.
Rasanya lebih elok jangan tawar menawar dengan peniaga kecil atau peniaga yang baru nak bermula berniaga, berilah sokongan kepada mereka. Lebih-lebih lagi jika dia itu orang susah atau dari golongan yang bergelut untuk hidup.
Kita tawar menawar dengan mereka untuk dua tiga ringgit tetapi dalam masa yang sama kita berikan sedekah lima sepuluh ringgit kepada peraih simpati bangsa asing yang kita tak tahu keadaan sebenar mereka. Sekurang-kurangnya peniaga kecil-kecilan atau tukang paip atau tukang mesin rumput atau seumpamanya itu mencurah tenaga memberi khidmat kepada kita, tidak seperti peraih simpati bangsa asing itu. Tapi kadang-kadang peraih simpati itu ada juga berdoa untuk kita, itu sudah bagus.
Bukan tujuan aku untuk berkata berhenti dari sedekah kepada peraih simpati bangsa asing. Aku cuma mahu katakan berhenti daripada tawar-menawar dua tiga ringgit dengan mereka yang berusaha untuk hidup dengan memberi khidmat kepada kita. Tak berbaloi. Seeloknya, terapkan saja dalam hati kita untuk sedekah kepada mereka itu.
Beberapa belas tahun dulu, ada seorang tua di pasar malam di sebuah kampung di Selatan tanahair. Dia berniaga sayur-sayur kampung yang kebanyakkan ada di kebanyakkan rumah-rumah kampung (pucuk ubi, pucuk keledek, ubi keledek, pisang awak, pucuk paku, terung pipit dll). Dia datang berniaga dengan menaiki motorsikal tua dengan raga usang diikatkan kepadanya. Alas letak sayur-sayurannya cuma bekas guni baja, diletakkan di atas jalan tar. Kedudukannya paling hujung di deretan pasar malam itu.
Ketika itu aku terfikir, bagaimana dia boleh jual sayur-sayuran kepada orang yang kebanyakkan telah ada sayur di belakang rumah? Ianya seperti mahu menjual peti ais kepada orang Eskimo.
Lantas aku berbelah bahagi...jika aku beli juga, ianya seperti memberikan harapan perniagaan palsu, seolah sayur-sayurannya ada potensi untuk dijual pada masa-masa akan datang sedangkan aku cuma mahu beli sambil bersedekah. Mungkin juga cuma aku seorang yang membelinya dan apabila aku balik ke bandar, dia mungkin kecewa pada pasar minggu seterusnya (kerana tiada pembeli lagi).
Pada mulanya aku tak beli kerana mahu berfikir strategi. Kemudian aku dapat idea. Semasa melengkapkan pusingan pasar malam untuk balik, aku singgah juga. Aku pilih sayur-sayuran yang ada kelainan dengan harapan dia dapat tahu bagaimana dia 'dapat jual peti ais kepada orang Eskimo'. Aku beli beberapa sayur yang jarang anak muda baya aku tahu cara memakannya (tetapi orang tua-tua dulu tahu) dan aku tanya macam mana nak masak dan rasanya nanti bagaimana. Aku juga beli pucuk paku dengan berkata "orang sekarang malas nak masuk hutan nak kutip pucuk paku". Cuma aku tak beli pucuk ubi sedangkan itu yang banyak dilonggokkan di atas bekas guni baja, aku kata "pokok ubi ni senang ditanam, ada banyak kat belakang rumah". Dan beberapa tips lagi yang aku harap sebagai feedback dari seorang pengguna untuk dia merancang dan memilih barang jualan pada masa depan. Dan aku tak tawar menawar.
Begitulah, setiap kali aku pulang ke kampung dan pergi ke pasar, modus operandi yang sama aku lakukan. Selang beberapa ketika, aku lihat dia datang berniaga dengan van buruk, juga ada budak lelaki yang mengikutnya. Maknanya, perniagaannya berkembang dan aku lihat jenis barangan pun bertambah - sehinggakan siput sedut dan kupang pun ada dijualnya.
Beberapa tahun selepas itu sehinggalah kini, aku jarang melihatnya di pasar (mungkin juga sudah tiada berniaga di pasar). Aku bersangka dia telah berniaga secara mobile atau dapat tempat berniaga yang lebih baik di bandar. Atau mungkin juga orang tua itu telah tiada. Tak tahu lah apa cerita seterusnya.
Apa yang penting, kita perlu cuba menolong walau dengan skala yang kecil tetapi mungkin dapat merubah kehidupan seseorang.
.
3 comments:
- aku setuju dgn konsep bersedekah dlm membeli tu...tapi pastikan genuine seller, maknanya, memang penjual tu dari kategori yg agak susah...sebab zaman sekarang ni, ramai yg kerja makan gaji, tak nampak nikmat sebenar org yg berniaga...paling cliche gi pasar malam, " kesian tengok org tu susah meniaga pasar malam", sedangkan income org meniaga pasar malam tu 2-3 kali ganda lebih besar dari income dia...hahahaha
- satu lagi, kena buka minda. Peti ais yg kita sangka org Eskimo tak akan beli, kalau dijual, pasti ada pembelinya. Segala benda yg boleh di jual beli, pasti Insya Allah ada pembelinya, lebih2 lagi sayuran tu. Percaya lah bro, sesimple lada api yg kita boleh tanam dlm pasu hatta yg duduk kat apartment( takde tanah), pun masih ramai yg beli.
Setuju - jangan tawar menawar dengan peniaga kecil atau peniaga yang baru nak mula berniaga.
Btw menolong dgn cara bagi feedback tu sungguh bijak.
Daddyz.
Setujuuu.....
Cinta.
Jom kita mulakan...
Post a Comment