawang putih, bawang merah (RM10/kg!) dan bawang besar Holand
Makanan segera tunjuk bungkus - 2xNasi kerabu separuh tapi kerabu lebih + Briyani Ayam Goreng
Sayur - Daun Asam Keling (Mama kata nak masak asam)

Bila aku belek balik dompet, aku 'hilang' RM60 !!!


Maka, 2011 ini... leburlah semangat aku. Semangat yang hilang...



Nota: Service Tax dah 6%, minyak RON97 dah RM2.40/ltr... lagi??


.

Wednesday, January 5, 2011

Boleh tambah free tapi ...

Setiap kali lalu di Taman Maju, Jasin, pasti teringatkan Cendol tambah-free ini. Gerainya terletak di tepi jalan tak jauh dari simpang Taman Maju, Jasin, yang penuh dengan deretan pokok Mahogani yang terkenal dengan Buah Tunjuk Langit itu. Tempat aku membongkok-bongkok mencari buah yang bertaburan apabila bekalan dah susut banget.




Gerai ini sederet dengan beberapa gerai yang lain. Asalnya, tempat itu adalah tempat gerai FAMA. Bahu jalannya luas, senang nak berhenti dan parking. Yang menarik tentang gerai Cendol sekarang ini ialah promosi 'boleh tambah free'. Termasuklah gerai yang ini. Pesan semangkuk lepas tu boleh tambah suka hati berapa kali pun, tapi...

Ais, cendul, air gula melaka ada disediakan di dalam bekas-bekas kedap sejuk dan diletakkan di atas meja. Siapa-siapa nak tambah, silakan.  Harga semangkuk tetap sama. Tak bertambah, tapi...


Kecuali santan. Aku tak nampak santan untuk tambah. Tak ada pula bekas kedap sejuk yang bersantan di dalamnya. Aku rasa, kalau nak tambah santan, kena pesan semangkuk lagi.

Mungkin juga santan tak boleh dibiarkan di dalam bekas kedap sejuk itu sebab santan mudah basi. Dan aku pun tak tanya sama ada boleh tambah santan percuma....




.

Monday, January 3, 2011

Panggilan Pulau Besar dari Umbai

Pak Najib dengan berbesar hati mengurniakan cuti umum pada Jumaat 31 Dec 2010. Aku dengan berbesar hati menerima pengumuman itu dengan mengemaskan kain-baju ke dalam beg. Aku menuju Melaka, bandar yang penuh bersejarah itu.

Tujuannya: pergi ke Pernu-Umbai. Bukan niat untuk makan ikan bakar yang terkenal itu tetapi untuk bertemu dengan seseorang yang tinggal di belakang deretan kedai ikan bakar di situ. Usai berurusan, kami dijemput untuk ke gerai ikan bakarnya. Bukan makan percuma tetapi kena bayar juga dengan sedikit diskaun.

Petang itu, sementara menunggu ikan dibakar, sotong di tepung-gorengkan dan kerang disalai, kami semua (kecuali ayah mertua) berjalan ke hujung tanjung. Aku lihat ada beberapa buah pulau di laut lepas.


Keesokkan harinya, kami pergi ke Pulau Besar dengan menaiki bot dari pengkalan Umbai. RM100 pergi dan pulang untuk maksima 8 orang satu bot. Pulau Besar tempat bersejarah. Aku ada baca sedikit tentangnya.


Pantai yang bersih, pasir yang halus


Tujuan aku ke situ: untuk ziarah makam Sultan Ariffin dan teman-temannya yang bersemadi di pulau itu. Setelah ziarah, aku bersolat sunat dan fardhu di surau di dalam kompleks makam Sultan Ariffin, mengambil sedikit keberkatan ilmu yang beliau ada dan mengenang kembali perjuangan beliau mengembangkan Islam ke Melaka.

Memang ramai kaum India dan India Muslim datang ke situ. Malah, ketika aku mahu keluar dari surau itu, beberapa India Muslim memberikan aku 'ladhu' atau manisan dan buah pisang. Sebelum ke makam itu, aku ada ziarah makam Tok Janggut berhampiran Muzium Pulau Besar, tidak jauh dari jeti feri dari Anjung Batu. Aku lihat ada sesikat pisang tergantung pada pintu pagar makam Tok Janggut. Perut lapar, aku bedal seulas. Aku tak pasti sama ada pisang itu pisang 'sedekah' atau pisang untuk puja nombor ekor, yang aku pasti, itu rezeki yang tak patut disia-siakan dengan cara begitu.


Setelah usai bersolat di surau itu, kami berjalan-jalan di pantai selatan pulau itu hingga ke hujung. Jiwa aku tersentuh apabila aku terlihat sebuah batu besar yang ditulis dengan cat merah:

"PENYESALAN DAN PENDERITAAN ITU ADALAH BERTAUBAT"

(Cerita ini juga aku ada tampal di sini... )

Ya, Pulau Besar banyak dikunjungi oleh ramai orang, termasuk golongan sufi dan mereka yang ingin bermunajat. Aku? Aku sekadar berziarah sambil 'menyuci' jiwa dengan melihat kembali diri aku yang kotor ini. Juga akibat tersentuh dengan tulisan pada batu itu. Ia mengingatkan aku.


Terdapat beberapa kolam air tawar buatan yang hanya beberapa meter dari gigi pantai. Kolam itu tidak masin dan tidak payau. Sejuk dan segar.

Perigi air tawar...sejuk


Aku tak sempat berjalan sekeliling Pulau Besar itu. Aku rasa, aku akan ke sana lagi sedikit masa lagi. Kali ini, aku akan lebih bersedia.




.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com