Monday, April 30, 2012

Huh! Are we NOT alone..??!!!

.

Pagi Sabtu yang lalu, ada majlis di sekolah anak. Aku yang dikirakan sebagai antisosial kurang tegar ini pun terpaksalah ikut serta kerana kupon makan telah pun dibeli awal-awal. Majlis ini sebahagian daripada perancangan PIBG sekolah untuk menambah dana. Aku ada agenda tersembunyi, mahu merakam wajah-wajah yang mulus secara spontan.

Antara koleksi wajah spontan yang aku dapat rakamkan ialah yang ini:




Are you sure we're not alone???


Foto-foto lain ada aku lekatkan di fotoblogaku...     Silalah ke sana.







.

Sunday, April 29, 2012

Respons dari bahasa tubuh yang ditelanjangi fikiran

.

Pagi Jumaat yang lepas, aku dijemput menjadi salah seorang ahli panel untuk menilai pembentangan kertas kerja oleh budak-budak Advanced Diploma. Tajuk-tajuk mereka berkisar tentang Supply Chain Management. Sebenarnya, ini kali kedua aku dijemput. Tahun lepas, aku pernah dijemput juga. Pada kali ini ada 6 kumpulan pelajar.






Seperti tahun lepas, aku lebih berminat menyoal sesuatu yang diluar apa yang dibentangkan. Aku lebih suka soalan-soalan hiliran yang tak berkaitan secara terus dengan tajuk mereka tetapi soalan itu masih relevan. Apa yang aku cuba tonjolkan kepada mereka ialah mereka perlu sentiasa bersiap sedia. Ini kerana dalam suasana kerja yang mencabar, soalan-soalan yang tidak diduga biasanya akan menjadikan kita seperti orang bodoh yang baru dibangunkan dari tidur.


Kita terkapa-kapa cuba menyelongkar laci data dalam kotak fikiran, membuat analisa dan memberikan pandangan: semuanya hanya dalam jeda beberapa saat. Namun, mereka yang bertanya akan menimbang pandangan kita, pada akhirnya, dengan melihat reaksi bagaimana respon kita itu: boleh dipercayai atau tidak, boleh diambil kira atau tidak, atau pandangan tersebut hanyalah sebuah lagi 'outlier' yang merupakan satu titik terasing pada satu garisan linear.


Mereka punyai hak untuk berbuat demikian kerana keputusan yang bakal dibuat mungkin membabitkan jutaan ringgit. Oleh itu, kita kena sentiasa sedia membantu dalam memberikan padangan yang perlu supaya mereka membuat keputusan yang bermaklumat atau informed decision.


Jadi, perkara yang samalah aku cuba terapkan kepada bidak-budak yang mengambil Advanced Diploma itu. Seawal kumpulan kedua lagi, aku tanyakan soalan yang sedikit terkeluar dari topik mereka tetapi masih di dalam tema yang sama. Mereka terkedu untuk menjawabnya. Secara spontan pula aku katakan mereka perlu bersedia untuk sesuatu yang di luar jangka. Juga aku telah ingatkan mereka dan rakan-rakan mereka bahawa cara mereka memberikan respons amat penting kerana ia melibatkan keyakinan dan kepercayaan terhadap apa yang mereka bicara.


Sehinggalah pada kumpulan ke 4, aku sudah tidak tahan lagi. Soalan aku mudah-mudah tetapi itu pun payah untuk aku dengar respons dari mereka. Dalam sesi soal-jawab kumpulan ke-4 itu, soalan aku ialah " Apa pendapat anda tentang Maya Karin?"

Takkan itu pun tak boleh nak respon?



 Ingat, aku bukan mahukan jawapan tetapi mahukan respons. Satu respons bahasa tubuh dan fikiran yang diluar daripada apa yang mereka rancangkan... itu cara aku.







.

Friday, April 27, 2012

A modern charm and tradition.

.

Sehelai tali leher dan sepeket ubat Cina.




Janganlah nak cuba teka-teka. Memang tak ada kaitan pun selain daripada kedua-duanya diberikan oleh orang kepada aku. Tali leher itu aku miliki hampir 5 tahun dan selama itulah dia terperap di dalam laci bilik kerja aku. Entah apa anginnya, pengurusan baru meminta semua staff memakai tali leher. Aku yang rock-raggae macam ni mana main tali leher ni. Aku alergik, boleh bersin-bersin. Namun, sejaguh mana pun aku, aku terpaksa akur kerana mereka bayar gaji aku. Bukannya apa, kalau aku pakai, aku terasa hensem aku bertambah 50%. Itu yang aku tak mahu. Aku tak suka ujub, sombong, bongkak dan seumpamanya... tak elok.


Dan ubat Cina yang sepatutnya direbus di dalam periuk selama 1 jam itu aku simpankan sahaja. Ia pemberian seorang sahabat. Dia kata, kalau minum air rebusannya badan boleh segar bugar. Tapi aku syak nanti benda lain yang jadi. Mana tau kalau-kalau ada ubat yang terlarang di dalamnya.





.

Thursday, April 26, 2012

Permainan tradisional kanak-kanak: lempar getah

.

Segmen kedua pula kali ini masih berkenaan dengan getah gelang. Kali ini permainan ini aku panggil main lempar getah. Aku dah periksa permainan ini dan aku dapati ianya juga tidak disenaraikan dalam Sukan Olimpik kerana standard piawaian permainan ini belum lagi ada. Mungkin kerana mereka tidak tahu.


Permainan ini memerlukan kemahiran yang tinggi selain daripada pengetahuan asas fizik yang kukuh. Jumlah pemain tidak ditentukan, lebih ramai lebih bagus. Mula-mula kena sediakan gelanggang. Gelanggang ini ada 2 jenis: bulatan dan garisan. Namun, tujuan kedua-dua jenis gelanggang ini ialah tidak membenarkan pemain untuk memasuki gelanggang. Ya, inilah permainan yang tidak membenarkan pemain bermain di dalam gelanggang. Pemain perlu bermain dari luar gelanggang! Mungkin inilah sebabnya kenapa Sukan Olimpik tidak menyenaraikan permainan ini untuk dipertandingkan.


Versi kali ini aku telah pilih gelanggang jenis bulatan. Membuat bulatan bukanlah payah. Apa yang diperlukan ialah sebatang kayu dan kawasan tanah yang lapang dan rata. Saiz diameter bulatan itu diantara 5-6 kaki. Pemain tidak dibenarkan memijak garisan atau memasuki gelanggang.

Dalam permainan ini, pemain perlu melemparkan getah gelang ke dalam bulatan. Ini dituruti oleh pemain kedua dan seterusnya kemudian kembali berulang kepada pemain pertama tadi.





Motif permainan ini adalah menindih mana-mana getah gelang yang berada di dalam bulatan. Pemain akan melemparkan getah gelang secara berhati-hati dan bergaya supaya getah gelangnya menindih getah gelang yang ada di dalam bulatan, seperti contoh di dalam foto di bawah. Jika bertindih, pemain tadi boleh mengambil getahnya dan getah yang ditindih oleh getahnya. Jika tidak berjaya, pemain tadi tak boleh ambil semula getahnya. Pemain seterusnya akan berpeluang untuk mencuba nasibnya pula.


Jika pertindihan terlalu kecil, lubang yang terbentuk perlu diukur dengan lebar getah lain. Jika lepas, dikira menang.


Nampak seperti mudah tetapi pemain perlu mengambil kira beberapa elemen penting. Pertama, berat getah gelang dan kekuatan otot lengan akan mempengaruhi kesan lemparan. Pemain perlu mahir dalam bidang bio-mekanik tubuhnya dan ini mungkin memerlukan pemain berlatih berkali-kali. Namun begitu, setiap getah mempunyai berat dan bentuk yang berbeza walau pun setiap satunya seakan-akan serupa. Ini akan menambahkan pembolehubah dalam pengiraan projektil.


