Tuesday, August 13, 2013

Umpan Anai-Anai dan Kerengga untuk memancing Ikan Loma dan Seluang

.

Kisahnya bermula apabila Emak beritahu yang stok lauk basahnya sudah habis. Emak sudah uzur, pemakanannya perlu dijaga rapi. Silap sedikit, Emak akan masuk wad kecemasan. Emak tidak mahu makan daging atau ayam. Malah, jenis ikan tertentu sahaja yang Emak boleh makan.

Jadi, bila Emak kata stok ikan dah habis, aku pun bergegas ke kedai di pekan berhampiran. Ada pelbagai ikan tetapi semuanya tidak sesuai dengan keuzuran Emak. Aku cuma jumpa ikan Lampam dan Ikan Putih. Aku beli semua yang ada. Bila sampai di rumah, bila aku siang, hanya 3 ekor sahaja yang masih elok. Yang lainnya aku sedekah ke ayam.

Kebetulan ada abang aku on-the-way balik juga. Aku suruh singgah cari ikan untuk emak. Ikan Merah atau Tenggiri atau Bawal tak ada. Musim raya-raya begini, mana ada ikan itu semua.

Maka hari raya ke-4 itu menjadi hari untuk misi mencari lauk Emak.

Emak suka ikan Haruan tetapi mencari umpan katak di tengahari bukan semudah mencari katak minyak di malam hari. Pada waktu malam, katak minyak keluar dan tertonggok di tengah-tengah jalan. Tinggal nak suluh dan cekup sahaja.

Aku dan abang aku beralih ke sungai pula. Banyak ikan sungai yang Emak boleh makan. Tempat yang kami tuju ialah sebuah sungai cabang kepada Sungai Perak. Kami masuk melalui kampung Permatang Pelandok, Kampung Gajah.

Sebelum itu, kami perlu sediakan umpan dahulu. Sebelum nak tentukan umpan apa, kami perlu tentukan ikan apa yang ingin dipancing. Aku cakap aku nak cari Ikan Lais. Abang pula kata Emak boleh makan Ikan Seluang. Jadi, nampak gayanya kami akan gunakan joran tepi sungai sahaja. Joran teleskopik 15 kaki panjang sudah mencukupi.

Jadi, kami cari umpan anak Kerengga. Kemudian aku cangkul busut, aku cari anai-anai pula. Sebagai insurans, kami cari 2-3 ekor cacing tanah dan beberapa biji buah sawit busuk, kalau-kalau ada pula Patin atau Jelawat galak bermain, kami labuhkan gewang juga.


Sarang Kerengga dipecahkan dan dimasukkan ke dalam baldi. Untuk asingkan kerengga
pekerja dan kerengga bersayap, bakar sahaja dengan suratkhabar. Yang bersayap itu
yang menjadi umpan.


Aku pula mencari anai-anak yang bersayap, yang masih belum pandai terbang.
Anai-anai ini lebih kecil berbanding Kerengga bersayap tadi.

Oleh kerana umpan Kerengga dan Anai-Anai itu kecil, kami gunakan mata kail yang kecil sahaja, kalau tak silap mata saiz 2-3 atau mata kail udang. Kami gunakan joran 15 kaki.


Inilah sungainya. Tempatnya terpencil, jauh dari kampung orang. Jalan masuk ke situ melalui
jalan lori kelapa sawit.


Memancing Ikan Loma dan Seluang tidak perlu di tengah-tengah sungai. Mereka banyak
bermain sekitar 5-8 kaki dari tebing sungai. Biasanya di hujung rumput atau di bawah
pokok yang berjuntai ke sungai, di air yang lebih tenang.


Ikan Loma dan Seluang gemar menyambar serangga yang terjatuh di permukaan air. Oleh itu, teknik yang kami gunakan ialah letak-tarik-letak-tarik. Bukan merendam mata kail dalam-dalam atau lama-lama. Sebelum itu, untk menarik perhatian ikan-ikan itu, kami campakkan beberapa biji buah kelapa sawit busuk.


Ikan pertama ialah anak seluang, masih kecil. Abang terfikir nak dijadikan umpan untuk ikan
yang lebih besar.


Jadi, abang labuhkan juga gewang ke sungai. Mana tahu ada Ikan Tongsan yang bermain.
Gewang abang yang gunakan umpan Ikan Seluang berjaya menaikkan 3 ekor ikan duri bersaiz tak sampai 1/2 kg setiap seekor... ikan low-class. Tak jadi teruskan guna umpan anak Seluang. Kami fokus kepada joran menggunakan umpan Anai-Anai dan Kerengga sahaja.


Inilah ikan yang kami cari. Kami tak pasti nama sebenar ikan ini. Kami rasa itu Ikan Loma. Sedap
jika digoreng garing, walau pun ada banyak tulang halus.

Inilah ikan yang aku cari, aku panggil Ikan Lais. Mungkin orang kata itu anak Ikan Tapah.
Badan ikan ini transparen, tak bersisik dan ianya sejenis River Catfish

Mulut Ikan Lais ini besar, boleh menganga luas dan ikan ini boleh membesar sehingga mencecah
lebih sekilo. Ikan ini manis, sedap digoreng begitu sahaja. Ia ada 3 tulang tajam. Kena berhati-hati.

Menjelang senja, kami pun pulang dengan hasil tangkapan yang memadai untuk 3 kali gorengan. Syukur... rezeki Emak.


Yang seperti Ikan Patin itu abang panggil Ikan Lawang. Katanya, bukan Patin. Ikan Lawang
paling besar pun 1-2 kg sahaja, tak seperti patin yang boleh mencecah berbelas kilogram seekor


Beberapa ekor Ikan Loma juga berjaya dipancing disamping Ikan Seluang sungai bersaiz
ibu jari.

Itulah hasil pancingan menggunakan umpan Anai-Anai dan Kerengga.



.

6 comments:

Kniedaz said...

lama tak makan ikan sungai..tak pernah pula makan ikan2 itu tapi biasanya ikan2 yang saiznya sebegitu kalau digoreng garing memang sedap..
Selamat Hari Raya..maafkan salah silap terkasar bahasa sepanjang kita berblogging ya ^_^

t.a.t.a said...

Kesimpulannya, Alhamdulillah, emak dapat sumber protein di hari raya. Sejuk perut emak mengandung kan 2 orang anak lelaki nya itu.

Qashmere said...

Bestnya pergi memancing....

Rupa ikan ni macam ikan kembong. Erk..saya tak reti pasal ikan

Nizam.Ariff said...

kniedaz,
aku lebih suka ikan sungai berbading lautan.
Aku juga minta ampun dan maaf ya...


Tata,
cukuplah bekalan untuk 3 hari sementara menunggu ikan baharu masuk ke pasar...


Qashmere,
macam ikan kembung tapi yang itu nipis je..

anamizu said...

wahhh syoknye mncing dpt byk anak ikan hehe

goreng pon sodap nih! hehe






slm kenal & slm aidilfitri nizam :)

Nizam.Ariff said...

anamizu,
memang seronok bila sekali sekala dapat memancing..

Salam aidiltfitri jua..

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com