Monday, August 3, 2015

Mimpi ... hancurnya tamadun manusia

.

Ini mimpi malam kelmarin...



Aku buka pintu papan sebuah rumah yang entah di mana lokasinya. Di luar angin bertiup kencang menerbangkan debu-sampah. Pokok-pokok melintuk-liuk dirempuh angin. Setelah melangkah ke luar, aku toleh ke belakang. Rumah papan setingkat  usang itu hampir roboh ditiup angin. Langit mendung, guruh kedengaran tetapi tiada kilat dan tiada rintik hujan. Langit dipenuhi asap tebal, suasana  samar dan kelam. Tiada cahaya matahari yang berjaya menembusi awan menjadikan penglihatan aku seperti tiada warna. Aku hairan...dimanakah aku? Kenapa langit dan bumi jadi begitu?

Aku ajak Mama dan adik ipar aku keluar cepat-cepat. Mereka merasakan di dalam rumah itu lebih selamat namun melihat kepada keadaan rumah papan itu, aku rasa berada di luar rumah lebih selamat. Kami berjalan memasuki ladang getah yang tidak terurus lagi, banyak anak pokok liar telah sama besar dengan pokok getah, tak bertebang. Kami berjalan di lorong kecil tanpa tujuan. Kesan tiupan angin agak kurang bila berada di dalam ladang itu. Tidak berapa jauh di perut ladang, aku terlihat kelibat-kelibat manusia sedang susup-sasap di celah-celah pokok renek dan getah tua. Aku berhenti berjalan.

Seperti ada sesuatu yang tidak kena di situ. Dalam kelam itu, aku ternampak beberapa ekor anjing yang besar, mungkin juga serigala, sedang mengejar ke arah kami. Kami pun berlari sepantas yang boleh tapi terlalu banyak anak pokok yang menghalang kaki. Suara anjing-anjing buas itu kedengaran semakin hampir di belakang. Tiba-tiba ada beberapa orang memintas di antara kami dan anjing-anjing tadi, ada senjata di tangan mereka. Anjing-anjing itu berhenti dari mengejar. Kami juga berhenti untuk melihat. Aku cuba memahami situasi yang aneh itu.

Anjing-anjing itu menderam mengangkat bibir menunjuk taring. Air liurnya menjejes. Matanya sungguh garang. Orang-orang yang bersenjatakan besi dan kayu itu mengacah-acah anjing-anjing. Kami terpaku tak bergerak. Kedua-dua pihak tak beranjak, maka berlaku perkelahian antara anjing dan manusia. Akhirnya, anjing-anjing itu larikan diri masuk ke dalam semak samun.

Kemudian, ketua kumpulan itu mendekati kami. Dia ajak kami ikut dia atau mati dibaham anjing-anjing liar. Kami turuti kerana tiada pilihan yang lebih baik. Berapa lama selepas itu, kami diserang hendap oleh kumpulan manusia yang lain di hutan itu. Tidaklah sampai berbunuhan, aku lihat mereka lebih kepada merompak bekalan makanan dan pakaian sahaja. Sepantas mereka menerpa, sepantas itulah menreka menghilang. Aku hairan, apakah yang sedang berlaku? Dalam hati aku ada soalan-soalan yang tiada berjawab... dimanakah aku? Kenapa langit dan bumi jadi begitu?



(bersambung...)



.

No comments:

Papan Iklan

Papan Iklan
Homestay. Klik Imej

Join

BlogMalaysia.com