Kedua, terdapat elemen alam yang mampu mengganggu projektil getah gelang. Dalam versi di atas, angin petang yang bertiup agak kencang menjadikan getah gelang jatuh tak menepati sasaran. Mengikut penulis The Art of War, seseorang pejuang tidak harus melupakan pengaruh dari elemen alam malah sepatutnya menggunakan elemen ini untuk faedah dirinya. Menurut penulis The Book of Five Rings, pejuang perlu mahir dengan peralatan yang dia ada.

Kesimpulannya, permainan lempar getah ini memerlukan tahap keintelektualan yang tinggi...





.

Wednesday, April 25, 2012

Permainan Tradisional: Lawan Lastik Getah

.

Segmen pertama ini aku nak bercerita tentang permainan lastik getah. Dorongan entri ini daripada anak aku yang bila aku tanya dia main apa dengan kawan-kawan, lastik getah tak termasuk dalam senarai pengetahuannya. Bila aku tanya dia sama ada dia berminat atau tidak, dia kata  berminat.

Lagi pun, permainan ini belum disenaraikan dalam Sukan Olimpik, jadi tiada standard peraturan yang dibuat. Oleh itu aku ambil kesempatan di sini untuk membuat garis panduan atau standard piawaian antarabangsa untuk permainan tersebut.

Permainan ini bukan setakat memberikan keseronokkan malahan turut mencergaskan minda dalam beberapa aspek strategi, keyakinan dan pengurusan maruah. Oleh kerana sekarang ini payah kedapatan getah gelang yang berwarna warni yang khas untuk permainan ini maka aku gunakan sahaja getah gelang pasar malam yang sering digunakan untuk membungkus mee-koew teow goreng.





Inilah getah pelastik atau aku panggil 'gundu'. Aku gunakan 3x3+3x3 getah gelang untuk membuat badannya sahaja. Aku terpaksa sambung menjadi panjang kerana getah gelang pasar malam itu lebih kecil. Jika badan 'gundu' pendek, projektil nanti tidak stabil. Jika terlalu panjang pula akan menambah rintangan udara atau 'drag'. Jadi, saiz badan 'gundu' yang sesuai ialah kira-kira 4-5 inci. Ukur lilit badan gundu memainkan peranan besar dari segi kejituan. Saiz yang sesuai lebih kurang sebesar jari hantu yang ditegakkan. Kalau terlalu besar nanti beban bertambah kerana graviti. 'Gundu' meluncur menggunakan tenaga kinetik yang dihasilkan dari tenaga potensi daripada getah itu sendiri, terutamanya 'perambut'nya. Jumlah getah yang digunakan sebagai perambut adalah bergantung juga kepada saiz badan 'gundu' dan beratnya. Nisbah ini perlu ditalakan dengan hati-hati dan terperinci. Rule of Thumb, jika badan 'gundu' menggunakan belitan 3 getah gelang, perambutnya juga 3 getah gelang. Bagaimana untuk membelit badan 'gundu' hingga menjadi begitu? Itu adalah strategi masing-masing. Yang pastinya, bulu kaki pasti terlekat padanya...





Pacakkan 2 tiang seperti di atas dalam jarak 6-8 inci. Kemudian, regangkan satu getah gelang di antara kedua-dua tiang tersebut pada ketinggian kira-kira 2-3 inci daripada permukaan tanah. Kemudian, setiap pemain akan berbincang tentang nilai pertaruhan getah gelang. Jumlah getah gelang yang dipersetujui akan dikumpulkan dan disusun seperti di atas.  Peraturan tradisi permainan mengatakan bahawa pemain perlu menjatuhkan getah-getah ini menggunakan 'gundu'. Jika getah-getah itu jatuh, pemain boleh mengambilnya dan menjadi hak miliknya. Namun jika getah-getah itu jatuh tetapi masih menyentuh tiang atau getah yang masih belum jatuh, pemain tidak boleh mengambilnya. Juga jika ada getah-getah lain yang jatuh tetapi bersentuhan dengan getah tadi. Ini kerana pemain tadi tidak membuat 'clean shot'. Getah-getah yang bersentuhan ini perlu disusunkan semula untuk bidikan pemain seterusnya.




Pemain mana yang mulakan dahulu ditentukan dengan berapa jauh 'gundu' dilemparkan daripada tiang tadi. Pemain yang membaling 'gundu'nya paling jauh akan memulakan permainan. Bermakna pemain ini mempunyai peluang utama untuk mendapatkan getah-getah pertaruhan. Namun, ada risikonya. Jika para pemain ingin mengejar kedudukan pertama, dikhuatiri 'skill' melastik tidak dapat membantunya. Ini akan menutup peluang untuk menang. Jadi, ada elemen risiko yang perlu ditimbang-timbangkan oleh pemain. Mereka perlu muhasabah diri mereka, perlu tahu tahap kemampuan dan semestinya tahu keyakinan terhadap diri sendiri kerana pihak lawan pasti akan cuba mengganggu emosi dan konsentrasi pemain yang sedang membidik getah pertaruhan.





Melastik getah juga ada teknik-tekniknya. Seperti foto di atas, pemain itu menggunakan kekuatan otot kuda-kudanya dengan memindahkan beban kepada otot-otot peha selain daripada merendahkan pusat graviti untuk memberi kesimbangan optimum. Ada juga pemain yang melastik sambil berdiri dengan kaki terkangkang. Pemain begini dianggap seperti koboi yang menembak dari atas kuda yang sedang berlari, kurang sopan dan angkuh. Namun mungkin taktik keangkuhan tersebut bertujuan untuk mengganggu-gugat emosi lawan.


Oleh kerana tidak dinyatakan dalam mana-mana piawai bagaimana 'gundu' itu perlu menjatuhkan getah gelang pertaruhan, anak aku membaling 'gundu' tersebut lalu menjatuhkan kesemua getah gelang pertaruhan... hmmm.. ini dikira aci ke tak aci?






.

Tuesday, April 24, 2012

Mencari jalan...

.

...dia pun terhegeh-hegeh mencari jalan untuk selamatkan dirinya.
 Dia menuju ke arah cahaya.
Adakah cahaya itu pasti atau igauan ngeri?









.

Monday, April 23, 2012

Khasiat buluh tumpat tempatan

.

Apa kes kayu ni?
Tak ada apa-apa kes. Dah 8 tahun aku gantung di situ sampai kering.
Sengaja nak tunjukkan kepada sesiapa yang masuk
ke dalam kereta. Ini bukan kayu tetapi buluh yang tumpat. Aku pernah ceritakan dulu
bagaimana aku dapat buluh ini (yang secara kebetulan).






Baru-baru ini seorang kawan baru balik dari Sarawak. Dia berceritakan tentang kayu-kayan yang wujud subur di bumi sana. Antaranya Kayu Tas. Gambir Sarawak dia tak ceritakan pulak. Kayu Tas dan Gambir bukankah secocok? Kemudian keluarlah cerita tentang Buluh Tumpat yang banyak di utara semenanjung.


Aku teringatkan buluh yang ada di dalam kereta aku. Terus aku kata, aku ada buluh tumpat sepotong. Dan aku katakan lagi, buluh tumpat aku tu bukan buluh yang tumbuh secara tumpat. Buluh tumpat aku itu sebenarnya hanyalah buluh biasa yang memang keluarga aku guna untuk buat galah. Cuma pada satu hari tu, abang aku dapati ada 2 ruas buluh itu tumpat. Selama ini tak pernah ada pun dan selepas-selepas itu pun aku tak jumpa lagi dah yang tumpat di rumpun itu.


Dia berminat. Dia kata dia nak sikit. Aku tanya balik, nak buat apa? Dia kata dia pernah dengar buluh tumpat itu ada banyak khasiatnya. Bila dia kata begitu, aku pun apa lagi, aku jual mahal la.... hahaha. Bila dia nak tahu khasiat yang lebih lanjut, berputar kepala aku mencari idea... keh keh keh...


Aku katakan, antara khasiat buluh tumpat ialah:-

  • Bila pegang buluh tumpat, orang tak boleh nak cari bila menyorok
  • Kalau letak buluh tumpat di dalam kereta dan dipandu di jalan raya, tak akan lemas di laut.
  • Kalau letak buluh tumpat di bawah bantal ketika tidur, tak akan kemalangan jalanraya.
  • Dan yang paling penting, kalau tak ada duit boleh pergi ke bank kerana di situ nanti ada banyak duit.




.

Saturday, April 21, 2012

The neuron of this archipelago

.


Dia merenih nadi diwajan berbontot legam lantas nafsu pun terentap dari tidur-tidur ayam membuatkannya teruja kepanikkan.  Di depan pintu pagar berbunga cinta, tergantung lampu aneh yang menjadi batu tanda memisahkan dua alam.


Dua jenis kehidupan wujud di alam sebelah sini dan dua jenis lagi pun wujud di alam sebelah sana. Di sebelah sini, wujud mereka-mereka yang iman dan kuffar. Di sebelah sana pula wujud mereka-mereka yang sentosa dan derita.


Di atas pagar itu, lampu aneh itu semakin kelam. Kadang-kadang apinya terpaut pada angin yang lalu membawa bau hapak daging mereput. Api itu berkelip-kelip, melemparkan isyarat berupa bit-bit yang ada dan tiada. Ada dan tiada. Ada dan ada. Kadang-kadang tiada dan tiada. Dua pasang isyarat setiap kali ia berbicara.


Isyarat itu pun mengalir bak elektrik melalui urat nadi yang berakar dalam. Berakar hingga mencengkam aspek ketrampilan (di dunia luar), budaya (di dunia tengah) dan kepercayaan (di dunia dalam).


Setiap kali isyarat dari lampu aneh itu mengalir, tubuh dia turut melentok-lenggok seperti terkena renjatan elektrik. Dan setiap kali itulah dia mengeluarkan kata-kata latah dalam bicaranya kepada manusia yang melaut melalui sejuk besi mikrofon atau megafon.


Dan yang mendengar bicara anehnya akan ternganga mulutnya hingga meleleh air liur, menjelir lidahnya, dan terangguk-angguk dan terteleng-teleng kepalanya


Dan aku tersenyum.... senyuman yang amat panjanggggggggggg.....senyuman aku itu pun dibalas dengan senyuman dari dia...Lalu nafsu kami pun bertaut. Dia tinggalkan sejuk besi mikrofon dan megafon di atas pentas, merapati aku yang berada di puncak errr...

Lalu kami pun berangkulan mesra, berkongsi hangat di dada. Hangat yang menjalar seperti tentakel-tentakel sotong, menjarah segenap daerah tubuh yang telanjang...


*eh kejap! dah jadi kelain pulak? Hish....! Stop*






.

Friday, April 20, 2012

Biarlah rahsia...

.

Sesuatu yang rahsia biarlah kekal rahsia.
Tak perlu dicangkul, digali. Tak perlu. Tak.
Tak payah ditanya, diekori. Tak payah. Tak.
Biarlah yang kita dapat lihat ialah resepi kejayaannya.
Bagaimana ia berjaya hidup dalam kehidupan yang diimpikan oleh majoriti orang.






Yang aku nampak pada ketika itu hanyalah perkataan 'recipe'. Perkataan 'secret' terlindung dan kekal rahsia. Kemudian aku nampak tanda amaran 'tak dibenarkan merokok' berbentuk simbol. Aku hanya faham simbol begitulah. Tak tahulah kalau ada maksud lain yang 'rahsia'. Jika benar itu tanggapan aku, membawa sebatang rokok yang masih menyala dan berasap TANPA menghisapnya mungkin tak salah. Begitukah?


Bukan. Membawa sebatang rokok yang masih menyala dan berasap tidak dibenarkan kerana simbol itu menunjukkan tanda rokok yang sedang menyala dan berasap. Perlu matikan dahulu rokok tersebut sebelum boleh memasuki premis.


Tanda amaran itu tak ada simbol yang mewakili wajah orang atau pun mulut orang. Bermakna, menghisap rokok dibenarkan?


Bukan juga. Yang dibenarkan ialah menghisap rokok yang tidak menyala dan tak berasap. Rokok jenis apakah itu? Tak mengapa, biarlah rahsia. Yang tak rahsia ialah resepi kejayaannya... jadi, tak perlulah digali atau ditanya rahsianya. Tanyalah resepi kejayaannya. Pasti akan diberitahu kerana resepi kejayaannya bukan lagi rahsia...



Jadi, maksud entri ini ialah.... errr.....


.

The British Protection...

.




Kerajaan British juga beri perlindungan kepada industri automotifnya.
Aku ingatkan Malaysia saja yang 'protect' industrinya. Ya la, sebab aku 
ambil pandangan negara luar terhadap Malaysia.
Lebih-lebih lagi ketika musim FTA masih belum reda ini.

Sepatutnya, Kerajaan British duduk senyap-senyaplah. Kalau dia nak,
belilah balik Lotus dari PROTON (itu pun kalau PROTON nak jual)





.

Thursday, April 19, 2012

Achtung! 'Emergency Call from Pos Malaysia' dari +123456 ?

.


Baru kejap tadi, sedang aku leka bekerja keras untuk menyokong transformasi ekonomi negara, tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu panggilan telefon dari nombor +123456.


Aku jawab panggilan itu. Di sebalik corong sana, aku terdengar suara wanita dengan slanga bangsa Cina yang dirakamkan berbunyi lebih kurang begini:



"De-er kas-te-mer, lis-is an emergency call flom Pos Malaysia. Le -is an issue with your ku-lier that you need to lesolve immediately...bla..bla..bla... If you want to ploceed, plees ples jilo ('0')."



Aku diamkan je kerana aku masih berfikir. Dia ulang suara sebanyak dua kali sebelum dia berhenti dengan sendirinya. Ada sesiapa yang hantar kurier kepada aku melalui Pos Malaysia ke?


Aku terfikir, sejak bila Pos Malaysia upah komputer untuk telefon pelanggan tentang kurier pula ni? Aku terfikir, apa akan jadi kalau aku ikut arahannya iaitu tekan butang '0' tadi. Adakah segala kredit aku hilang dirembat 'suara' itu? Tak apa, aku guna post-paid.


Ahhh... dunia dah ada macam-macam. Cukuplah...






.

Wednesday, April 18, 2012

Bakti si Pokok Cabei Rawit...

.

Berbakti tak mengira tempat dan keadaan.
Itu yang paling baik. Selagi ada kesempatan untuk berbakti, teruskan sahajalah
tanpa perlu berharapkan balasan.



Cabei Rawit yang tumbuh di rumah abang aku



Pokok cili burung (cabei rawit) itu tumbuhnya tak ditanam, sudah tentu tak bersiram atau berbaja. Jadi, hidupnya hanya bergantung kepada belas ehsan tempias hujan yang singgah dan ayam yang sanggup berbesar hati melepaskan hajatnya supaya menjadi baja.

Tumbuhnya ditiang, terlindung dek matahari dan hujan. Tanahnya kering kotang dan berpasir, danmungkin juga bercampur simen namun kecekalan pokok cili ini untuk terus berbuah dan berbakti jelas terpancar pada daunnya yang segar dan hijau, serta buahnya yang elok pedasnya.







.

Tuesday, April 17, 2012

Penampilan khas PROTON Preve Sapphire...

.

Aku tak pandai nak sebut namanya. Aku pasti Emak kat kampung pun tak boleh sebut nama kereta PROTON terbaru ini dengan betul. Aku rasa elok juga kalau dibuat satu pertandingan menyebut perkataan 'Preve'. Siapa yang boleh sebut dengan betul 100x secara berturut-turut dapat hadiah kereta Preve sebuah.


Tapi, nama itu nama global. Lidah aku mungkin payah nak sebut tetapi lidah global boleh sebut agaknya.


















Aku tak ada di situ. Foto ini aku cilok dari email siapa entah. Preve 'Sapphire' ni bukan untuk dijual agaknya...cubalah tanya-tanya kalau boleh dijual.





.

Monday, April 16, 2012

Pegun...

.



Di Alamanda, Putrajaya...



Mereka hadir bagai bayang-bayang yang hidup, bergerak bersama-sama masa yang mengalir.

Kadang-kadang masa memegun, mereka tetap bergerak melewati batas-batas masa yang tak sepatutnya memegun kerana masa itu pasti tetap mengalir seperti darah yang mengalir di dalam urat nadi mereka.

Masa hanya pegun apabila darah itu telah berhenti mengalir. Bayang-bayang mereka menjadi semakin kelam... dan akhirnya hilang.






.

Nilai sebuah keikhlasan

.

Sudut lain dalam perumpamaan sebuah kelikhlasan...
Seperti seekor burung hitam di bawah lindungan pokok di hari yang kelam.

Cubalah cari. Besarkan foto jika mahu lebih jelas...


Ada yang kata, menjaga nilai keikhlasan adalah amat-amat payah. Katanya, walau pun pada mulanya semuanya dilakukan dengan tanpa niat balasan atau keuntungan atau kemahsyuran namun jikalau pada satu hari itu tiba-tiba terungkit peristiwa tersebut maka nilai keikhlasan tadi akan terjejas.


Lebih parah lagi ialah menjaga keikhlasan kepada Tuhan. Katanya lagi, walau pun perbuatan tidak menunjukkan apa-apa tetapi jika tiba-tiba berlaku lintasan dalam hati dan terungkit perkara tersebut, nilai keikhlasan di sisi Tuhan juga mungkin terjejas. Hmmm... macam mana nak tutup hati? Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia juga boleh dipekup tetapi mulut hati sungguh-sungguh tidak mungkin... tidak mungkin. Jadi, selama itulah hati akan berkata-kata secara bebasnya.


Terlajak perahu boleh diundur, terlajak mulut boleh ditegur tetapi terlajak hati?


Mungkin salah satu caranya ialah melupakan terus perkara kebaikan yang kita buat. Padamkan terus dari kotak ingatan. Kalau orang tanya, kita akan tercangak-cangak bodoh macam Patrick Starfish. Atau pun kalau payah sangat, tumbuk muka sendiri sampai pengsan/koma setiap kali berbuat kebaikan yang tidak mahu diketahui oleh orang lain.






.

Sunday, April 15, 2012

Sistem Tuan Sinister...

.


Tuan Sinister jegilkan mata sepetnya tepat-tepat ke muka Pengadilan berberapa kali.

Kecut perut lelaki bertali leher merah dan berkot hitam itu apabila Tuan Sinister buat begitu. Semakin bulat mata Tuan Sinister semakin kuatlah genggaman tangannya ke kerusi. Pengadilan bukanlah seorang yang pengecut, cuma dia takut apabila Tuan Sinister jegil-jegilkan matanya. Dia takut bola mata Tuan Sinister akan meletup akibat tekanan darah yang keterlaluan diarahkan ke situ.


Tak cukup dengan mata yang terjegil, Tuan Sinister tepuk pula meja dengan kuat. Meletup bunyi hempasan tangan kanannya (yang biasa menepuk Juliet dan seperti biasa, Juliet akan serta merta menjadi wap panas, lalu Tuan Sinister pun berpeluh-peluh). Pengadilan terkejut, bukan kerana bunyi kuat itu tetapi itulah pertama kali dia melihat Tuan Sinister menghempaskan tangannya sendiri.


"Kamu... kamu.... " terketar-ketar jari telunjuk Tuan Sinister menuding Pengadilan.

"Ya, lelaki yang duduk ini kelihatan seperti saya, bercakap seperti saya tetapi tak semestinya saya..." balas Pengadilan.

"Diammm...!!!" jerit Tuan Sinister, bergegar bilik kaca itu dibuatnya.


Pengadilan terdiam. Cepat-cepat dia membuat analisa akan keadaan emosi dan kewarasan Tuan Sinister ketika itu. Dia perlu pastikan Tuan Sinister bertindak begitu tetapi masih dalam ruang kewarasan yang melampaui keraguan munasabah.


" Kamu telah buat kacau kepada sistem yang kita cipta dan sesiapa yang mengacau sistem kita akan dikeluarkan... secara paksa " ancam Tuan Sinister.


" Maaf, saya tak buat kacau kepada sistem tetapi sistem itu sememangnya kacau..." jelasnya dengan jujur. Sejujur-jujurnya. Jujur tanpa ada keraguan yang munasabah.






.

Saturday, April 14, 2012

Drama pembuangan bayi di kaki tangga...

.


Dramatik.

Aku tergamam melihat kalibat bayi yang lengkap berpakaian di tangga.







Gejala pembuangan bayi masih ada meski pun telah banyak usaha-usaha murni dilakukan bagi menangani kerosakan ini. Apa yang rosak? Sosio-masyarakat. Siapa yang rosakkan? Sosio-masyarakat. Punca kerosakan? Sosio-masyarakat yang mementingkan keuntungan dengan menjaja dan menggalakkan pembebasan nafsu. Sesiapa yang mampu menahan nafsu, beritahulah bagaimana ianya dilakukan. Bukan dari buku-buku tetapi dari pengalaman sendiri. Tak guna aku mengaku malaikat kerana aku bukan malaikat.


Punca kerosakkan ini, jika diteliti dengan lebih mendalam, adalah sangat rencam. Sangat kompleks dan kait-mengait. Tapi, aku lebih suka melihat punca ini dari hati. Lebih spesifiknya, satu tempat dalam hati yang dihuni oleh syaitan yang telah disediakan bersama-sama kewujudan manusia itu sendiri, setelah diminta oleh bapa segala syaitan sejurus dibuang ke langit dunia.


Nak marah kepada syaitan pun tak guna sebab amarah adalah juga nafsu syaitan, dia suka. Nak salahkan syaitan juga tak mendatangkan hasil kerana memang itu yang ditugaskan oleh bapak segala syaitan kepada konco-konconya. Berharap kepada benteng untuk menahan asakan pujuk-rayu syaitan sahaja nampak gayanya, dan berdoa kepada Maha Pencipta yang mencipta syaitan .


Kalau nak marah, marahlah kepada manusia-manusia yang menjadi konco-konco syaitan versi dunia, yakni yang menjadi agen-agen kepada syaitan dengan menawarkan dan mengiklankan nafsu demi keuntungan. Bagaimana kalau agen-agen ini bukan Islam? Takkan nak berkhutbah kepada mereka?


Menyediakan benteng dalam diri setiap insan mungkin jalan yang senang dan pasif lagi defensif. Bila agaknya nak ubah strategi kepada aktif dan ofensif?

Friday, April 13, 2012

Ke garisan hijau.....

.


Hari itu hari Ahad. Mungkin masanya tak kena sewaktu aku mahu membayar barang-barang belian secara impulsif/kompulsif di pasaraya tersebut, maklumlah waktu itu waktu rehat untuk makan tengahari bagi kakitangan. Jadi, baru nak berbaris di lorong sini, tiba-tiba orang tu sorong tanda 'kaunter ditutup'. Aku pindah ke lorong sana, pun sama. Habis tu yang tinggal cuma beberapa lorong yang berjela orang ramai beratur.


Sudahnya, aku letakkan bakul pembelian secara impulsif/kompulsif di tengah-tengah laman. Sebagai tanda protes...




Protes terhadap komitmen mereka terhadap kualiti servis yang mereka war-war sendiri demi menarik pelanggan datang ke perniagaan mereka. Aku tak minta, aku cuma tuntut komitmen yang mereka telah war-warkan....




Terhadap keadaan seperti ini...









.

Thursday, April 12, 2012

Ia menggerit batang tenggorok

.


Aku teringatkan cikgu sains sekolah rendah, dia kata gajah, lembu dan unta bukan makan secara mengunyah seperti manusia tetapi mengisar makanannya di dalam mulut. Cikgu itu juga kata, siput tak menggigit makanannya macam tikus atau kucing tetapi siput menggerit.

Menggerit? Sampai sekarang aku tak faham bagaimana aksi sebenar 'menggerit' itu.

Yang aku tahu ialah 'arit' atau kelakuan 'mengarit'. Arit ialah sejenis alat untuk menuai padi secara tradisional. Bentuknya seperti pisau yang melengkung dan mata pisaunya bergerigi tajam. Cara menggunakannya ialah dengan memegang serumpun padi kira-kira sejengkal dari perdunya dan sebelah tangan lagi meletakkan pisau 'Arit' tadi kira-kira 2 inci dari bawah tangan yang menggenggam rumpun padi. Kemudian, pisau itu pun ditarik dengan pantas. Mata pisau 'Arit' yang bergerigi tadi itu akan memudahkan memotong batang padi (paddy straw).



Sumber: google. tetapi bukan jenis ini yang aku maksudkan. Yang di Malaysia matanya bergerigi 


Aku juga masih ingat kemalangan yang sering berlaku dengan pisau 'Arit' ini. Biasanya jari kelingking akan terluka kalau pun tak terputus. Paling tidak, kuku akan terbelah disebabkan pisau ini. Salah seorang mangsanya ialah abang aku sendiri. Jari kelingkingnya terbelah di kuku sehingga menampakkan isi kukunya. Darah? Sudah tentulah mencurah-curah seperti air sirap yang dituang ke gelas.


Jadi, apabila cikgu sains itu bercerita tentang siput yang menggerit, cepat-cepat kepala aku menangkap kalibat pisau 'Arit' dan bagaimana aksi ia memotong batang padi. Mata pisau 'Arit' yang bergerigi seperti mata gergaji itu seolah-olah menjelaskan siput mempunyai beratus-ratus gigi halus untuk memotong daun.


Dan sekarang ini, batang tenggorok aku terasa perit dan gatal seolah-olah digerit oleh berpuluh-puluh ekor siput babi.







.

Wednesday, April 11, 2012

Hari ini berlindung dari cakaran terik mentari...

.

Hari ini hari cuti.

Seharian aku berada di dalam rumah, tak keluar ke mana-mana pun. Aku terlindung dari gegetan cinta sang mentari. Ya, aku sayang leher aku. Aku tak sanggup digeget di situ. Seharian berteduh di dalam rumah menjadikan aku seperti orang yang dungu. Mungkin ada baiknya jika digeget sedikit oleh sang mentari. Sekurang-kurangnya untuk membina vitamin D.


Pun begitu, ada sedikit kebaikkan aku tak keluar dari rumah. Bila tak keluar rumah, duit aku pun tak mengalir keluar dari dompet. Minyak petrol bersubsidi pun tak mengalir keluar dari kereta. Walau pun seperti dungu seharian, rancangan TV masih menemani. Bila dah boring dengan siaran TV, mimpi sejenak pun boleh menemani aku.


Kira-kira jam 6pm barulah kunci pintu rumah aku buka. Itu pun sebab mahu bermain badminton bersama anak. Itu pun sekejap sahaja. 6.35pm aku dah masuk ke rumah semula.

Penat bermain walau sekejap.

Dan malam pun memanggil aku pulang ke dalam diri aku semula.







.

Tempias tangis jalanraya dan ludah-ludah busuk kotaraya...

.


Pagi ini sungguh berangin. Mendayu-dayu je ia bertiup dan menyibak kain langsir. Pabila kain langsir tersibak luas melebihi standard, cepat-cepat aku sempitkan pemandangan orang. Aku tak mahu jiran-jiran menjenguk. Aku pemalu...


Telah 2 hari Wira aku yang genap usianya 10 tahun bermalam di bengkel cat. Sudah 2 malam juga Wira aku itu kesejukan dilencun embun tanpa aku. Aku tak sangka tengkujuh membasah sehingga lewati April. Aku ingatkan sudah mahu masuk musim panas.


Telah 2 hari juga aku ke tempat kerja menaiki kenaikkan aku yang berupa kuda berapi berkaki dua. Hari pertama saja dia dah buat perangai buasnya, kaki depannya pancit. Terpaksalah aku suruh kawan aku temui aku disebuah restoran dan berbincang di situ. Dan apabila kami berbincang, suara ka,i memang macam jin karam. Kami tak perasan yang orang lain pun tertarik dengan kami sehingalah perbincangan selesai. Oh ya, kami berbincang tentang pencapaian jabatan dia bagi tahun kewangan yang lepas dan dia tak berpuas hati dengan merit yang diberi. Sudah tentulah perbincangan itu hangat. Sepatutnya, dia datang ke pejabat aku tetapi oleh kerana kuda aku pancit di tengah jalan jadi aku suruh dia datang cari aku. Lagi puan dia yang berhajat meminta pandangan aku.


Hari kedua pula, yakni semalam, pagi-pagi lagi sudah hujan. Aku redah saja dan akibatnya bahagian depan badan aku lencun tak terkata. Jaket jenis windbreaker aku itu tak mampu menahan penetrasi air hujan yang tetesnya kasar-kasar. Sesampai di pejabat, aku kesejukkan. Aku biarkan selama 30 minit dan aku bermeditasi untuk menaikkan suhu badan sekaligus mengeringkan baju aku itu menggunakan haba dari badan. Kawan di sebelah suruh aku tanggalkan kermeja dan pakai jaket pejabat kepunyaannya tapi aku tolak.


Akibat kesejukkan di dalam bilik berpendingin hawa, aku di serang demam selsema. Dah tua-tua begini, badan terlalu manja.


Bengkel cat itu kata, Wira aku akan siap dalam 10 hari. Aku tak tahu sama ada tubuh lemah dan tua aku ini mampu bertahan selama itu apabila hari-hari diterjah dan diuliti tempias tangis jalanraya dan ludah-ludah busuk kotaraya.







.

Tuesday, April 10, 2012

In Memory...

.

Tinggal kenangan...
Walau pun kita usaha bagai nak rak bagi melawan perubahan,
perubahan tetap berlaku kalau ianya berlaku
kerana setiap yang ada akan mengalami perubahan dan
kerana tiada satu pun perkara di dunia yang bersifat kekal.



tak payah zoom, tak nampak nyer....

Tiada yang kekal konstan.
Yang konstan hanyalah perubahan itu sendiri.
(constantly changing).







.

The Void...

.


Tempat yang dulu penuh dengan kemeriahan...





Kini kosong tanpa penghuni, meninggalkan satu kubikel kosong yang bisa mengganggu kestabilan kubikel-kubikel berhampiran.


"emptiness is filling me, to the point of agony..."











.

Monday, April 9, 2012

Sepanjang malam tadi aku rimas didalam pelukan....

.


Malam tadi tidur aku goyah, payah nak lelapkan mata manja aku ini. Runsing dan rimas membalut perasaan aku mungkin kerana malam itu hawa panasnya terperangkap di langit bawah, tak dapat lepas ke  stratosfera agaknya. Walau apa pun puncanya, ia hanyalah penyebab untuk aku 'gerrah' atau panas-rimas dalam Bahasa Melayu.


Jam digital di telefon bimbit menunjukkan telah masuk hari baru tahun masehi tetapi aku masih belum boleh lelapkan mata senyenyak bayi yang kekenyangan susu badan. Setiap kali fikiran aku menerawang memasuki lubang mimpi tiba-tiba ditarik balik ke atas. Dua-tiga kali begitu. Aku ngiring ke kanan, selang beberapa waktu bahu aku pun lenguh. Aku ngiring ke kiri pun sama. Kemudian aku meniarap, pun sama juga. Akhirnya aku terlentang semula.


Dari satu perkara kepada satu perkara fikiran aku meneroka. Wajah Aeron Aziz yang telah menang besar dalam APBH2012 malam tadi pun ikut muncul. Akhirnya fikiran aku berjaya juga meninggalkan gelombang fasa Alfa dan memasuki gelombang fasa Beta. Aku terus biarkan fikiran aku menerawang jauh dan jauh meninggalkan jasad aku yang masih terlentang disimbah angin nyaman dari kipas angin tegak-berdiri.


Kemudian tangan aku menarik sehelai kain selimut yang sebahagiannya telah terjuntai di birai katil sebelah kanan aku. Aku tarik kain selimut putih yang tersekat di bawah badan aku, lalu aku golek sedikit supaya terlepas. Aku tarik dan aku tarik, agak panjang juga selimut itu, agak lebar juga. Jadi, aku hulurkan hujung selimut itu kepada Mama. Dalam keadaan mamai, Mama terus menarik selimut yang panjang itu. Tiba-tiba aku dapati ada kelainan pada selimut itu.


" Tariklah selimut ni lagi... panjang lagi sebelah sini " bisik aku kepada Mama.

" Kenapa nipis macam kain kapas?... eh, macam Kain Kafan !" kata Mama.


Serta-merta darah aku jadi gemuruh. Aku tak sanggup menjenguk sebelah kanan aku, lebih-lebih lagi di atas lantai; dimana 'selimut putih' itu mungkin membelit / melilit mayat atau Pocong! Seperti dapat aku rasakan wajah Pocong sedang melihat aku dari sebelah bahu kanan aku, seolah-olah wajahnya dengan muka yang hancur dan membusuk itu sedang merenung aku.


Huh! Mainan syaitan... Aku bukakan mata dan fikiran aku kembali kepada gelombang Alfa. Aku beranikan diri untuk merenung pintu bilik yang terbuka, juga lantai katil aku yang sejuk tanpa permaidani. Aku bangun untuk minum segelas air sejuk dan kembali ke katil. Sebelum aku rebahkan badan, aku ludah 3 kali ke kiri (ke arah Mama sebenarnya). Aku baring terlentang semula tetapi fikiran aku masih menerawang tentang Pocong yang 'singgah'. Mungkin juga syaitan itu benar-benar ada di bilik tidur aku. Mungkinkah?


Aku raba-raba katil bersaiz King Size itu mencari Mama. Baru aku perasan yang aku dan dia berjarak. Mungkin syaitan telah berbaring di antara kami kerana eloknya aku kena rapatkan saf. Jadi, aku tarik tangan Mama dan aku rapati tubuh Mama agar tiada ruang, biar Mama mengiring kepada aku pula. Dalam hati berkata, kalaulah Pocong benar-benar muncul di sebelah aku, biarlah Mama yang nampak, terkejut dan menjerit dahulu.


Aku letakkan tangan Mama melintang di atas dada aku. Biar Mama memeluk aku. Sambil itu aku elus-elus lengan Mama dengan penuh kasih sayang. Aku usap-usap lengan kiri Mama sambil fikiran aku menerawang mahu masuk ke lubang mimpi semula. Tiba-tiba aku rasai kelainan pada lengan Mama.


" Ayang tak pakai losyen ke? Lengan Ayang terasa kesat sangat, terasa kasar ni..."


Tiada jawapan. Lengan yang kesat dan kasar itu aku rasakan seperti berkeruping dan berkudis. Ya, lengan berkeruping itulah yang sedang melintang di dada aku. Dada aku bergetar kuat, berdebar-debar seperti mahu tercabut jantung aku rasanya. Darah aku bergemuruh seperti dipukul ribut taufan dan aku tak dapat bergerak sehingga ke pagi... sepanjang malam itu aku di peluk Pocong.


Huh! Syaitannnnnn..........








.

Sunday, April 8, 2012

Tatacara mengira markah Muhasabah diri berdasarkan 5 perkara...

.

Dia datang dengan lenggang-lenggoknyaaaaaaa..... dia datang...!


Aku, dan mungkin juga kita, telah sebati dengan hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi mengenai 5 perkara dalam hidup ini iaitu:
  1. masa sihat sebelum sakit,
  2. kaya sebelum miskin, 
  3. lapang sebelum sibuk, 
  4. muda sebelum tua,
  5. hidup sebelum mati

Tetapi aku tak pernah update the 'checklist', dan mungkin juga sesetengah daripada kita. Jadi, aku nak kemas-kinikan senarai tersebut. Aku gunakan skala 1-10, di mana 1-belum lagi dan 10- pasti. Jadi, kalau skala 5 membawa maksud, separuh tanda-tanda telah pun ada.

Tak perlu takut atau gentar. Terima sahajalah relitinya dengan dada terbuka. Lagi pun, ini juga adalah salah satu cara muhasabah diri.


Penilaian mengikut 5 perkara:



1. Sihat sebelum sakit - aku dah mula sakit-sakit badan. Bukan sakit demam atau sakit yang jenis datang dan pergi. Sakit yang begitu memang lumrah bagi manusia. Sakit yang aku maksudkan di sini ialah sakit yang akan kita tanggung sehingga mati. Hmm.... nampak gayanya dah mula ada. Jadi, aku berikan skala 4.

2. Kaya sebelum miskin - oleh kerana aku mengamalkan gaya hidup yang sederhana selama ini, aku masih boleh makan-minum dan berjalan sana-sini dengan agak selesa. Namun, apabila aku berpindah rumah nanti, aku dapat rasakan keselesaan aku akan terjejas sedikit. Aku berikan skala 2.

3. Lapang sebelum sibuk - ini sudah tentu! Walau masih sempat untuk beribadah yang wajib dan sunat muakkad, amat payah untuk buat sunnat yang lain. Adaaaaa jer benda nak dibuat. Bila aku tilik balik ke belakang, masa aku banyak dihabiskan untuk bekerja dan menyelenggara kehidupan serta harta-benda seperti kemas rumah, kena repair kereta, nak beli bedak sejuk, nak beli baju, nak shopping barang-barang rumah. Bila dah ada barang-barang rumah, setiap barang tersebut perlu dijaga pula. Perlu dibersihkan, perlu dipastikan keselamatannya. Benarlah kata Sayidina Ali (R.A), ilmu menjaga kita tetapi harta terpaksa kita jaga. Jadi, tak perlu dipertikaikan lagi. Aku bagi skala 10 terus.

4. Muda sebelum tua - eheeemmmm....! Boleh ikut umur nabi (63 tahun) atau umur yang diberkati (70), namun aku guna skala life expectency di Malaysia (75 tahun untuk lelaki) aku dah melangkau ke skala 6!

5. Hidup sebelum mati - yang ini payah untuk diskalakan. Kalau diikutkan paling patut skalanya cuma 0 (hidup) dan 1(mati). Tapi, kalau diikutkan dengan senarai no.1 (sihat sebelum sakit) dan no.4 (muda sebelum tua), aku letak skala 6. Ini bermakna, kemungkinan untuk mati semakin tinggi.




Pemarkahan:

Kalaulah semua  senarai itu dinilaikan dengan 'telah berlaku sepenuhnya' maka markah penuh adalah 10. Jadi, jumlah markah ialah 50.

Mari kita lihat markah aku... 4 + 2 + 10 + 6 + 6 = 28.
Bersamaan dengan 56%

Maknanya, aku telah lebih separuh jalan meninggalkan KESEMPATAN yang telah diberikan. Ini juga bermakna kesempatan yang aku ada hanya tinggal 44% sahaja!!!

44% sahaja lagi..??!!!

Ironinya, aku hanya boleh berusaha memperbaiki 3 pembolehubah sahaja iaitu Sihat-Sakit, Kaya-Miskin dan Lapang-Sibuk manakala 2 lagi langsung tidak boleh.

Dan yang lebih ironinya, walau pun aku dapat perbaiki 3 pembolehubah itu menjadi skor terendah, 2 pembolehubah lagi itu tetap berjalan seperti detik-detik yang berlalu...

Detik-detik yang berbunyi Tik! Tok! ... Tik! Tok!... Tik! Tok!....




Berapa markah anda?




.

Friday, April 6, 2012

Entri ringkas berkenaan petrol RON95 dan RON97...

.


Entri ringkas-ekspresso ini dibuat bagi menjawab soalan dari Sepa yang diposkan dalam entri sebelum ini (entah apa kaitan gettok ubi goreng dengan petrol pun aku tak taulah) yang berbunyi seperti berikut:

Apakah bezanya minyak RON95 dibandingkan dengan RON97, dari segi :
  1. kestabilan pembakaran.
  2. kesan ke atas kebuk pembakaran enjin dan juga injap2 dan omboh2nya,
  3. penggunaan km per liter dikira dalam keadaan perjalanan dalam pembakaran optimum, i.e. kelajuan 80km/jam mungkin.
  4. kemungkinan2 lain.



Mula-mula, aku nak mengaku bahawa aku bukan jurutera kimia atau pernah berkerja di mana-mana organisasi berasaskan petrokimia atau O&G (Oil & Gas). Jadi, jawapan aku tak menjurus kepada kimia organik. Jadi, aku jawab mengikut apa yang aku tahu. Kalau nak lebih pasti, rasa-rasanya laman forum tentang ini ada banyak.



Sebenarnya, harga petrol di Malaysia tak jauh beza. Yang jadi beza sebab satu lebih subsidi dan satu kurang subsidi.

1. Kestabilan pembakaran di dalam kebuk pembakaran (cylinder) juga bergantung kepada kestabilan bahan bakarnya. Kita panggil 'volatility'.

Pembakaran dalam enjin 4-lejang dicetuskan oleh percikan dari spark plug apabila udara+petrol telah dimampatkan pada nisbah tertentu 9.5:1 misalnya. Mampatan maksimum berlaku apabila omboh (piston) berada paling atas bagi kes 'in-line' cylinder. Kedudukan paling atas ini digelar TDC atau Top Dead Center. Kalau enjin jenis 'V' atau 'Boxer' atau 'Rotary', kedudukan pistonnya bukan paling atas sebab konfigurasinya dah berbeza.

Untuk mendapatkan pengembangan gas yang maksimum akibat pembakaran itu, campuran udara+petrol perlu dibakar pada keadaan mampatan maksimum atau ketika piston di kedudukan TDC. Tapi, apabila enjin berputar laju contohnya 3,000 rpm (pusingan per minit), akan berlaku 'lag' atau lambatan akibat percikan api dari spark plug yang merambat seperti api kilat dan untuk campuran udara+petrol untuk terbakar sepenuhnya. Memanglah nampak macam laju pembakaran tersebut tapi cuba bayangkan kalau enjin berputar laju, api yang merebak perlukan sedikit  masa untuk membakar sepenuhnya. Kena guna kamera berkelajuan tinggi baru nampak apa yang berlaku ketika udara+petrol terbakar.

Jadi, kalau kita set percikan api (ignition) dari spark plug itu pada TDC, kita akan dapati campuran tadi akan terbakar dan mengembang melewati/selepas kedudukan TDC, bermakna kita tak dapat pengembangan gas yang maksimum = pressure loss = power loss = kereta tak power.. bila kereta tak power, kena tekan minyak lebih sikit = mentekedarah minyak!

Untuk itu, kita terpaksa 'compensate' dengan menyalakan campuran itu pada kedudukan sebelum TDC, biasanya kita set antara 1-3 degree sebelum TDC. Ini juga dipanggil Ignition Timing.

Namun, ada satu pembolehubah (variable) yang lain turut menentukan kedudukan ignition ini iaitu kestabilan minyak petrol itu sendiri. Penalaan (tuning) enjin biasanya akan mengambil kira kestabilan minyak ini, lebih-lebih lagi pada suhu tinggi. Suhu dalam kebuk pembakaran adalah 600 ~700 darjah Celcius. Jadi, kita kena pastikan wap petrol yang masuk bersama-sama udara tadi tidak terbakar dengan sendirinya. Pembakaran tak terkawal seperti ini amatlah tidak dikehendaki kerana akan menyebabkan isu 'knocking'. Pada keadaan tertentu yang serius, connecting rod boleh patah atau injap bengkok/patah dan cylinder head boleh pecah!

Oleh sebab itu, kestabilan minyak petrol perlu diawasi dan perlu disetkan pada nilai standard. Salah satu peranan 'additive' yang dicampurkan ke dalam minyak petrol mungkin ini juga.

Ok.

Sekarang, baru boleh bincangkan apa bezanya RON95 dan RON97 kepada prestasi enjin SELAIN daripada nilai octane yang memberikan lebih tenaga apabila dibakar. Perbezaan 2 octane nampak kecil tetapi besar kalau dikira jumlah tenaga haba yang dibebaskan apabila ikatan hidrogen dan van der wals ini terputus.



Aku tak pasti berapa julat kestabilan minyak RON95 dan RON97 di Malaysia (lain negara/lain minyak lain perangainya) tetapi kita boleh katakan bahawa julat (range) kestabilan RON95 lebih besar berbanding RON97.

Julat kestabilan RON97 lebih kecil a.k.a lebih jitu. Jadi, risiko untuk minyak ini terbakar di luar julat ignition timing adalah kecil. Nilai kulaiti sebegini amat penting untuk kenderaan yang mempunyai prestasi tinggi seperti Honda Type-R dan enjin yang berprestasi tinggi lainnya sebab ignition timingnya adalah jitu dan perlu pada tempatnya, lebih-lebih lagi pada RPM yang tinggi. Ini berkaitan dengan penalaan (setting) pada ignition timing yang dibuat keatas enjin. Kalau kita guna RON95 ke atas enjin ini, ignition timingnya akan bercelaru kerana minyak RON95 mempunyai julat ketidakstabilan yang besar. Akibatnya, enjin kehilangan kuasa, mungkin juga akan rosak akibat 'knocking'.


Untuk enjin kereta yang biasa-biasa, enjin tersebut memang sudah ditalakan untuk minyak yang RON95 jadi semuanya tak kisahlah. Kalau enjin biasa guna RON97, ianya akan menjadi lebih baik daripada RON95. Itu saja. Buat pengetahuan juga, setiap kereta perlu ditalakan untuk jenis minyak yang ada di negara tersebut. Seperti contoh, negara Timur Tengah menggunakan RON yang lebih rendah. Jadi, kereta di Malaysia yang guna RON95 pun terpaksa ditalakan untuk RON yang lebih rendah sebelum dieksport ke negara tersebut. kalau tidak, akan berlaku masalah 'knocking' ... sama seperti kereta prestasi tinggi yang guna RON97 tetapi kita masukkan miyak RON95.


Pesanan aku, silalah ikut saranan dari pihak pengeluar kenderaan. Mereka lebih tau apa yang diperlukan oleh enjin kereta mereka.  Contohnya, Honda Type-R disyorkan guna RON97 tetapi Honda City boleh guna RON95. Malah dalam satu forum, Honda City dikatakan lebih sesuai menggunakan RON95 (entah ye atau tak, aku tak pasti).




Untuk soalan 2, 3 dan 4 telah aku jawab sekaligus...



Apa itu 'knocking'??? Carilah sendiri ek...






.

Thursday, April 5, 2012

Kuih yang tak tau namanya sendiri

.

Aku suka kuih ini walau pun sedikit manis.
Aku tak makan selalulah tapi.

Aku tak tau nama kuih ni tapi
ia menggunakan ubi rebus yang dilenyek dengan garam, gula
dan kelapa parut sebelum dicelup tepung dan digoreng semula...






Wahai kuih yang aku tak tau namamu, aku menyukaimu.
Kau pun tak perkenalkan namamu.
Makcik yang jual kamu pun tak kenalkan namamu kepadaku.
Maka kekallah kau sebagai kuih tanpa nama yang kusuka.

Kadang-kadang kita tak kenal orang yang kita suka.
Kita suka kerana dia baik kepada kita.
Dan kita pula tak berusaha untuk mengenalinya.






.

Koleksi Pantun Malam Jumaat... lagi...

.


    Sayang-sayang buah kepayang
    Ditiup angin jatuh melayang
    Adik sudah milik abang
    Sila abang turun berladang


            Kalau makan bubur kacang
           Jangan lupa kuih suji
           Kalau nasi sudah berhidang
           Jangan lupa lauk di saji


                    Pulau Pandan jauh ke tengah
                    Gunung Ulu cabangnya dua
                    Menabur benih jangan melatah
                    Berjagung dulu baru berhuma





Abang, jawablah banggg........!







.

Wednesday, April 4, 2012

Bilis... Power Distance Index

.


Lu sapa, gua sapa...! 

Ya lah, aku sedar aku cuma bilis saja, bukannya jerung yang besar-ganas-pelahap-bernafsu macam orang yang besar-besar. Itulah sebabnya ikan bilis selalu dipinggirkan...



bukan sahaja di laut malah di dalam pinggan juga bilis dipinggirkan... huhuhu



Kenapa diistilahkan dengan  'bilis' ?


Pada mulanya, ianya hanyalah perumpamaan seperti burung Pipit dan burung Enggang. Ia menyatakan perbezaan taraf. Malaysia berada di kedudukan teratas dari segi 'Power Distance Index' (PDI) yang diperkenalkan oleh Hofstede untuk Cultural Dimension Theory. Index itu dibuat berdasarkan 6 nilai dimensi budaya iaitu Kuasa (equality versus inequality), Kesepakatan (collectivism versus individualism), Toleransi Masa Depan (uncertainty avoidance versus tolerance), Keperkasaan (masculinity versus femininity), Orientasi (temporal orientation) dan Kebebasan (indulgence versus restraint).


Country PDI   IDV  MAS   UAI   LTO

Malaysia 104  26      50 36
Guatemala 95     6 37 101
Panama 95 11 44 86
Philippines 94 32 64 44 19
Mexico 81 30 69 82
Venezuela 81 12 73 76
China 80 20 66 40 118
Egypt 80 38 52 68
Iraq 80 38 52 68
Kuwait 80 38 52 68
Lebanon 80 38 52 68
Libya 80 38 52 68
Saudi Arabia 80 38 52 68
United Arab Emirates 80 38 52 68
Ecuador 78 8 63 67
Indonesia 78 14 46 48


Lebih tinggi index bermakna lebih jauhlah jarak (gaps) taraf/kuasa dalam masyarakat. Salah satu markah tertinggi yang Malaysia skor ialah dari dimensi maskuliniti atau keperkasaan dan kuasa!


Bayangkanlah, berapa banyak tahap pangkat masyarakat yang wujud dalam budaya di  Malaysia. Daripada rakyat biasa kepada Dato' kepada Dato' Seri kepada Datuk Seri kepada Tan Sri kepada Tun kepada Sultan kepada Agong.



Bila aku renung balik diri aku ini, memang benarlah aku hanya seekor bilis yang berenang-renang di dalam lautan luas... aku sedar... aku sedar...







.

Tuesday, April 3, 2012

Serunding dan nasi impit panas...

.

Ini serunding...
Sedap kalau dimakan dengan nasi impit yang lembik-lembik
dan panas-panas.
Sekali golek, serunding akan melekat 
dan meliputi nasi impit tadi.




Tapi orang beragama Islam tak boleh makan





.

Monday, April 2, 2012

Puisi mudah tentang mencoret kanvas hati

.





Di bawah langit nan biru
      ada mendung berarak kelabu
                  merenjis harapan nipis sayu

                      Hitam dalam lipatan hati
                             merentang sayap bawa aku pergi
                                    belantara khayal mendakap realiti


                                        Hidup dengan kanvas berdosa
                                        silam aku gemerlapan dengan noda
                                        mempalit warna-warna neraka
                
                                 Jauh di bumi bawah sana
                          jasad aku punya satu nyawa
                     yang jiwanya tanpa warna-warna syurga

                  Semoga ada satu hari
     siang menjengah dengan senyum mentari
Tuhan tolonglah sebelum aku mati







.

Sunday, April 1, 2012

Sesumpah...

.


Kalaulah sesumpah yang itu cicak tokek, dah kaya aku...






Juga ada foto di fotoblogaku.blogspot.com 







.

Earth Hour 'Festival' in Melaka...

.

Alih-alih masa tengok berita, satu persatu cahaya dipadamkan. Satu persatu kegelapan pun muncul dari balik kegelapan. Makanya, suasana itu bolehlah ditakrifkan sebagai kegelapan di atas kegelapan. Maksudnya, sudahlah gelap ditabah pula dengan kebebalan untuk bergelap (ini kalau tau di Ariff, mau dia marah ni...).


Dalam satu-satu tindakan yang kita ambil, kita kena lihat 3 perkara yang dikenali sebagai 3E, yakni 'Efficient', 'Effective' dan 'Easy'.


Kalaulah objektif menganjurkan 'earth hour' satu dunia malam semalam adalah untuk memupuk kesedaran terhadap penggunaan tenaga, mungkin ianya telah tercapai dengan jayanya. Ianya efisien kerana orang mudah memahami untuk melakukannya. Ianya efektif kerana orang-orang di bandar ramai yang lakukannya dan ianya amat mudah untuk dilakukan iaitu dengan hanya menutup suiz lampu.


Namun di kampung-kampung, kami tak tutup lampu atau TV kerana kami cerdik sikit. Kami nak tau apa orang di bandar buat tentang 'earth hour'.... hahaha.



Kalaulah kempen 'earth hour' bertujuan untuk menjimatkan tenaga, ianya sesuatu yang 'tahi lembu'. Mari dengar apa aku nak kata. Kalaulah dunia benar-benar kegersangan tenaga, hapuskan 1/5 penduduk dunia dan kita mungkin dapat jimat 1/2 penggunaan tenaga dunia!

Kenapa 1/5 sahaja?


Kerana tak perlulah hapuskan kami-kami yang di dunia ke-3 kerana kami masih guna pelita minyak tanah. Rumah kami tak guna banyak lampu, 2 biji mentol sudah cukup untuk terangi seluruh rumah. Kami masak air guna kayu api. Kami tak gunakan pendingin hawa, kami tak ada 'heater' di dalam rumah. Kami tak mandi air dari 'water heater'.


Hapuskanlah mereka-mereka yang di kelas dunia pertama dan di bandar-bandar besar yang banyak guna tenaga: yang lampu penuh lip-lap seperti di Vegas, kilang-kilang melebur besi untuk buat kereta kebal dan kapal perang, premis-premis yang siang tertutup tapi malam berjaga seperti disko, pub dan kelab-kelab malam...


Kalau dilihat dari sudut 3E, ianya bukanlah sesuatu yang mudah tetapi aku percaya ianya efektif dan efisien untuk jimatkan tenaga dunia.






.

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com